Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Saturday, January 08, 2011
Lelaki... Awas 5 Petunjuk Ini!
Hakikatnya penyakit tidak mengenal usia, bangsa, agama mahu pun jantina. Apa yang boleh dilakukan adalah mencegah dan kemudiannya jika tidak berkesan merawat. Bagi lelaki, kesihatan mungkin bukan topik yang digemari. Namun tidak bermakna soal kesihatan dipandang ringan.
Mungkin ada perkara-perkara kecil yang mesti diberi perhatian oleh kaum lelaki untuk menentukan sama anda boleh dikategorikan sebagai lelaki sihat.
Berikut lima tanda atau petunjuk taraf kesihatan lelaki.
1. Kuku yang kuat dan berwarna merah jambu.
Penjagaan kuku mungkin tidak tersenarai sebagai perkara penting dalam diari kesihatan kaum lelaki. Tetapi percayalah kuku boleh mendedahkan banyak mengenai kesihatan seseorang. Secara umumnya, kuku individu yang sihat berwarna merah jambu, kukuh tetapi lembut. Sedikit perubahan pada kuku seperti tompok putih dan permukaan yang sedikit tidak rata adalah perkara biasa, namun sebarang perubahan besar mesti diberi perhatian.
Kuku yang tebal dan berwarna kekuningan mungkin isyarat bagi penyakit berkaitan pernafasan seperti bronkitis yang kronik. Kesan lekuk melintangi kuku yang dikenali sebagai garisan Beau pula tidak mustahil membawa maksud individu berkenaan mengidap diabetes. Kuku yang berbentuk seperti sudu yang melengkung keluar mungkin menunjukkan masalah kekurangan zat besi. Biar pun perubahan pada kuku bukan isyarat atau petunjuk pertama kepada sesuatu penyakit, tetapi adalah lebih baik rujuk masalah tersebut kepada doktor anda.
2. Warna air kencing
Pernahkah anda terfikir untuk menjalani ujian air kencing untuk melihat sama ada anda sihat atau sebaliknya? Jika tidak, mungkin sudah tiba masanya untuk anda berbuat demikian kerana ujian air kencing boleh mendedahkan petunjuk-petunjuk penting tentang kesihatan anda. Air kencing sepatutnya berwarna keperangan untuk menunjukkan seseorang itu sihat. Bagaimanapun warna perang atau kuning pada air kencing boleh berbeza bergantung kepada jumlah air yang diminum. Jika anda minum air yang banyak maka kebiasaannya air kencing selalu kelihatan jernih dan secara perubatan ia menunjukkan anda sihat.
Bagaimanapun jika anda mengalami dehidrasi, air kencing anda akan berwarna perang gelap. Selain faktor warna, sentiasa berwaspada jika terdapat sebarang perubahan besar. Bau kurang menyenangkan, tompokan darah atau warna-warna lain yang tidak berkaitan dengan makanan, ubat atau suplemen yang diambil mesti dipandang berat.
3. Pancutan air mani
Lelaki pertengahan umur yang sihat sepatutnya mempunyai keupayaan untuk memancutkan antara 2 dan 5 ml air mani. Semakin berusia seseorang lelaki itu semakin kurang air mani yang dipancutkan. Justeru 2 ml air mani adalah petunjuk hypospermia - keadaan yang boleh memberi kesan kepada kesuburan seseorang lelaki. (Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyokong kadar 2 ml). Selain daripada jumlah, warna serta konsistensi air mani juga menjadi petunjuk kepada kesihatan lelaki. Lelaki yang sihat sepatutnya mempunyai air mani yang pekat, berwarna putih atau sedikit kelabu. Air mani yang bercampur dengan darah mungkin ada kaitan dengan masalah kesihatan.
4. Kadar degupan jantung semasa berehat 70 bpm.
Kadar degupan jantung semasa berehat (RHR) atau jumlah degupan jantung seminit semasa berehat adalah indikator yang bagus untuk menentukan paras kecergasan anda. Walaupun RHR berbeza mengikut usia, bagi lelaki yang sihat jumlah RHR antara 70 dan 75 degupan seminit (bpm) adalah sasaran yang munasabah. Malah, RHR antara 60 and 100 bpm secara umumnya dianggap normal bagi lelaki dewasa. Kadar degupan jantung di luar catatan tersebut boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius dan boleh menjadi petunjuk kepada beberapa masalah kesihatan anda. Untuk mengukur denyut nadi, letakkan dua jari pada pergelangan tangan. Apabila merasa denyutan nadi, lihat jam dan kira denyutan selama 15 saat. Darab jumlah tersebut dengan empat untuk mendapat kadar denyutan anda seminit.
5. Kulit anjal
Ukuran keanjalan kulit biasa digunakan untuk menentukan paras dehidrasi. Cirit-birit atau muntah-muntah menyebabkan seseorang kehilangan cecair dalam badan. Kulit yang sihat kekal anjal dan akan kembali normal apabila masalah tersebut pulih. Untuk menguji keanjalan kulit anda, cubit kulit di belakang tangan anda. Kulit yang kering akan kekal terangkat dan secara perlahan kembali kepada kedudukan asal. Kulit yang sihat pula akan kembali normal dalam masa yang singkat.
Adakah anda lelaki yang sihat?
Semakin hari kita dibanjiri dengan pelbagai maklumat mengenai penyakit, tetapi jarang sekali kita disogokkan dengan makna sebenar menjadi sihat. Biar pun lima signal itu tidak lengkap namun memberi perhatian kepada petunjuk-petunjuk pada diri sendiri membantu anda mengenal pasti masalah yang mungkin anda hadapi.
Ditulis oleh: Noraini Abd Razak
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Thursday, March 12, 2009
Keperluan Saringan Kanser Prostat
Walaupun terdapat ujian bagi mengesan kanser tersebut (antigen khusus prostat - PSA), doktor masih sukar menentukan jika kanser prostat yang baru dikesan berada pada tahap yang boleh membunuh pesakit.
Ini menyebabkan sesetengah pesakit dengan tahap kanser awal turut menerima rawatan berat, seperti pembedahan dan radiasi, yang tidak diperlukan.
Saringan Tahap Bahaya
Masalah kelenjar prostat biasanya berlaku kepada lelaki berumur 50 tahun ke atas terutamanya sekitar umur 60-an dan 70-an.
Oleh itu, pemeriksaan kelenjar prostat sewajarnya dimulakan selepas seseorang lelaki mencecah umur 40-an bagi yang mempunyai masalah kesihatan, atau selepas 50-an bagi yang sihat.
Dalam menilai tahap keseriusan kanser prostat, penyelidik dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS) mendapati jumlah asid amino sarcosine yang dihasilkan sel kanser terbabit dapat menjadi penanda paras bahaya.
Tambahan pula, ujian jumlah sarcosine dapat dilakukan melalui ujian air kencing.
Ini dapat membezakan kanser yang mula merebak (jumlah sarcosine tinggi) atau cuma berkembang dengan perlahan dan tidak berbahaya (jumlah sarcosine rendah).
Bagi lelaki yang tidak mempunyai kanser prostat pula, kajian mendapati tiada asid amino tersebut dalam air kencing mereka.
Selain itu, sarcosine juga didapati mempengaruhi penyebaran sel kanser dan juga kebarangkalian sel kanser menyerang tisu yang sihat.
Penemuan ini mungkin menjadi pemangkin kepada penghasilan teknik ujian kanser prostat dan juga rawatan berasaskan fungsi sarcosine untuk sel kanser merebak.
Henti Saringan
Setiap tahun, lebih 250,000 lelaki menemui ajal akibat kanser prostat di seluruh dunia, 29,000 daripadanya di AS.
Bagaimanapun, kajian di Institut Kesihatan Kebangsaan AS baru-baru ini mendapati ujian saringan untuk kanser prostat boleh dihentikan selepas seorang lelaki mencecah umur 75 tahun.
Ujian saringan yang dimaksudkan adalah PSA yang dijalankan melalui ujian darah. PSA adalah sejenis protein yang dihasilkan sel kelenjar prostat dan jumlahnya mungkin meningkat jika terdapat ketumbuhan atau pembengkakan kelenjar tersebut.
Hasil pemantauan terhadap sukarelawan yang berumur lebih 75 tahun mendapati tiada seorangpun yang mempunyai bacaan PSA bawah 3 nanogram per mililiter (ng/ml) meninggal dunia akibat kanser prostat.
Hasil kajian yang mewakili dua pertiga populasi AS itu juga memberi fakta kukuh dalam mencadangkan ujian PSA dihentikan selepas umur 75.
Namun, bagi lelaki yang mempunyai bacaan melebihi 3 ng/ml selepas umur 75 tahun, ujian PSA berterusan mungkin dapat membantu pemantau kesihatan mereka.
Kumpulan ini dikatakan masih berisiko menghidap kanser prostat, termasuklah jenis kanser yang agresif.
Kebanyakan kanser prostat merebak dengan perlahan dan mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum membahayakan nyawa pesakit.
Bagaimanapun, disebabkan terdapat sebilangan kanser berkenaan yang merebak secara agresif dan pantas, pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa pesakit.
Ujian PSA telah meningkatkan keupayaan mengesan dan diagnosis kanser prostat di kalangan lelaki.
Namun, sesetengah pakar percaya peningkatan bilangan diagnosis juga meningkatkan kebarangkalian seorang pesakit dengan kanser yang tidak serius menerima rawatan yang tidak diperlukan, terutamanya pembedahan dan rawatan radiasi.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Wednesday, June 04, 2008
Kanser Paru-Paru Pembunuh Nombor Satu Lelaki
|
|
Lebih menakutkan Chee Bin, 42, penyakit yang dihidapinya itu sudah berada pada tahap tiga.
Sejak itu, rokok yang selama ini menjadi 'makanan' hariannya, ditinggalkan terus dengan tekad tidak akan menyentuh ia semula.
''Memang perokok dikatakan sukar membuang tabiat merokok, tetapi apabila mendapat tahu diri diserang penyakit bahaya dan tidak boleh bertahan lama, sesiapa pun pasti mudah membuang tabiat itu," katanya ketika ditemui di Hospital Kanser NCI (NCICH), Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang penyakitnya, Chee Bin memberitahu, mulanya dia menyangka diserang gastrik apabila mengalami kesukaran untuk menelan makanan.
Lantaran itu, dia menjalani pemeriksaan kesihatan, tetapi doktor tidak dapat mengenal pasti penyakitnya menyebabkan dia dirujuk kepada pakar yang akhirnya mendapati Chee Bin menghidap kanser paru-paru.
''Doktor mencadangkan saya menjalani rawatan kemoterapi, tetapi saya masih tidak berpuas hati, lalu mengambil keputusan untuk bertemu doktor lain di Singapura bagi mendapatkan pandangan kedua.
"Malangnya, jawapan yang sama juga saya perolehi," katanya.
Chee Bin yang berasal dari pekan Serom, Muar, Johor itu, akhirnya menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Melaka dan tahap kesihatannya bertambah baik.
Bagaimanapun, kegembiraannya tidak berpanjangan, penyakit yang disangkakan telah semakin pulih itu kembali menyerangnya tahun lalu.
Lebih menyedihkan, Chee Bin diberitahu hanya mampu bertahan selama setahun.
Bagaimanapun, dia tidak pernah berputus asa apatah lagi setelah mengetahui ada juga mangsa kanser yang berjaya melawan penyakit itu dan hidup lebih lama.
Cuma, apa yang dikesali adalah tindakannya berjinak-jinak dengan rokok sehingga membuat dia ketagih yang akhirnya merosakkan kesihatan diri sendiri.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Onkologi, NCICH, Dr. R. Kananathan, kanser paru-paru ini adalah satu penyakit yang serius dan lebih kerap berlaku ke atas kaum lelaki berbanding wanita.
Malah, katanya, kanser paru-paru juga adalah pembunuh utama kepada kaum lelaki di negara ini berikutan gaya hidup yang dijalani mereka iaitu tabiat merokok.
Jelasnya, pada tahun 2003, terdapat sebanyak 1,758 orang yang didiagnosis menghidap kanser paru-paru di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan jumlah itu, 73.8 peratus pesakit terdiri daripada kaum lelaki manakala 26.2 peratus adalah wanita.
''Tabiat merokok telah dikenal pasti antara punca utama berlakunya kanser paru-paru. Selain itu, ia juga terjadi disebabkan pencemaran alam sekitar dan keadaan tempat kerja yang terdedah kepada bahan-bahan kimia," katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Kananathan berkata, biarpun sebenarnya terdapat tanda paling awal bagi penyakit ini iaitu batuk berpanjangan, tetapi tidak bermakna bahawa penyakit kanser itu baru bermula.
''Sebabnya, bagi perokok, batuk sudah menjadi perkara biasa membuatkan mereka tidak menyedari kehadiran simptom itu sehinggalah keadaannya bertambah teruk dengan mengalami batuk berdarah," jelasnya.
Beliau memberitahu, simptom lain yang sering terjadi antaranya sukar hendak menelan makanan, suara serak, mengalami penurunan berat badan dan hilang selera makan.
''Justeru, sesiapa pun terutama perokok jika mengalami batuk berpanjangan selama beberapa hari termasuk batuk berdarah atau turun berat badan perlu segera mendapatkan bantuan doktor kerana lebih awal ia dikesan, lebih mudah dirawat," katanya.
Menurutnya lagi, sekiranya kanser tersebut dikesan pada tahap satu atau dua, ia boleh diubati dengan pembedahan dan rawatan kemoterapi.
Namun, jika sudah berada pada tahap tiga atau empat, rawatan yang diberi adalah untuk membunuh sel-sel kanser dan memastikan ia tidak merebak ke bahagian lain dalam tubuh iaitu dengan melakukan kemoterapi.
Bagaimanapun, jelasnya, hanya 50 peratus yang menjalani rawatan pada tahap ini memberi tindak balas positif dan hidup lebih daripada sembilan bulan. Selebihnya, tidak bertahan disebabkan kanser yang dihidapi bertambah teruk atau merebak ke bahagian lain.
Lantaran itu, katanya, perokok perlu sedar akan bahayanya merokok kerana setiap hisapan yang dilakukan mengundang maut bukan sahaja pada dirinya, tetapi turut mendedahkan risiko yang sama kepada mereka yang tidak merokok di sekelilingnya termasuk kanak-kanak.
Perokok pasif (orang yang menghidu asap perokok) juga merupakan antara mereka yang sangat terdedah kepada risiko pelbagai penyakit walaupun mereka tidak merokok.
Sementara itu katanya, mereka yang menghidap kanser termasuk kanser paru-paru perlu mempunyai pengetahuan berkaitan penyakitnya dan daya ketahanan yang kuat dalam usaha memastikan mereka mampu bertahan lama melawan penyakit tersebut.
Ditulis oleh:
Rosmawati Mion
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Sunday, May 25, 2008
Ujian Kesuburan Kesan Lelaki Mandul
|
|
Penghujung Mac ini, genap usia perkahwinan Marzuki, 29 dan Zalia, 32, lima tahun. Berbanding teman-teman lain yang seangkatan menaiki jenjang pelamin, kebanyakannya sudah mempunyai dua orang cahaya mata dan paling tidak pun seorang.
Berbeza pula pasangan ini sehingga ke hari ini ke mana-mana mereka masih berdua.
Sebagai isteri, ramai yang menunding jari kepada Zalia yang dikatakan mandul dan menjadi punca kenapa sehingga ke hari ini mereka masih tidak dikurniakan cahayamata.
Bukan tidak berusaha malah bermacam-macam langkah diambil Zalia, baik cara moden dengan berjumpa doktor, tidak kurang cara tradisional.
Salah seorang doktor yang ditemui pasangan ini pernah menasihatkan agar Marzuki turut sama menjalani ujian kesuburan bagi mengenalpasti punca kepada masalah tersebut.
Namun, ia kurang dipersetujui Marzuki kerana berpandangan adalah mustahil lelaki sepertinya yang aktif bersukan, tidak merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat mengalami masalah kesuburan.
Membincangkan situasi tersebut, Pakar Sakit Tuan, Dr. Mohd. Ismail Tambi, tidak menafikan kira-kira 60 peratus daripada kes pasangan yang mengalami masalah ini melibatkan faktor lelaki.
Katanya, sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan masalah kesuburan berpunca daripada lelaki, manakala 20 peratus lagi gabungan faktor lelaki dan wanita.
‘‘Oleh kerana itu apabila satu-satu pasangan itu mengalami masalah untuk mendapatkan anak, suami juga perlu menjalani pemeriksaan dan bukannya si isteri sahaja,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini,
Merujuk kepada kes pasangan Marzuki dan Zalia, beliau tidak menafikan ego dalam diri Marzuki sering menghalangnya daripada menjalani ujian kesuburan.
Ismail tidak menafikan kebanyakan lelaki menganggap asalkan mereka dapat melakukan hubungan seksual, itu memadai untuk membuktikan bahawa mereka tiada masalah berkaitan kesuburan.
‘‘Mereka berpendapat selagi berlaku seks penetratif tiada masalah kemandulan sebaliknya jika berlaku ia berpunca daripada wanita.
“Anggapan ini salah sama sekali kerana lelaki juga berhadapan dengan masalah tersebut,’’ tegasnya.
Menurut beliau sekalipun organ seksual seseorang lelaki itu berfungsi, tidak semestinya individu itu mampu menghamilkan seorang wanita.
Ujian air mani merupakan satu-satunya penentuan kesuburan lelaki. Ini kerana jika seseorang itu tidak menjalani ujian berkenaan, sehingga bila-bila pun mereka tidak akan tahu tahap kesuburan mereka atau siapa yang menjadi punca sebenarnya.
Menerangkan lebih lanjut mengenai ujian air mani seperti yang disarankan, beliau berkata, ia bertujuan untuk mengenalpasti kemampuan menghasilkan sperma dan tahap kesuburan sama ada sperma cukup bilangan atau aktif.
Menurutnya, jika bilangan sperma atau keaktifannya kurang, ujian air mani perlu diulangi sekali lagi untuk pengesahan kedudukannya.
Jika sah ada masalah, ujian susulan perlu dilakukan untuk mengenalpasti sebab masalah itu berlaku supaya rawatan sewajar dapat dilakukan.
Proses pemulihan masalah sperma mengambil masa agak lama iaitu sekurang-kurangnya tiga hingga sembilan bulan sebelum menampakkan hasil.
Dalam ujian kesuburan ini, jika yang pertama menunjukkan tiada sperma langsung, ujian ulangan perlu dilakukan dalam tempoh terdekat untuk kepastian.
Jika tiga kali ujian dilakukan dan hasilnya tetap sama, ia boleh disahkan. Jika tiada sperma, ia memberi tanda kilang benih seseorang lelaki itu tidak berfungsi atau salur benih terkandas.
Beliau berkata, pemeriksaan anggota sulit lelaki merupakan kebiasaan yang dilakukan oleh doktor untuk mengenal pasti keadaan kedua-dua buah zakar dan untuk mengesan gejala kesihatan lain seperti ketumbuhan atau pembuluh darah yang berpintal seperti varikosel.
Saiz buah zakar jika kurang daripada 10 mililiter mengikut pengukur buah zakar yang dikenali sebagai orchidometer, ia merupakan petanda kilang benih rosak dan kemungkinan lelaki itu tidak dapat menghasilkan benih.
Dalam masa sama pesakit juga perlu melakukan ujian susulan, termasuk ujian darah untuk menyukat tahap hormon kesuburan sama ada ia kurang pada hadnya.
‘‘Jika ada keraguan, sedikit tisu daripada kedua-dua buah zakar akan diambil untuk mengesan kedudukan kilang sperma untuk memastikan sama ada kilang itu berfungsi atau sebaliknya. Ia dikenali sebagai biopsi buah zakar dan ia bukan rawatan,’’ ujarnya.
Beliau berkata, walaupun ketika dilahirkan seorang lelaki itu memiliki tahap kesihatan seksual yang normal, pendedahan kepada faktor persekitaran yang tidak sihat ketika mereka membesar akhirnya boleh menyebabkan mereka mandul.
Merujuk kepada pengalaman mengendalikan kes berkaitan sakit tuan, secara peribadi Ismail tidak menafikan golongan lelaki hari ini semakin peka mengenai kesuburan berbanding sepuluh tahun lalu.
Kini rawatan masalah kesuburan lelaki begitu dilihat memberangsangkan dengan adanya pelbagai ubat dan rawatan.
‘‘Apa yang penting ialah menjalani pemeriksaan dan rawatan. Jika jalan untuk mendapat zuriat buntu, mereka tidak perlu berputus asa kerana boleh mengambil anak angkat atau menggunakan kaedah persenyawaan bayi tabung uji atau Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI),’’ ujarnya.
Terangnya, kaedah ICSI tidak saja memberi peluang kepada pasangan untuk memperoleh anak malah juga anak kembar. Kaedah ini dimulai dengan isteri diberi ubat tertentu bagi menggalakkan penghasilan telur (ovum), seterusnya telur itu akan disedut keluar. Pada masa sama, sperma turut disedut keluar daripada testis suami.
Kemudian sperma suami akan dicucuk ke dalam ovum isteri dan selepas dibiarkan selama sehari, ia akan mula membentuk beberapa embrio.
‘‘Kita akan memilih sekitar tiga embrio untuk disuntik ke dalam rahim isteri bagi memberikannya lebih peratusan untuk hamil jika dua lagi embrio yang dipilih tidak hidup.
‘‘Akan tetapi jika semua embrio membesar dengan baik, kemungkinan untuk isteri mengandung anak kembar adalah tinggi,’’ ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan isu ini antara punca tercetusnya perbalahan di antara suami isteri yang pada hakikatnya perlu diselesaikan hanya dengan cara berunding kerana ia terlalu sensitif.
Pasangan yang berhadapan dengan masalah seumpamanya dinasihatkan agar mendapatkan rawatan dan kaunseling daripada pakar perubatan.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
Saturday, April 12, 2008
Mitos Kanser Prostat
Pelbagai mitos tentang penyakit prostat dan kanser prostat wujud akibat kurangnya kefahaman orang ramai terhadap gejala ini. Mitos-mitos ini bukan sahaja memberi gambaran yang tidak tepat tentang kanser prostat, malah juga berupaya mengelirukan orang ramai.
Artikel ini akan cuba memperbetulkan persepsi dan tanggapan orang ramai tentang kanser prostat dengan meneliti mitos-mitos popular mengenai kanser prostat.
Mitos 1 : Kanser prostat merupakan penyakit orang tua. Orang ramai beranggapan bahawa hanya orang lelaki yang berumur 65 tahun ke atas akan menghidapi kanser prostat.
Mitos ini tidak benar kerana walaupun mereka yang berusia 65 tahun ke atas lebih besar kebarangkalian akan menghidapi kanser prostat, ia juga pernah dikesan pada kaum lelaki yang lebih muda. Walau bagaimanapun, peratusan orang muda yang menghidapi kanser prostat adalah rendah.
Namun demikian, seandainya seseorang lelaki mengesyaki dirinya mempunyai gejala- gejala kanser prostat, adalah disyorkan supaya menjalani pemeriksaan agar dapat mengenal pasti masalah tersebut supaya tidak berlanjutan.
Masalah-masalah berkaitan dengan kelenjar prostat yang lain seperti pembengkakan kelenjar prostat boleh mengakibatkan kanser prostat pada hari tua nanti, oleh sebab yang demikian pemeriksaan yang rapi adalah perlu.
Mitos 2 : Setiap kanser ada tanda-tandanya.
Jika anda telah mengikuti lima siri artikel terdahulu tentang kesihatan prostat ini, maka anda akan tahu bahawa simptom kanser prostat sering kali disalah anggap sebagai tanda usia tua.
Kanser prostat di peringkat awal selalunya tidak menunjukkan gejala-gejala yang ketara, dan hanya dapat dikesan atau disedari apabila sudah terlambat iaitu apabila kanser tersebut sudah memasuki tahap kritikal. Sekiranya anda berumur 50 tahun ke atas, anda digalakkan menjalani ujian antigen spesifik prostat (PSA) tiap-tiap tahun.
Mitos 3 : Sekiranya saya menghidapi kanser prostat, saya mesti menjalani pembedahan atau rawatan kemoterapi.
Prostatektomi ataupun pembedahan untuk mengeluarkan kelenjar prostat merupakan salah satu rawatan popular untuk mengelakkan kanser prostat merebak ke bahagian-bahagian badan atau organ lain.
Namun begitu, bukan semua pesakit memerlukan pembedahan. Keputusan untuk membuat pembedahan bergantung kepada usia pesakit, tahap kanser dan sikap pesakit terhadap kesan sampingan pembedahan tersebut.
Contohnya, jika penghidap kanser prostat berumur 70 tahun juga merupakan penghidap penyakit kencing manis, kaedah pembedahan mungkin bukan penyelesaian terbaik. Ini kerana jangka hayat seseorang yang berusia 70 tahun hanya sepuluh tahun.
Sekiranya pesakit tersebut berumur 50 tahun dan kanser tersebut telah dikenal pasti hanya menjangkiti kelenjar prostat, prostatektomi mungkin menjadi pilihan rawatan terbaik. Lelaki 55 tahun dan sihat tubuh badan, pembedahan merupakan pilihan terbaik.
Doktor akan meneliti setiap kes secara individu dan memberi nasihat rawatan yang seharusnya dijalani oleh pesakit tersebut kerana setiap individu adalah berlainan.
Rawatan yang disyorkan oleh doktor bergantung kepada keseriusan kanser, bagaimana kesan kanser tersebut ke atas badan dan kesihatan individu, dan keadaan fizikal pesakit.
Mitos 4 : Saya akan mati pucuk atau mengalami masalah ereksi jika menjalani rawatan kanser prostat.
Hal ini tidak selalunya benar, namun besar kemungkinannya. Hampir separuh daripada jumlah lelaki yang menjalani rawatan kanser prostat seperti kemoterapi mengalami masalah mati pucuk atau ereksi/disfungsi ereksi (ED).
Namun begitu, ada juga lelaki yang tidak mengalami apa-apa masalah langsung berikutan rawatan. Ada kalanya, masalah ereksi ini hanyalah sementara dan pesakit akan pulih seperti sediakala dalam masa setahun atau lebih, bergantung kepada individu.
Mitos 5 : Sekiranya menghidapi kanser prostat, kehidupan sosial dan aktiviti seharian saya akan terjejas.
Jika seseorang sedang menjalani rawatan untuk kanser prostat, itu tidak bermakna individu tersebut tidak boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Kebanyakan pesakit kanser prostat menerima rawatan secara pesakit luar di hospital atau klinik.
Penyelidikan juga telah bertambah maju khasnya dalam menghasilkan ubat-ubatan yang dapat membantu seseorang penghidap kanser mengawal kejadian loya semasa menjalani rawatan.
Hasilnya, ramai yang menjalani rawatan seperti kemoterapi mampu menjalankan aktiviti seharian tanpa gangguan. Walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti tertentu seperti pemakanan dan diet perlulah diberi perhatian yang lebih.
Mitos 6 : Masalah pembesaran kelenjar prostat - Hiperplasia Prostatik Benigna (BPH) akan membawa kepada berlakunya kanser prostat.
BPH tidak selalunya mengakibatkan kanser prostat, walaupun simptom awalnya seperti kerap membuang air kecil adalah serupa dengan simptom kanser prostat.
Mitos 7 : Hanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser prostat akan menghidapinya.
Hanya 15 peratus daripada pesakit kanser prostat mempunyai sejarah ahli keluarga yang pernah menghidap kanser prostat. Kajian menunjukkan bahawa kanser prostat mungkin diwarisi melalui kromosom X, iaitu melalui wanita.
Oleh yang demikian, anak-anak lelaki kepada ibu yang menghidapi kanser payudara ataupun adik beradik perempuan, mempunyai kebarangkalian menghidapi kanser prostat yang lebih tinggi. Namun begitu, kajian ini tidaklah konklusif kerana sejarah keluarga yang kuat.
Mitos 8 : Onani meningkatkan kebarangkalian menghidapi kanser prostat.
Ada kajian yang dilakukan yang menyatakan bahawa aktiviti seksual yang kerap meningkatkan kebarangkalian menghidapi kanser prostat. Ada juga kajian yang menyatakan bahawa lelaki yang kerap memancutkan air mani/berejakulasi juga mempunyai risiko kanser prostat yang lebih tinggi.
Namun begitu, sehingga hari ini, tiada keputusan muktamad yang membuktikan dakwaan-dakwaan tersebut. Kaum lelaki seharusnya mengekalkan gaya hidup sihat dan mengamalkan diet tinggi serat di samping mengurangkan pemakanan daging merah yang berlebihan.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Thursday, April 03, 2008
Kerap Kencing, Masalah Prostat?
SOALAN:
Saya mengalami masalah kerap kencing walaupun saya tidak berada dalam persekitaran yang sejuk. Keadaan ini lebih kerap berlaku pada waktu malam. Adakah ia disebabkan oleh pembesaran kelenjar prostat? Untuk pengetahuan tuan saya berusia 56 tahun. Apakah yang terbaik untuk saya lakukan?
JAWAPAN:
Perubahan hormon akibat peningkatan usia bertanggungjawab kepada pembesaran prostat. Paras testosteron meningkat menjelang usia baligh dan hanya akan menurun pada usia sekitar 17 tahun. Apabila usia meningkat, risiko untuk mengalami pembesaran kelenjar prostat juga meningkat di mana hormon testosteron ditukarkan kepada dihidrotestosteron (DHT) akibat tindakan enzim 5 alpha reduktase. DHT menimbulkan masalah apabila pengumpulannya di dalam sel prostat menyebabkan pembahagian sel yang cepat, membawa kepada pembesaran prostat.
Apabila anda mendapat simptom-simptom seperti yang disebutkan, pemeriksaan doktor adalah cara terbaik untuk mengetahui penyebab sebenar.
Bagi ahli urologi Jerman dan Australia, Saw Palmetto adalah antara rawatan utama untuk kesihatan prostat. Ia berkesan dan selamat untuk meringankan simptom-simpton ringan dan sederhana akibat pembesaran prostat. Bahan sterol tumbuhannya dipercayai boleh mengelak perkembangan sel prostat dengan bertindak ke atas enzim yang mengubah testosteron kepada DHT. Kebanyakan lelaki mendapat perubahan positif selepas 12 minggu pengambilannya. Masyarakat terdahulu juga mempercayai bahawa Saw palmetto adalah tonik seksual dan afrodisia walaupun belum disahkan oleh kajian sains.
Dalam perubatan tradisional, biji labu digunakan untuk merawat pembesaran prostat dan mengembalikan kesihatan pembuangan air kencing. Suku kaum asli Amerika menggunakan biji labu untuk merawat pelbagai masalah, seperti kencing malam di kalangan kanak-kanak. Biji labu kaya dengan zink, asid lemak perlu dan juga sterol tumbuhan yang dapat meringankan simptom-simptom akibat pembesaran kelenjar prostat dan juga perkembangan sel prostat.
Pengambilan daging dan lemak seharusnya dihadkan kerana ia menjana radikal bebas yang dikaitkan dengan pelbagai masalah prostat termasuk kanser prostat. Sebaliknya, tingkatkan pengambilan makanan yang kaya dengan antioksida, buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi serat untuk menggalakkan penyembuhan dan meneutralkan radikal bebas. Senaman seperti berjalan dan berenang adalah digalakkan kerana ia meningkat pengaliran darah termasuk ke prostat. Senaman yang intensif seharusnya dielakkan kerana ia mungkin memburukkan lagi masalah.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Friday, March 28, 2008
Syak Hidap Kanser Prostat
SOALAN:
Doktor, bolehkah doktor terangkan dengan lebih lanjut mengenai kanser tersebut, maksud saya cara-cara hendak mengenali atau petanda- petanda awal kanser tersebut dan sebagainya. Saya berharap doktor dapat menerangkan dengan lebih lanjut mengenai hal ini kerana saya syak, saya juga mengalami penyakit ini. Kerjasama doktor saya dahului dengan ucapan terima kasih.
Hafiz,
JAWAPAN:
Kanser prostat berlaku apabila pembiakan sel-sel prostat tidak terkawal. Di peringkat awal, pesakit tidak mengalami sebarang gejala. Berikut adalah gejala-gejala yang berkaitan dengan pembengkakan prostat.
* Terdapat darah dalam air kencing
* Terasa sakit atau panas semasa membuang air kecil
* Daya pengaliran air kecil yang lemah atau hilang kawalan terhadap pembuangan air kecil
* Ejakulasi yang menyakitkan
* Penurunan keinginan seksual
* Kurang upaya dalam mengalami rangsangan seksual
* Kesakitan pada bahagian belakang atau tulang pinggul atau bahagian atas paha
* Hilang selera makan
* Kesakitan tulang yang berlanjutan.
Sekiranya anda mempunyai salah satu gejala tersebut di atas, pergilah berjumpa doktor pakar urologi.
Untuk memastikan kesihatan prostat anda doktor pakar akan melaksanakan pemeriksaan prostat melalui rektum, menjalankan pemeriksaan ultrasound, membuat ujian kandungan antigen spesifik prostat (PSA) dalam darah.
Sekiranya seseorang itu disyaki menghidap kanser prostat, doktor pakar urologi akan membuat biopsi, iaitu mengambil contoh sel prostat.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanan
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Saiz Zakar Seperti Kanak-Kanak
SOALAN:
Doktor, saya berumur lewat 20-an. Masalah saya adalah zakar dan buah zakar saya tidak berkembang ketika saya akil baligh dan saiznya kecil seperti kanak-kanak. Saya mengalami mimpi basah ketika berusia 17 tahun. Adakah saya mampu berkahwin dan mempunyai anak?
Lelaki Dilema,
JAWAPAN:
Setiap orang lelaki atau wanita mempunyai ciri jantina masing- masing. Ciri-ciri ini boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu ciri-ciri seksual primer dan ciri-ciri seksual sekunder.
Ciri-ciri primer dapat dilihat semasa seseorang itu dilahirkan manakala ciri-ciri sekunder akan datang semasa akil baligh.
Bagi lelaki, perubahan ciri-ciri ini adalah disebabkan oleh hormon testosteron yang memecut semasa akil baligh.
Untuk menentukan keupayaan mendapatkan anak, memerlukan pemeriksaan fizikal oleh doktor serta ujian darah untuk menentukan tahap hormon tertentu dan ujian air mani.
Segolongan kecil pesakit mengalami kecederaan pada testis selepas mengalami beguk iaitu sejenis jangkitan virus biasa yang menghinggapi terutamanya kanak-kanak.
Ada juga segolongan pesakit yang mempunyai kromosom yang rosak sedikit. Kesemua ujian dan pemeriksaan perlu dibuat sebelum persoalan mengenai kahwin dan mempunyai zuriat dapat dijawab.
Ditulis oleh:
Dr Nanda Kumar Rajendram
Pakar Bedah Am,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Selangor
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Wednesday, March 19, 2008
Adakah Kanser Prostat Merupakan Penyakit Keturunan
SOALAN:
Doktor, saya mempunyai dua orang anak lelaki, masing-masing berumur 24 dan 21 tahun. Ayah mereka pernah menjalani pembedahan kanser prostat dan kemoterapi. Beliau juga merupakan penghidap kencing manis. Soalan saya, bagaimana caranya untuk mengelakkan kedua-dua anak lelaki saya dari mengalami penyakit yang sama? Perlukah saya membuat rujukan dan pemeriksaan awal untuk mereka berdua? Terima kasih.
Noor
JAWAPAN:
Untuk pengetahuan puan, sekiranya bapa atau adik-beradik lelaki mempunyai kanser prostat, kemungkinan seseorang itu mempunyai dua kali ganda untuk mendapat kanser prostat. Sehubungan itu, saya menasihatkan agar anak-anak puan membuat saringan kanser prostat pada usia 45 tahun ke atas. Walau bagaimanapun, saya nasihatkan puan berjumpa dengan pakar urologi untuk mendapatkan nasihat yang lebih terperinci.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanan
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Bolehkah Kanser Prostat Dielakkan
Ia merupakan penyakit yang boleh membunuh kedua tertinggi di kalangan lelaki di Amerika Syarikat. Di Malaysia, ia menduduki tangga keenam dalam carta kanser. Lelaki dikatakan kurang kesedaran dan pengetahuan dalam kesihatan berbanding wanita yang semakin mementingkan kesihatan.
Tahap kesedaran lelaki secara umumnya adalah rendah dan dianggarkan kurang satu peratus lelaki tempatan bersedia menjalani pemeriksaan kesihatan.
Berikut adalah faktor-faktor risiko di luar kawalan:
* Umur. Kanser prostat jarang berlaku kepada lelaki di bawah umur 50 tahun. Walau bagaimanapun, kanser tersebut meningkat secara dramatik selepas peringkat umur itu.
* Bangsa. Lelaki Afrika-Amerika lebih cenderung kepada risiko penyakit ini.
* Genetik. Risiko mendapat penyakit ini adalah tinggi jika salah seorang ahli keluarga lelaki anda pernah dan menghidap penyakit ini.
Jika anda memiliki ciri-ciri seperti di atas, risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi berbanding lelaki yang tidak memilikinya. Walaupun tidak mempunyai ketiga-tiga faktor risiko tersebut, langkah berjaga-jaga perlulah diambil.
Tabiat membuat saringan kanser prostat yang berterusan boleh membantu mengesan kanser prostat awal dan mencegahnya dari merebak ke organ- organ yang lain.
Diet Dan Kanser Prostat
Cara yang terbaik untuk mengelakkan faktor risiko lain yang boleh dikawal adalah seperti mengambil makanan berzat dan seimbang
* Lemak. Kurangkan pengambilan makanan dari sumber haiwan yang tinggi kandungan lemaknya. Gantikan daging merah dengan ayam dan bijirin.
* Sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini adalah gizi yang selalu disebutkan oleh mana-mana pakar kesihatan. Pengambilan gizi ini dapat membantu dari segi khasiat dan vitamin. Setengah kajian mengaitkan diet yang tinggi kandungan sayurannya dapat mengurangkan risiko kanser prostat.
* Ikan. Pemakanan ikan yang kaya dengan asid lemak dapat melindung daripada kanser prostat dan juga penyakit lain. Contoh ikan yang kaya dengan asid lemak adalah ikan salmon.
*Obesiti dan kanser prostat
Obesiti boleh dikaitkan dengan kenaikan hormon berhubung kanser prostat. Bersenam sekurangnya 30 minit sehari dapat mengurangkan risiko kanser.
*Suplemen dan kanser prostat
Selain itu, untuk mengurangkan risiko kanser prostat, pengambilan suplemen seperti berikut boleh dipertimbangkan:
* Saw Palmetto dan biji labu. Produk ini telah digunakan dan didapati sangat berkesan. Saw Palmetto diambil secara berasingan atau bersama-sama dengan biji labu, Nettle root atau Pygeum.
Saw Palmetto (Serenoa serrulata) adalah pokok sawit kecil yang tumbuh di pinggiran pantai Atlantik. Ia adalah herba yang paling popular dalam rawatan masalah prostat. Kajian klinikal mendapati herba ini sangat berkesan dalam mengawal pembesaran kelenjar prostat.
Saw Palmetto mengandungi sterol, terutamanya beta-sitosterol yang mampu menghalang enzim 5-alpha reductase. Oleh itu, dihidrotestosteron (DHT) tidak boleh melekat kepada kelenjar prostat. Sebaliknya ia akan dihancurkan dan kemudiannya dikumuhkan (dibuang) dari dalam badan.
DHT merupakan hormon yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya pembesaran kelenjar prostat (BPH).
* Ubat-ubat konvensional seperti Finasteride yang menahan enzim 5-alpha reductase. Oleh itu testosterone tidak boleh bertukar kepada DHT. Terazosin dan doxazosin merupakan produk yang dapat membantu merehatkan otot-otot prostat. Ini seterusnya akan mengurangkan tekanan yang dikenakan ke atas saluran kencing.
Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan bahawa pengambilan ubat tradisional dan suplemen lain tanpa arahan doktor boleh membawa risiko. Oleh sebab yang demikian, adalah perlu untuk mendapat pandangan doktor terlebih dahulu.
*Pengubahsuaian gaya hidup
Pengambilan alkohol akan menghilangkan kandungan zink dan vitamin B6 yang penting untuk prostat yang sihat. Oleh itu, berhentilah mengambilnya.
Zink sangat penting kepada fungsi kelenjar prostat. Prostat menggunakan zink 10 kali ganda berbanding organ yang lain. Zink membantu mengurangkan kandungan prolaktin di dalam darah. Prolaktin didapati meningkatkan penukaran hormon testosteron kepada DHT.
Kurang bersenam akan menyebabkan pengaliran darah menjadi kurang lancar. Ini memberikan kesan yang memudaratkan prostat. Anda digalakkan bersenam mengikut jadual yang ditetapkan – kata-kata kunci di sini adalah bersenam secara konsisten dan bersesuaian dengan tahap kesihatan dan umur anda.
Tekanan perasaan boleh menyebabkan perubahan pada hormon badan anda. Ia mungkin mengaktifkan 5-alpha reductase dan kandungan DHT akan meningkat.
Merokok akan menyebabkan pengumpulan toksin radikal bebas di dalam badan. Ia boleh memburukkan lagi keadaan pesakit BPH.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanan
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Tuesday, March 18, 2008
Memilih Rawatan Kanser Prostat
Pemilihan kaedah rawatan yang paling sesuai bergantung kepada pesakit, doktor dan keluarga pesakit. Memilih rawatan yang sesuai bukanlah perkara yang mudah.
Rawatan-rawatan yang boleh diperoleh termasuklah surgeri, rawatan terapi hormon, kemoterapi dan radioterapi. Namun begitu, setiap rawatan mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri dan berbeza dari rawatan ke rawatan.
Sebelum membuat keputusan, pesakit dinasihati menimbangkan perkara-perkara berikut:
# Memahami secara mendalam tentang jenis-jenis rawatan dan bertanya kepada doktor pakar urologi atau pakar kanser mengenainya
# Membaca dan menyelidik penyakit tersebut sebanyak dan sedalam yang mungkin
# Berbicara dengan mereka yang pernah menghidap kanser prostat serta bertanyakan pengalaman mereka khususnya tentang rawatan.
Terdapat beberapa soalan yang pesakit perlu bertanya kepada doktor dan diri sendiri sebelum membuat keputusan. Antaranya:
# Bolehkah kanser tersebut merebak ke bahagian badan saya yang lain?
# Apakah pilihan rawatan yang ada?
# Apakah tahap kejayaan sekiranya saya memilih salah satu kaedah rawatan itu?
# Adakah bahaya sekiranya penyakit itu berulang?
# Bagaimanakah faktor umur dan gaya hidup mempengaruhi pemilihan rawatan?
Pesakit perlulah realistik dan tidak membuat sebarang keputusan sebelum benar-benar memahami kaedah rawatan, implikasi dan akibat yang mungkin berlaku.
Oleh sebab kelenjar prostat dikelilingi oleh urat dan saraf yang mengawal fungsi zakar dan pundi kencing, kemungkinannya fungsi-fungsi normal ini akan terjejas.
Rawatan bagi kanser prostat bergantung kepada pelbagai faktor termasuklah:
* Umur, tahap kesihatan dan jangka hayat pesakit
* Kadar PSA
* Jenis sel kanser (merebak dengan cepat atau perlahan)
* Tahap kanser
* Kesan sampingan rawatan yang ingin dipilih.
Kanser prostat boleh dirawat sepenuhnya jika berjaya dikesan dan dirawati pada tahap awalnya. Berlainan dengan kanser yang lain, kanser prostat merebak dengan kadar yang perlahan.
Doktor anda mempunyai sebab-sebab tertentu apabila mencadangkan sesuatu cadangan pilihan rawatan bagi anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, usah teragak-agak untuk bertanya kepada doktor yang merawat anda.
Berikut adalah jenis-jenis rawatan yang selalunya dicadangkan kepada pesakit, secara individu atau gabungan:
* Tunggu dan pengawasan yang aktif
* Surgeri/pembedahan
* Kemoterapi
* Radioterapi dan
* Terapi hormon.
Rawatan atau gabungan rawatan yang mana baik untuk anda bergantung kepada perbincangan anda dengan doktor pakar urologi, pakar onkologi dan pakar radioterapi. Dengarlah nasihat mereka. Kalau ada perkara yang tidak jelas, bertanyalah kepada mereka sampai puas hati.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Sakit Ketika Buang Air Kecil
SOALAN:
Doktor, saya sudah berkahwin dengan suami yang kini berumur 40-an. Saya ada terbaca mengenai tanda-tanda penyakit kanser prostat. Sejak kebelakangan ini, suami sering mengadu sakit apabila membuang air kecil.
Saya ada menyuruh suami pergi berjumpa doktor tetapi alasannya mungkin badan dia terasa panas, sebab itulah apabila buang air kecil selalu sakit. Pernah sekali, selepas kami mengadakan hubungan kelamin dan dia membuang air kecil, suami terasa sakit.
Soalan saya, apakah tanda-tanda penyakit kanser prostat dan apakah rawatannya? Adakah penyakit tersebut boleh berjangkit kepada saya? Sekiranya kami selalu melakukan seks oral, adakah ia boleh mendatangkan kesan sampingan?
Apakah gejala-gejala lewat yang boleh berlaku kerana suami enggan menjalani pemeriksaan. Saya berharap agar doktor dapat menyelesaikan masalah ini. Saya terlalu sayangkan suami.
Sayang Suami
JAWAPAN:
Sakit semasa membuang air kecil atau berasa panas selalunya berpunca dari radang pundi kencing. Punca lain seperti batu karang boleh juga memberikan gejala yang sama, tetapi selalunya air kencing turut mengandungi darah.
Sekiranya sakit itu berpunca dari kuman, ia boleh berjangkit tetapi berita baiknya, ia boleh dirawat dengan mudah. Walau bagaimanapun nasihatkan suami anda supaya berjumpa dengan mana-mana doktor untuk mengenal pasti punca sebenar kesakitan dan mendapatkan rawatan sewajarnya.
Pada peringkat awal, kanser prostat tidak mempunyai apa-apa gejala. Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang lebih serius.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Monday, March 17, 2008
Kerap Kencing Malam, Tersekat-Sekat
SOALAN:
Doktor, saya berumur 25 tahun mempunyai beberapa kemusykilan berkaitan kesihatan prostat saya. Saya tidak pasti adakah saya sihat atau sebaliknya. Antara masalah-masalah saya itu adalah seperti sukar kencing, kencing tersekat-sekat dan kerap kencing malam. Kadangkala semasa membuang air kecil, saya terasa sakit dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk membuang air kecil.
Selain itu, paha hingga kaki ada ketikanya mengalami kejang atau seperti sakit urat. Pinggang saya juga terasa sakit termasuklah kadangkala sakit semasa berjalan. Saya juga mengalami sakit leher, bahu dan seluruh pergelangan sendi.
Saya pernah membaca berkaitan masalah kanser prostat dan daripada apa yang saya fahami, tanda-tanda awalnya adalah seperti yang saya alami. Apakah langkah- langkah yang saya perlu ambil dan di manakah saya boleh mendapat rawatan.
Untuk makluman pihak tuan, saya datang daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu membayar kos perubatan yang tinggi. Adakah kerajaan mempunyai sistem perubatan yang meliputi kanser prostat secara percuma? Kalau ada, bagaimanakah caranya? Perlukah saya membuat sebarang temu janji? Sekian, terima kasih.
Joe Insan Bermasalah,
Putrajaya
JAWAPAN:
Lazimnya, kanser prostat tidak melibatkan kaum lelaki yang berada dalam lingkungan umur 20-an seperti anda. Kemungkinan anda menghidap kanser prostat adalah tipis.
Masalah yang anda hadapi ada kemungkinan berpunca dari sistem urinari. Mungkin anda menghidap penyakit batu karang atau pundi kencing.
Oleh demikian, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor pakar urologi supaya pakar tersebut boleh membuat penyiasatan yang lebih lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar masalah anda. Usah bimbang tentang kos rawatannya. Hospital-
hospital kerajaan turut menyediakan perkhidmatan ini pada kadar yang sangat minimum.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Rawatan Kanser Prostat
Rawatan kanser prostat dikendalikan oleh gabungan dua doktor pakar, iaitu pakar urologi dan pakar kanser. Tidak semua pesakit kanser prostat mendapat rawatan yang sama.
Seseorang pesakit kanser prostat perlu memahami beberapa pilihan rawatan. Dengan dibantu oleh doktor pakar, pesakit perlu membuat pilihan rawatan yang sesuai dan paling baik untuk diri mereka.
Pilihan rawatan bergantung kepada dua faktor, iaitu faktor klinikal dan faktor psikologi. Para pesakit boleh berunding dengan pakar urologi, pakar onkologi dan pakar radioterapi.
Mereka boleh membantu pesakit untuk memilih cara rawatan yang sesuai. Berikut adalah pilihan rawatan kanser prostat:
1. Pengawasan yang aktif
Konsep pengawasan yang aktif atau tunggu dan lihat merupakan salah satu pilihan rawatan bagi mereka yang enggan membuat pembedahan atau radioterapi awal.
Ujian darah PSA setiap enam bulan dan membuat biopsi prostat setahun sekali. Sekiranya ada gejala atau ujian yang menunjukkan pembiakan kanser, rawatan mesti dilaksanakan.
Rawatan ini sangat sesuai bagi mereka yang mempunyai kanser prostat yang membiak secara perlahan ataupun kanser yang dikesan di peringkat awal. Ia juga sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah perubatan lain yang teruk.
2. Surgeri atau pembedahan
Rawatan ini boleh membuang kesemua atau sebahagian daripada kelenjar prostat. Pada amnya, bagi penyakit kanser prostat di peringkat awal, pakar urologi akan membuat prostatektomi radikal di mana keseluruhan kelenjar prostat dan sebahagian daripada tisu di sekeliling prostat akan dikeluarkan.
3. Terapi radiasi
Kaedah rawatan ini adalah membunuh sel-sel kanser menggunakan sinaran radiasi. Jenis terapi radiasi yang selalu digunakan adalah radioterapi sinar luaran.
Skan berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan untuk menentukan kedudukan kanser tersebut. Kemudian sinar-x ditujukan ke arah kanser yang sudah dikenal pasti.
Satu lagi kaedah terapi radiasi adalah Terapi Radiasi Bermodulkan Intensiti (IMRT). Kaedah ini membolehkan pakar onkologi mempelbagaikan atau mengubah kekuatan radiasi pada kanser prostat dan juga organ- organ yang berhampiran dengan prostat. Ini boleh mengurangkan kerosakan pada tisu- tisu di sekitar prostat.
Brachytherapy merupakan salah satu cara terapi radiasi. Peluru kecil halus yang mengandungi bahan radioaktif iodin atau paladium dimasukkan ke dalam prostat melalui jarum. Radioaktif ini akan memusnahkan sel-sel kanser.
4. Terapi hormon
Sel-sel kanser prostat memerlukan testosteron untuk terus hidup dan membiak. Tujuan rawatan hormon adalah untuk mengurangkan tahap testosteron yang dikeluarkan oleh testis. Testosteron membantu pembiakan sel kanser prostat.
Tidak semua sel-sel prostat bergantung pada testosteron. Dalam kes ini, rawatan hormon tidak memberikan kesan. Oleh yang demikian, rawatan hormon bukan sesuatu langkah yang sempurna untuk merawat kanser prostat, tetapi ia merupakan satu langkah penting dalam rawatan kanser prostat yang sudah teruk.
5. Rawatan kemoterapi
Menggunakan bahan kimia untuk memusnahkan atau menghentikan pertumbuhan sel-sel kanser. Ia menahan sel-sel daripada membiak dan ini memberhentikan ketumbuhan dan menahan dari merebak.
Rawatan kemoterapi mempunyai banyak kesan sampingan jika dibandingkan dengan terapi hormon. Oleh yang demikian, kemoterapi hanya ditawarkan kepada pesakit kanser prostat yang tidak bergantung kepada hormon untuk membiak.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Kanser Prostat: Tanda, Keadaan dan Rawatan
Pengenalan
Tahap keseriusan kanser prostat boleh menentukan sejauh mana kanser tersebut telah merebak. Pengetahuan tentang tahap keseriusan kanser ini membolehkan doktor pakar menentukan rawatan yang sepatutnya dijalani oleh pesakit tersebut.
Tanda-Tanda Awal Kanser Prostat
Kanser prostat di peringkat awal sering kali tidak menunjukkan apa-apa gejala. Apabila tanda-tandanya muncul, ia mungkin melibatkan beberapa masalah berikut:
* Sering membuang air kecil terutamanya pada waktu malam
* Kesukaran sewaktu mula membuang air kecil atau air kencing yang tertahan
* Tidak boleh mengeluarkan air kencing
* Aliran air kencing yang lemah atau tersekat-sekat
* Kesakitan atau kepanasan semasa mengeluarkan air kencing
* Terasa sakit ketika air kencing keluar
* Terdapat darah dalam air kencing atau air mani
* Sering mengalami kesakitan atau ketegangan di bahagian belakang, pinggang, atau paha.
Bagaimana Cara Mengesan Kanser Prostat:
Kanser prostat dapat dikesan dengan menjalani pemeriksaan prostat melalui rektum dan membuat ujian PSA dalam darah. Sekiranya tahap PSA tinggi, ujian biopsi dilaksanakan olek pakar urologi untuk memastikan kehadiran kanser. Semasa ujian biopsi pakar urologi akan mengambil contoh sel-sel prostat menggunakan jarum melalui rektum setelah diberi ubat kebas. Contoh sel-sel ini akan dikaji oleh ahli patologi, iaitu seorang doktor yang pakar dalan kaji penyakit. Pakar patologi akan mengesahkan sama ada seseorang itu mempunyai kanser atau tidak.
Kanser Prostat Boleh Dihuraikan Dari Segi Gred dan Tahap.
Gred menerangkan bagaimana tumor itu menyerupai tisu-tisu prostat yang normal. Berasaskan dapatan kajian biopsi melalui mikroskop, pakar patologi melaporkan kanser prostat sebagai gred rendah, sederhana atau tinggi. Salah satu sistem yang digunakan untuk menyalurkan gred kanser prostat ialah sistem Gleason. Ia menggunakan skor dari 2 hingga 10. Skor yang tinggi menunjukkan gred yang tinggi. Tumor gred tinggi biasanya membiak lebih cepat dan mempunyai besar kemungkinan untuk merebak jika dibandingkan dengan tumor gred rendah.
Tahap Pula Menunjukkan Sejauh Mana Kanser Itu Telah Merebak.
Empat tahap dalam kanser prostat
Tahap ini diambil kira dari segi saiz tumor tersebut, sama ada nod limfa telah dijangkiti atau sama ada tumor tersebut telah merebak ke bahagian badan yang lain.
* Tahap 1: Kanser adalah kecil dan terletak di bahagian dalam kelenjar prostat dan tiada simptom apabila pemeriksaan rektal dijalankan.
* Tahap 2: Kanser masih berada dalam kelenjar prostat, tetapi kebengkakan boleh dirasai apabila pemeriksaan rektal dijalankan.
* Tahap 3: Kanser telah pecah melalui selaput prostat dan kemungkinan besar telah merebak ke bahagian seminal.
* Tahap 4: Kanser telah merebak ke bahagian pelvis (tulang pinggul), atau telah merebak ke nod limfa atau bahagian-bahagian badan yang lain, seperti tulang, hati atau paru-paru.
Bagaimana Kanser Prostat Merebak
Kanser prostat merebak melalui saluran limfa dan darah. Kanser prostat kerap merebak ke tulang berbanding bahagian-bahagian tubuh yang lain.
Untuk mengenal pasti tahap kanser ujian ultrasound, skan tulang dan skan berkomputer untuk paru-paru, abdomen dan pelvis dijalankan.
Peringkat TNM Dalam Kanser Prostat
Para pakar dan doktor menggunakan sistem berperingkat yang rumit yang juga dikenali sebagai sistem TNM. Kaedah ini digunakan di seluruh dunia.
Ia mengimbas 3 bahagian iaitu:
* Tumor (T)
* Nod Limfa (N)
* Kanser peringkat kedua atau Metastises (M).
Doktor boleh mengulas lanjut tentang kaedah pengesanan kanser dan peringkat-peringkat/tahap keseriusan kanser dengan lebih mendalam.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Saturday, March 15, 2008
Mana Prostat Anda?
Kanser prostat merupakan kanser keenam paling kerap dihidapi oleh kaum lelaki Malaysia.
Walaupun berada di tangga keenam, namun bagi seorang lelaki, kanser prostat yang menyerang sebahagian sistem reproduksi itu mungkin berada di tangga teratas jika diambil kira dari tahap kegerunannya.
Kajian mendapati bahawa seorang daripada enam lelaki akan menghidapi kanser prostat dalam seumur hidupnya.
Antara gejala awal penyakit termasuklah masalah seperti inkontinens (tidak berupaya mengawal kencing) dan kencing yang kerap terutamanya pada waktu malam yang selama ini dianggap sebagai sakit orang tua-tua sahaja.
Pernah juga dilaporkan bahawa kurang satu peratus daripada kalangan lelaki tempatan yang bersedia menjalani ujian kanser prostat.
Terdapat juga penyelidikan yang mendapati, seramai 80 peratus daripada kaum Adam tidak mengetahui apa itu prostat serta fungsi organ yang dimaksudkan.
PERKATAAN kanser itu sendiri sangat menggerunkan bunyinya. Apabila kita sebut sahaja perkataan kanser, kita akan mengaitkannya dengan kematian ataupun maut. Tanggapan inilah yang mahu kita ubah. Kita ingin memberikan harapan kepada mereka yang menghidap kanser, terutama sekali kanser prostat.Mereka mesti mempunyai semangat yang kuat dan tahu bahawa masih ada kehidupan yang biasa seperti orang lain yang boleh mereka jalani walaupun menghidap kanser.
Lagipun, banyak lagi penyebab kematian selain daripada kanser. Menyedari hakikat ini syarikat Mayfirst Gold Sdn. Bhd., telah melancarkan kempen CEgah KAnser Prostat (CEKAP) secara besar-besaran dengan tujuan utama menyedarkan orang ramai betapa pentingnya mengesan kanser prostat awal. Pengesanan awal menyelamatkan nyawa.
Prostat merupakan kelenjar sebesar buah berangan, yang menjadi milik mutlak kaum lelaki. Ia terletak di bawah pundi kencing, berhadapan dengan rektum. Saluran kencing (uretra) menyalurkan air kencing melalui prostat.
Peranan seksual kaum lelaki berkait rapat dengan prostat. Prostat mengeluarkan sebahagian daripada cecair yang terdapat pada air mani. Pancutan air kencing atau air mani bergantung kepada kesihatan prostat.
Kanser berlaku apabila sel-sel tubuh mula membiak di luar kawalan. Sel-sel ini terus membiak dan menjadi satu ketumbuhan. Kanser prostat terjadi apabila sel-sel kelenjar prostat membiak tanpa kawalan.
Kanser prostat boleh membiak dan merebak dengan cepat tetapi kebanyakannya membiak secara perlahan-lahan. Jika tidak dirawat, kanser boleh merebak ke bahagian yang berhampiran dan kemudian ke seluruh badan, terutamanya tulang, hati dan paru-paru.
Mengikut perangkaan Amerika Syarikat (AS), satu daripada enam lelaki akan mendapat kanser prostat dan satu daripada 34 akan mati disebabkan oleh penyakit ini.
Di Malaysia, kanser prostat merupakan kanser yang keenam paling kerap bagi kaum lelaki.
Sehingga kini, punca sebenar berlakunya kanser masih belum diketahui tetapi ada beberapa faktor yang berkaitan dengan terjadinya kanser prostat.
Prostat yang normal memerlukan hormon testosteron untuk membesar sehingga seseorang itu menjadi dewasa. Testosteron juga memainkan peranan sedikit sebanyak dalam kejadian kanser prostat.
Usia merupakan risiko utama mendapat kanser prostat. Setiap kaum lelaki yang berusia 45 tahun ke atas mempunyai risiko untuk mendapat kanser prostat.
Walau bagaimanapun kaum lelaki yang lebih muda tidak terkecuali. Secara keseluruhannya, risiko untuk mendapat kanser prostat meningkat dengan meningkatnya usia seseorang itu.
Lebih daripada 70 peratus pesakit kanser prostat berusia lebih 65 tahun. Usia di antara 50 hingga 54 tahun, 82 bagi setiap 100,000 lelaki akan mendapat kanser prostat.
Sementara itu, antara usia 60 hingga 64 tahun, sebanyak 518 bagi setiap 100,000 lelaki akan mendapat kanser prostat dan usia di antara 70 hingga 74 tahun, 1,326 lelaki akan mendapat kanser yang sama.
Para saintis telah gagal memberikan penjelasan mengapa ada kaum lelaki yang mendapat kanser prostat dan ada yang tidak. Faktor kaum merupakan salah satu risiko utamanya.
Di AS, ramai berketurunan Afrika mendapat kanser prostat jika dibandingkan dengan orang Amerika berkulit putih.
Seseorang yang mempunyai sejarah keluarga, iaitu bapa, abang atau adik lelaki menghidap kanser prostat mempunyai dua kali ganda kemungkinan mendapat kanser prostat.
Kajian menunjukkan bahawa makanan yang mempunyai kandungan lemak haiwan yang tinggi meningkatkan kemungkinan mendapat kanser prostat. Manakala buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan risikonya.
Gejala-Gejala Kanser Prostat
Pada peringkat awal, kanser prostat tidak mempunyai apa-apa gejala. Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, ia akan menyebabkan gejala-gejala berikut:
* Kerap kencing terutamanya di waktu malam
* Kesukaran untuk membuang air kecil
* Ketidakupayaan untuk membuang air kecil
* Aliran air kencing yang perlahan atau terputus-putus
* Sakit atau rasa terbakar semasa membuang air kecil
* Masalah ereksi
* Sakit semasa ejakulasi
* Terdapat darah dalam air kencing atau air mani
* Sakit di bahagian belakang, pelvis dan paha.
Gejala-gejala tersebut tidak semestinya didiagnosis sebagai kanser prostat. Pembesaran prostat (Hiperplasia Prostatik Benigna/BPH) dan radang prostat juga boleh memberikan gejala yang sama.
Sekiranya seseorang itu mempunyai salah satu daripada gejala tersebut, pergilah berjumpa doktor pakar urologi untuk mendapatkan kepastian.
Setelah anda berjumpa doktor, doktor akan membuat pemeriksaan prostat dengan menggunakan jari melalui rektum. Doktor anda mungkin mencadangkan pemeriksaan darah untuk mengesan Antigen Spesifik Prostat (PSA).
Paras normal PSA adalah kurang dari 4ng/ml. Sekiranya tahap PSA melebihi 10ng/ml, ia dianggap tinggi. PSA yang tinggi tidak semestinya menunjukkan seseorang itu menghidap kanser prostat.
Penyakit lain seperti BPH dan radang prostat juga boleh menyebabkan tahap PSA yang tinggi. Walau bagaimanapun, ujian PSA boleh membantu mengesan kanser prostat awal.
Selain ujian darah, doktor juga akan melaksanakan ujian ultrasound dan skan berkomputer untuk meneliti punca gejala yang dialami.
Untuk memastikan kehadiran kanser, doktor akan membuat biopsi – satu ujian di mana doktor akan menggunakan jarum untuk mengambil contoh sel daripada prostat melalui rektum.
Contoh sel-sel tersebut akan dihantar ke makmal, di mana doktor pakar kaji penyakit akan meneliti contoh sel-sel tersebut melalui mikroskop. Melalui kajian ini pakar kaji penyakit boleh memastikan kehadiran sel kanser.
Setelah disahkan menghidap kanser, doktor mesti mengetahui tahap dan gred kanser tersebut bagi mengenal pasti sama ada kanser masih berada dalam lingkungan prostat ataupun sudah melibatkan kawasan persekitaran prostat atau telah merebak ke tempat lain seperti tulang, hati dan paru-paru.
Secara ringkas, kanser prostat terbahagi kepada empat tahap. Tahap satu merupakan tahap awal manakala tahap empat adalah tahap yang serius.
Jenis rawatan bagi kanser prostat:
1. Tunggu dan lihat
2. Pembedahan
3. Rawatan Radioterapi
4. Rawatan Kemoterapi
5. Kriosurgeri
6. Terapi hormon
Pilihan rawatan terbaik bergantung kepada tahap kanser dan paras PSA. Usia dan kesihatan pesakit juga diambil kira.
Rawatan tunggu dan lihat, pembedahan, radioterapi dan kriosurgeri adalah rawatan pilihan bagi kanser prostat di peringkat awal.
Terapi hormon dan kemoterapi disarankan bagi kanser prostat yang sudah merebak keluar dari kelenjar prostat.
Kanser prostat tidak boleh dicegah kerana punca sebenar kanser ini belum diketahui, tetapi kita boleh mengambil langkah untuk mengurangkan risiko dari mendapat kanser prostat.
Dalam pada faktor risiko seperti usia, bangsa dan sejarah keluarga tidak dapat dikawal, faktor-faktor lain boleh kita elakkan. Langkah yang paling utama adalah dengan menjaga kesihatan prostat, kesihatan keseluruhan dan penjagaan makanan.
Cara terbaik untuk mengesan kanser prostat awal adalah menerusi pemeriksaan saringan setiap tahun bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Saringan yang perlu dilaksanakan adalah pemeriksaan prostat melalui rektum dan ujian PSA setiap tahun.
Sudah terbukti bahawa membuat saringan setiap tahun boleh meningkatkan pengesanan kanser prostat awal. Bertindaklah segera sebelum terlambat. Sekurang-kurangnya, ingatlah pada keluarga anda yang tersayang.
Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/