Kemajuan teknologi pengkomputeran telah membawa impak besar dalam dunia perubatan moden demi kebaikan penjagaan kesihatan pada hari ini.
Di antara teknik terkini yang digunakan dalam sistem penjagaan kesihatan untuk mendiagnosa penyakit adalah teknik pengimejan bertindan melalui modaliti/radas berintegrasi yang canggih – Positron Emission Tomography Computed Tomography atau lebih popular dengan akronim PET CT.
Buat masa ini, PET CT hanya boleh didapati di Hospital Pulau Pinang yang telahpun beroperasi, Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya (WIMC), Petaling Jaya, Selangor dan Hospital Putrajaya.
Penggunaan teknologi nuklear dalam bidang perubatan telah bermula sejak 40 tahun yang lalu. PET diperkenalkan pada akhir tahun 1980-an manakala kemudahan CT telah mula mengalami perubahan sejak awal tahun 1970-an lagi sehingga penemuan teknologi Spiral CT pada tahun 1980-an.
Kedua-dua kemudahan ini penting serta dapat memberi maklumat yang lengkap dan jitu tentang sesuatu penyakit jika dijalankan mengikut prosedur yang betul.
Secara umumnya, PET menilai tahap metabolisme di peringkat sel atau tisu dalam tubuh pesakit dan dipanggil sebagai functional imaging atau pengimejan fungsi sesuatu organ atau tisu.
Sementara itu, CT menilai kelainan rupa sesuatu tisu atau organ melalui keratan rentas anatomi organ tersebut, dipanggil Anatomical Imaging atau Pengimejan Anatomi.
Disebabkan imej yang terhasil daripada kemudahan PET secara berasingan agak kurang berkualiti serta kabur dengan resolusi yang rendah, maka para saintis telah berusaha untuk memperbaiki hasil uji kaji melalui modaliti ini.
Modaliti CT pula, sesuatu penyakit mungkin tidak dapat dikesan sekiranya tiada sebarang perubahan anatomi pada bentuk rupa atau perubahan perlakuan di dalam sesuatu organ pesakit terutama pada peringkat awal penyakit.
Hasil penyelidikan yang komprehensif, maka kedua-dua modaliti ini mengalami kemajuan pesat dan akhirnya diintegrasikan dan mengalami perubahan morfologi serta dikenali sebagai PET CT.
Imej yang terhasil melalui kemudahan integrasi PET CT dapat memberi maklumat tepat tentang kedudukan sesuatu penyakit dalam tubuh pesakit melalui proses timbal balas kelebihan modaliti masing-masing.
Kebelakangan ini banyak perisian komputer telah tercipta hasil daripada daya inovasi dan kreativiti yang tinggi di mana ia turut digunakan untuk memajukan teknik mendiagnosis penyakit.
Lewat tahun 1990-an pengimejan digital telah mendapat tempat meluas dan teknologi PET CT tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ini.
Imbasan imej melalui teknik PET CT boleh dimanipulasi dalam bentuk tiga dimensi setelah melalui proses pengolahan dan penstrukturan semula komputer.
Pengetahuan tentang kemudahan canggih ini telah berkembang dan kini telah berada di pasaran negara-negara maju. Negara-negara maju di Eropah dan Amerika telah banyak mempelopori teknologi ini melalui penyelidikan dan kegunaan klinikal.
Walau bagaimanapun, negara-negara maju blok timur seperti Jepun dan Korea juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam sumbangan terhadap kemajuan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi PET CT ini.
Penggunaan kemudahan PET CT di negara kita adalah baru dan masih banyak yang perlu dipelajari dan diketahui tentang teknologi ini.
Kejituan dalam mendiagnosa penyakit dengan menggunakan kemudahan PET CT bakal memberi impak besar terhadap penjagaan kesihatan terutama dalam bidang penjagaan penyakit berkaitan dengan barah.
Bagaimana PET CT Berfungsi?
PET merupakan kemudahan mendiagnosa penyakit dengan menggunakan ciri-ciri fizikal sinaran mengion positron yang terhasil daripada tindak balas yang dipanggil pemusnahan atau penghapusan (annihilation).
PET hanya akan berfungsi dengan menggunakan agen radioaktif yang mengeluarkan pancaran positron yang dipanggil Positron Emiter.
Antara lainnya adalah atom hidrogen dalam air, atom nitrogen dalam bahan ammonia dan atom carbon. Agen radioaktif yang paling meluas dalam penggunaan klinikal adalah agen flourine.
Bagi tujuan penggunaan klinikal, agen ini perlu dilekatkan kepada bahan yang akan membawa agen radioaktif tersebut kepada organ yang disasarkan.
Penemuan Flouro Deoxy Glucose atau lebih dikenali sebagai FDG dalam penyelidikan merupakan asas penting yang menjadikan modaliti PET sebagai salah satu modaliti yang amat berguna dan berkesan dalam proses mendiagnosa penyakit.
Ini adalah kerana proses penyerapan dan penggunaan FDG ke dalam sel dan tisu badan adalah hampir serupa sebagaimana proses penggunaan glukos di dalam badan untuk penghasilan tenaga.
Maka, secara semula jadi selepas suntikan agen flourin - FDG diberikan, ia akan disebar melalui perjalanan saluran darah di dalam tubuh pesakit dan akan diserap ke dalam tisu dan sel yang normal dan tidak normal.
Secara teori, tisu yang mengalami perubahan disebabkan oleh pembiakan luar biasa seperti penyakit kanser atau yang sedang mengalami radang yang berpunca daripada jangkitan akan menunjukkan kadar metabolisme yang meningkat berkali ganda jika dibandingkan dengan tisu biasa.
Maka dalam proses pengimejan PET, tisu yang tidak normal ini akan menunjukkan kandungan agen flourin - FDG yang tinggi berbanding tisu lain yang normal.
Bukti kehadiran tisu yang tidak normal ini akan menjadi lebih sahih jika terdapat perubahan rupa bentuk anatomi melalui pengimejan CT.
Maka dengan menggunakan teknologi imej bertindan, sebarang kelainan di dalam tubuh pesakit dapat dikesan dengan tepat dan ditentukan kedudukannya dengan jitu.
(Gustav K Von Schulthess; Clinical Molecular Anatomic Imaging: Lippincott Williams & Wilkins 2003)
Impak PET CT Terhadap Proses Rawatan Penyakit
Pada masa ini kita dapat menyaksikan bagaimana ujian saringan untuk mengesan barah melalui pemeriksaan darah dijalankan di hospital.
Bayangkan sekiranya pesakit mendapati salah satu daripada parameter mengesan barah hati meningkat dengan bacaan yang tinggi tetapi tiada sebarang perubahan di dalam pemeriksaan hati melalui mesin imbasan ultrasound dan CT Scan.
Dalam kes seperti ini, sebagai modaliti yang berteraskan pengimejan fungsi, PET CT boleh membantu mengesan barah tersebut.
Selain itu, PET CT juga dapat memberi maklumat tentang tahap sesuatu jenis barah dengan tepat. Ini penting kerana ia akan menentukan cara pelaksaan perawatan yang diperlukan .
Pesakit-pesakit yang menghidap penyakit barah dan telah menjalani rawatan sama ada secara pembedahan atau terapi perlu menjalani pemeriksaan ulangan.
Di sini, PET CT juga memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada penyakit yang dihidapi berulang semula atau pesakit telah sembuh secara sempurna.
(Kluetz PG, Meltzer CC, Villemagne VL, et al. Combined PET/CT imaging in oncology: impact on patient management. Clinical Positron Imaging 2000;3(6):223-230)
Secara ringkas, impak PET CT terhadap penyelenggaraan kes klinikal adalah seperti berikut:
* Mengikut kajian klinikal yang dijalankan di Eropah, purata pertambahan maklumat sebanyak 40 peratus sekiranya kes-kes klinikal menjalani pemeriksaan menggunakan Modaliti Integrasi PET CT jika dibandingkan dengan pemeriksaan secara berasingan.
* Sebanyak 15 peratus daripada kes klinikal mengalami perubahan cara perawatan setelah menjalani pemeriksaan menggunakan modaliti PET CT.
Walau bagaimanapun, disebabkan oleh harga pemeriksaan yang agak mahal, pesakit yang memerlukan pemeriksaan PET CT perlu merujuk terlebih dahulu kepada pakar bagi tujuan menilai keberkesanan dan keperluan menjalani pemeriksaan ini dalam menentukan kejayaan rawatan yang diberikan.
Selain kegunaan PET CT dalam kes berkaitan barah, ia juga boleh digunakan dalam kes radang, infeksi dan kematian tisu jantung/miokardium.
Banyak kerja-kerja penyelidikan telah pun berjalan untuk mengetahui lebih lanjut tentang fungsi tisu otak dan juga kajian yang berkaitan dengan penemuan ubat-ubatan yang baru.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment