Ramai yang cukup sensitif dengan usia tua terutama golongan wanita yang sesetengahnya hingga sanggup untuk tidak mendedahkan usia ketika sambutan ulang tahun kelahiran mereka.
Persoalannya, mengapa isu tua adalah isu yang enggan dibicarakan secara terbuka?
Tidak lain tidak bukan kerana ia bersangkut-paut dengan tahap kesihatan.
Penyakit membatasi kehidupan yang harmoni. Namun sejauh manakah rakyat Malaysia berasa tenang tentang kesihatan diri masing-masing?
Laporan Kesihatan dan Kesejahteraan Malaysia 2010 oleh Philips menemui jawapannya, yang secara kesimpulan menunjukkan bahawa rakyat di negara ini berpuas hati dengan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Memang tidak disangka kerana skor kesihatan yang dicatat mencapai sehingga 71 peratus, yang merupakan tertinggi di kalangan negara-negara Asia Pasifik, bagaimanapun perasaan seronok dan yakin dengan kesihatan mereka ini merosot terus apabila mencecah usia 65 tahun dan ke atas.
Memegang status sebagai warga emas sekali gus menjadikan mereka tidak lagi yakin untuk beroleh kesihatan yang baik.
Dua perkataan, gemuk dan penuaan menjadi igauan golongan warga emas dan sudah tentu banyak lagi penyakit yang boleh terjadi daripada dua gejala ini.
Dalam kajian tersebut, golongan yang berusia 65 tahun dan ke atas menganggap bahawa tahap penglihatan mereka makin merosot, tahap kolesterol makin tinggi, sakit sendi, kencing manis dan kurang pendengaran antara penyakit yang akan mengancam kesihatan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kegagalan mengambil langkah pencegahan menyebabkan kelewatan diagnosis dan rawatan. Ia seterusnya meningkatkan kos penjagaan kesihatan bagi individu terbabit.
Bilangan warga tua di Malaysia, mengikut laporan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia Pasifik (Escap) telah meningkat dua kali ganda kepada hampir 1.4 juta orang, turut memburukkan lagi keadaan.
"Indeks Philips merupakan barometer sosial yang membantu kami memahami dengan lebih mendalam lagi akan perasaan orang ramai terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka," ujar Lee Weng Siong, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Philips Malaysia.
Katanya, pengetahuan ini membolehkan Philips memahami tanggapan dan tingkah laku pengguna berkaitan kesihatan dan juga langkah yang boleh diambil bagi membendung, merawat atau mengatasinya.
Membimbangkan
Dalam kajian tersebut juga mendapati, meskipun permasalahan kesihatan yang berkaitan dengan berat badan dianggap sebagai satu ancaman, hanya satu daripada tiga rakyat Malaysia menganggap mereka mempunyai berat badan berlebihan.
Lebih dahsyat golongan ini tidak mempedulikan keadaan tersebut walau usia mereka makin meningkat.
Menurut laporan tersebut, tiga perempat daripada rakyat Malaysia yang berusia 55 tahun ke atas langsung tidak pernah mencuba untuk mengurangkan berat badan mereka.
Ia menunjukkan perbezaan jurang di antara tanggapan dan kenyataan yang sebenar, di mana data menunjukkan bahawa kegemukan merupakan permasalahan yang semakin membimbangkan di Malaysia.
Hasil laporan juga mendapati 29 peratus warga Malaysia mempunyai berat badan berlebihan dan 14 peratus mengalami obesiti.
Ditulis oleh: Noor Fazrina Kamal
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment