Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 05, 2008

Epilepsi Mungkin Kekal Hingga Dewasa

SOALAN:
Doktor, saya seorang ibu dan mempunyai anak perempuan yang kini berumur lapan tahun.

Semasa berumur enam tahun anak saya terkena demam panas dan mendapat sawan.

Sebelum ini, antara umur satu hingga tiga tahun, bayi saya kerap mendapat sawan walaupun tidak demam.

Doktor mengesahkan ia epilepsi dan diberi ubat untuk dimakan setiap hari.

Anak saya ini telah dua kali menerima imbasan CT otak dan EEG, semuanya normal.

Di bahagian mukanya pula tumbuh bintik-bintik hitam seperti jeragat.

Pemeriksaan jantung dan pakar kulit sudah dibuat. Jantung normal tetapi pakar kulit tidak dapat memberikan jawapan.

Saya ingin bertanya adakah penyakit ini akan sembuh apabila ia dewasa kelak walaupun anak saya kini jarang terkena sawan seperti dahulu?

Adakah cara lain untuk menyembuhkannya?

Untuk pengetahuan doktor anak saya tidak terkena sawan selama tiga tahun dan doktor telah mengurangkan jumlah ubat.

Bagaimanapun, semasa umurnya 6 tahun sekali lagi anak saya terkena sawan sehingga sekarang.

Zainon,
Johor

JAWAPAN:
Biasanya sawan tanpa demam dinamakan epilepsi dan diagnosis penyakit ini lebih berdasarkan simptom.

Pada kebiasaannya imbasan CT otak adalah normal sementara EEG yang normal pula tidak semestinya bermakna ini bukan epilepsi.

Sekiranya anak puan kerap mengalami sawan, adalah penting untuk memulakan ubat antisawan dan rawatan ini patut berterusan untuk sekurang-kurangnya dua tahun tanpa sawan. Selepas jangka masa ini, doktor akan mengurangkan dos ubat dan sekiranya tiada sawan lagi boleh diberhentikan ubat ini sama sekali.

Bintik hitam yang timbul mungkin dari kesan sampingan ubat ataupun mungkin tiada kaitan dengan pengubatannya.

Penyakit ini boleh hilang dengan peningkatan usia anak tetapi segelintir anak-anak ini masih boleh menghidap penyakit ini sehingga dewasa.

Adalah penting untuk anak puan meneruskan rawatan yang diberi dan jangan sekali cuba berhentikan atau kurangkan ubat yang diberi tanpa arahan doktor.


Ditulis oleh:

Dr Margaret Kannimmel
Pakar Pediatrik Am,
Hospital Pantai Indah, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment