Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, March 15, 2008

Mana Prostat Anda?

Kanser prostat merupakan kanser keenam paling kerap dihidapi oleh kaum lelaki Malaysia.

Walaupun berada di tangga keenam, namun bagi seorang lelaki, kanser prostat yang menyerang sebahagian sistem reproduksi itu mungkin berada di tangga teratas jika diambil kira dari tahap kegerunannya.

Kajian mendapati bahawa seorang daripada enam lelaki akan menghidapi kanser prostat dalam seumur hidupnya.

Antara gejala awal penyakit termasuklah masalah seperti inkontinens (tidak berupaya mengawal kencing) dan kencing yang kerap terutamanya pada waktu malam yang selama ini dianggap sebagai sakit orang tua-tua sahaja.

Pernah juga dilaporkan bahawa kurang satu peratus daripada kalangan lelaki tempatan yang bersedia menjalani ujian kanser prostat.

Terdapat juga penyelidikan yang mendapati, seramai 80 peratus daripada kaum Adam tidak mengetahui apa itu prostat serta fungsi organ yang dimaksudkan.

PERKATAAN kanser itu sendiri sangat menggerunkan bunyinya. Apabila kita sebut sahaja perkataan kanser, kita akan mengaitkannya dengan kematian ataupun maut. Tanggapan inilah yang mahu kita ubah. Kita ingin memberikan harapan kepada mereka yang menghidap kanser, terutama sekali kanser prostat.

Mereka mesti mempunyai semangat yang kuat dan tahu bahawa masih ada kehidupan yang biasa seperti orang lain yang boleh mereka jalani walaupun menghidap kanser.

Lagipun, banyak lagi penyebab kematian selain daripada kanser. Menyedari hakikat ini syarikat Mayfirst Gold Sdn. Bhd., telah melancarkan kempen CEgah KAnser Prostat (CEKAP) secara besar-besaran dengan tujuan utama menyedarkan orang ramai betapa pentingnya mengesan kanser prostat awal. Pengesanan awal menyelamatkan nyawa.

Prostat merupakan kelenjar sebesar buah berangan, yang menjadi milik mutlak kaum lelaki. Ia terletak di bawah pundi kencing, berhadapan dengan rektum. Saluran kencing (uretra) menyalurkan air kencing melalui prostat.

Peranan seksual kaum lelaki berkait rapat dengan prostat. Prostat mengeluarkan sebahagian daripada cecair yang terdapat pada air mani. Pancutan air kencing atau air mani bergantung kepada kesihatan prostat.

Kanser berlaku apabila sel-sel tubuh mula membiak di luar kawalan. Sel-sel ini terus membiak dan menjadi satu ketumbuhan. Kanser prostat terjadi apabila sel-sel kelenjar prostat membiak tanpa kawalan.

Kanser prostat boleh membiak dan merebak dengan cepat tetapi kebanyakannya membiak secara perlahan-lahan. Jika tidak dirawat, kanser boleh merebak ke bahagian yang berhampiran dan kemudian ke seluruh badan, terutamanya tulang, hati dan paru-paru.

Mengikut perangkaan Amerika Syarikat (AS), satu daripada enam lelaki akan mendapat kanser prostat dan satu daripada 34 akan mati disebabkan oleh penyakit ini.

Di Malaysia, kanser prostat merupakan kanser yang keenam paling kerap bagi kaum lelaki.

Sehingga kini, punca sebenar berlakunya kanser masih belum diketahui tetapi ada beberapa faktor yang berkaitan dengan terjadinya kanser prostat.

Prostat yang normal memerlukan hormon testosteron untuk membesar sehingga seseorang itu menjadi dewasa. Testosteron juga memainkan peranan sedikit sebanyak dalam kejadian kanser prostat.

Usia merupakan risiko utama mendapat kanser prostat. Setiap kaum lelaki yang berusia 45 tahun ke atas mempunyai risiko untuk mendapat kanser prostat.

Walau bagaimanapun kaum lelaki yang lebih muda tidak terkecuali. Secara keseluruhannya, risiko untuk mendapat kanser prostat meningkat dengan meningkatnya usia seseorang itu.

Lebih daripada 70 peratus pesakit kanser prostat berusia lebih 65 tahun. Usia di antara 50 hingga 54 tahun, 82 bagi setiap 100,000 lelaki akan mendapat kanser prostat.

Sementara itu, antara usia 60 hingga 64 tahun, sebanyak 518 bagi setiap 100,000 lelaki akan mendapat kanser prostat dan usia di antara 70 hingga 74 tahun, 1,326 lelaki akan mendapat kanser yang sama.

Para saintis telah gagal memberikan penjelasan mengapa ada kaum lelaki yang mendapat kanser prostat dan ada yang tidak. Faktor kaum merupakan salah satu risiko utamanya.

Di AS, ramai berketurunan Afrika mendapat kanser prostat jika dibandingkan dengan orang Amerika berkulit putih.

Seseorang yang mempunyai sejarah keluarga, iaitu bapa, abang atau adik lelaki menghidap kanser prostat mempunyai dua kali ganda kemungkinan mendapat kanser prostat.

Kajian menunjukkan bahawa makanan yang mempunyai kandungan lemak haiwan yang tinggi meningkatkan kemungkinan mendapat kanser prostat. Manakala buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan risikonya.

Gejala-Gejala Kanser Prostat

Pada peringkat awal, kanser prostat tidak mempunyai apa-apa gejala. Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, ia akan menyebabkan gejala-gejala berikut:

* Kerap kencing terutamanya di waktu malam

* Kesukaran untuk membuang air kecil

* Ketidakupayaan untuk membuang air kecil

* Aliran air kencing yang perlahan atau terputus-putus

* Sakit atau rasa terbakar semasa membuang air kecil

* Masalah ereksi

* Sakit semasa ejakulasi

* Terdapat darah dalam air kencing atau air mani

* Sakit di bahagian belakang, pelvis dan paha.

Gejala-gejala tersebut tidak semestinya didiagnosis sebagai kanser prostat. Pembesaran prostat (Hiperplasia Prostatik Benigna/BPH) dan radang prostat juga boleh memberikan gejala yang sama.

Sekiranya seseorang itu mempunyai salah satu daripada gejala tersebut, pergilah berjumpa doktor pakar urologi untuk mendapatkan kepastian.

Setelah anda berjumpa doktor, doktor akan membuat pemeriksaan prostat dengan menggunakan jari melalui rektum. Doktor anda mungkin mencadangkan pemeriksaan darah untuk mengesan Antigen Spesifik Prostat (PSA).

Paras normal PSA adalah kurang dari 4ng/ml. Sekiranya tahap PSA melebihi 10ng/ml, ia dianggap tinggi. PSA yang tinggi tidak semestinya menunjukkan seseorang itu menghidap kanser prostat.

Penyakit lain seperti BPH dan radang prostat juga boleh menyebabkan tahap PSA yang tinggi. Walau bagaimanapun, ujian PSA boleh membantu mengesan kanser prostat awal.

Selain ujian darah, doktor juga akan melaksanakan ujian ultrasound dan skan berkomputer untuk meneliti punca gejala yang dialami.

Untuk memastikan kehadiran kanser, doktor akan membuat biopsi – satu ujian di mana doktor akan menggunakan jarum untuk mengambil contoh sel daripada prostat melalui rektum.

Contoh sel-sel tersebut akan dihantar ke makmal, di mana doktor pakar kaji penyakit akan meneliti contoh sel-sel tersebut melalui mikroskop. Melalui kajian ini pakar kaji penyakit boleh memastikan kehadiran sel kanser.

Setelah disahkan menghidap kanser, doktor mesti mengetahui tahap dan gred kanser tersebut bagi mengenal pasti sama ada kanser masih berada dalam lingkungan prostat ataupun sudah melibatkan kawasan persekitaran prostat atau telah merebak ke tempat lain seperti tulang, hati dan paru-paru.

Secara ringkas, kanser prostat terbahagi kepada empat tahap. Tahap satu merupakan tahap awal manakala tahap empat adalah tahap yang serius.

Jenis rawatan bagi kanser prostat:

1. Tunggu dan lihat

2. Pembedahan

3. Rawatan Radioterapi

4. Rawatan Kemoterapi

5. Kriosurgeri

6. Terapi hormon

Pilihan rawatan terbaik bergantung kepada tahap kanser dan paras PSA. Usia dan kesihatan pesakit juga diambil kira.

Rawatan tunggu dan lihat, pembedahan, radioterapi dan kriosurgeri adalah rawatan pilihan bagi kanser prostat di peringkat awal.

Terapi hormon dan kemoterapi disarankan bagi kanser prostat yang sudah merebak keluar dari kelenjar prostat.

Kanser prostat tidak boleh dicegah kerana punca sebenar kanser ini belum diketahui, tetapi kita boleh mengambil langkah untuk mengurangkan risiko dari mendapat kanser prostat.

Dalam pada faktor risiko seperti usia, bangsa dan sejarah keluarga tidak dapat dikawal, faktor-faktor lain boleh kita elakkan. Langkah yang paling utama adalah dengan menjaga kesihatan prostat, kesihatan keseluruhan dan penjagaan makanan.

Cara terbaik untuk mengesan kanser prostat awal adalah menerusi pemeriksaan saringan setiap tahun bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Saringan yang perlu dilaksanakan adalah pemeriksaan prostat melalui rektum dan ujian PSA setiap tahun.

Sudah terbukti bahawa membuat saringan setiap tahun boleh meningkatkan pengesanan kanser prostat awal. Bertindaklah segera sebelum terlambat. Sekurang-kurangnya, ingatlah pada keluarga anda yang tersayang.


Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment