Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label herba. Show all posts
Showing posts with label herba. Show all posts

Sunday, May 15, 2011

Waspada Suplemen Herba


SOALAN
Saya berusia pertengahan 30-an dan telah mendirikan rumah tangga. Saya pernah mendengar bahawa paras testosteron boleh menjejaskan kualiti hubungan intim di kalangan lelaki . 

Selain itu, saya juga berminat dengan suplemen herba yang dikatakan boleh membantu masalah kemerosotan fungsi seks. Bolehkah diterangkan serba sedikit mengenai masalah ini?

Yatim,
Johor

JAWAPAN: 
Saudara Yatim,

Paras hormon testosteron di kalangan lelaki biasanya mula menurun apabila mencapai umur 40-an dan kadar penurunan bergantung kepada kesihatan fizikal seseorang lelaki tersebut. Ini bermaksud jika beliau mengalami masalah obesiti, masalah jantung, penyakit kronik seperti diabetes, paras hormon tersebut akan menurun dengan kadar yang lebih cepat. Sebaliknya jika seseorang lelaki itu menjalani kehidupan yang sihat sejahtera dan tidak mempunyai masalah kesihatan, kemungkinan paras hormon testosteron akan terus stabil.

Paras hormon testosteron yang rendah akan memberi kesan negatif terhadap nafsu seks dan juga mungkin akan menyebabkan kurang ketegangan zakar atau disfungsi ereksi (erectile dysfunction). Di pasaran sekarang, terlalu banyak produk produk suplemen herba yang dijual bahkan banyak yang bercampur dengan ubat-ubatan yang berbahaya atau terlarang. Saya ingin menasihatkan saudara untuk memastikan suplemen herba tersebut didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan dan mempunyai bukti-bukti kukuh bahawa ia berkesan tanpa memberi kesan yang memudaratkan saudara.

Ada sesetengah herba yang telah pun menjalani kajian khusus dan boleh meningkatkan fungsi seks tetapi sebagaimana yang saya katakan semak dulu dan bincang dengan doktor anda agar tidak menyesal di kemudian hari.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, July 14, 2009

Keajaiban Tumbuhan Herba

Ketika kecenderungan orang ramai sebagai pengguna mula terarah kepada produk semula jadi, mereka kini memilih untuk menjadikan tumbuhan sebagai bahan utama kegunaan harian.

Produk tersebut mungkin ubat-ubatan, makanan atau produk penjagaan kesihatan berasaskan herba yang kini semakin popular.

Justeru, apabila semakin banyak pihak mula menyedari kecenderungan tersebut dan mengambil langkah proaktif menjalankan penyelidikan mengenai tumbuhan herba, ia boleh dianggap satu perkembangan positif.

Menjalankan penyelidikan mengenai khasiat herba tidak sahaja membantu mempromosikan tumbuhan tersebut secara langsung tetapi masyarakat juga kini mula menghargai bukti saintifik dan khasiatnya.

Lebih menarik, beberapa pihak sudah mengambil langkah lebih kehadapan yang akan menyokong industri ini pada masa akan datang menerusi pewujudan taman-taman herba dan seumpamanya.

Sebagai bukti, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menubuhkan Taman Konservatif Pertanian yang menempatkan lebih 500 spesies tumbuhan ubat-ubatan.

Usaha tersebut yang digerakkan oleh Institut Biosains (IBS) UPM telah berjaya menarik para penyelidik tempatan dan luar negara untuk menjalankan kajian perubatan bagi mengatasi pelbagai penyakit.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris, konsep taman tersebut sangat bersesuaian dengan UPM yang memberi fokus kepada penanaman tumbuhan untuk menghasilkan produk hiliran.

"Menerusi taman ini, para penyelidik dapat menjadikannya sebagai pusat tumpuan utama bagi sumber tumbuhan herba dalam kajian bioteknologi mereka.

"Malaysia merupakan negara bertuah kerana berada di tangga keempat selepas China, Indonesia dan India daripada 12 negara di dunia yang mempunyai lebih 1,500 spesies tumbuhan berstatus ubat-ubatan,'' katanya ketika ditemui di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Sementara itu, koordinator taman berkenaan, Dr. Faridah Qamaruz Zaman memberitahu, taman itu diusahakan di kawasan seluas dua hektar yang dipenuhi dengan tumbuhan asli dan eksotik dari spesies tempatan.

"Keistimewaan yang diketengahkan adalah kesemua pokok diatur dalam susunan landskap yang cukup menarik serta dilengkapi dengan label memaparkan maklumat seperti nama asal, nama saintifik dan kegunaannya,'' jelas beliau.

Dalam memastikan perkembangan industri herba, pihak IBS juga ada menjalankan kerjasama secara komersial dengan pihak industri seperti organisasi bukan kerajaan (NGO).

Sebagai contoh, sejak empat tahun lalu, IBS bersama Majlis Kanser Nasional (Makna) telah bekerjasama menjalankan penyelidikan makmal secara klinikal untuk mencari penawar kepada penyakit kanser.

Selain itu, kesemua tumbuhan herba yang ditanam juga akan di hantar ke beberapa fakulti seperti fakulti perubatan untuk tujuan penyelidikan dan kajian lanjut mengenai khasiatnya.

Ia biasanya melibatkan pelbagai spesies tumbuhan herba tidak kira daripada bahagian bunga, daun, batang atau akarnya. Antara contoh tumbuhan tersebut adalah seperti cekur, daun kaduk, daun kemangi, misai kucing dan sebagainya

Mungkin ramai yang tidak mengenali kumpulan tumbuhan ubatan jenis herba ini kerana penanamannya tidak dilaksanakan secara meluas.

Justeru bagi mendedahkan masyarakat kepada penggunaan, kaedah penanaman dan penjagaan tumbuhan jenis itu, UPM melalui IBS telah menganjurkan Bengkel Pengenalan Tumbuhan Ubatan.

Bengkel yang pertama kali diadakan itu adalah bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan minat di kalangan peserta terhadap tumbuhan ubatan di samping mengenalpasti potensinya dalam industri.

Menurut Pengarah IBS, Prof. Dr. Fatimah Md. Yusoff, disebabkan aplikasi perubatan tradisonal menggunakan tumbuhan herba hanya diamalkan oleh masyarakat di sesuatu tempat, maka ia perlu diperluaskan kepada umum.

"Penggunaan tumbuhan herba telah meluas, namun pengetahuan tentang khasiat sebenar dan cara penanaman yang betul tidak diamalkan sepenuhnya.

"Justeru, melalui bengkel seperti ini, para peserta dapat berkongsi maklumat dan seterusnya dapat menambah pengetahuan tentang tanaman ini dengan lebih mendalam,'' jelasnya.

Secara keseluruhannya, bengkel dua hari berkenaan memberi fokus kepada pengenalan sumber tumbuhan baru, mengenalpasti khasiat tumbuhan secara saintifik, pembiakan tumbuhan secara in-vitro, industri herba semasa, pemakanan berasaskan herba serta pelaksanaan kebun dapur.

Untuk memperolehi maklumat tumbuhan dengan lebih jelas, para peserta turut didedahkan dengan jenis dan nama tempatan serta nama saintifik. Mereka juga akan diberi penerangan tentang pembahagian tumbuhan yang boleh dikategorikan kepada tiga fungsi utama iaitu untuk tujuan aromaterapi, refleksi dan kesihatan.

Bagi mengelakkan masalah kepupusan di samping mengatasi masalah kekurangan bekalan sumber bahan mentah, para peserta juga akan diajar dengan teknik penanaman secara tisu kultur. Ini keran teknik berkenaan mempunyai kelebihan untuk menghasilkan anak pokok yang berkualiti serta mengalami pertumbuhan yang cepat.

Bukan setakat itu, pendidikan secara praktikal akan diberikan untuk menggalakkan mereka menanam pokok herba sebagai tumbuhan landskap di rumah seperti pokok ulam-ulaman agar hasilnya dapat dimakan secara terus.

Selain itu, IBS melalui unit bantuannya juga akan menyalurkan pertolongan seperti khidmat nasihat, jualan benih dan juga penerangan secara terperinci.

Kira-kira 50 orang peserta mengambil bahagian dalam bengkel tersebut terdiri daripada orang awam, para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan dan juga swasta.

Menurut salah seorang peserta, Abdul Razak Roslan, 41, bengkel tersebut memberi banyak manfaat kepadanya dari segi maklumat berkaitan khasiat setiap tumbuhan dan teknik tanaman yang betul.

"Dengan ilmu tersebut, selepas ini saya boleh menanam sendiri tumbuhan herba di rumah dan juga di tempat kerja,'' katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Universiti Darul Iman Malaysia, Nor Haslinda Haron, 25 berpendapat, bengkel tersebut memberi peluang kepadanya mengenali beberapa individu yang mempunyai kepakaran dalam industri tersebut.

"Mereka tentunya dapat dijadikan sebagai sumber rujukan untuk saya mendapatkan maklumat mengenai fungsi herba dalam menyembuhkan penyakit.

"Ini kerana ketika ini saya sedang menjalankan penyelidikan dan kajian mengenai kegunaan herba tradisional," jelasnya.


Ditulis oleh:
Nazrul Azim Sharuddin

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Thursday, July 02, 2009

Rawatan Tradisi Herba

Kesakitan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, Merana pula merupakan suatu pilihan!

Apabila kita berasa sakit, kita akan menjerit "Aduh!". Kesakitan adalah merupakan satu amaran, bagaimana otak anda menafsir maklumat tentang sesuatu rangsangan yang badan anda sedang alami. Kita memerlukan rangsangan rasa sakit untuk melindungi badan kita daripada terus tercedera.

Penerimaan terhadap rasa sakit adalah berbeza dari individu ke individu; sakit adalah sesuatu yang sukar untuk digambar dan ditakrifkan.

Kesakitan yang tidak dikawal untuk jangkamasa yang lama adalah perkara serius kerana ia boleh mengganggu tidur, memberi kesan kepada sistem pertahanan badan, tidak boleh berfikir dengan jelas, mengganggu tugasan serta kegiatan harian dan selera makan.

Ia boleh membuatkan seseorang berasa penat, risau, marah, tertekan, kecewa dan mungkin menjadi murung.

Penyebab Kesakitan

Sebab-sebab kesakitan yang biasanya dialami oleh mereka yang berada di pertengahan usia mungkin disebabkan oleh Osteoartritis (OA) dan Artritis Reumatoid (RA) hinggalah kepada sakit belakang.

OA adalah gangguan sendi dan seringkali memberi kesan terhadap lutut, pinggang, tulang belakang dan sendi lain. Rawan sendi akan beransur lusuh dan boleh menyebabkan kesakitan.

RA pula adalah penyakit autoimun, di mana antibodi badan itu sendiri menyerang membran di sekeliling sendi. RA boleh menyerang mana-mana sendi dan kesakitan yang dirasai biasanya disebabkan oleh radang yang berlaku di sendi terbabit.

Ubat-Ubat Konvensional

Rawatan pertama untuk sakit sendi dan belakang kebiasaannya dimulakan dengan mengambil ubat menghilangkan kesakitan seperti paracetamol. Jika ini tidak berjaya, doktor akan memberi ubat anti radang yang tidak mengandungi steroid (NSAID), seperti aspirin atau ibuprofen.

Pesakit yang mengalami kesakitan yang lebih teruk mungkin akan diberikan COX-2 inhibitor (sejenis NSAID yang menyekat COX-2 secara terpilih, iaitu sejenis enzim yang terlibat dalam saluran radang). Jika ia diambil untuk jangkamasa yang panjang pesakit bukan sahaja terpaksa menghabiskan banyak duit untuk membeli ubat, malah terpaksa berhadapan dengan kesan sampingan akibat pengambilan ubat ini.

Kesan sampingan yang paling biasa daripada pengambilan NSAID ialah pendarahan dalam perut dan ulser. Pengambilan paracetamol secara berterusan dan NSAID boleh merosakkan hati dan buah pinggang, manakala pesakit yang mengambil COX-2 inhibitor dalam jangka masa panjang mungkin akan menghadapi peningkatan risiko untuk mengalami serangan jantung, strok, malah kematian.

Selain dari kesan sampingan, mengambil NSAID sebenarnya mungkin akan menyebabkan kemusnahan rawan, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Lancet. Walaupun ubat dapat memberi kelegaan segera, mengambil NSAID sebenarnya mungkin boleh membahayakan sendi kerana ia mengalami kemusnahan secara berterusan.

Herba Penawar Kesakitan

Memandangkan kesan sampingan buruk yang begitu banyak, syukurlah ada herba semulajadi yang terbukti dapat memberi kesan setanding untuk melegakan rasa sakit tanpa kesan sampingan NSAID. Dua jenis herba yang didapati berkesan ialah pati kulit pokok willow yang dipiawaikan (EFLA462) yang dipatenkan dan pati pokok Cat's Claw yang dipiawaikan.

i) Kulit pokok willow

Spesis kulit pokok willow telah digunakan berabad lamanya sebagai anti radang dan pelega kesakitan. Terdapat banyak penyediaan pati kulit pokok willow yang boleh didapati di seluruh dunia dan kebanyakannya mengandungi Salacin sahaja sebagai bahan aktif dan ini didapati tidak berkesan berbanding produk kulit pokok willow tradisi yang menggunakan kulit itu pada keseluruhannya.

Frutarom dari Switzerland menggunakan kulit pokok willow itu sepenuhnya yang diambil daripada berbagai jenis pokok willow termasuk Salix purpurea, Salix fragilis, dan Salix daphnoids yang semuanya mempunyai ramuan aktif dengan jumlah yang lebjh tinggi. Frutarom telah berjaya membangun serta mempatenkan proses yang dikenali sebagai 'Polyshield' untuk menghalang kemusnahan dan penurunan kualiti ramuan aktif tersebut.

Di samping tindakan anti radang dan pelega kesakitan, kajian mendapati kulit pokok willow yang dipatenkan oleh Frutarom ini juga memberi kesan perlindungan kepada rawan sendi. Ini merupakan satu kelebihan yang nyata berbanding ubat konvensional kerana ia bukan sahaja melegakan gejala-gejala tetapi juga merawat penyebab masalah itu.

Oleh itu, kulit pokok willow merupakan pilihan yang lebih baik untuk menguruskan kesakitan jangka panjang dan radang jika dibandingkan dengan ubat konvensional kerana kajian-kajian telah pun mengesahkan profil keselamatannya.

ii) Cat's Claw

Cats's Claw (Uncaria tomentosa) telah diselidik dengan meluas melibatkan keupayaannya untuk melegakan kesakitan. Berasal dari wilayah Amazon, penduduk Amerika Selatan telah lama menggunakan kulit dan akar pokok cat's claw untuk menangani masalah kesihatan seperti artritis dan radang.

Sebatian dalam pokok cat's claw dianggap boleh menghalang badan daripada mengeluarkan jisim yang menggalakkan radang dikenali sebagai prostaglandins dan faktor nekrosis tumor (TNF). Kajian klinikal melaporkan pesakit osteoartritis dan rheumatoid artritis, apabila mengambil suplemen cat's claw telah mengalami pembaikan yang ketara.

Tindakan Berganda

Seperti mana juga dengan pati kulit pokok willow, saintis telah mendapati cat's claw juga boleh melindungi rawan dari kemusnahan. Dengan demikian, pati kulit pokok willow dan pati cat's claw mempunyai tindakan berganda, iaitu memberikan kelegaan daripada kesakitan dan juga melindungi rawan sendi daripada kerosakan. Tidak terdapat sebarang laporan tentang kesan sampingan yang tidak baik daripada dua herba ini.

Panduan Membeli Suplemen

Apabila membeli suplemen kulit pokok willow, ambillah yang mengandungi pati kulit pokok willow yang dipiawaikan keluaran Frutarom EFLA® 462. Kulit pokok willow dan cat's claw membawa kesan bersinergi dari segi kelegaan kesakitan, anti radang dan perlindungan rawan.

Walaupun suplemen boleh menghilangkan kesakitan yang dialami, anda juga seharusnya mengamalkan gaya hidup sihat. Jaga berat badan, makan makanan berkhasiat seperti buahan dan sayuran segar, kurangkan daging merah dan lemak tepu serta bersenam dengan kerap. Rawatan secara tradisi mungkin mengambil masa yang agak lama jika dibandingkan dengan ubat konvensional. Tetapi yakinlah yang anda membuat pilihan yang tepat untuk pulih dari 'Aduh!


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, November 02, 2008

Gabungan Herba Kawal Peningkatan Paras Gula

SOALAN:
‘Saya berusia awal 40-an dan selepas membuat dua kali pemeriksaan gula darah, ia menunjukkan terdapatnya peningkatan paras gula darah yang ketara berbanding sebelumnya.

Masalah ini merisaukan saya. Untuk pengetahuan pihak tuan, saya pernah mengalami diabetes semasa hamil dahulu. Apakah yang boleh saya lakukan?,’’.


JAWAPAN:
Diabetes semasa kehamilan dipanggil gestational diabetes. Ia dipercayai berlaku akibat perubahan paras hormon yang turut memberi kesan kepada kepekaan insulin terhadap glukosa.

Diabetes semasa kehamilan biasanya boleh kembali normal selepas kelahiran. Para ibu yang pernah mengalami diabetes semasa kehamilan seharusnya mengambil langkah yang lebih berhati-hati memandangkan mereka lebih berisiko untuk mengalami diabetes, khususnya diabetes jenis kedua pada kemudian hari.

Bantuan herba dapat membantu menangani ketidakseimbangan gula. Antara herba yang dikaji yang memberi kesan positif dalam pengawalan gula dalam darah termasuklah Gymnema, Fenugreek (halba), Holy basil dan Bitter melon (peria).

Gymnema membantu mengurangkan penyerapan gula dalam tubuh dan menghalang pengangkutan glukosa. Kajian menunjukkan gymnema juga membantu mempertingkatkan penghasilan insulin.

Fenugreek (Trigonella foenum-graecum) merupakan herba yang tumbuh di kawasan Mediterranean dan Asia yang mempunyai biji yang beraroma.

Fenugreek digunakan secara meluas sebagai rempah dalam masakan yang juga diperakui boleh mengawal paras gula dalam darah. Kajian mengenai keberkesanannya telah diterbitkan dalam European Journal of Clinical Nutrition.

Herba Bitter melon (Momordica charantia) membantu menurunkan kadar penyerapan glukosa dalam saluran usus. Banyak kajian termasuk kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Health-System Pharmacy pada tahun 2003, menunjukkan herba ini mempunyai kesan hipoglisemia (paras gula rendah dalam darah).

Holy basil (Ocimum sanctum) membantu memperbaiki penggunaan glukosa periferal dan meningkatkan pengeluaran insulin. Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Pharmacy and Therapeutics menunjukkan Holy Basil menurunkan paras gula darah.

Pengambilan gabungan herba-herba ini memberi kesan sinergistik dalam pengawalan paras gula darah.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, July 26, 2008

Kawal Peningkatan Kolesterol Dengan Herba

SOALAN:
Saya mempunyai badan yang berisi. Dua minggu yang lalu saya membuat pemeriksaan kolesterol dan mendapati terdapatnya peningkatan kolesterol dalam darah.

Mengikut doktor, ia masih boleh dikawal dengan perubahan diet dan membuat senaman. Ahli farmasi turut mencadangkan saya menambahkan suplemen herba agar pengawalan lebih baik sebelum ia dikategorikan berkolesterol tinggi memandangkan saya mempunyai sejarah keluarga dengan kolesterol tinggi dan berisiko tinggi menghidap masalah serupa.


JAWAPAN:
Pokok guggulu (Commiphora mukul) iaitu tumbuhan asal dari India, menghasilkan guggul yang juga dikenali sebagai guggulu atau guggulipid.

Guggul telah digunakan dalam perubatan Ayurveda selama beribu-ribu tahun untuk merawat artritis dan obesiti, selain mengawal peningkatan kolesterol.

Kesan penurunan kolesterol dipercayai disebabkan oleh keupayaannya menghalang sintesis (penghasilan) kolesterol dalam hati dan juga meningkatkan pemecahan serta penyingkiran kolesterol.

Penggunaan dalam jangka panjang membantu merendahkan kolesterol secara keseluruhan, kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol berketumpatan tinggi (HDL).

Guggulipid juga mempunyai bahan mencairkan darah yang bermanfaat untuk merendahkan tekanan darah.

Suplemen guggulipid yang mengandungi 2.5 peratus guggulsterone (bahan aktif) adalah bermanfaat dan selamat digunakan.

Diet Dan Gaya Hidup

Antara tip untuk mengekalkan paras kolesterol yang sihat:

1. Buangkan semua lemak dan kulit daripada daging, ayam dan itik sebelum makan. Tukar cara masakan dari menggoreng kepada membakar atau memanggang.

2. Elakkan kuah dan sos yang berlemak. Gantikan krim dengan yogurt sebagai sos dan hiasan. Pilihlah buah-buahan segar sebagai pencuci mulut dan bukannya kek atau biskut.

3. Guna minyak sayuran seperti kanola, kesumbar dan zaitun dalam kuantiti yang kecil untuk menggoreng. Kurangkan penggunaan marjerin kerana ia mengandungi minyak separa ter-hidrogen (asid lemak trans).

4. Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi minyak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak khinzir, mentega, telur kuning dan lemak susu.

5. Udang dan kerang-kerangan boleh diambil sekali-sekala kerana kandungan kolesterolnya lebih rendah daripada yang disangkakan dan ia mengandungi lemak tepu yang rendah.

6. Tambahkan serat ke dalam diet anda terutamanya serat oat. Pilih bijirin penuh apabila membeli roti atau bijirin.

7. Hadkan pengambilan organ dalaman haiwan seperti hati, ginjal, otak dan limpa yang tinggi dengan kolesterol.

8. Senaman adalah senjata penting untuk menentang kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Kajian menunjukkan senaman yang kerap (kira-kira 30 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu) dapat meningkatkan paras HDL serta menyingkirkan kolesterol LDL berlebihan daripada darah. Anda boleh melakukan senaman aerobik, berenang, angkat berat, berjalan kaki dan menari.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Tuesday, May 13, 2008

Herba Ikon Pelancongan Negara

Lazimnya kemajuan yang ditunjangi dengan kepesatan sains dan teknologi yang membawa perubahan dalam hidup manusia merupakan anjakan yang amat positif. Tetapi biarpun zaman sentiasa berubah, penggunaan herba dalam kehidupan tidak dapat dipisahkan. Namun, hakikat itu semakin terpinggir jika dilihat realiti dan situasi di dalam industri herba pada hari ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa kita memiliki sumber hutan yang cukup besar untuk diteroka dan dikomersialkan. Tumbuh-tumbuhan dan herba seperti hempedu bumi, selaseh hitam, ulam raja, dukung anak, tongkat ali, misai kucing dan sebagainya mempunyai khasiat yang cukup tinggi dalam penjagaan kesihatan dan melawan penyakit.

Namun penggunaan produk berasaskan herba ini kurang mendapat sambutan dan pendedahan yang sewajarnya sehingga ianya dikategorikan sebagai ubat-ubatan alternatif semata-mata. Inilah tanggapan negatif yang perlu diperbetulkan dalam memacu industri herba ke peringkat lebih tinggi

“Kita tidak menolak keberkesanan ubat-ubatan moden dalam melawan penyakit dan penjagaan kesihatan, tetapi kita sentiasa didedahkan dengan ungkapan ini ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’,’’ kata pengasas Pameran Herba Asia, Safinah Yaakob baru-baru ini.

Katanya, herba merupakan unsur semulajadi terbaik dalam penjagaan kesihatan kerana ianya bukan bertindak sebagai ubat semata-mata, tetapi amalan penggunaannya secara berterusan akan membantu tubuh badan dibekalkan dengan sistem imunisasi yang asli dan segar tanpa sebarang penggunaan campuran bahan kimia seperti yang terdapat dalam ubat-ubatan moden. Contohnya, warisan zaman-berzaman iaitu ubat periuk yang mengandungi pelbagai jenis tumbuhan herba yang direbus untuk diminum.

“Biarpun ianya amat pahit, namun ubat periuk mampu melancarkan peredaran darah di samping meningkatkan sistem imunisasi tubuh secara berterusan tanpa sebarang kesan sampingan. Walaupun menyedari nilai khasiat ubat periuk begitu tinggi, namun amalan pengambilannya tidak dibudayakan,’’ tambah Safinah.

Justeru usaha berterusan perlu dibuat untuk mengembangkan industri herba di negara ini bukan hanya dengan menghasilkan produk semata-mata, tetapi mengamalkan budaya warisan tersebut sebagai cara melestarikan produk warisan budaya nasional.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak yang terbabit di dalam industri herba ini untuk sama-sama terus mengembleng tenaga dan idea serta fasiliti untuk mengangkat industri ini ke peringkat global.

“Saya ingin melihat produk herba warisan budaya kita menjadi ikon produk pelancongan di pasaran antarabangsa, selain daripada menjadi satu cara menarik kehadiran pelancong asing,’’ katanya.

Safinah menambah bahawa produk herba tradisional kini terpaksa mengikuti peraturan dan mutu perubatan moden dari negara Barat bermula dengan pelbagai ujian dan syarat lain yang menyebabkan industri ini tidak dapat berkembang.

‘‘Produk herba seharusnya tidak perlu diuji dengan piawaian negara Barat, kerana ia adalah warisan budaya kita yang seharusnya dibezakan, namun tetap dengan standard kualiti yang baik dan selamat digunakan,’ ujarnya.

Dalam hubungan ini, beliau berhasrat untuk menjadikan Malaysia Hab Herba di rantau Asia Pasifik dan seterusnya mencipta produk-produk herba sendiri sehingga menjadi ikon pelancongan negara.

“Dengan adanya kesedaran di kalangan masyarakat untuk membudayakan produk warisan tradisi ini, saya yakin matlamat tersebut dapat direalisasikan sedikit masa lagi, dengan syarat bahawa rantaian dan jaringan yang telah wujud di dalam industri herba ini sentiasa menyokong antara satu sama lain secara berterusan,’’ ujar Safinah.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Herba Untuk Diabetes

SOALAN:
Setahun yang lalu saya disahkan menghidap kencing manis. Saya sedang mengambil ubat seperti yang disarankan doktor serta mengawal pemakanan serta membuat pemeriksaan gula darah secara berkala. Bacaannya yang diperolehi biasanya tidak melebihi 8.0 mmol/L (tanpa makan). Selain ubat-ubatan, saya ingin mencuba suplemen herba yang dikatakan berkesan untuk mengawal peningkatan paras gula. Apakah yang boleh saya cuba?


JAWAPAN:

Diabetes adalah penyakit yang tidak boleh disembuhkan, namun dengan penjagaan dan rawatan yang baik ia boleh dikawal dengan lebih berkesan, seterusnya mengurangkan kesan jangka panjang diabetes. Apabila disahkan menghidap diabetes, pengambilan ubat seperti yang disarankan adalah sangat penting.

Antara herba popular yang telah digunakan sejak sekian lama untuk mengawal peningkatan paras gula termasuklah fenugreek (halba). Halba atau trigonella foenum-graecum telah digunakan secara tradisional sebagai emolien yang mengurangkan keradangan kulit. Pengambilan secara oral akan mengurangkan paras gula darah akibat kesan hipoglisemiknya. Kandungan pentingnya seperti trigolline, komarin dan serat membantu mengurangkan paras gula.

Bahan aktif dalam gymnema membantu menjana semula sel beta yang merembeskan insulin dalam pankreas dan meningkatkan pengeluaran insulin. Ia juga meningkatkan aktiviti enzim untuk menyenangkan penggunaan glukosa dan meningkatkan penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati, buah pinggang dan otot.

Ekstrak gymnema memberi kesan positif kepada diabetes jenis kedua. Dalam kajian yang melibatkan dua puluh dua pesakit diabetes jenis kedua yang diberikan ekstrak gymnema berserta dengan ubat oral hipoglisemia mendapati kesemua pesakit memperoleh kawalan gula darah yang lebih baik, dengan 21 daripada 22 subjek boleh mengurangkan dos ubat mereka. Lima subjek pula boleh menghentikan pengambilan ubat dan mengawal gula darah dengan menggunakan ekstrak gymnema sahaja.

Dua herba bermanfaat ini digabungkan dengan holy basil (Ocimum sanctum) dan peria (Momordica charantia) untuk kesan sinergistik. Sekiranya anda disahkan menghidap diabetes dan memilih untuk mengambil gymnema, pastikan anda membuat ujian gula darah dengan lebih kerap untuk mengawasi paras gula anda.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my