Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 19, 2008

Teknik Serdev Mencantikkan Wajah Dalam Masa Singkat

Sekian banyak teknik rawatan kecantikan diperkenalkan di negara ini bagi memberi pilihan terbaik kepada mereka yang ingin mendapatkan tubuh atau wajah yang ‘sempurna’.

Usaha-usaha mendapatkan wajah atau tubuh yang diingini tidak pernah terhenti, apatah lagi formula dan kaedah yang diperkenalkan di pusat-pusat kecantikan semakin canggih dan terkini.

Baru dua tahun diperkenalkan di negara ini, teknik rawatan Serdev khusus dicipta bagi mereka yang mahukan wajah dan bahagian-bahagian badan yang kendur kelihatan tegang dan mantap.

Ia juga berfungsi untuk memperkecil dan membentuk anggota yang dikehendaki.

Uniknya, kaedah rawatan Serdev tidak memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan wajah yang cantik dan kelihatan muda sebagaimana yang diingini dan tidak perlu tinggal lama di ‘wad’ misalnya.

Dengan hanya mengambil masa selama sepuluh minit hingga setengah jam (bergantung bahagian anggota badan), pelanggan yang mendapatkan kaedah itu tidak akan merasa sebarang kesakitan dan tidak akan menganggu masa harian mereka.

Menurut Perunding Estetik, Dr. Ng Kuan Choong, 41, teknik Serdev diperkenalkan oleh seorang doktor estetik dari Bulgaria, Nikolay IP Serdev, sepuluh tahun lalu dan kini ia telah digunakan di seluruh dunia. IP Serdev juga merupakan presiden kepada sebuah persatuan pembedahan kecantikan dan perubatan estetik di Bulgaria.

Kaedah teknik kecantikan yang paling terkini ini sangat ringkas kerana hanya menggunakan benang dan jarum - prosedur yang dilakukan sebagaimana kita menjahit butang baju.

Ia juga selamat, berkualiti, berkesan, tiada kesan sampingan, tidak kelihatan kesan teknik berkenaan dan produk yang digunakan juga halal kerana ia berasaskan tumbuh-tumbuhan.

“Teknik ini sangat ringkas, sehinggakan anda boleh melakukan rawatan ini ketika anda keluar rehat untuk makan tengah hari.

“Apabila anda balik semula ke pejabat, wajah anda akan menjadi begitu berbeza, namun orang tidak akan tahu apa yang membuatkan anda kelihatan lebih jelita sekiranya anda tidak memberitahunya,” katanya bergurau.

Dr. Kuan Choong, yang merupakan pengasas dan satu-satunya doktor pakar Serdev di negara ini berkata, ramai daripada kita apabila telah meningkat usia akan berhadapan dengan kulit wajah yang mula jatuh, mengendur, menggeleber dan berkedut.

Wajah yang mengendur bukan disebabkan oleh kulit wajah, ia diakibatkan oleh lapisan bawah kulit yang dipanggil galeal menjadi kendur dan jatuh dan mengakibatkan wajah kelihatan kendur dan kulit tidak menegang.

Pemilik klinik kecantikan The Laser Clinic yang terletak di 11A, Jalan Telawi 5, Bangsar, Kuala Lumpur itu berkata, menerusi kaedah Serdev untuk mengembalikan keremajaan wajah, kulit di bahagian kening (atas telinga) yang dipanggil temporal akan ditanda titik berbentuk empat segi.

Kemudian jarum yang disangkutkan benang akan dicucuk kepada keempat-empat tanda titik itu. Benang yang tertinggal di dalam kulit (galeal), hujungnya yang terkeluar akan ditarik 45 darjah kemudian diikat. Kaedah yang sama akan dilakukan kepada bahagian kening di sebelah lagi.

“Hasil tarikan 45 darjah itu akan mengangkat kulit wajah dan galeal sehingga menjadikan wajah lebih tegang, menaik dan menirus di bahagian dagu.

“Tarikan itu akan menjadikan wajah anda lebih muda, cerah dan gebu,” katanya.

Tidak mencacatkan

Apabila ditanya mengenai benang berkenaan, Dr. Kuan Choong berkata, benang itu tidak akan ‘mencacatkan’ wajah pelanggan kerana ia tidak akan kelihatan apabila bahagian hujung yang diikat akan digunting.

Benang akan tertarik ke dalam dan menyerap ke dalam kulit dalam tempoh dua minggu serta kekal di dalamnya.

Teknik ini juga selamat kerana ia tidak akan menganggu urat saraf berhampiran dengan kulit kerana setiap tempat yang ingin dimasukkan benang itu dipastikan terlebih dahulu tidak berbahaya.

Kaedah memasukkan benang itu dilakukan dalam keadaan nyahkuman. Benang itu sendiri mengandungi probiotik, vitamin-vitamin, vitamin C, kolagen dan fiber.

Dr. Kuan Choong berkata, teknik Serdev akan bertahan selama lima hingga sepuluh tahun sebaik ia dilakukan ke atas anggota badan berkenaan dan kos yang diperlukan ialah antara RM2,500 sehingga RM7,000.

“Setakat ini pelanggan yang paling tua untuk mendapatkan rawatan ini berusia 68 tahun dan rawatan ini juga dilakukan oleh mereka yang berusia di awal 20-an.

“Selain wajah, rawatan ini boleh digunakan untuk menaikkan punggung, membentuk bibir, meruncing dagu, dagu terbelah, membuat lesung pipit, menaikkan payu dara, menaik dan mengecilkan hidung, menaikkan pipi, menegangkan leher dan sebagainya,” katanya.

Dr. Kuan Choong juga menasihatkan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan teknik Serdev agar berjumpa dengan doktor yang bertauliah dalam bidang berkenaan.

Apabila ditanya kenapa ada wajah seseorang itu tampak lebih tua daripada usia sebenar, menurutnya ia bergantung kepada bentuk kehidupan yang diharungi, cara hidup dan faktor genetik.

“Ada orang nampak muda bergantung kepada hormon dan genetik iaitu berapa jumlah kolagen dan fiber terkandung dalam wajah seseorang itu,” katanya.


Ditulis oleh:

Rosmah Dain

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

10 comments:

  1. klinik kecantikan oleh doktor pakar di thailand atau layari laman web:www.srivichai2.com atau hubungi email:tuanhasamoh@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Berapa harga untuk tegang muka sahaja?

    ReplyDelete
  3. kenapa dosa plak. bukan ubah apa-apa pun. cuma pelihara je anugerah Allah. maaflah saya memang bukan hebat agama.

    ReplyDelete
    Replies
    1. yes.. rawatan ni x dosa.. nampak sgt cetek ilmu agama..

      Delete
  4. Mana sy boleh dptkan rawatan INI d negeri sembilan

    ReplyDelete
  5. Replies
    1. saya dah buat serve dengan dr kwan choong di bangsar rm7k rupa sama seperti sblum,langsung tak ada perunbahan rugi, sakit 3 week di kepala.tak berpuas hati, pergi kali ke 2 .tak puas hait ...rugi

      Delete