Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 12, 2008

Komplikasi Rawatan : Salah Siapa?

Sistam perubatan moden yang didasari ilmu pengetahuan sains dan teknologi adalah satu-satunya sistem perubatan yang menjadi "gold standard" (piawaian emas) kepada sistem perubatan dan kesihatan di seluruh dunia buat masa ini.

Walaupun sistem ini mempunyai banyak ruang yang masih boleh diperbaiki tetapi ia adalah satu-satunya sistem yang boleh dianalisis dan dikritik secara terbuka oleh semua pihak.

Begitulah antara ciri-ciri sistem yang bertunjangkan ilmu pengetahuan dan sains - ia bersifat terbuka dan berbentuk egalitarian (prinsip hak yang sama untuk semua).

Di dalam membincangkan isu komplikasi ini, adalah penting untuk pihak umum mengetahui latihan-latihan yang dilalui oleh satu-satu pakar perubatan.

Latihan prasiswazah yang mengambil masa di antara lima hingga enam tahun akan melahirkan para doktor umum.

Doktor-doktor umum ini adalah para doktor yang sekiranya mereka bertugas di sektor awam, kita kenali sebagai Pegawai Perubatan atau MO (Medical Officers) manakala mereka yang bertugas di sektor swasta (klinik-klinik) dipanggil GPs (General Practitioners).

Latihan pasca siswazah pula mengambil jangka masa sekurang-kurangnya empat tahun di dalam program berstruktur di universiti-universiti tempatan yang akan memberikan kelayakan Ijazah Sarjana kepada calon-calon yang berjaya.

Calon-calon yang berjaya ini akan menjadi pakar di dalam bidang yang mereka pilih. Walaubagaimanapun, mereka perlu melalui latihan praktikal sekurang-kurangnya enam bulan sebelum mereka ditauliahkan sebagai Pakar Perubatan.

Selepas ditauliahkan sebagai pakar, ada pakar perubatan yang terus berkhidmat di dalam sektor awam di mana mereka ini akan mendapat lebih banyak pendedahan dan latihan di bawah pakar-pakar yang lebih 'senior' kepada pelbagai jenis penyakit di dalam bidang pengkhususan mereka dan juga mendapat latihan lanjutan (advance training) dari pengalaman yang dilalui; dan ada juga yang berhijrah ke sektor swasta.

Walaupun latihan untuk melahirkan seseorang pakar itu mengambil masa yang begitu lama untuk memastikan seorang pakar tersebut menjadi kompeten di dalam bidang masing-masing, tetapi secara realitinya, pengamalan perubatan itu sendiri tidak terlepas dari faktor-faktor kelemahan manusia.

Kerana itulah kadangkala kita terdengar berita tentang komplikasi yang berlaku di dalam proses rawatan pesakit.

Risiko komplikasi di dalam rawatan yang diberikan oleh doktor dan pakar di dalam pengamalan perubatan moden adalah sesuatu yang harus dijangkakan oleh semua pihak terlibat.

Risiko ini berbeza-beza mengikut faktor- faktor seperti; kesihatan umum pesakit, jenis penyakit, jenis rawatan yang dijalankan dan juga pengalaman seseorang doktor atau pakar di dalam menjalankan sesuatu rawatan atau pembedahan.

Sebagai contoh, pesakit hernia yang juga menghidapi penyakit diabetes (kencing manis) akan mempunyai risiko komplikasi pembedahan yang lebih pada bahagian yang dibedah berbanding pesakit yang bebas penyakit diabetes.

Risiko kemungkinan yang dihadapi adalah seperti jangkitan kuman di bahagian yang dibedah.

Ini adalah kerana pesakit diabetes yang tidak terkawal akan terdedah kepada jangkitan kuman yang disebabkan oleh ketahanan badan yang telah menurun.

Ini kerana, lebihan paras gula di dalam darah boleh menyebabkan kuman mudah merebak. Pesakit perlu mengetahui bahawa gula adalah juga sumber makanan kepada kuman yang membolehkan ia membiak.

Oleh itu, seseorang pesakit yang menghidapi diabetes akan mempunyai risiko komplikasi pembedahan yang lebih tinggi dari pesakit biasa.

Akan tetapi dengan rawatan perioperatif (penjagaan di sekitar waktu pembedahan) yang terbaik, risiko ini dapat diminimumkan oleh pakar dan ia jarang berlaku.

Contoh lain yang boleh dibincangkan di sini adalah seperti pesakit barah yang mempunyai alahan/alergi. Contoh-contoh alergi adalah asma, ekzema dan resdung.

Pesakit-pesakit yang mempunyai kombinasi penyakit seperti yang disebutkan di atas mempunyai risiko alahan kepada ubat- ubatan yang lebih tinggi daripada pesakit biasa.

Ini adalah kerana pesakit yang mengalami asma dan resdung selalunya mempunyai sel-sel yang terlebih sensitif (hipersensitif) terhadap bahan-bahan luaran contohnya, makanan, alam sekitar dan juga ubat- ubatan.

Sel-sel yang hipersensitif ini setelah bertemu dengan bahan luaran yang tersebut di atas akan mengeluarkan bahan-bahan kimia yang boleh memberikan kesan terhadap tubuh badan manusia seperti mengecutkan saluran pernafasan di dalam kes-kes asma.

Lain-lain, menyebabkan radang di kulit bagi kes-kes ekzema dan radang pada saluran pernafasan seperti di dalam kes-kes resdung.

Perlu diingatkan bahawa faktor-faktor risiko tidak terhad kepada penyakit-penyakit yang disebutkan di atas tetapi merangkumi kesemua jenis penyakit lain.

Maka amatlah penting faktor alahan ini diwar-warkan oleh pesakit apabila berjumpa dengan doktor untuk menerima sesuatu rawatan. Begitulah juga dengan doktor dan juga para pembantunya seperti jururawat.

Faktor alahan ini haruslah menjadi sesuatu yang lazim ditanya kepada semua pesakit untuk memastikan risiko komplikasi di dalam rawatan selanjutnya diminimumkan.

Risiko boleh diminimumkan apabila pesakit dan doktor dapat berkomunikasi dengan baik.

Kemungkinan kekurangan di dalam aspek komunikasi boleh menjadi antara punca pesakit berhadapan dengan komplikasi alahan.

Walaupun kebanyakan kesan alahan adalah minimum seperti gatal-gatal di badan, terdapat juga reaksi alahan yang sangat serius seperti bengkak-bengkak di bahagian muka dan reaksi kulit.

Boleh juga berlaku kesempitan pernafasan seperti serangan asma yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

Mengapakah perlu bagi pesakit memberitahu doktor tentang alahan-alahan yang mereka ada? Pesakit perlu menyedari bahawa kadangkala mereka menemui doktor pakar yang tidak mempunyai rekod sejarah perubatan mereka.

Maka, doktor tersebut tidak akan tahu jenis-jenis ubatan yang sedang pesakit ambil. Informasi ini adalah penting untuk doktor kerana terdapat ubat-ubatan yang bertindak secara negatif terhadap ubat-ubatan yang lain.

Jika doktor sudah mengetahui risiko komplikasi ini dari awal dan bersiap sedia untuk menghadapinya, maka jika berlaku reaksi alahan sebegini, doktor dapat bertindak dengan pantas dan menyelamatkan pesakit dari komplikasi seterusnya.

Di dalam rawatan pesakit, jika diketahui jenis ubat-ubatan yang pesakit alah, maka doktor akan mengelak dari memberikan ubat-ubatan tersebut dan menggantikannya dengan jenis ubatan yang lain.

Walaupun pada dasarnya perubatan (terutama sekali pembedahan) adalah sistem pengamalan yang dipengaruhi oleh faktor (kelemahan) manusia, komplikasi yang berlaku ekoran rawatan sering terjadi akibat daripada berbagai-bagai faktor yang lain.

Perlu diingatkan bahawa komunikasi yang baik harus wujud sejak dari awal di antara doktor dan pesakit supaya masing-masing saling faham mengenai jenis-jenis dan risiko rawatan yang akan dijalankan.

Jika ini tidak wujud dan timbul ketidakpuasan hati di pihak pesakit, maka akan berlakulah salah faham yang mungkin akan membawa ke muka pengadilan untuk diselesaikan.

Senario ini bukanlah satu keadaan yang paling baik sama ada kepada pesakit mahu pun kepada doktor itu sendiri dari aspek masa dan juga wang ringgit.

Untuk mengelakkan situasi di atas, doktor harus menerangkan setiap risiko bagi setiap rawatan dan pesakit harus memahami bahawa setiap rawatan mempunyai risiko komplikasi.

Pesakit boleh menjadi pengguna yang lebih berilmu dengan membuat penyelidikan asas tentang penyakit mereka, jenis-jenis rawatan serta komplikasi yang mungkin mereka hadapi dan juga, mengenali latar belakang profesional doktor dan pakar yang terlibat merawat mereka.

Ini boleh dilakukan dengan mudah memandangkan terdapatnya Internet yang boleh memberikan mereka kesemua maklumat di atas, di hujung jari sahaja.

Kesimpulannya, umum harus menyedari bahawa setiap pesakit dan setiap penyakit itu mempunyai faktor-faktornya tersendiri yang unik di dalam menentukan kejayaan sesuatu rawatan.

Setiap pesakit adalah unik dan tidak boleh disamakan dengan pesakit yang lain. Kejayaan dan risiko komplikasi bagi setiap mereka adalah berbeza-beza.

Walaubagaimanapun, pesakit haruslah yakin bahawa kebarangkalian sesuatu rawatan untuk berjaya juga amat tinggi dengan meminimumkan risiko-risiko komplikasi itu.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment