Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label glaukoma. Show all posts
Showing posts with label glaukoma. Show all posts

Monday, March 29, 2010

Glaukoma Buta Dalam Senyap

Rosnah Abdul Rashid Shirlin (tiga dari kanan) bersama para peserta yang menyertai Hari Glaukoma Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Agak mengejutkan apabila statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini menunjukkan 1.8 peratus daripada rakyat Malaysia dikesan mempunyai masalah glaukoma. Keadaan itu menjadikan masalah tersebut merupakan penyakit kedua tertinggi dalam bidang kesihatan mata.

Mungkin ramai tidak mengetahui fakta bahawa glaukoma adalah salah satu penyebab utama kebutaan kekal yang menjejaskan hampir jutaan manusia di seluruh dunia.

Ia merupakan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik iaitu laluan yang membawa imej ke otak.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit ini akan merosakkan saraf optik seterusnya menyebabkan hilang penglihatan.

Menyedari akan tahap bahayanya penyakit tersebut, Pertubuhan Glaukoma Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan Hari Glaukoma Sedunia.

Diadakan di salah sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, acara tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Rosnah berkata, tahap kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai penyakit itu masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat di negara ini perlu membuat pemeriksaan mata secara berkala sebagai usaha mencegah daripada mendapat penyakit itu.

''Glaukoma adalah sejenis penyakit senyap yang boleh menyebabkan buta secara perlahan-lahan dan jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera, seseorang itu akan menjadi buta sepenuhnya.

''Dan anda bayangkan dalam 27 juta penduduk Malaysia, hanya 21 peratus daripada jumlah tersebut yang tahu apa itu glaukoma dan 70 peratus lagi langsung tidak tahu mengenai penyakit tersebut.

''Tiada ubat yang mampu menyembuhkan penyakit ini sepenuhnya selain rawatan pencegahan apabila ia dapat dikesan lebih awal,'' ujarnya.

Tambah Rosnah, penyakit glaukoma boleh terjadi kepada sesiapa sahaja malah jika dilihat trend hari ini, penyakit yang kebiasaannya berlaku kepada individu yang berumur 45 tahun dan ke atas kini mula menyerang golongan remaja semuda 23 tahun.

Jelas beliau lagi, penyakit glaukoma hari ini merupakan satu masalah yang serius dan kadar pertambahan mereka yang menghidap penyakit tersebut adalah mengikut kadar populasi penduduk Malaysia.

Katanya lagi, kemudahan bagi merawat pesakit glaukoma akan diperluaskan ke hospital awam di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa glaukoma terjadi tanpa rasa sakit dan secara perlahan-lahan pesakit boleh hilang penglihatan tanpa disedari.

Oleh itu adalah mustahak ujian saringan mata dilakukan ke atas pesakit terutamanya yang mempunyai sejarah keluarga.

Tujuan utama rawatan adalah untuk mengekalkan penglihatan dan rawatan perubatan yang betul serta sempurna dapat merawat serta mengawal glaukoma.

Faktor keturunan juga dilihat faktor yang berkait rapat dan mempengaruhi kebarangkalian seseorang itu menghidap glaukoma.

Jika ada ahli keluarga anda pernah menghidap glaukoma jenis kronik, ahli keluarga lain juga harus disaring lebih awal.

Gejala glaukoma di kalangan bayi baru lahir dapat dilihat dengan kewujudan lapisan kornea atau mata hitam yang tidak jernih seperti mata bayi biasa.

Saiz mata juga mungkin membesar kerana tekanan mata meningkat di dalam mata.

Kanak-kanak berumur beberapa tahun pula mungkin mengalami gejala silau dan kadang kala membenamkan muka ke bantal untuk mengelak mata terkena cahaya.

Perlu difahami bahawa glaukoma masih boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat titis yang mudah digunakan dan mempunyai kesan sampingan minimum.

Jika tekanan mata tidak dapat dipulihkan dengan ubat titis, pembedahan harus dilakukan.


Ditulis oleh:
Mariatul Qatiah Zakaria

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, March 21, 2010

Pemeriksaan Awal Bantu Atasi Glaukoma

Pagi Jumaat lalu, Zaini ke sebuah pusat membeli-belah untuk memeriksa matanya. Sejak akhir-akhir ini, penglihatannya semakin kabur. Memang sebelum ini dia kurang gemar memakai cermin mata hitam, malah dia sering menatap komputer pada jarak yang dekat. Kebetulan rakannya menyarankan dia membuat pemeriksaan mata di sebuah kedai optik terkenal.

Melalui penerangan rakannya, baru dia mengetahui tidak semua kedai optik mempunyai ahli optometri. Ahli optometri adalah individu yang berkait rapat dengan penglihatan.

Bidang kerjaya sebagai ahli optometri agak luas. Ia turut merangkumi memberi rawatan kepada masalah penglihatan yang dialami pesakit.

Mereka juga membuat diagnosis terhadap masalah penglihatan yang dialami mana-mana individu sama ada rabun jauh atau dekat atau kedua-duanya sekali yang memerlukan bantuan alat penglihatan seperti cermin mata atau kanta lekap untuk kembali normal.

Selain itu, tugas mereka turut membabitkan ujian terhadap keupayaan mata individu untuk memfokus. Mereka juga mampu untuk menentukan darjah kanta yang perlu digunakan oleh mana-mana individu yang mengalami masalah rabun.

Ahli optometri mampu membuat ujian glaukoma dan penyakit mata yang lain dengan melakukan diagnosis keadaan yang disebabkan masalah penglihatan mata seperti darah tinggi dan kencing manis dengan merujuk pesakit kepada pengamal perubatan yang disarankan.

Melalui pemeriksaan mata termasuk beberapa ujian khas, ia dapat mengelakkan kehilangan penglihatan akibat daripada penyakit ini.

Menurut juru gaya cermin mata dan ahli optometri Malaya Optical, Ryan Ho, kebanyakan ahli optometri menjalankan tugas secara umum. Bagaimanapun, ada yang pakar dalam penglihatan warga emas dan kanak-kanak. Selain itu, ada juga di antara mereka yang pakar dalam bidang kanta lekap, terapi penglihatan dan penglihatan untuk ahli sukan.

Selain itu, ada juga ahli optometri yang terbabit dalam bidang penyelidikan, mengajar dan memberikan khidmat perundingan.

"Untuk menjadi ahli optometri bukan mudah. Mereka perlu mendapatkan kelayakan yang sah. Mana-mana individu yang berminat perlu ada kelaykan tertentul," katanya.

Menurut Ryan, orang ramai boleh membuat ujian glaukoma di Malaya Optical memandangkan kedai ini mempunyai ahli optometri yang sah dan mesin pemeriksaan yang canggih. Kemudian, Ryan akan menyarankan pelanggannya yang mempunyai masalah mata berjumpa dengan pakar perubatan.

"Ramai orang yang tidak memahami fungsi optometri. Dengan pencegahan dan pengesanan awal, kami dapat membantu pelanggan mengatasi glaukoma. Justeru itu, selain membeli cermin mata hitam untuk melindungi mata, mereka juga boleh mengetahui tahap kesihatan mata," jelasnya yang telah memenangi anugerah BrandLaureate-SMEs 2009 (Hadiah Jenama-Usahawan Kecil Sederhana) di bawah kategori Jenama Terbaik Dalam Jualan Runcit - Pusat Vision Solution.

Kedai pertama Malaya Optical dibuka pada tahun 1957 oleh datuk Ryan, di China Town Kuala Lumpur. Ryan memberitahu, keistimewaan kedai Malaya Optical adalah setiap tujuh kedai ini ditempatkan seorang optometri agar pelanggan-pelanggannya boleh mendapatkan nasihat daripada seseorang yang bertauliah.

"Satu lagi kelebihan kedai Malaya Optical berbanding dengan kedai kaca mata lain yang terdapat di Malaysia adalah beberapa daripada cawangannya dilengkapi dengan mesin-mesin canggih untuk mengesan masalah penglihatan dan kesihatan anak mata.

Juru gaya cermin mata ini pernah menjadi penasihat kepada beberapa orang ahli politik dan artis-artis popular dalam negara.

"Saya menganalisis bentuk tulang muka dan deria sebelum memberikan mereka nasihat dan panduan untuk menyerlahkan lagi bahagian muka. Ini menambahkan lagi keceriaan di muka si pemakai, kerana kaca mata mampu mengubah rupa bentuk seseorang dalam sekelip mata tanpa kosmetik," ujarnya.


Ditulis oleh:
Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, March 13, 2009

Sempatkah Mata Menatap Cucu?

Penglihatan dan kesihatan mata! Bagi kebanyakan daripada kita, kesihatan mata sering kali diambil remeh sedangkan menjadi buta diperakui ramai sesuatu yang lebih menggerunkan daripada mati muda.

Sempena Hari Glaukoma Sedunia pada 12 Mac ini, maklumat penyakit mata ini akan cuba diketengahkan untuk meningkatkan pemahaman tentang risiko dan juga pencegahannya.

Mungkin ramai yang tidak tahu apa itu glaukoma, tetapi secara ringkasnya ia boleh menyebabkan seseorang menjadi buta tanpa sebarang tanda awal.

Ini bermakna mereka yang menghidap glaukoma boleh menjadi buta tanpa disedari, dan mungkin hilang segala keupayaan melihat wajah-wajah orang tersayang.

Mengenali Glaukoma

Semua penyakit sistemik akan memberi kesan kepada mata, termasuklah kanser yang mudah merebak ke mata memandangkan kelajuan aliran darah yang tinggi di dalam mata.

Glaukoma melibatkan sekumpulan penyakit atau masalah mata yang menyebabkan kerosakan khusus kepada saraf optik dan seterusnya menjejaskan penglihatan.

Saraf optik umpama jambatan yang menyampaikan maklumat dari mata ke otak untuk diproses sebagai imej penglihatan.

Pengerusi Persatuan Oftalmologi, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Profesor Dr. Muhaya Mohamad menegaskan, oleh kerana saraf tidak dapat tumbuh kembali, sebarang kerosakan saraf optik juga kekal dan tidak dapat dipulihkan.

"Hampir tiada langsung simptom awal untuk glaukoma yang menyebabkan kerosakan kekal kepada saraf optik.

"Penglihatan yang terjejas tidak dapat dipulihkan lagi tetapi kemerosotan penglihatan dapat diperlahankan jika dikesan awal," jelasnya.

Menurut beliau, glaukoma mungkin melibatkan masalah peningkatan tekanan dalam mata, seperti mana kesan tekanan darah tinggi kepada salur darah, jantung dan buah pinggang.

Tambahnya, glaukoma berlaku secara senyap, perlahan dan berperingkat sedangkan kesannya adalah kekal dan tidak boleh dipulihkan kembali.

Walaupun kurang berkaitan dengan pemakanan, penyakit ini tetap berkait rapat dengan faktor persekitaran seperti kesan kepada radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan sel.

Walaupun belum dibuktikan sepenuhnya kaitan radikal bebas terhadap badan, sebarang bentuk tekanan tambahan kepada badan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang kronik.

Glaukoma akan mula menjejaskan penglihatan periferal (sisi) pesakit, menyebabkan hanya sudut pandangan terowong (hadapan) sahaja yang jelas.

Faktor risiko yang dikaitkan dengan penyakit ini termasuk peningkatan usia, tekanan tinggi dalam mata (IOP), sejarah keluarga dengan glaukoma, berketurunan Afrika atau Cina, dan miopia (rabun jauh).

Kesedaran umum dan pencegahan melalui pengesanan awal amat penting memandangkan glaukoma hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan rapi mata.

Jika dikesan awal, tambahan kerosakan saraf optik dapat dicegah atau dilengahkan, mengekalkan tahap penglihatan yang tinggal dan seterusnya mengelakkan daripada menjadi menjadi buta.

Dr. Muhaya menyatakan, dari pengalaman beliau, lebih banyak pesakit Cina dan Melayu yang dirawat untuk masalah glaukoma di negara ini.

"Mata yang kecil meningkatkan risiko glaukoma. Glaukoma dan retinopati diabetik pula merupakan dua punca kebutaan utama yang boleh dicegah.

"Retinopati diabetik boleh dirawat tetapi tahap penglihatan asal tidak dapat dipulihkan. Glaukoma bagaimanapun tidak dapat dipulihkan lagi jika pesakit sudah buta," tegasnya.

Beliau menjelaskan, seperti penyakit kronik lain, mereka yang dikesan menghidap glaukoma juga perlu menjalani rawatan seumur hidup.

Mengesan dan Mencegah

Dr. Muhaya menegaskan mungkin terdapat ramai individu yang tidak menyedari mereka menghidap glaukoma kerana penyakit ini hampir tiada simptom awal yang jelas.

"Kerosakan saraf optik akan berterusan, sehingga menjadi buta jika glaukoma tidak dikesan dan dirawat segera.

"Oleh itu, adalah amat penting untuk orang ramai memahami faktor risiko penyakit ini supaya ia dapat dikesan pada peringkat awal," katanya.

Beliau menekankan pengesanan dan rawatan awal juga dapat meningkatkan kebarangkalian mengekalkan deria penglihatan sehingga penghujung hayat, sekurang-kurang supaya sempat melihat anak dan cucu.

Dari segi rawatan, glaukoma kini dirawat menggunakan titisan mata ataupun pembedahan jika titisan mata gagal mengurangkan tekanan dalam mata.

Bagaimanapun, sasaran rawatan glaukoma adalah mengurang atau melengahkan kerosakan saraf optik, mengekalkan medan penglihatan pesakit dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Tinjauan Serantau

Tinjauan All Eyes On Glaucoma Pfizer dijalankan baru-baru ini untuk individu melebihi umur 40 tahun di Malaysia, China, Taiwan, Hong Kong, India, Filipina, Korea, Singapura dan Thailand. Tinjauan serupa juga pernah dijalankan di Amerika Syarikat dan Eropah sebelum ini.

Selain untuk memahami tahap kesedaran, pemahaman dan pandangan mengenai kesihatan mata di kalangan penduduk Asia berumur 40 hingga 70 tahun, tinjauan ini juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang glaukoma dan keperluan golongan terbabit mengambil langkah pencegahan untuk menjaga kesihatan mata.

Secara puratanya, tidak sampai separuh penduduk rantau ini yang tahu mengenai glaukoma dengan purata 57 peratus tidak mengetahui apa itu glaukoma atau salah faham ianya sesuatu yang tidak melibatkan mata.

Penasihat Perubatan Kanan Pfizer Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr. Vicknesh Wellupillai yang membentangkan hasil tinjauan tersebut memaklumkan bahawa catatan menunjukkan tahap kesedaran glaukoma di Malaysia adalah yang paling rendah.

"Hanya 21 peratus rakyat negara ini mengetahui apa itu glaukoma, berbanding 66 peratus di Korea (tertinggi di Asia).

"Sembilan peratus lagi warga Malaysia salah faham glaukoma melibatkan masalah pendengaran, tekanan darah tinggi atau pendarahan dalaman, sementara 70 peratus langsung tidak tahu mengenai penyakit tersebut," katanya.

Ini menunjukkan hanya seorang dari setiap lima rakyat Malaysia pernah dengar dan betul-betul tahu bahawa glaukoma boleh menyebabkan kebutaan.

Bagaimanapun, peratusan serantau menunjukkan masih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk di rantau Asia, terutamanya di Taiwan, Singapura, India dan Malaysia yang mencatatkan tahap kesedaran glaukoma paling rendah.

Dr. Vicknesh menjelaskan tinjauan itu turut menunjukkan 45 peratus responden dari Malaysia mempunyai risiko lebih tinggi menghidap glaukoma (rabun jauh, kecederaan atau masalah mata, tekanan darah tinggi) sedangkan 68 peratus daripada jumlah tersebut tidak mengetahui apa-apa mengenai glaukoma.

"Dua pertiga (67 peratus) rakyat Malaysia juga didapati lebih takut menjadi buta daripada mati muda.

"Ini dikaitkan mereka dengan kesukaran bekerja (68 peratus), memandu (48 peratus) atau keluar dari rumah (44 peratus) jika menjadi buta," jelasnya.

Doktor Mata

Selain tahap kesedaran glaukoma yang rendah di rantau ini, tinjauan berkenaan turut menunjukkan rakyat Malaysia dan Singapura merupakan yang paling sukar bertemu doktor mata.

Dr. Vicknesh mendedahkan 87 peratus rakyat Malaysia tidak bertemu doktor mata sejak setahun lalu dan hanya 26 peratus yang pernah menjalani pemeriksaan tahap tekanan dalam mata (IOP).

"Tahap kesedaran glaukoma jelas rendah dengan hanya 39 peratus rakyat negara ini menjalani pemeriksaan mata yang kerap sementara sebahagian besar memikirkan ia bukan sesuatu yang perlu.

"Sebahagian besar golongan berumur lebih 40 tahun ini juga sedar tentang kepentingan memeriksa tekanan darah tetapi tidak untuk IOP," ujarnya.

Di samping itu, hanya 42 peratus daripada golongan yang berisiko menghidap glaukoma telah menjalani pemeriksaan IOP berbanding 85 peratus telah menjalani pemeriksaan tekanan darah.

Dr. Vicknesh menambah, tahap kesedaran di kalangan doktor keluarga juga perlu ditingkatkan kerana mereka didapati kurang merujuk kes pesakit kepada doktor mata. Cuma 33 peratus responden Malaysia pernah dirujuk doktor keluarga kepada doktor mata.

Lebih banyak pendedahan dan pendidikan tentang glaukoma, terutamanya di kalangan melebihi umur 40 tahun, perlu dijalankan supaya tahap kesihatan mata dan deria penglihatan penduduk Malaysia dan rantau Asia tidak terjejas.

Kerjasama semua pihak berwajib, berkelayakan dan berkemampuan amat perlu dalam menggalakkan pencegahan glaukoma melalui pemeriksaan rapi dan IOP mata, termasuklah di kalangan doktor keluarga bagi memastikan rujukan pesakit kepada pakar bersesuaian.

Namun, penekanan kepada kesedaran glaukoma turut mementingkan kesihatan umum mata dan deria penglihatan.

Orang ramai perlu mementingkan kesihatan mata setaraf dengan masalah kesihatan lain seperti diabetes, masalah kardiovaskular, sendi, sistem peranakan mahupun sistem penghadaman.

Penglihatan sebagai satu daripada lima deria utama memberi kesan besar kepada kehidupan harian.

Fikirkan sendiri sejauh mana anda dapat menyesuaikan diri menjalani kehidupan tanpa salah satu deria utama ini.

Janganlah disia-siakan anugerah penglihatan yang tidak dinikmati sesetengah warga Malaysia lain, sedangkan penyakit seperti glaukoma dapat dibendung dan dikawal jika dikesan dari peringkat awal.

Bersama kita memastikan glaukoma dan mana-mana penyakit mata tidak lagi meragut penglihatan warga Malaysia, sebelum tiba hujung hayatnya.


Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, June 20, 2008

Kesihatan Mata Selepas Umur 50 Tahun

Dekad kelima kehidupan dan masa-masa seterusnya sering membawa perubahan besar dalam hidup seperti persaraan, menopaus dan juga potongan harga untuk sistem pengangkutan awam.

Mata juga akan mengalami perubahan akibat peningkatan usia. Sesetengah perubahan ini adalah normal dan berkait rapat dengan usia tetapi ada juga yang berpunca daripada datangnya penyakit.

Presbyopia (Rabun Dekat)

Penyakit ini adalah perubahan yang paling biasa berlaku di mana seseorang yang meningkat usianya kehilangan keupayaan untuk melihat dari jarak dekat.

Mekanisme memfokus mata pesakit sebegini telah menjadi semakin lemah sementara jalan penyelesaian paling mudah untuk masalah ini adalah dengan penggunaan ‘cermin mata membaca’ dari pakar mata.

Dalam keadaan ini, senaman mata atau memperbanyakkan melihat suasana hijau tidak akan membawa faedah lagi.

Cermin mata dengan lubang-lubang kecil juga tidak dapat membetulkan masalah penglihatan ini.

Selain itu, pesakit juga perlu berhati-hati dengan pembedahan kornea menggunakan laser kerana berkemungkinan banyak masalah boleh berlaku selepas beberapa ketika.

Katarak

Kira-kira 50 peratus daripada mereka yang mencecah usia 70 tahun akan mendapat katarak.

Katarak adalah pembentukan kekeruhan pada kanta asal mata pesakit yang berlaku secara berperingkat dan semakin teruk.

Kanta mata pada asalnya jernih seperti kanta pada cermin mata. Lama kelamaan, kanta ini akan menjadi keruh seperti cermin yang berwap.

Kebanyakan katarak tidak perlu dibuang selagi ia tidak mengganggu penglihatan pesakit. Menukar cermin mata juga hanya membazirkan wang kerana tidak dapat memulihkan masalah ini.

Dalam mendapatkan rawatan untuk katarak pula, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan kaedah terbaik menangani katarak daripada beberapa pakar memandangkan kepakaran teknikal dan kos rawatan amat berbeza di antara pakar-pakar mata terbaik.

Diabetes

Tiada siapa dapat memastikan jumlah sebenar pesakit yang menderita akibat diabetes. Namun dianggarkan lima peratus daripada golongan melebihi usia 50 tahun telah dikenalpasti menghidap diabetes sementara lima hingga 10 peratus lagi masih belum dikesan.

Penyakit ini menyerang dengan senyap dan merupakan ‘pembunuh’ berbahaya kerana pesakit mungkin hanya menunjukkan sedikit simptom sehinggalah kebanyakan daripada organ dan tisu badan telah rosak teruk.

Pengurusan penyakit ini secara klinikal juga tidak berkesan dan amatlah diharapkan semua pihak dapat menumpukan lebih banyak sumber dalam menguruskan ‘bom masa’ ini.

Pengurusan secara berkesan penyakit ini dari peringkat awal selalunya dapat memberi manfaat besar kepada kualiti hidup pesakit kelak.

Jika anda merupakan pesakit diabetes, adalah amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan mata selepas didiagnosis menghidap diabetes dan sekurang-kurangnya sekali setiap tahun selepas itu, atau lebih kerap bergantung kepada tahap kesihatan mata.

Rawatan sebelum berlakunya kerosakan pada penglihatan selalunya tidak menyakitkan, lebih berjaya dan lebih murah.

Bagaimanapun, jika rawatan hanya diterima selepas penglihatan terjejas, ia selalunya rumit, mahal dan paling penting, mungkin tidak dapat meningkatkan kembali tahap penglihatan pesakit.

Kemerosotan Makular Berkaitan Dengan Usia (ARMD)

Masalah ini merupakan satu-satunya punca utama individu di dunia Barat menghadapi gangguan penglihatan yang serius.

Walaupun terdapat kaitan genetik yang memainkan peranan dalam pembentukan ARMD, amalan pemakanan juga memainkan peranan yang besar.

Memandangkan diet harian di negara ini semakin mengikut gaya pemakanan Barat, bilangan pesakit ARMD di Malaysia juga dilihat semakin meningkat.

Masalah ini menyebabkan kawasan pusat retina yang sensitif menjadi kecut dan kadangkala ia berlaku dengan pantas dan amat membimbangkan.

Retina merupakan bahagian mata yang membentuk imej yang dilihat dan akibat ARMD, imej pertengahan yang tajam menjadi semakin kabur serta tidak jelas, dan akhirnya menjadi kabur sepenuhnya.

Penglihatan periferal (sisi) bagaimanapun tidak terjejas akibat masalah ini. Tabiat merokok juga merupakan satu faktor risiko utama untuk penyakit ini.

Pengambilan suplemen makanan yang kaya dengan vitamin A, C, E, zink, selenium dan lutein mungkin dapat mengurangkan perkembangan ARMD sehingga 25 peratus.

Glaukoma

Masalah yang seringkali terlebih diagnosis tetapi kurang difahami ini (walaupun di kalangan pakar mata), menyebabkan kematian pramatang saraf optik yang menghubungkan mata ke otak.

Keadaan ini selalunya berlaku secara berperingkat tetapi pesakit mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah kerosakan pada saraf tersebut tidak dapat diperbaiki lagi.

Namun, bagi kebanyakan pesakit, keadaan ini sering disalah diagnosis dan tidak diuruskan dengan betul.

Ini kerana terdapat banyak perubahan normal pada mata yang menyerupai glaukoma tetapi tidak memerlukan rawatan dan hanya perlu diperhatikan perkembangannya.

Walaupun jika pesakit disahkan menghidap glaukoma, rawatan yang berjaya dapat diperolehi dengan hanya menggunakan ubat titisan mata sementara pembedahan jarang sekali perlu dilakukan ke atas pesakit.

Glaukoma mempunyai komponen kaitan genetik yang besar, maka adik-beradik kepada pesakit yang disahkan menghidap glaukoma perlu dibuat pemantauan untuk perkembangan masalah ini, seumur hidup mereka.

Kadangkala, keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan yang teruk jika pesakit turut mengalami katarak yang semakin melarat.

Pembedahan membuang katarak selalunya menyelesaikan masalah sebegini tanpa memerlukan pembedahan khusus untuk glaukoma.

Bagaimanapun, pesakit yang berasa sangsi dinasihat untuk mendapatkan pandangan dari beberapa pakar lain sebelum bersetuju menjalani sesuatu bentuk rawatan.

Kebanyakan masalah mata hanya muncul dengan usia yang semakin meningkat.

Kebanyakan daripada masalah ini juga kini boleh dirawat di Malaysia dan tidak memerlukan rawatan di luar negara.

Namun, penjagaan kesihatan mata di negara ini masih kurang konsisten dari segi kualiti tinggi rawatan seperti yang diharapkan dan ini belum lagi ditambah dengan masalah perbezaan kos yang ketara walaupun untuk rawatan yang serupa.

Pesakit dinasihatkan untuk bijak memilih dan mendapatkan pandangan dari beberapa pakar mata terlebih dahulu.

Pesakit juga perlu memahami masalah mata yang dihidapi mereka dengan mendapatkan pelbagai maklumat percuma dari internet atau berjumpa pakar perubatan.


Ditulis oleh:
Dr Fatima Najla KM Muhd Jaafar
Pakar Runding Pembedahan Mata,
Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) Midvalley, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/