Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label OAB. Show all posts
Showing posts with label OAB. Show all posts

Wednesday, July 21, 2010

Inkontinens Bukan Tanda Penyakit Tua

Lee, 41, tidak pernah mengerti kenapa dia begitu 'terasa' perlu membuang air kecil dengan begitu kerap.

Sama ada ketika memandu ke tempat kerja atau ketika bersama keluarga semasa membeli-belah dan bersenam di gimnasium, wanita ini tetap dihantui perasaan perlunya 'melegakan' pundi kencingnya.

"Kadang-kadang rasanya lebih banyak masa digunakan untuk ke tandas dari masa yang diguna untuk bersenam," kata beliau.

Ibu kepada seorang anak, Rohaiza, 29, pula menceritakan pengalaman beliau mengenai masalah yang sama.

"Bila berada di kompleks membeli-belah, datang stres bila terasa nak buang air kecil dan terpaksa menunggu giliran di belakang beberapa orang yang lain (untuk masuk tandas)."

Rohaiza mula perasan perubahan pada dirinya selepas satu tahun melahirkan anak bila beliau mengalami 'rasa ingin buang air kecil' setiap kali bersin atau batuk. Rohaiza mendapati beliau tidak boleh 'tahan' (kencingnya) seperti masa-masa yang lampau. Ada beberapa kali beliau tidak sempat sampai ke tandas dan berlakulah 'insiden' yang tidak diingini.

"Masalah yang saya alami telah menggugat keyakinan diri saya. Dulu saya gemar bersosial tetapi kini nak keluar makan malam dengan rakan-rakan pun saya khuatir. Apakah akan terjadi bila saya tidak sempat sampai ke tandas dan terbuang air kecil di khalayak ramai?"

Lee dan Rohaiza adalah mereka yang mengalami tanda-tanda pundi kencing terlampau aktif (OAB) atau dikenali juga sebagai inkontinens urinari.

Masalah ini dikatakan mengganggu setiap satu daripada enam orang dewasa. Masalah ini juga kerap diberi diagnosa yang tidak tepat.Ramai yang mengalami OAB, terutamanya wanita, tidak mahu mendapatkan rawatan walaupun masalah ini mengganggu kehidupan harian mereka.

Ini kerana ada yang menganggap bahawa inkontinens adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlu rawatan.

OAB Boleh Dirawat

"OAB atau inkontinens urinari bukanlah satu penyakit tua. Ia adalah satu masalah perubatan dan boleh dirawat", kata Presiden Persatuan Urologi Malaysia Datuk Dr. Rohan Malek.

Menurut beliau, ramai wanita yang mengalami masalah ini enggan menjalani pemeriksaan dan tidak mengetahui adanya kaedah yang boleh merawat masalah tersebut.

"Faktor utama yang membuatkan mereka enggan datang untuk pemeriksaan adalah mungkin kerana malu menceritakan tentang masalah itu kepada doktor.

"Ramai juga yang berpendapat ia adalah sebahagian proses penuaan atau mungkin kesan sampingan selepas melahirkan anak. Mereka rasa tidak perlu berbuat apa-apa dan rasa tidak boleh berbuat apa-apa (bagi merawatnya)," kata Dr. Rohan yang merupakan Pakar Urologi Hospital Selayang.

Statistik dari kajian terhadap wanita yang dijalankan di 11 buah negara menunjukkan prevalens OAB adalah 53.1 peratus. Majoritinya adalah mereka yang berumur 29-59 tahun.

Di Malaysia, OAB dialami 11-22 peratus daripada jumlah penduduk. Melahirkan anak adalah risiko utama tetapi OAB juga boleh disebabkan oleh faktor lain.

Menurut Dr. Rohan terdapat beberapa kaedah bagi merawat OAB termasuk fisioterapi dan perubatan. Hanya beberapa kes sahaja yang memerlukan pembedahan.

"Rawatan OAB mampu dijalankan dan jarang sekali kita perlu melakukan pembedahan terhadap pesakit OAB," kata Dr. Rohan.

Jenis Inkontinens

Jenis inkontinens yang prevalen adalah dari jenis 'terdesak' dan stres.

Dr. Rohan berkata, inkontinens stres disebabkan lemah otot pelvik yang disebabkan kelahiran anak dan obesiti.

"Inkontinens stres boleh menyebabkan kebocoran kencing ketika bersin atau batuk. Kadangkala ada juga kes inkontinens terdesak bila mereka tidak boleh tahan kencing sebelum tiba ke tandas," kata beliau. Rawatan meliputi fisioterapi dan mengenalpasti masalah bersangkutan. Senaman otot pelvik juga boleh membantu.

Pesakit yang gemuk juga boleh mengurangkan berat badan manakala mereka yang menghidapi asma serta batuk perlulah mendapatkan rawatan terlebih dahulu.

Sementara itu, mereka yang mengalami inkontinens terdesak terpaksa berkejar ke tandas beberapa kali dalam satu hari.

"Tanda-tanda OAB adalah buang air kecil lebih dari lapan kali satu hari dan tidak boleh tahan bila tiba masanya," kata Dr. Rohan.

Pesakit juga akan mengalami 'nocturia', iaitu kerap bangun kencing waktu malam. Ini boleh mengganggu tidur pesakit dan mereka akan rasa amat keletihan pada keesokan hari.

Ada juga pesakit terpaksa pakai lampin dan terpaksa meninggalkan aktiviti fizikal seperti bersukan.

Walaupun ada kes yang boleh dirawat dengan antibiotik, pesakit perlulah berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah lain yang tersembunyi.

"Ada kalanya tanda-tanda yang sama seperti masalah OAB dicetuskan penyakit lain antaranya diabetis, angin ahmar, kanser pundi kencing atau batu karang. Ini boleh dikenal pasti melalui ujian air kencing," katanya.


Ditulis oleh:Sakina Mohamed
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Tuesday, December 01, 2009

Jangan Malu Bincang OAB

A sesuatu yang normal sebagai sebahagian daripada proses penuaan," luah pesara guru, Mary, 65. Ada pula yang menganggap ia sebagai perubahan gaya hidup. "Saya selalu tahu di mana tandas berada,'' kata seorang akauntan, David, 50.

Seorang peguam, Ellen, 42 berkata, saya takut menjalinkan hubungan intim."

"Jika saya berjaga malam, saya takut jatuh tetapi jika saya tidak bangun, saya takut katil saya basah," ujar pesara mekanik, George, 76.

Siapakah mereka? Mereka adalah golongan yang tidak sedar tentang penyakit kehilangan kawalan pundi kencing (OAB).

Realitinya, OAB bukan saja boleh merunsingkan, tetapi mungkin boleh memalu dan mengehadkan kehidupan harian individu yang berdepan dengan masalah seumpama itu.

Kebetulan, OAB jarang menjadi perbincangan di kalangan masyarakat tetapi ia sebenarnya mempengaruhi jutaan manusia tidak kira jantina dan umur mereka.

Justeru itu, bagi meningkatkan keprihatinan orang ramai mengenai masalah OAB, beberapa langkah awal perlu diambil bagi membantu pesakit mengatasi perasaan malu mereka.

Antaranya, pesakit perlu digalakkan untuk berbincang mengenai masalah OAB. Selain itu, pesakit perlu dididik bahawa OAB bukan proses penuaan yang normal dan sebaliknya, adalah masalah lazim tetapi memerlukan rawatan perubatan.

Kebanyakan pesakit menguruskan sendiri masalah dihadapi kerana tiada peralatan saringan yang membolehkan OAB dikesan selain mengetahui gejalanya.

Terapi lain termasuklah membuat perubahan terhadap amalan pemakanan dan tingkah laku, menggunakan rangsangan elektrikal, senaman dan maklum balas biologi.

Perubahan terhadap amalan pemakanan antara yang boleh dilakukan ialah mengurangkan minum air pada waktu malam, tidak mengambil kafein dan menambahkan pengambilan serat dalam makanan.

Untuk tingkah laku antara strategi mengawal kebocoran air kencing ialah berhenti dan berdiri tegak, tenang dan rehat badan serta berjalan menuju ke bilik air dalam keadaan biasa

Penasihat Perubatan Pfizer Malaysia dan Singapura, Dr. Mohd Nawi Wahid berkata, kajian yang dibuat di 30 buah klinik swasta Malaysia mendapati 35 peratus pesakit yang mengalami OAB tidak pernah membincangkan simptom mereka dengan doktor.

Beliau berkata, 83 peratus daripada 450 orang yang berumur 30 tahun ke atas masih merasakan OAB boleh diatasi. Manakala 25 peratus lagi beranggapan perkara ini tidak penting.

"Daripada jumlah itu, hanya 14.7 peratus yang didiagnosis mengalami OAB dan 58.8 peratus tidak dapat dikesan kerana masalah mengambil ujian air kencing ketika lawatan semasa," katanya pada sidang media di Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini anjuran Pfizer Malaysia.

Dalam pada itu, Perunding Urologi, Universiti Rome, Itali, Dr. Andrea Tubaro, memberitahu 11 hingga 22 peratus orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas di Eropah, Asia dan Amerika Syarikat menghidap OAB.

Dr. Andrea berkata, kajian menunjukkan OAB turut menyerang golongan muda dan tua.

Hasil kajian turut menunjukkan OAB amat biasa dialami oleh masyarakat dunia berbanding penyakit lain seperti asma, diabetes, alzheimer dan kanser.

Kajian

"Berdasarkan kajian dibuat didapati jumlah perbezaan antara wanita dan lelaki yang mendapatkan rawatan bagi masalah OAB, tidaklah begitu banyak perbezaan.

Bagaimanapun, paling nyata kajian menunjukkan ramai tidak berbincang mengenai masalah kawalan pundi kencing mereka dengan doktor kerana beranggapan tiada apa yang boleh dilakukan ataupun terlalu segan untuk membincangkannya.

"Pesakit wanita misalnya, berasa tidak selesa untuk mendapatkan rawatan dengan doktor lelaki kerana pada masa ini kebanyakan pakar urologi adalah lelaki. Malah, di Barat juga tidak ramai yang tampil untuk mendapatkan rawatan doktor," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan kes OAB yang dikesan oleh doktor bukan ketika individu berkenaan mendapatkan rawatan bagi mengatasi masalah itu, sebaliknya disebabkan pemeriksaan atau masalah untuk penyakit lain.

Dr. Andrea memberitahu, walaupun OAB membuatkan rutin kehidupan individu itu terjejas, masih ramai yang tidak mendapatkan rawatan.

Tanpa disedari pesakit, OAB menyebabkan masa tidur terganggu dan berasa letih kerana terpaksa kerap ke tandas.

Gejala yang dialami oleh lelaki dan perempuan adalah sama tetapi anatomi berbeza. Bagi lelaki, tanda-tanda OAB banyak membawa kepada kelenjar prostat.

"Gejala OAB mungkin bermula sebagai satu masalah ringan. Kekerapan untuk kencing akan meningkat, dan lama kelamaan menjadi terlalu terdesak dan akhirnya menimbulkan gejala inkontinens terdesak yang lebih serius.

"Bagi lelaki pula menahan kencing lebih kerap mungkin boleh menolong memanjangkan masa di antara kekerapan ke tandas, individu juga boleh melakukan senaman untuk melatih semula pundi kencing dan menguatkan otot yang menyokong pundi kencing dan uretra (tiub yang membawa air kencing)" jelasnya.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/