Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 19, 2008

Haid Tidak Teratur

SOALAN:
Doktor, saya berusia 32 tahun, masalah saya ialah kitaran darah haid saya tidak teratur sejak tiga tahun lalu. Ada kala sehingga tujuh bulan lamanya saya tidak didatangi haid. Adakah kerana hormon atau masalah-masalah lain seperti stres bekerja dan sebagainya?

Untuk pengetahuan doktor, saya juga telah ke klinik kerajaan dan swasta untuk mendapatkan kepastian tentang perkara ini. Tetapi jawapan yang saya peroleh dari klinik kerajaan mahupun swasta berlainan di antara satu sama lain.

Doktor swasta mengatakan itu adalah sesuatu yang normal manakala doktor kerajaan pula mengatakan ia mungkin disebabkan oleh berat badan saya yang mencecah 70 kg dan ketinggian 5 kaki 6 inci.

Saya juga mempunyai dua orang anak, masing-masing berumur 12 dan 9 tahun. Saya bercadang untuk menimang cahaya mata lagi. Doktor, adakah saya masih mempunyai peluang disebabkan oleh masalah haid yang tidak teratur ini? Terima kasih di atas perhatian doktor.

Linda,


JAWAPAN:
Puan berumur 32 tahun dan mendapati kitaran haid tidak teratur sejak tiga tahun lalu dengan berat badan yang melebihi daripada sepatutnya.

Berdasarkan latar belakang puan sebagaimana yang telah diterangkan, kemungkinan puan mengalami masalah hormon yang tidak seimbang seperti sindrom ovari polisistik.

Dalam keadaan ini, biasanya seseorang wanita itu akan mendapati beratnya bertam bah, diikuti dengan kitaran haid yang tidak menentu, iaitu haidnya mungkin datang beberapa bulan sekali.

Dalam keadaan sindrom ovari polisistik, telur tidak dikeluarkan setiap bulan dan ini menyebabkan kitaran haidnya terjejas dan sukar untuk mengandung. Hormon lelaki iaitu testosteron mungkin tinggi dan ini menyebabkan lebih jerawat dan rambut di bibir dan dagu.

Puan perlu menurunkan berat badan supaya hormon kembali seimbang. Sejenis ubat yang juga digunakan untuk kencing manis iaitu Glucophage (Metformin) boleh digunakan untuk merawat keadaan ini.

Saya nasihatkan agar puan berjumpa dengan doktor pakar. Ada beberapa pemeriksaan yang perlu puan jalani seperti ultrasound dan ujian darah untuk mengetahui tahap hormon-hormon tertentu yang mungkin tinggi dalam keadaan ini.


Ditulis oleh:

Dr Fatima Najla KM Muhd Jaafar
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment