Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Monday, October 17, 2011
Amblyopia Kanak-Kanak
Perunding Optalmologi dari Pusat Pakar Mata Optimax Sdn. Bhd., Dr. Suraiya Mohamad Shafie berkata, antara masalah biasa yang sering berlaku adalah amblyopia atau disebut mata malas.
Amblyopia atau mata malas merupakan keadaan kurang tahap penglihatan satu-satu mata akibat mata tersebut kurang digunakan sejak kecil lagi. Ia berpunca dari gangguan pada perkembangan sistem penglihatan semasa kecil.
"Antara punca biasa adalah rabun mata (seperti rabun jauh, rabun dekat atau astigmatisma) yang tidak diperbetulkan terutama rabun mata berkuasa tinggi atau perbezaan besar kuasa rabun mata di antara kedua-dua belah mata ," katanya.
Keadaan itu katanya berlaku pada satu atau kedua-dua belah mata sekali gus. Jika berlaku pada sebelah, otak akan berhenti membaca bayangan daripada mata yang mengalami masalah. Lantaran itu, lama-kelamaan mata tersebut tidak mengalami stimulasi berterusan menyebabkan ia terus menjadi malas.
Namun kata Dr. Suraiya biasanya berlaku pada sebelah mata sahaja. Selain itu katanya, masalah lain seperti juling, katarak kongenital serta lain-lain penyakit yang menghalang proses penglihatan seperti ptosisi iaitu mata kuyu dan kelopak jatuh.
Bagaimana diketahui seseorang kanak-kanak menghidap amblyopia?
Kata Dr. Suraiya, kebanyakan kanak-kanak yang menghidap amblyopia tidak mempunyai sebarang tanda dan mereka tidak merungut kerana menyangka semua orang berpenglihatan seperti itu.
"Oleh itu adalah penting bagi kanak-kanak menjalani pemeriksaan mata secara berkala sebelum alam persekolahan kerana perkembangan penglihatan berlaku dengan pesat dari mereka lahir sehingga berusia tujuh atau lapan tahun," katanya.
Seandainya, masalah tersebut dibiarkan sehingga usia mereka melebihi sembilan tahun dikhuatiri masalah yang dihadapi berlarutan sehingga dewasa dan mengakibatkan keadaan yang lebih kronik.
Dr. Suraiya turut memberi tips bagaimana ibu bapa boleh mengesan seandainya anak mereka berkemungkinan mengalami amblyop melalui tanda-tanda seperti berikut:
>> kepalanya senget dan suka memandang dengan menjeling
>> mata beralih dari tengah bila letih atau berada dalam cahaya terang
>> menutup sebelah mata apabila terdedah kepada cahaya matahari
>> sering menggosok mata
>> sering mengerlipkan mata
>> lebih gemar menggunakan satu mata untuk melihat
Rawatan
Jika rawatan awal tidak diberikan, mata tersebut tidak akan berkembang untuk mencapai tahap penglihatan normal dan berkemungkinan menjadi buta.
Rawatan amblyopia hanya berkesan jika dilaksana pada peringkat kanak-kanak. Sebahagian rawatan boleh dijalankan oleh ibubapa setelah mendapat latihan daripada Pakar Oftalmologi atau Pegawai Optometri.
Rawatan merangkumi salah satu atau gabungan beberapa kaedah seperti berikut :
Merawat penyakit mata sedia ada seperti pembedahan untuk katarak.
Doktor juga katanya akan merawat rabun mata dengan cermin mata atau kanta sentuh. Kanak-kanak tadi turut diberi ubat cecair untuk mata.
Selain itu, pemakaian penutup mata (eye patch) membantu merangsang penglihatan mata yang malas untuk berkerja seperti biasa semula. Kanak-kanak itu juga akan menjalani latihan atau senaman mata.
Alahan mata
Menurut Dr. Suraiya, selain amblyopia, masalah alahan mata juga sering berlaku pada kanak-kanak berusia antara tiga dan empat tahun.
"Ia boleh dilihat dengan jelas melalui keadaan mata yang mengalami kegatalan, berair dan keluar lendir putih," kata beliau.
Keadaan itu menurut beliau berkait dengan masalah asma, sinusitus dan juga alahan kulit. Faktor alam sekitar turut memainkan peranan terjadinya alahan iaitu persekitaran berhabuk, debunga, bulu haiwan seperti kucing, hama pada permaidani, asap rokok dan juga minyak wangi.
Masalah itu perlu dirawat segera kerana jika dibiarkan kanak-kanak tadi menggosok mata, ia boleh mengundang kecederaan serta parut pada kornea.
Ibu bapa katanya perlu meletakkan ubat titis dan mengelak daripada punca yang menyebabkan alahan pada mata anak.
Dr. Suraiya turut menasihatkan agar menggunakan ubat titis yang tidak mengandungi steroid kerana ia boleh mengundang komplikasi seperti glaukoma dan kataraks pula.
Ditulis oleh: Bintu Rasyada A. Rahman
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Monday, July 19, 2010
Kembalikan Nikmat Melihat
Kehidupannya yang sebelum itu banyak dihabiskan di surau dan membaca al-Quran, ternyata berubah.
Apa yang mampu dilakukan hanya berdoa agar penglihatannya pulih dan dia dapat beribadat dengan sempurna.
Mujurlah isteri, Jalilah Yunus dan anak-anak setia berada di sisi.
Segala pergerakannya, banyak mendapat bantuan mereka kerana dia boleh saja dikatakan dalam keadaan buta.
Kuasa Tuhan, Abdullah dipertemukan dengan seorang pakar mata menerusi laman web sosial, facebook. Sebelum itu, Abdullah hanya mendengar motivasi pakar tersebut menerusi televisyen. Dengan rendah diri, Abdullah menceritakan masalah katarak yang dihadapinya. Dia mahu pulih seperti sedia kala kerana empat daripada anak-anaknya masih bersekolah. Tambahan pula, dia mahu mengerjakan amal ibadat dengan lebih sempurna.
Walaupun tahu, kos pembedahan mungkin tinggi, Abdullah reda dan tetap mencuba.
Akhirnya berkat kesabaran, pesara guru itu berjaya menjalani pembedahan menerusi dana Sayangi Matamu Pusat Perubatan Prince Court (PCMC).
Usia melebihi setengah abad memungkinkan dia menjalani pembedahan katarak. Kebetulan masalah penglihatannya kronik kerana dia buta sebelah mata.
Namun, berkat keimanan serta amalan yang ada, Abdullah berjaya menjalani pembedahan hanya 15 minit. Seperti tidak percaya pembedahan katarak yang menggantikan selaput matanya tidak memberikan kesan sakit.
Ketika ditemubual sehari selepas pembedahan Abdullah boleh melihat cahaya terang dan penglihatannya semakin jelas. Mungkin jiwanya yang celik kerana percaya pada keimanan, Abdullah sekeluarga berjaya mengharungi proses pembedahan dengan tenang.
Perkara itu turut diakui Pengerusi Persatuan Oftalmologi MMA dan Pengarah Pusat Mata dan LASIK, Pusat Perubatan Prince Court, Profesor Dr. Muhaya Mohamad yang berhasil melakukan pembedahan katarak tanpa berdepan sebarang komplikasi.
Kata beliau, kepakaran bukan satu-satunya kunci kejayaan pembedahan tersebut sebaliknya amalan pesakit juga penting .
"Jika diikut, usia Abdullah lebih 40 tahun, menghidap diabetes mungkin menyukarkan pembedahan, namun saya percaya pesakit ini sangat tenang dan kuat imannya,'' kata pakar perubatan itu.
Tambah beliau, pembedahan katarak moden kini lebih selamat, efektif dan selesa serta dilakukan sebagai prosedur pesakit luar. Justeru itu, orang ramai tidak perlu takut dengan pembedahan kerana ia tidak menyakitkan mata.
PENYAKIT katarak atau selaput mata merupakan masalah penglihatan yang paling kerap dihadapi oleh warga emas di seluruh dunia . Proses peningkatan usia dikenal pasti punca penyakit tersebut.
Kanta mata asal yang jernih bertukar secara perlahan-lahan menjadi keruh menyebabkan pandangan menjadi kabur.
Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit 'usia emas' itu menyumbang kepada 48 peratus atau 18 juta penduduk dunia.
Senario yang sama juga turut berlaku di negara ini. Ramaiwarga emas mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau swasta kerana masalah katarak.
Rata-rata pesakit katarak berusia melebihi 60 tahun. Penyakit itu berlaku secara perlahan-lahan dan biasanya melibatkan kedua-dua belah mata. tanpa mengira jantina lelaki atau wanita.
Antara faktor yang menyebabkan penyakit itu adalah kencing manis, pendedahan kepada sinaran cahaya ultraviolet, merokok dan pengambilan alkohol.
Komplikasi katarak matang
Katarak matang boleh menyebabkan berlakunya glaukoma sekunder. Pesakit biasanya mengalami sakit yang kuat pada bola mata secara tiba-tiba. Bola mata juga menjadi merah dan pesakit mungkin mengalami gejala seperti loya, muntah dan sakit kepala.
Keadaan itu berlaku disebabkan gangguan kepada aliran cecair akuas di dalam mata disebabkan oleh katarak yang matang.
Tekanan di dalam bola mata menjadi tinggi dan pesakit perlu menjalani pembedahan kecemasan katarak sekiranya keadaan itu berlaku.
Pesakit dinasihatkan supaya tidak bersikap 'tunggu dulu' sehingga keadaan glaukoma sekunder berlaku.
Potensi untuk melihat semula selepas pembedahan adalah jauh lebih baik sekiranya pembedahan katarak dilakukan secara elektif dan terancang berbanding mereka yang berbuat demikian selepas mengalami glaukoma sekunder.
Kaedah Rawatan
Warga emas yang mengalami tanda-tanda katarak dinasihatkan berjumpa doktor pakar mata, sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pakar mata akan menjalankan pemeriksaan mata yang menyeluruh bagi memastikan diagnosis yang tepat ke atas pesakit.
Pesakit yang mengalami penyakit katarak peringkat awal, biasanya disaran supaya menggunakan cermin mata bagi membantu penglihatan pesakit.
Mereka memerlukan pemeriksaan mata secara berkala bergantung kepada keadaan mata dan tahap penyakit katarak yang dialami.
Warga emas yang penglihatannya terjejas teruk akibat penyakit katarak, biasanya disaran oleh pakar mata supaya menjalani pembedahan.
Prosedur itu perlu dilakukan segera bagi mengelak penyakit katarak mencapai tahap matang yang akan memburukkan lagi keadaan.
Pembedahan Katarak Secara Moden
Hospital kerajaan dan swasta yang menawarkan kepakaran oftalmologi di seluruh Malaysia kini menyediakan pembedahan penyakit katarak yang lebih moden.
Kepakaran di negara kita setanding dengan negara-negara lain. Pembedahan katarak boleh dilakukan secara bius setempat atau bius am, bergantung kepada keperluan pesakit.
Berbeza dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya pembedahan katarak berisiko tinggi dan memberi kesan sakit, kaedah moden yang ditawarkan hanya mengambil masa kurang daripada 30 minit.
Prosedurnya juga mudah. Pakar hanya menggunakan penurisan mikroskopik dan peralatan ultrabunyi bagi memecahkan lapisan katarak kepada serpihan halus sebelum dikeluarkan dengan alat penyedut tanpa menjejaskan belakang lensa mata. Selepas itu, lensa buatan atau lensa intra-okular (IOL) 'ditanam' di dalam mata untuk memperbaharui fokus.
Pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, asma, kegagalan buah pinggang dan jantung perlu menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan sebelum menjalani pembedahan katarak.
Semasa pembedahan, kanta mata yang keruh dikeluarkan manakapa kanta mata tiruan akan dimasukkan ke dalam bola mata pesakit bagi menggantikan fungsi asal. Proses itu membantu memulihkan keupayaan penglihatan setiap pesakit.
Pembedahan katarak secara phacoemulsification boleh dilakukan ke atas pesakit yang belum mencapai tahap katarak matang. Luka pada bola mata pesakit yang menjalani pembedahan kaedah ini sangat kecil dan mungkin tidak memerlukan sebarang jahitan.
Keadaan ini membolehkan luka tersebut sembuh dengan kadar yang cepat dan kemungkinan berlakunya astigmatism (lekuk kornea) selepas pembedahan adalah sangat rendah. Pesakit boleh menjalani aktiviti harian senam minggu hingga dua bulan selepas pembedahan.
Mereka yang mengalami katarak pada peringkat matang biasanya perlu menjalani teknik pembedahan yang sedikit berbeza.
Terdapat juga beberapa salah tanggapan mengenai rawatan katarak di kalangan warga emas ;
>> Pesakit boleh menjadi buta akibat menjalani pembedahan katarak.
>> Pembedahan katarak tidak memerlukan penggunaan kanta tiruan
>> Pembedahan katarak hanya boleh dilakukan setelah katarak mencapai tahap matang .
>> Masalah mata boleh diubati dengan urutan ataupun ubat titisan mata.
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/
Friday, June 20, 2008
Kesihatan Mata Selepas Umur 50 Tahun
Mata juga akan mengalami perubahan akibat peningkatan usia. Sesetengah perubahan ini adalah normal dan berkait rapat dengan usia tetapi ada juga yang berpunca daripada datangnya penyakit.
Presbyopia (Rabun Dekat)
Penyakit ini adalah perubahan yang paling biasa berlaku di mana seseorang yang meningkat usianya kehilangan keupayaan untuk melihat dari jarak dekat.
Mekanisme memfokus mata pesakit sebegini telah menjadi semakin lemah sementara jalan penyelesaian paling mudah untuk masalah ini adalah dengan penggunaan ‘cermin mata membaca’ dari pakar mata.
Dalam keadaan ini, senaman mata atau memperbanyakkan melihat suasana hijau tidak akan membawa faedah lagi.
Cermin mata dengan lubang-lubang kecil juga tidak dapat membetulkan masalah penglihatan ini.
Selain itu, pesakit juga perlu berhati-hati dengan pembedahan kornea menggunakan laser kerana berkemungkinan banyak masalah boleh berlaku selepas beberapa ketika.
Katarak
Kira-kira 50 peratus daripada mereka yang mencecah usia 70 tahun akan mendapat katarak.
Katarak adalah pembentukan kekeruhan pada kanta asal mata pesakit yang berlaku secara berperingkat dan semakin teruk.
Kanta mata pada asalnya jernih seperti kanta pada cermin mata. Lama kelamaan, kanta ini akan menjadi keruh seperti cermin yang berwap.
Kebanyakan katarak tidak perlu dibuang selagi ia tidak mengganggu penglihatan pesakit. Menukar cermin mata juga hanya membazirkan wang kerana tidak dapat memulihkan masalah ini.
Dalam mendapatkan rawatan untuk katarak pula, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan kaedah terbaik menangani katarak daripada beberapa pakar memandangkan kepakaran teknikal dan kos rawatan amat berbeza di antara pakar-pakar mata terbaik.
Diabetes
Tiada siapa dapat memastikan jumlah sebenar pesakit yang menderita akibat diabetes. Namun dianggarkan lima peratus daripada golongan melebihi usia 50 tahun telah dikenalpasti menghidap diabetes sementara lima hingga 10 peratus lagi masih belum dikesan.
Penyakit ini menyerang dengan senyap dan merupakan ‘pembunuh’ berbahaya kerana pesakit mungkin hanya menunjukkan sedikit simptom sehinggalah kebanyakan daripada organ dan tisu badan telah rosak teruk.
Pengurusan penyakit ini secara klinikal juga tidak berkesan dan amatlah diharapkan semua pihak dapat menumpukan lebih banyak sumber dalam menguruskan ‘bom masa’ ini.
Pengurusan secara berkesan penyakit ini dari peringkat awal selalunya dapat memberi manfaat besar kepada kualiti hidup pesakit kelak.
Jika anda merupakan pesakit diabetes, adalah amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan mata selepas didiagnosis menghidap diabetes dan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun selepas itu, atau lebih kerap bergantung kepada tahap kesihatan mata.
Rawatan sebelum berlakunya kerosakan pada penglihatan selalunya tidak menyakitkan, lebih berjaya dan lebih murah.
Bagaimanapun, jika rawatan hanya diterima selepas penglihatan terjejas, ia selalunya rumit, mahal dan paling penting, mungkin tidak dapat meningkatkan kembali tahap penglihatan pesakit.
Kemerosotan Makular Berkaitan Dengan Usia (ARMD)
Masalah ini merupakan satu-satunya punca utama individu di dunia Barat menghadapi gangguan penglihatan yang serius.
Walaupun terdapat kaitan genetik yang memainkan peranan dalam pembentukan ARMD, amalan pemakanan juga memainkan peranan yang besar.
Memandangkan diet harian di negara ini semakin mengikut gaya pemakanan Barat, bilangan pesakit ARMD di Malaysia juga dilihat semakin meningkat.
Masalah ini menyebabkan kawasan pusat retina yang sensitif menjadi kecut dan kadangkala ia berlaku dengan pantas dan amat membimbangkan.
Retina merupakan bahagian mata yang membentuk imej yang dilihat dan akibat ARMD, imej pertengahan yang tajam menjadi semakin kabur serta tidak jelas, dan akhirnya menjadi kabur sepenuhnya.
Penglihatan periferal (sisi) bagaimanapun tidak terjejas akibat masalah ini. Tabiat merokok juga merupakan satu faktor risiko utama untuk penyakit ini.
Pengambilan suplemen makanan yang kaya dengan vitamin A, C, E, zink, selenium dan lutein mungkin dapat mengurangkan perkembangan ARMD sehingga 25 peratus.
Glaukoma
Masalah yang seringkali terlebih diagnosis tetapi kurang difahami ini (walaupun di kalangan pakar mata), menyebabkan kematian pramatang saraf optik yang menghubungkan mata ke otak.
Keadaan ini selalunya berlaku secara berperingkat tetapi pesakit mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah kerosakan pada saraf tersebut tidak dapat diperbaiki lagi.
Namun, bagi kebanyakan pesakit, keadaan ini sering disalah diagnosis dan tidak diuruskan dengan betul.
Ini kerana terdapat banyak perubahan normal pada mata yang menyerupai glaukoma tetapi tidak memerlukan rawatan dan hanya perlu diperhatikan perkembangannya.
Walaupun jika pesakit disahkan menghidap glaukoma, rawatan yang berjaya dapat diperolehi dengan hanya menggunakan ubat titisan mata sementara pembedahan jarang sekali perlu dilakukan ke atas pesakit.
Glaukoma mempunyai komponen kaitan genetik yang besar, maka adik-beradik kepada pesakit yang disahkan menghidap glaukoma perlu dibuat pemantauan untuk perkembangan masalah ini, seumur hidup mereka.
Kadangkala, keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan yang teruk jika pesakit turut mengalami katarak yang semakin melarat.
Pembedahan membuang katarak selalunya menyelesaikan masalah sebegini tanpa memerlukan pembedahan khusus untuk glaukoma.
Bagaimanapun, pesakit yang berasa sangsi dinasihat untuk mendapatkan pandangan dari beberapa pakar lain sebelum bersetuju menjalani sesuatu bentuk rawatan.
Kebanyakan masalah mata hanya muncul dengan usia yang semakin meningkat.
Kebanyakan daripada masalah ini juga kini boleh dirawat di Malaysia dan tidak memerlukan rawatan di luar negara.
Namun, penjagaan kesihatan mata di negara ini masih kurang konsisten dari segi kualiti tinggi rawatan seperti yang diharapkan dan ini belum lagi ditambah dengan masalah perbezaan kos yang ketara walaupun untuk rawatan yang serupa.
Pesakit dinasihatkan untuk bijak memilih dan mendapatkan pandangan dari beberapa pakar mata terlebih dahulu.
Pesakit juga perlu memahami masalah mata yang dihidapi mereka dengan mendapatkan pelbagai maklumat percuma dari internet atau berjumpa pakar perubatan.
Ditulis oleh:
Dr Fatima Najla KM Muhd Jaafar
Pakar Runding Pembedahan Mata,
Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) Midvalley, Kuala Lumpur
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Monday, June 02, 2008
Merokok Menyebabkan Buta
Walaubagaimanapun, masyarakat kita kurang didedahkan mengenai risiko buta di kalangan individu yang merokok.
Dalam satu kajian yang dijalankan di kalangan remaja Britain berusia antara 16 hingga 18 tahun, 30 peratus mengetahui bahaya merokok kepada jantung.
Namun, 90 peratus daripada remaja-remaja tersebut tidak mengetahui tentang kesan merokok kepada mata.
Mereka bagaimanapun mengakui lebih bimbang kepada kemungkinan menjadi buta akibat merokok melebihi risiko barah paru-paru, masalah jantung dan strok.
Merokok boleh menyebabkan buta akibat penyakit katarak, penyakit degenerasi makula (age related macula degeneration atau ARMD), saluran darah arteri tersumbat pada lapisan retina (central retinal artery occlusion) dan saluran darah vena tersumbat pada lapisan retina (central retinal vein occlusion).
Penyakit Katarak
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak merupakan punca utama masalah buta di seluruh dunia.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 18,000 orang pesakit negara ini menjalani pembedahan katarak pada tahun 2004 sahaja.
Angka ini tidak termasuk mereka yang mendapatkan pembedahan di klinik-klinik atau hospital-hospital swasta. Bilangan ini juga dijangka semakin meningkat setiap tahun.
Katarak sememangnya berlaku akibat peningkatan faktor usia. Tetapi, penyelidikan di serata dunia telah mengenal pasti merokok merupakan faktor yang menyumbang kepada berlakunya penyakit katarak.
Mereka yang kuat merokok dan telah merokok untuk tempoh yang lama dikatakan lebih berisiko menjadi buta akibat penyakit katarak.
Individu yang merokok melebihi satu kotak rokok sehari didapati lebih berisiko tinggi untuk menjadi buta akibat penyakit katarak.
Bagi perokok yang merokok kurang dari satu kotak rokok sehari, risiko katarak mereka hanya akan turun dan menyamai risiko katarak seperti individu yang tidak merokok selepas 10 tahun perokok tersebut berhenti merokok.
Pesakit yang mengalami masalah katarak biasanya mengadu kabur penglihatan secara beransur-ansur.
Pada peringkat yang teruk, pesakit mempunyai keupayaan melihat yang sangat terhad. Mereka tidak dapat melihat pada jarak jauh dan hanya boleh melihat objek-objek yang besar pada jarak yang dekat.
Mereka biasanya terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain untuk melakukan aktiviti harian seperti makan, minum dan menguruskan keperluan diri.
Tembakau menyebabkan terhasilnya radikal-radikal bebas di dalam mata. Radikal bebas ini menyebabkan kerosakan secara langsung pada struktur kanta mata yang asalnya bersifat jernih.
Ini menyebabkan kanta mata bertukar keruh secara perlahan-lahan. Keadaan ini menghalang cahaya memasuki mata dan menjejaskan imej yang terbentuk pada lapisan retina.
Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat teruk perlu menjalani pembedahan bagi memulihkan penglihatan mereka. Pembedahan perlu dilakukan supaya pesakit tidak terus hidup dalam keadaan yang gelap dan suram.
Berhenti merokok atau tidak merokok sama sekali merupakan satu pilihan yang tepat bagi mengurangkan risiko buta akibat penyakit katarak.
Penyakit Degenerasi Makula
Penyakit degenerasi (kemerosotan) makula merupakan salah satu punca masalah buta di kalangan individu berumur antara 55 hingga 60 tahun di serata dunia.
Sebanyak 3.5 peratus daripada individu berusia antara 40 hingga 80 di kalangan bangsa Melayu di Singapura dilaporkan mengalami masalah ini.
Kaum lelaki merupakan majoriti yang mengalami penyakit ini berbanding kaum wanita.
Kajian di kalangan warga Australia di Sydney juga menunjukkan peratusan yang sama. Walaubagaimanapun, kita masih tidak mempunyai data untuk prevalens (sebaran) penyakit ini di Malaysia.
Penyakit ini juga berlaku akibat faktor peningkatan usia. Namun, para penyelidik telah mengenal pasti hubung kait yang jelas di antara amalan merokok dengan penyakit degenerasi makula.
Mengikut laporan yang diterbitkan dalam salah satu jurnal perubatan antarabangsa pada awal tahun ini, mereka yang merokok pada usia muda dan telah berhenti merokok berisiko lebih tinggi untuk mengalami buta akibat penyakit degenerasi makula berbanding mereka yang tidak merokok.
Dalam satu kajian yang berasingan, mereka yang merokok mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi mengalami penyakit ini berbanding individu yang tidak merokok. Penyakit ini juga didapati berlaku 10 tahun lebih awal di kalangan mereka yang merokok.
Pesakit degenerasi makula biasanya mengadu kabur penglihatan pada bahagian tengah dan mengalami kesukaran untuk membaca, menulis, menonton dan memandu.
Keadaan ini bagaimanapun tidak menyebabkan rasa sakit atau kemerahan pada bola mata. Lama-kelamaan pesakit boleh menjadi buta sepenuhnya.
Ubat untuk merawat penyakit ini melibatkan kos yang mahal. Penglihatan pesakit juga sukar dipulihkan sekiranya terdapat parut pada bahagian makula.
Sekiranya ini berlaku, pesakit akan mengalami buta secara kekal dan perkara ini pasti menjejaskan satu kehidupan yang berkualiti dan berwarna-warni.
Penyakit ini boleh dicegah pada peringkat awal. 'Jangan merokok' merupakan langkah pencegahan yang utama dan sepatutnya menjadi amalan kita.
Banyakkan pengambilan sayuran hijau seperti bayam dan sawi. Khasiat sayur-sayuran ini memberi kebaikan kepada salur darah pada lapisan retina.
Senaman sebanyak tiga kali seminggu juga dilaporkan dapat mengurangkan risiko mengalami penyakit ini sebanyak 70 peratus.
Saluran Darah Arteri Tersumbat Pada Lapisan Retina
Saluran darah arteri yang tersumbat pada lapisan retina juga menyebabkan pesakit mengadu kabur penglihatan secara tiba-tiba.
Penyakit ini juga dikenali sebagai 'strok pada mata'. Ia merupakan satu keadaan kecemasan dan perlu diberi rawatan segera bagi mengelakkan pesakit menjadi buta.
Penyakit ini berlaku pada individu yang berusia melebihi 50 tahun dan berkait rapat dengan amalan merokok.
Di Amerika Syarikat, penyakit ini berlaku pada kadar 0.85 bagi setiap 100,000 individu pada setiap tahun. Penyakit ini juga lebih banyak berlaku di kalangan pesakit lelaki berbanding pesakit wanita.
Pesakit biasanya mengalami masalah jantung atau saluran arteri karotid yang sempit selain amalan merokok dan tahap kolesterol yang tinggi.
Darah beku dari jantung atau saluran arteri karotid menyebabkan saluran arteri pada lapisan retina tersumbat secara tiba-tiba.
Ini menyebabkan kekurangan oksigen yang ketara pada lapisan retina dan mengakibatkan mata menjadi buta.
Pesakit boleh menjadi buta secara kekal sekiranya rawatan kecemasan tidak diberikan dalam tempoh empat hingga enam jam yang pertama atau lambat mendapatkan rawatan doktor setelah mengalami gejala-gejala yang disebutkan di atas.
Penyakit ini perlu dicegah sebelum berlaku. Sebanyak 65 peratus pesakit menjadi buta kekal akibat penyakit ini.
Amalkan cara hidup yang sihat. Pesakit perlu mendapatkan rawatan perubatan yang konsisten dan teratur bagi memastikan penyakit jantung dan paras kolesterol berada pada tahap yang terkawal.
Berhentilah merokok atau jangan merokok merupakan asas yang penting untuk mencegah mata anda daripada buta.
Saluran Darah Vena Tersumbat Pada Lapisan Retina
Saluran darah vena pada lapisan retina yang tersumbat menyebabkan pesakit mengadu kabur penglihatan secara tiba-tiba. Pesakit biasanya tidak mengalami gejala sakit atau bola mata yang kemerahan.
Penyakit ini berlaku pada individu yang berusia melebihi 50 tahun dan juga mempunyai hubung kait dengan amalan merokok.
Selain itu, pesakit juga turut mengalami masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi dan paras kolesterol darah yang tinggi.
Amalan merokok menyebabkan saluran vena mengalami kecederaan dan mengakibatkan berlaku tindak balas sel-sel darah pada tempat tersebut. Keadaan ini menyebabkan saluran vena menjadi sempit dan mudah tersumbat.
Saluran vena yang tersumbat ini menyebabkan kekurangan peredaran darah pada keseluruhan lapisan retina. Ini diikuti dengan terjadinya pendarahan dan bengkak pada lapisan retina.
Keadaan ini menyebabkan pesakit menjadi buta. Rawatan laser ditawarkan dalam kes-kes tertentu yang melibatkan bengkak dan timbul salur darah baru pada lapisan retina.
Sekali lagi, rawatan pencegahan amat penting. Dapatkan rawatan moden bagi memastikan penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal, serta pengawalan paras kolesterol yang optimum. Tinggalkan tabiat merokok yang terbukti menyumbang kepada masalah buta.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
Thursday, April 03, 2008
Pembedahan Katarak : Apa Yang Patut Anda Ketahui
Namun demikian, masih terdapat perkara dan isu yang patut disedari dan diberikan pertimbangan sebelum anda menjalani pembedahan katarak.
Apakah Yang Dikatakan Katarak?
Katarak berlaku apabila kanta mata menjadi kabur disebabkan oleh pengumpulan protein dalam kanta mata. Tahap keseriusannya boleh diklasifikasikan mengikut usia, peringkat, jenis dan puncanya.
Bagaimanakah Pembedahan Katarak Dilakukan?
Kebanyakan pembedahan katarak dilakukan dalam dua cara:
1- Pembedahan lebihan kapsul. Insisi/torehan berukuran kira-kira 6mm dibuat di sekeliling kornea dan kanta kabur dikeluarkan daripada mata.
Kanta tiruan kemudiannya dimasukkan ke dalam beg kapsul (beg kapsul kekal dalam keadaan asal selepas pengumpulan protein dibuang). Luka kemudian ditutup dengan jahitan halus.
2- Fakomulsifikasi. Ini adalah kaedah yang digunakan untuk membuang katarak menerusi insisi tanpa jahitan.
Satu jarum titanium halus yang bergetar pada frekuensi ultrasound (kira-kira 40,000cps) digunakan untuk menanggalkan nukleus kanta, yang dikeluarkan menerusi jarum yang sama.
Kanta tiruan dimasukkan ke dalam beg kapsul tanpa memerlukan jahitan. Kanta yang digunakan adalah sebegitu lembut hinggakan ia boleh dilipat dan dimasukkan menerusi insisi halus.
Kanta itu kemudiannya dikembangkan hingga saiz penuh di dalam beg kapsul yang tersangat getas dan tidak terusik.
Pembedahan bentuk ini dinamakan pembedahan laser tetapi pada hakikatnya ia menggunakan tenaga ultrasound.
Fakomulsifikasi mempunyai beberapa kelebihan berbanding pembedahan lebihan kapsul.
Oleh kerana luka dalam pembedahan fakomulsifikasi adalah lebih kecil, pesakit akan pulih dengan lebih cepat. Lagipun, kemungkinan mendapat jangkitan adalah lebih rendah.
Jika dilakukan oleh pakar, pembedahan ini boleh disempurnakan dalam tempoh lebih kurang sepuluh minit manakala pembedahan lebihan kapsul mengambil masa lebih dua hingga tiga kali ganda. Bagaimanapun, pembedahan fakomulsifikasi lebih sukar dilakukan jika kanta terlalu tebal.
Bilakah Seseorang Memerlukan Pembedahan Katarak?
Seseorang tidak seharusnya dipaksa menjalani pembedahan katarak. Keputusan untuk menjalani pembedahan katarak hendaklah ditentukan oleh keperluan gaya hidup pesakit dan bukan oleh doktor.
Ia bergantung kepada tahap kemerosotan penglihatan yang dialami oleh pesakit. Sebagai contoh, seorang nenek mungkin berpuas hati dengan kejelasan penglihatan sebanyak tujuh puluh peratus kerana tuntutan gaya hidupnya hanya memerlukan dia bermain dengan cucu dan membuat sedikit kerja rumah.
Sedangkan bagi seseorang yang memerlukan penglihatan yang sempurna untuk memandu dan membuat kerja halus, kekaburan penglihatan walaupun sedikit, boleh mendatangkan masalah.
Patutkah Saya Mempercayai Kemahiran Doktor Atau Mesin Berteknologi Tinggi?
Penggabungan peralatan moden dengan rekod yang terbukti dengan kemahiran doktor adalah kombinasi yang terbaik. Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi yang berterusan, seseorang mesti berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan dakwaan teknologi canggih dan mesin baru.
Biarpun ringkas, pembedahan katarak masih berisiko. Penilaian secara teliti dan penjelasan yang lengkap mesti diberi oleh doktor.
Anda juga seharusnya menyiasat latar belakang kakitangan yang melayani anda - adakah mereka mewakili pelabur swasta yang mengharapkan pulangan lebih tinggi daripada pelaburan mereka?
Atau, adakah mereka benar-benar pakar oftalmologi? Adakah anda lebih suka menerima nasihat daripada seorang doktor atau pakar bedah yang akan menjalankan pembedahan anda atau pasukan jualan yang cuba mengagumkan anda dengan pakej paling mahal?
Ingatlah, jurujual bukanlah orang yang akan menjalankan pembedahan anda. Bidang ubat-ubatan tidak boleh diperkenalkan semata-mata untuk mencari keuntungan.
Ia bukan komoditi dan anda seharusnya berwaspada terhadap mereka yang mungkin menggunakan industri perubatan semata- mata untuk kepentingan dan keuntungan mereka sendiri.
Kerana itulah Kementerian Kesihatan berusaha untuk membanteras pelabur yang menggunakan doktor sebagai proksi.
Apakah Implan Kanta Yang Harus Saya Pilih Untuk Pembedahan Katarak?
Selepas katarak dibuang, kanta tiruan dimasukkan ke dalam beg kapsul yang tinggal. Ketepatan kuasa kanta yang dimasukkan dikira sebelum pembedahan.
Kuasa tersebut boleh memulihkan penglihatan mata pesakit kepada 20/20 atau membetulkan rabun dekat atau rabun jauh. Astigmatisme tidak boleh diperbetulkan dengan kanta konvensional tersebut.
Contohnya, sebelum pembedahan, cermin mata yang dipakai mungkin rabun jauh dioptre -3.00, astigmatisme dioptre -0.75. Selepas pembedahan, pesakit mungkin hanya mempunyai kuasa astigmatisme dioptre -0.75.
Pergantungan terhadap cermin mata sebanyak 100 peratus sebelum pembedahan telah berkurangan dan anda boleh melakukan tugas harian tanpa memakai cermin mata.
Tetapi, pencapaian terbaru kini?
Alangkah bagusnya jika ada kanta tiruan yang memperbetulkan kedua-dua jenis kerabunan - jarak jauh dan jarak dekat - tanpa perlu bergantung kepada cermin mata.
Kini, syarikat kanta tiruan yang terkenal seperti Alcon dan AMO telah melancarkan kanta multifokal (berbilang fokus) di pasaran.
Sebagaimana yang diarahkan oleh syarikat ini, garis panduan yang ketat dan pemilihan pesakit dengan betul sangat penting untuk memastikan kejayaan kanta ini.
Penilaian sebelum pembedahan mesti memastikan pesakit mempunyai hanya sedikit atau tiada langsung astigmatik dan selepas pembedahan, pesakit tersebut hampir tidak memerlukan cermin mata langsung.
Malangnya, doktor dan individu yang terlalu ghairah telah menyebabkan kekesalan di kalangan pesakit yang tidak puas hati dengan kanta baru ini.
Terdapat sekumpulan pesakit yang diberi janji palsu dan akibatnya, mengadu penglihatan yang kabur bagi jarak dekat dan jarak jauh selepas pembedahan.
Saya telah meneliti kes ramai pesakit yang melalui pengalaman yang menakutkan dan kesilapan astimatik yang tinggi.
Lebih menakutkan, sesetengah pesakit yang muda yang masih tidak mengalami sebarang kekaburan dipujuk supaya menjalani pembedahan implan kanta multifokal.
Memburukkan lagi keadaan, adalah sukar untuk mengeluarkan kanta sedemikian tanpa menjejaskan keutuhan kapsul yang meletakkan kanta dalam kedudukan yang betul.
Di samping itu, seseorang mesti melakukan pembedahan bilateral untuk memperolehi kesan-kesan kanta multifokal sepenuhnya.
Justeru, pesakit menghadapi dilema kerana kanta terlekat dalam beg dan dia keberatan untuk menjalani pembedahan bagi mata yang sebelah lagi dengan kanta yang serupa.
Adakah saya seorang calon yang sesuai untuk pembedahan katarak dan implan kanta multifokal (fokal berbilang)?
Pembedahan diharuskan apabila masalah katarak menjejaskan gaya hidup anda. Semua jenis pembedahan, baik pembedahan katarak, laser mata atau sebarang pembedahan khusus yang lain, mempunyai risikonya.
Oleh yang demikian, semua pembedahan hanya patut dikendalikan oleh doktor yang pakar.
Seseorang tidak harus membiarkan jurujual memujuk mereka supaya menjalani pembedahan. Aspek perniagaan tidak boleh sama sekali melebihi kepentingan pesakit.
Jika anda digalakkan menjalani sebarang pembedahan seperti implan kanta multifokal, sekurang-kurangnya tanya doktor pakar sama ada dia boleh menjanjikan penglihatan jarah jauh dan jarak dekat yang jelas.
Ditulis oleh:
Dr Yeoh Phee Liang
Advance Vision Eye Specialist Centre
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Friday, March 07, 2008
Penyakit Selaput Mata Pada Kanak-Kanak
Penyakit selaput mata pada kanak-kanak juga dikenali sebagai penyakit katarak kongenital dalam bahasa perubatan. Katarak kongenital ialah satu keadaan di mana kanta mata yang asalnya bersifat jernih dan lut- cahaya telah bertukar menjadi keruh dan keadaan ini dikesan selepas kelahiran.
Kanta mata berfungsi untuk memfokus cahaya yang masuk ke dalam mata dan membentuk imej pada retina.
Penyakit katarak menghalang cahaya masuk ke dalam mata dan menyebabkan imej yang kabur terhasil pada retina mata.
Penyakit ini boleh menjejaskan penglihatan pesakit dan boleh menyebabkan pesakit menjadi buta sekiranya tidak dirawat dari peringkat awal lagi.
Katarak kongenital boleh berlaku pada satu mata sahaja ataupun melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki ataupun perempuan.
Mereka yang mempunyai sejarah keluarga penyakit ini juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mewarisinya. Katarak kongenital dilaporkan berlaku antara satu hingga enam kes dalam setiap 10,000 kelahiran di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun tidak terdapat data yang lengkap tentang insiden kes-kes katarak kongenital di negara lain di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan jumlah kes katarak kongenital mungkin dikesan dalam jumlah yang lebih tinggi di negara-negara sedang membangun.
Punca
Keadaan katarak kongenital yang berlaku pada satu mata sahaja merupakan kes jarang-
jarang berlaku. Pesakit yang mengalami katarak kongenital pada satu mata sahaja biasanya turut mengalami kecacatan kongenital mata yang lain seperti keabnormalan struktur hadapan mata, keabnormalan struktur primer vitreous (gelemaca) dan satu keadaan dikenali sebagai lentikonus posterior.
Pesakit yang mengalami masalah katarak kongenital pada kedua-dua belah mata pula biasanya mempunyai sejarah keluarga penyakit katarak kongenital serta beberapa penyakit yang lain.
Antaranya ialah kelahiran pramatang dan jangkitan kuman semasa dalam kandungan seperti rubella, syphilis, toxoplasmosis dan herpes.
Gangguan metabolik seperti hypoglisemia, hyperglysemia, hypokalsemia dan galaktosemia turut menyebabkan berlakunya penyakit katarak kongenital.
Pesakit yang mengalami penyakit seperti sindrom Down, sindrom Edward dan sindrom Patau juga dilaporkan berisiko mendapat penyakit katarak kongenital.
Tanda-Tanda
Penyakit katarak kongenital boleh dikesan seawal bulan pertama kelahiran. Antara tanda awal ialah anak mata hitam kelihatan berwarna putih. Keadaan ini boleh berkekalan untuk satu tempoh masa yang lama atau menjadi lebih serius secara perlahan-lahan.
Keadaan ini menyebabkan penglihatan kanak-kanak berkenaan menjadi kabur dan terhad. Mereka juga sukar untuk mengenali objek yang kecil dan halus.
Kanak-kanak dengan masalah ini menunjukkan gejala silau pada cahaya matahari dan perkembangan fizikal yang perlahan berbanding kanak-kanak normal yang lain.
Sekiranya mata kanak-kanak menjadi juling dan keadaan bola mata yang bergerak-
gerak (nystagmus), ini menunjukkan penyakit katarak kongenital berada pada peringkat yang kritikal.
Komplikasi
Penglihatan kanak-kanak yang kabur ini sebenarnya mengganggu perkembangan otak.
Umur sekitar empat bulan hingga dua tahun pertama sangat kritikal untuk perkembangan mata dan otak kanak-kanak.
Input visual yang dilihat akan dihantar ke otak bagi membolehkan kanak-kanak mengenali pelbagai jenis objek.
Sekiranya proses ini terganggu, kanak-kanak itu tidak dapat mengenali objek yang dilihat kerana bahagian otak yang berperanan mengawal deria penglihatan tidak berkembang dan berfungsi dengan baik.
Fenomena ini juga dikenali sebagai amblyopia atau mata malas. Kanak-kanak dengan masalah ini hanya boleh mengenali objek yang besar dan ini akan mengganggu proses pembelajaran terutamanya kebolehan menulis dan membaca.
Kaedah Rawatan
Kanak-kanak yang mengalami gejala klinikal seperti yang dinyatakan perlu menjalani pemeriksaan yang menyeluruh oleh doktor pakar mata.
Pesakit yang mengalami gangguan penglihatan yang serius pula mungkin perlu menjalani pembedahan.
Bagi pesakit yang mengalami gangguan penglihatan yang minimum pula, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan pakar mata secara berkala bagi memastikan keupayaan penglihatan berada pada tahap yang memuaskan.
Pembedahan katarak perlu dilakukan pada peringkat awal bagi mengelakkan risiko pesakit menjadi buta.
Kanta mata tiruan juga mungkin perlu dimasukkan ke dalam mata semasa pembedahan bagi menggantikan kanta mata asli yang telah bertukar menjadi keruh. Antara pilihan selain pembedahan ialah kanta sentuh atau cermin mata bagi menggantikan fungsi kanta mata asal.
Kanak-kanak yang telah menjalani pembedahan katarak juga akan memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pakar mata dari semasa ke semasa. Perkara ini penting bagi memastikan pesakit dapat melihat dengan baik selepas pembedahan.
Salah Anggapan Masyarakat
Masyarakat kita biasanya mempunyai tanggapan yang salah mengenai penyakit katarak kongenital. Antaranya ialah:
* Pembedahan katarak menyebabkan mata buta
* Tunggu hingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu sebelum diberi rawatan atau pembedahan
* Tiada rawatan yang khusus untuk merawat penyakit ini
* Anggapan bahawa pembedahan katarak menyebabkan mata menjadi buta adalah salah sama sekali.
Pembedahan katarak boleh mengembalikan penglihatan pesakit ke tahap yang lebih baik dan ia perlu dilakukan seawal selepas diagnosis dibuat.
Sekiranya pembedahan dibuat selepas pesakit menunjukkan tanda-tanda ambylopia, keupayaan melihat pesakit bukan lagi berada pada tahap yang maksimum.
Pesakit mungkin perlu menjalani rawatan lanjut bagi mengatasi masalah amblyopia.
* Sikap menunggu sehingga kanak-kanak membesar terlebih dahulu juga perlu dihindari sebelum pesakit mencapai tahap amblyopia dan keupayaan melihat yang terhad ini akan berkekalan sepanjang mereka membesar sehingga dewasa. Keadaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya pesakit turut tidak menjalani sebarang rawatan untuk masalah amblyopia.
* Penyakit katarak kongenital kini boleh dirawat menggunakan cara rawatan dan teknologi moden. Anggapan bahawa tiada rawatan khusus untuk penyakit ini adalah amat tidak tepat.
Rawatan ini disediakan oleh semua hospital kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran dalam bidang oftalmologi di seluruh Malaysia.
Peranan Ibu Bapa
Para ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang sangat penting dalam diagnosis awal dan rawatan yang tepat untuk penyakit ini.
Segeralah membawa anak berjumpa doktor pakar mata sekiranya mengalami gejala seperti yang dinyatakan di atas.
Penyakit katarak kongenital boleh dirawat dan tidak seharusnya dibiarkan sehingga menyebabkan pesakit menjadi buta.
Rawatan awal amat penting bagi membolehkan pesakit mempunyai keupayaan melihat yang baik dan jelas sepanjang pembesaran mereka dan apabila dewasa kelak.
Budaya ‘tunggu dulu’ dan ‘tidak apa’ juga perlu dikikis dari masyarakat kita. Anak-anak kita berhak membesar dengan penuh keriangan dan keceriaan.
Oleh itu, janganlah kita sebagai ibu bapa membiarkan mereka membesar dalam dunia yang penuh kegelapan.
GLOSARI
* Katarak – penyakit kanta mata yang sepatutnya jernih dan lutsinar menjadi gelap dan mengganggu penglihatan
* Kongenital – suatu sifat atau keadaan yang muncul sejak lahir, mungkin berpunca daripada faktor genetik atau faktor lain
* Amblyopia – keadaan mata malas, penglihatan mata pesakit tidak jelas sedangkan struktur fizikal mata kelihatan normal
* Retina – lapisan sel peka cahaya di bahagian belakang bebola mata yang menangkap imej yang dilihat untuk diproses oleh otak
* Hipoglisemia – kandungan gula (glukosa) dalam darah yang rendah daripada normal
* Hyperglysemia – kandungan gula dalam darah yang tinggi daripada normal
* Hypokalsemia – kandungan kalsium dalam darah yang rendah daripada normal
* Galaktosemia – masalah metabolik genetik yang jarang ditemui, menyebabkan penghidap tidak dapat menggunakan gula jenis galaktosa
* Sindrom Down – masalah kromosom yang juga dikenali sebagai Trisomy 21 iaitu kehadiran tiga kromosom ke-21 yang menyebabkan pelbagai jenis masalah tumbesaran dan masalah kognitif. Risiko penyakit ini meningkat dengan usia ibu ketika mengandung.
* Sindrom Edward – masalah kromosom yang juga dikenali sebagai Trisomy 18 iaitu kehadiran tiga kromosom ke-18 yang menyebabkan beberapa masalah kesihatan. Jangka hayat pesakit juga amat rendah dengan hanya lima hingga 10 peratus penghidap penyakit ini hidup selepas satu tahun dilahirkan.
* Sindrom Patau – masalah kromosom yang juga dikenali sebagai Trisomy 13 iaitu kehadiran tiga kromosom ke-13 yang mengganggu pertumbuhan pesakit dan merendahkan jangka hayat pesakit. Risiko penyakit ini meningkat dengan usia ibu ketika mengandung.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Wednesday, March 05, 2008
Penyakit Katarak Kalangan Warga Emas
Kanta mata asal yang jernih telah bertukar secara perlahan-lahan menjadi keruh dan menyebabkan pandangan menjadi kabur.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit katarak yang disebabkan oleh faktor peningkatan usia menyumbang kepada 48 peratus kes-kes buta di seluruh dunia dan jumlah ini melibatkan seramai 18 juta penduduk dunia.
Senario yang sama juga turut berlaku di negara ini. Ramai kalangan warga emas yang mendapatkan rawatan di klinik-klinik pakar mata di hospital kerajaan atau swasta mengalami masalah katarak.
Penyakit katarak yang disebabkan faktor peningkatan usia biasanya berlaku pada individu yang berusia melebihi umur 60 tahun. Penyakit ini berlaku secara perlahan-lahan dan biasanya melibatkan kedua-dua belah mata. Penyakit ini juga berlaku tanpa mengira jantina lelaki atau perempuan.
Pesakit kencing manis, pendedahan kepada sinaran cahaya ultraviolet, merokok dan pengambilan alkohol meningkatkan risiko penyakit ini.
Tanda-tanda
Penyakit katarak akibat peningkatan faktor usia berlaku secara perlahan-lahan.
Antara tanda-tanda awal ialah penglihatan jauh menjadi kabur dan kerap menukar cermin mata.
Penyakit ini tidak menyebabkan rasa sakit pada bola mata ataupun menyebabkan bola mata menjadi merah.
Pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat yang hampir matang akan mengalami gangguan penglihatan yang ketara terutamanya pada jarak yang dekat.
Pesakit akan mengalami kesukaran untuk melihat ketika membaca, menulis dan memandu. Pesakit yang mengalami penyakit katarak matang pada kedua-dua belah mata pula akan mengalami kesukaran untuk menjalani aktiviti harian lain seperti makan, minum dan menjaga kebersihan diri.
Warga emas dengan masalah ini sebenarnya akan mengalami waktu yang sangat sukar kerana mereka memerlukan bantuan orang lain sepanjang masa untuk menguruskan diri sendiri.
Komplikasi Katarak Matang
Katarak yang matang boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang dikenali sebagai glaukoma sekunder. Pesakit yang mengalami keadaan ini biasanya mengalami sakit yang kuat pada bola mata secara tiba-tiba.
Bola mata juga menjadi merah dan pesakit mungkin mengalami gejala seperti loya, muntah dan sakit kepala.
Keadaan ini berlaku disebabkan oleh gangguan kepada aliran cecair akuas di dalam mata yang disebabkan oleh katarak yang matang.
Tekanan di dalam bola mata menjadi tinggi dan pesakit perlu menjalani pembedahan kecemasan katarak sekiranya keadaan ini berlaku.
Pesakit dinasihatkan supaya menjalani pembedahan katarak mengikut nasihat yang diberikan oleh doktor pakar mata dan tidak bersikap ‘tunggu dulu’ sehingga keadaan glaukoma sekunder ini berlaku.
Potensi pesakit untuk melihat semula selepas pembedahan adalah jauh lebih baik sekiranya pembedahan katarak dilakukan secara elektif dan terancang berbanding pesakit yang hanya menjalani pembedahan setelah mengalami keadaan glaukoma sekunder.
Kaedah rawatan
Warga emas yang mengalami tanda-tanda seperti yang dinyatakan dinasihatkan berjumpa doktor pakar mata, sama ada di hospital kerajaan atau swasta. Pakar mata akan menjalankan pemeriksaan mata yang menyeluruh bagi memastikan diagnosis yang tepat ke atas pesakit.
Bagi pesakit yang mengalami penyakit katarak pada peringkat awal, biasanya akan disarankan menggunakan cermin mata bagi membantu penglihatan pesakit.
Pesakit mungkin memerlukan pemeriksaan mata secara berkala. Perkara ini bergantung kepada keadaan mata dan tahap penyakit katarak seseorang pesakit.
Warga emas yang didapati mengalami keupayaan penglihatan yang terjejas teruk akibat penyakit katarak, biasanya disarankan oleh doktor pakar mata supaya menjalani pembedahan katarak.
Para pesakit dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga penyakit katarak mencapai tahap matang, barulah mereka bersedia untuk menjalani pembedahan.
Pembedahan Katarak Secara Moden
Pembedahan katarak secara moden adalah selamat dan kemudahan ini disediakan di hospital-hospital kerajaan dan hospital swasta yang menawarkan kepakaran oftalmologi di seluruh Malaysia.
Kemudahan dan kepakaran yang ditawarkan di negara kita juga adalah setanding dengan negara-negara luar. Pembedahan katarak boleh dilakukan secara bius setempat atau bius am, bergantung kepada keperluan pesakit.
Pembedahan
Pesakit yang turut mengalami masalah perubatan yang lain seperti kencing manis, darah tinggi, asma, kegagalan buah pinggang dan masalah jantung perlu menjalani pemeriksaan fizikal secara menyeluruh bagi memastikan tahap kesihatan mereka memuaskan sebelum menjalani pembedahan katarak.
Semasa pembedahan katarak, kanta mata yang keruh akan dikeluarkan dan ia perlu diganti dengan kanta mata tiruan. Kanta mata tiruan akan dimasukkan ke dalam bola mata pesakit bagi menggantikan fungsi kanta mata yang asal dan membantu memulihkan keupayaan penglihatan setiap pesakit.
Pembedahan katarak secara ‘phacoemulsification’ boleh dilakukan ke atas pesakit yang belum mencapai tahap katarak matang.
Luka pada bola mata pesakit yang menjalani pembedahan secara teknik ini sangat kecil dan mungkin tidak memerlukan sebarang jahitan.
Keadaan ini membolehkan luka tersebut sembuh dengan kadar yang cepat dan kemungkinan berlakunya astigmatism (lekuk kornea) selepas pembedahan adalah sangat rendah.
Pesakit boleh menjalani aktiviti harian asalkan di dalam tempoh enam minggu hingga dua bulan selepas pembedahan.
Pesakit yang mengalami katarak pada peringkat matang biasanya perlu menjalani teknik pembedahan yang sedikit berbeza.
Teknik pembedahan ini dikenali sebagai pembedahan katarak secara ‘extracapsular’. Pembedahan secara ini melibatkan luka yang lebih besar berbanding luka yang dilakukan semasa pembedahan secara ‘phacoemulsification’.
Luka ini perlu dijahit dan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.
Pesakit biasanya dibenarkan menjalani aktiviti harian yang asal selepas tempoh dua atau tiga bulan.
Terdapat juga beberapa salah tanggapan mengenai rawatan katarak di kalangan warga emas dan anggota masyarakat kita seperti;
* Pembedahan katarak menyebabkan pesakit menjadi buta
* Pembedahan katarak tidak memerlukan penggunaan kanta tiruan
* Pembedahan katarak hanya boleh dilakukan setelah katarak mencapai tahap matang sahaja.
Pesanan penting
Berjumpalah doktor pakar mata untuk mendapatkan nasihat sekiranya ibu bapa, kaum keluarga atau warga emas yang anda kenali mengalami tanda-tanda katarak seperti yang dinyatakan.
Penyakit ini tidak seharusnya menyebabkan seseorang individu menjalani kehidupan yang kabur dan sukar.
Pastikan juga ibu bapa anda menghabiskan usia-usia emas mereka dengan kehidupan yang berkualiti dan bermakna.
Langkah-langkah pencegahan
Setakat ini tiada langkah pencegahan yang khusus untuk penyakit ini memandangkan puncanya dikenal pasti berlaku akibat peningkatan faktor usia.
Bagaimanapun, para penyelidik dan doktor menyarankan pesakit supaya berhenti merokok, mengelakkan pengambilan alkohol dan mengurangkan pendedahan kepada sinar ultraviolet bagi memperlahankan kadar proses katarak berlaku.
Pesakit kencing manis dan darah tinggi juga dinasihatkan supaya memastikan tahap kesihatan mereka terkawal dan memuaskan.
Ditulis oleh:
Dr Shatriah Ismail
Pensyarah Kanan dan Pakar Oftalmologi,
Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Kampus Kesihatan Kelantan
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/