Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Tuesday, February 22, 2011
Punca Jangkitan Bayi
Suatu hari, Rashidah batuk - batuk dan seperti demam selesema dengan rasa perit di tekak. Menyangkakan hanya batuk biasa akibat kesibukan menjaga bayi yang baru lahir, maka dia membeli ubat batuk dari kedai.
Dalam tempoh seminggu, batuk yang dialami semakin teruk dan diiringi kesesakan bernafas. Akhirnya dia berjumpa doktor dan disahkan menghidap pertusis yang dikenali batuk kokol. Tanpa disangka Mila pula menunjukkan tanda jangkitan seperti batuk teruk diikuti bunyi ‘whoop’ yang nyaring. Setiap kali batuk , mukanya merah padam, menyebabkannya rasa rengsa dan meragam. Mila disahkan menghidap pertusis.
Rashidah diberitahu bahawa daya tahannya terhadap pertusis telah berkurangan secara beransur-ansur walaupun dia pernah diberi vaksin penyakit itu semasa bayi. Sementara itu, Mila pula masih belum sempat diberi tiga dos vaksin pertusis, sebab itulah dia terdedah kepada penyakit itu. Untuk mencegah jangkitan daripada merebak, doktor mencadangkan agar anak sulung Rashidah, Rashid yang berusia 9 tahun diberi vaksin penggalak (booster).
Kenali pertusis
Batuk kokol atau dalam bahasa Inggeris (Pertussis), atau (whooping cough), adalah penyakit yang mudah berjangkit dan merupakan salah satu penyakit bervaksin penyebab utama kematian.
Terdapat 30 hingga 50 juta kes setiap tahun, dan sekitar 300,000 kematian setahun. Hampir 90 peratus kes berlaku di negara membangun.
Penyakit batuk kokol disebabkan bakteria Bordetelia pertussis dan berpunca daripada jangkitan saluran pernafasan yang tersekat-sekat terutama di kalangan kanak-kanak berumur bawah dua tahun. Tanda-tandanya adalah batuk sekali-sekala dan melarat menjadi batuk kokol berpanjangan dan akhirnya muntah.
Menurut Pakar Runding Pediatrik dan Presiden Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, Malaysia belum ada data terkini mengenai batuk kokol namun sehingga 2005, laporan kes penyakit ini menunjukkan peningkatan.
Profil Imunisasi Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan hanya enam kes batuk kokol dilaporkan pada 2006.
Ini disebabkan semua bayi di Malaysia wajib mendapatkan vaksin DTP (Difteria, Tetanus dan Pertusis). Keberkesanan vaksin ini berjaya mengekang penularan jangkitan batuk kokol buat masa ini.
“Keimunan penuh terhadap batuk kokol bagi bayi hanya diperoleh selepas dos ketiga vaksin diberikan apabila bayi berusia lima bulan. Pendedahan kepada bakteria pada bila-bila masa sebelum keimunan penuh diperoleh boleh menyebabkan jangkitan, dan membawa kesan memudaratkan.
‘‘Masalahnya, daya tahan terhadap penyakit tidak kekal kerana tahap imuniti semakin berkurangan apabila kanak-kanak berusia 11 atau 12 tahun. Namun begitu, mereka boleh diberi suntikan penggalak untuk mencegah batuk kokol, agar tidak menghidap penyakit tersebut ataupun menyebarkannya kepada bayi yang baru lahir. Sebahagian besar daripada jangkitan batuk kokol di kalangan bayi baru lahir memang berpunca daripada orang dewasa yang dijangkiti,” ujar beliau pada sidang media tentang vaksin pertusis anjuran Sanofi Pasteur baru-baru ini.
Vaksin
Vaksin DTP ialah salah satu daripada vaksin dalam Program Imunisasi Kementerian Kesihatan yang bermatlamat memberi vaksin kepada setiap kanak-kanak di Malaysia. Bayi menerima suntikan vaksin DTP pada usia dua bulan, tiga bulan dan akhirnya lima bulan dengan satu lagi dos tambahan pada usia 18 bulan.
Tambah Dr. Zulkifli, oleh kerana vaksin batuk kokol berkesan selama kira-kira lima tahun.
“Langkah ini amat penting agar orang dewasa tidak menghidap penyakit dan menyebarkannya kepada bayi yang belum menerima dos pemvaksinan penuh DTP. Vaksin penggalak atau tambahan untuk dewasa berbeza daripada vaksin untuk bayi kerana ia mempunyai komponen difteria dan pertusis yang lebih rendah (dTp),” ujarnya.
Beliau menambah, vaksin dTp untuk orang dewasa digalakkan khasnya bagi orang dewasa yang sentiasa berdekatan kanak-kanak seperti guru tadika, pekerja tadika, pembantu rumah dan juga pekerja kesihatan dan perubatan.
Terbaru, terdapat vaksin baru yang lebih lama jangka hayatnya iaitu bertahan selama 10 tahun iaitu DTPa untuk kanak-kanak dan dTpa untuk dewasa.
Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Tuesday, March 18, 2008
Risiko Otak Gegar
SOALAN:
Doktor, baru-baru ini anak saya yang berusia lima bulan telah terjatuh dari katil yang agak tinggi dalam keadaan terlentang di lantai papan. Apabila terjatuh bayi saya hanya menangis yang sangat sekejap dan kelihatan sedikit terkejut. Saya khuatir berlaku gegaran otak atau kecederaan di dalam kepalanya.
Setakat ini, bayi saya tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan misalnya, mengalami sawan, muntah atau menangis tidak henti-henti. Malah kelakuannya adalah seperti biasa. Soalan saya, apa yang boleh menyebabkan gegaran dan kecederaan pada otak bayi?
Adakah semestinya setiap kali kepala terhentak akan menyebabkan perkara tersebut? Adakah kemungkinan bayi saya akan mengalami kesan pada fizikal dan mentalnya di masa akan datang? Perlukah saya membawa anak saya berjumpa dengan doktor pakar?
Adakah amalan pengambilan zat-zat makanan tertentu seperti kalsium dapat membantu mengurangkan risiko gegaran dan kecederaan pada otak? Harap mendapat penjelasan doktor. Sekian, terima kasih.
Ibu Runsing,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Terima kasih kembali di atas pertanyaan puan. Otak manusia mempunyai beberapa lapisan perlindungan bagi mengurangkan risiko kecederaan kerana ia adalah salah satu organ yang penting untuk membolehkan kita berfungsi secara normal.
Otak kita terletak di dalam tempurung kepala dan dikelilingi oleh cecair otak bagi melindunginya daripada gegaran atau impak yang kuat apabila berlaku kecederaan.
Kecederaan otak boleh berlaku sama ada melalui trauma seperti jatuh atau gegaran yang kuat terhadap bayi iaitu jika bayi digoncangkan dengan kuat (sindrom bayi goncangan).
Seperti yang telah dinyatakan tadi, otak manusia mempunyai banyak lapisan perlindungan. Oleh itu, otak hanya akan tercedera atau mengalami gegaran yang kuat jika terjatuh dan terus menghempap kepala.
Kepala yang selalu terhentak tanpa impak yang kuat tidak akan mencederakan otak.
Bayi yang terus menangis sejurus selepas terjatuh merupakan satu petanda baik berbanding jika bayi terus terdiam atau pengsan selepas jatuh.
Jika tiada kesan seperti muntah, menangis yang berterusan atau sawan selepas 48 jam, besar kemungkinan jatuh tersebut tidak mempunyai kesan terhadap otak. Ini juga tidak akan mengganggu kesihatan fizikal dan mentalnya pada masa akan datang.
Pemeriksaan doktor boleh memberikan kepastian yang bayi tidak mengalami sebarang masalah akibat insiden tersebut.
Bayi yang masih menyusu akan mendapat bekalan kalsium yang cukup dan penambahan kalsium dalam makanan tidak akan menjamin bahawa otak tidak akan tercedera apabila terjatuh kerana trauma adalah suatu yang mekanikal.
Pastikan bayi anda tidak ditinggalkan di tempat yang tinggi seperti di atas katil bersendirian kerana pada usia lima bulan, mereka sudah mula berpusing dan terdedah kepada bahaya seperti terjatuh.
Ditulis oleh:
Dr Roliza Ibrahim
Pakar Pediatrik,
Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Saturday, March 15, 2008
Fasa Selepas GDM: Jaga Diri Dan Bayi Anda
Doktornya mengesahkan bahawa bayi yang dilahirkan tidak mengalami makrosomia atau kecacatan kongenital–dua perkara yang sering membimbangkan para ibu yang menghidap diabetes kehamilan Gestational Diabetes Mellitus, (GDM).
Bayinya telah dijaga oleh seorang pakar pediatrik bagi memantau sebarang masalah yang mungkin berlaku selepas dilahirkan.
Syukurlah, bayi yang dilahirkan tidak mengalami hipoglisemia (paras glukosa darah yang sangat rendah) dan ia hanya menghidap sedikit penyakit kuning (jaundis) selepas dilahirkan.
Meskipun sebelum mendapat berita baik ini, Linda sendiri sudah begitu yakin yang dirinya dan bayi akan berada dalam keadaan yang baik oleh kerana dia telah mengikuti kesemua nasihat doktor dengan serius sepanjang tempoh kehamilan.
Linda memastikan dirinya mengamalkan pemakanan yang sihat dan kerap bersenam. Dia turut memantau paras glukosa darah setiap hari dan mengambil ubat yang ditetapkan oleh doktornya dengan teratur.
Linda juga telah menerima satu lagi berita baik: paras glukosa darahnya kembali normal sejurus sahaja selepas bersalin.
Walau bagaimanapun, doktor memaklumkan dia perlu kembali semula selepas enam minggu untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Tetapi mengapa? Dia berasa hairan...
GDM: Selepas Bersalin
Jika anda telah membaca artikel-artikel yang lepas, anda akan sedar bahawa GDM adalah satu keadaan serius yang timbul akibat perubahan hormon-hormon kehamilan yang menghalang insulin (hormon yang mengawal paras glukosa darah dalam badan) berfungsi secara efektif.
GDM boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kepada ibu dan bayi sepanjang kehamilan. Namun, anda tidak perlu risau kerana GDM boleh diurus dan dikawal melalui pengamalan diet yang sihat, kerap bersenam, memantau paras glukosa darah anda secara kerap dan, jika perlu, menjalani rawatan insulin.
Linda telah membuktikan bahawa semua ini boleh diuruskan dan seterusnya berjaya menjalani kehamilan tanpa komplikasi dan melahirkan bayi yang sihat.
Dalam artikel ini, kita akan meninjau apa yang terjadi selepas bayi dilahirkan. Dalam kebanyakan kes, seperti yang terjadi pada Linda, paras glukosa darah bagi wanita yang menghidap GDM akan kembali normal selepas melahirkan bayi.
Walaupun begitu, bagi sebahagian kecil kes-kes GDM, paras glukosa darah kekal tinggi dan mereka disahkan menghidap diabetes.
Melindungi Ibu
Walaupun paras glukosa darah anda kembali normal selepas bersalin, perjuangan anda dalam menangani diabetes belum lagi berakhir.
Ini kerana dengan GDM, anda berisiko tinggi menghidap diabetes jenis 2 atau menghidap GDM lagi pada kehamilan yang seterusnya.
Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, wanita hamil yang menghidap GDM mempunyai lebih risiko sebanyak 20 hingga 50 peratus untuk menghidap diabetes jenis 2 dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas melahirkan bayi.
Tetapi ada berita baik: Ia boleh dicegah. Persatuan Diabetes Amerika mengesyorkan supaya anda menjalani ujian glukosa darah enam minggu selepas bersalin.
Doktor anda mungkin akan menjalankan satu daripada dua ujian berikut: iaitu Ujian Glukosa Darah ketika berpuasa (FBG) atau Ujian Toleransi Glukosa selepas 2 jam (OGTT).
Jika paras glukosa darah anda lebih tinggi daripada normal tetapi masih di luar julat diabetes, anda akan dianggap mengalami Gangguan Glukosa Berpuasa (IFG) atau Gangguan Toleransi Glukosa (IGT)–dua keadaan yang telah kita bincangkan dahulu di bawah tajuk pradiabetes di mana anda lebih berisiko menghidap diabetes jenis 2 dan sakit jantung.
Namun, walaupun bacaan paras glukosa darah anda adalah normal, anda masih perlu menjaga diri anda secara serius agar anda dapat mengurangkan risiko diabetes dalam tempoh jangka panjang.
Beberapa tip praktikal untuk penjagaan diri disediakan seperti di bawah:
1. Capai berat badan unggul
a. Cubalah untuk mencapai berat badan seperti sebelum kehamilan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas bayi dilahirkan.
Namun, jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes sebelum kehamilan, anda perlu lebih mengurangkan berat badan, dan jika boleh, sehinggalah mencapai berat badan yang ideal.
Tetapi, walaupun anda hanya mampu mengurangkan sebanyak 10 peratus berat badan (sebelum mengandung) anda, kajian telah membuktikan bahawa ia juga mungkin berkesan mengurangkan risiko anda dari mendapat diabetes jenis 2.
Tetapkan matlamat untuk mengurangkan berat badan secara beransur-ansur dan mengekalkannya, bukan meningkatkannya kembali.
b. Susukan bayi anda dengan susu badan kerana pengeluaran susu membantu anda membakar lebih banyak kalori.
c. Timbang berat badan anda secara kerap bagi memastikan anda menepati sasaran.
d. Bincang dengan doktor anda jika perlu.
2. Mengamalkan pemakanan sihat
a. Pastikan waktu makan tetap dan teratur.
b. Amalkan diet yang sihat yang dapat memberikan anda tenaga yang mencukupi, serat, protein, vitamin dan mineral untuk memenuhi keperluan anda (terutamanya jika bayi anda menyusu badan).
c. Kurangkan gula, makanan dan minuman manis, serta makanan yang berminyak atau berlemak.
d. Jika perlu, minta doktor anda merujuk anda kepada pakar diet untuk merancang diet dan hidangan makanan yang sesuai untuk anda.
3. Aktifkan diri, kekal sihat
a. Amalkan aktiviti fizikal dengan lebih kerap dalam kehidupan seharian anda, sebagai contoh menggunakan tangga dari lif, meletakkan kereta jauh daripada pejabat anda, berkebun, membasuh kereta dan lain- lain.
b. Lakukan senaman aerobik sederhana (contoh berjalan kaki cergas) selama 30 minit sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu atau, jika boleh, setiap hari.
4. Pantau paras glukosa darah anda
a. Pastikan doktor anda memeriksa paras glukosa darah anda sekurang-kurangnya setahun sekali.
Melindungi Bayi
Jika anda tidak mengawal GDM anda dengan baik, bayi anda mungkin dilahirkan lebih besar dari normal (satu keadaan yang dipanggil sebagai makrosomia).
Disebabkan oleh saiz dan berat badannya (biasanya melebihi 4.5kg), bayi anda juga mungkin mengalami kesukaran ketika dilahirkan atau tercedera atau tertekan dalam proses tersebut.
Yang lebih penting, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap GDM akan berisiko tinggi untuk menghidapi berat badan yang berlebihan apabila dewasa kelak, dan lebih berisiko untuk menghidap diabetes jenis 2.
Oleh itu, adalah amat penting untuk anda melindungi bayi anda dari awal-awal lagi dengan cara tidak memberi makanan yang berlebihan kepadanya sehingga menjadikannya obes.
Kajian membuktikan bahawa kebanyakan kanak-kanak yang obes akan membesar menjadi orang dewasa yang juga obes.
Patuhilah nasihat doktor pakar kanak-kanak anda tentang cara terbaik dalam pemakanan dan penjagaan bayi anda.
Apabila anak anda semakin membesar, didiklah ia untuk mengamalkan pemakanan yang sihat supaya dia tidak menjadi obes atau mempunyai berat badan berlebihan.
Galakkan anak anda untuk menjalani kehidupan yang aktif dan sihat dengan menggalakkannya bersukan serta menjalani aktiviti-aktiviti (fizikal) luar yang lain.
Kesemua ini akan dapat membantu anak anda membesar dengan baik dan terus kekal sihat bukan sahaja ketika zaman kanak-kanaknya tetapi sepanjang hidup, di samping menghindar dirinya daripada menghidap penyakit diabetes jenis 2.
Walaupun GDM mungkin timbul hanya untuk sementara, namun, ia boleh mendatangkan kesan sampingan (jangka panjang).
Oleh itu, setiap ibu perlu mengambil langkah berjaga-jaga agar GDM tidak menjejaskan kehidupan anda dan anak kesayangan anda pada masa hadapan.
Merancang Untuk Mendapatkan Zuriat?
Jika anda pernah menghidap GDM, anda lebih berisiko untuk menghidap GDM sekali lagi pada kehamilan yang seterusnya.
Oleh itu, anda perlu terlebih dahulu berbincang dengan doktor anda sebelum mencuba untuk hamil.
Doktor anda akan memeriksa paras glukosa darah anda dan mungkin menjalankan ujian glycated hemoglobin (HbA1c). Jika keputusan anda normal, anda bolehlah meneruskan impian anda itu dengan selamat.
Jika keputusannya tidak normal, doktor anda akan membantu anda untuk memastikan paras glukosa darah anda berada pada paras normal sebelum membenarkan anda mengandung.
Anda perlu berjumpa doktor dengan segera sekiranya anda tidak datang haid, bagi mengesahkan kehamilan anda.
Sepanjang tempoh kehamilan, anda perlu kerap menghadiri pemeriksaan antenatal.
Pada kebiasaannya, keadaan agak kritikal ketika minggu kelima sehingga minggu kelapan kehamilan, kerana pada tempoh ini paras glukosa darah yang tinggi, jika tidak dikawal dengan baik, mungkin akan menyebabkan kecacatan kongenital kepada bayi anda.
Ditulis oleh:
Datuk Prof Mustaffa Embong
Pakar Perunding Diabetes,
Institut Diabetes Negara (NADI)
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/