Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, March 15, 2008

Kehamilan Luar Rahim Tiga Peratus Wanita Berisiko

Dunia perbidanan bukan sahaja diwarnai dengan peristiwa menakjubkan yang membawa kepada kelahiran bayi-bayi comel dan sihat.

Sebaliknya, turut diselang seli dengan peristiwa aneh yang pelik dan tidak kurang juga mengecewakan.

Antaranya, kehamilan di luar rahim (ectopic pregnancy) adalah tidak mustahil berlaku kepada satu hingga tiga peratus daripada mana-mana wanita mengandung yang berisiko tinggi menghadapi masalah ini.

Berbanding masalah kehamilan lain, hamil di luar rahim adalah salah satu keadaan yang paling sukar dikenalpasti.

Ini kerana kebiasaannya kehamilan di luar rahim tidak disertai dengan simptom pada awal kehamilan melainkan doktor melakukan pemeriksaan ke atas kandungan yang disyaki bermasalah.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pusrawi, Dr. Asmah Yun Mat Sidek menerangkan kandungan luar rahim boleh berlaku kepada beberapa bahagian seperti ovari, servik, abdomen, atas usus dan sebagainya.

Bagaimanapun, ia paling lazim berlaku pada tiub fallopia iaitu kira-kira 95 peratus.

Menjelaskan lanjut mengenai masalah berkaitan kata beliau, ia terjadi apabila ‘embrio’ yang disenyawakan di tiub fallopia tidak diimplantasikan di lokasi sebenar iaitu uterus atau rahim.

Menurut Asmah Yun, masalah hamil luar rahim ini ditentukan oleh doktor dengan menggunakan imbasan (utrasound pelvis), di mana kandungan tidak kelihatan dalam rahim.

Pada kebiasaannya, masalah ini dapat dikenal pasti oleh doktor pada sekitar minggu keenam hingga kelapan minggu kehamilan.

Oleh kerana itu wanita yang mengesyaki diri mereka mengandung terutama golongan berisiko agar melakukan pemeriksaan kehamilan seawal mungkin.

Ini penting kata beliau, bagi memastikan pencegahan serta rawatan lebih awal dapat dilakukan.

Jika tidak, dikhuatiri kandungan yang berada di mana-mana kawasan luar rahim akan pecah dan wanita berkenaan terpaksa melalui rawatan yang berbeza.

Sementara itu tanda-tanda bagi wanita yang mengalami kehamilan di luar rahim seringkali berlaku secara kecemasan apabila kandungan di tiub fallopia pecah dan mengalami pendarahan.

‘‘Keadaan ini menyebabkan kesakitan abdomen (acute abdomen) yang teramat sangat sehingga kadang kala wanita ini mengalami hycowolumic shock iaitu tekanan darah rendah, pucat sehingga boleh menyebabkan pengsan,’’ jelasnya.

Adakalanya juga, mereka mungkin mengalami pendarahan melalui vagina yang sedikit.

Beliau turut menyenaraikan antara wanita yang berisiko menghadapi masalah hamil di luar rahim iaitu:

*Wanita yang mengalami infeksi dibahagian peranakan (pelvic inflammatory disease) terutama clamydia infection.

*Wanita yang pernah mengalami kehamilan di luar rahim iaitu pada tiub fallopia yang bersebelahan.

*Wanita yang sedang memakai alat dalam rahim IUD (intra uterine contraceptive device).

*Wanita yang pernah menjalani pembedahan di tiub fallopia (tubal surgery)

*Wanita yang merokok

*Wanita berusia lewat

Dari segi rawatan kata Asmah Yun, ia bergantung kepada kestabilan pesakit, keputusan imbasan atau ultrasound dan tahap hormon BHCG seseorang.

Sementara itu, dari segi kesan jangkamasa panjang, beliau memberitahu adalah dianggarkan iaitu kira-kira 30 hingga 50 peratus kemungkinan wanita menghadapi kesukaran kehamilan akan datang (sub fertility).

Manakala kira-kira 10 peratus masalah berulang akan berlaku pada tiub fallopia yang bersebelahan.

Rawatan

* Sekiranya pesakit stabil, tidak mengalami kesakitan abdomen atau pendarahan dan saiz ectopic kurang dari 2 sentimeter dan serum /hormon BHCG kurang 1000 mililiter, ada kemungkinan pesakit dirawat secara conservative.

* Pemantauan dengan imbasan pelvis dan hormon BHCG mungkin dilakukan untuk menentukan kandungan luar rahim itu gugur secara spontan.

Bagaimanapun, sesetengah pakar perubatan tidak mengamalkan cara ini memandangkan kesan sampingan yang sangat berisiko tinggi.

*Golongan kedua pesakit, mungkin mengalami sedikit pendarahan atau kesakitan abdomen, tetapi masih stabil dan saiz ectopic hormon BHCG 1000-15000 mililiter, doktor pakar mungkin akan membuat pembedahan laparoskopi untuk memastikan lokasi ectopic itu.

* Seterusnya samada membuat salphingectomy/salphingiostomy (pembedahan pada tiub fallopia atau injeksi methotrexate, prostaglandin atau hyperosmoler gluose pada kehamilan di luar rahim).

* Pesakit yang mengalami hypovolumic shock disebabkan pendarahan yang teruk perlu menjalani pembedahan laparotomy serta merta untuk mengenal pasti punca pendarahan dan seterusnya, melakukan salphingectomy kepada tiub fallopia yang sudah pecah itu.

Kebiasaannya pesakit ini memerlukan pemindahan darah untuk mengembalikan semula tahap hemoglobin ke paras normal.

* Jalani pemeriksaan kehamilan secepat mungkin untuk memastikan kehamilan di lokasi yang sewajarnya.

* Elakkan atau kurangkan risiko untuk mengalami pelvic inflammatory disease supaya tiada kerosakan pada tiub fallopia.

* Dapatkan nasihat daripada pakar sebelum mengambil keputusan memasang alat dalam rahim untuk pencegahan kehamilan.

INFO

Menurut satu penyelidikan di Perancis baru-baru ini, ia mengesahkan penemuan terdahulu, iaitu penyakit bengkak tulang punggung, jangkitan di saluran fallopia dan penyakit yang disebabkan hubungan seks meningkatkan risiko seseorang wanita mengalami hamil luar rahim.

Turut dikaitkan perokok dan pembedahan saluran rahim adalah faktor utama terjadinya kehamilan sedemikian.

Kajian ke atas 558 wanita di tujuh hospital bersalin di Paris mendapati mereka yang menghidap masalah apendik mempunyai peluang lebih besar mengalami kehamilan luar rahim - kemungkinan disebabkan luka atau calar di dalam perut selepas pembedahan.

Dalam 20 hingga 60 peratus daripada kes itu, kehamilan luar rahim boleh menyebabkan kemandulan kekal. Jika tidak dirawat, saluran fallopia boleh terkoyak atau pecah mengakibatkan maut.


Ditulis oleh:
Roslah Othman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

4 comments:

  1. bermakna kandungan berkenaan memang tidak boleh diselamatkan ke?

    ReplyDelete
  2. sya pernah mengandung d luar rahim pada thun 2006,dan utk hamil lagi saya mengambil pil hormon clomid utk hamil..adakah saya berisiko utk mengandung d luar rahim lagi ? kerna saya telah cuba utk hamil lagi tidak dpt...

    ReplyDelete
  3. saya telah mengandung sebyk 4 kali yg pertama gugur,yg seterusnya semua memlalui pembedahan,kandungan yg ketiga tak cukup bula masuk bualn ke 7 terpaksa dibedah kerana air ketuban pecah,masalah saya sekarang period sehingga 2 minggu dimana seminggu yg pertama ianya adalah terlalu byk hingga terpaksa ditahan diwad,manakala minggu kedua ianya adalah sedikit dan berlarutan.sekrang period saya dtng pada 1hb sept dan dia datang lagi 21hb sept,apakah saya berisiko mengandung luar rahim kerna saya telah mengikat saluran peranakan saya,terima kasih

    ReplyDelete
  4. sya ingin brtanya..saya pernah mngandung luar rahim pada 2006 pd tube sebelah kanan yg mengakibatkn tube saya pecah dn trpaksa dibuang,selepas melahirkn anak pd 2007 pd 2008 sya mnagalami benda yg sama lg yaitu pd tube kiri pula tp kali ni tube saya sempt diselamatkn & diprbaiki..sya ingin brtanya;bagaimna peluang saya utk mngandung lg dn bagaimnakh cara nya kerana anak yg sya lahirkn pd 2007 kini sudah 6 thn..

    ReplyDelete