Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label rawatan laser. Show all posts
Showing posts with label rawatan laser. Show all posts

Friday, May 27, 2011

Rawatan Akupuntur Laser

Berbeza dengan perubatan akupuntur yang menggunakan jarum, pena laser yang merupakan teknologi dari Korea diyakini lebih selamat dan mudah diguna.

Dengan pemegang seakan pen, hujung pena ini didatangi dengan tiga 'kepala' berlainan saiz.

Rawatan laser akupuntur ini mampu memberi kesan seperti kaedah klasik akupuntur tanpa rasa sakit hanya dengan tekanan pada satu butang.

"Ini merupakan kesan pena laser yang juga dikenali dengan gelaran Microcurrent Pulse Stimulator ini dikatakan 500 kali ganda lebih kuat dan pantas berbanding tusukan jarum klasik. Di kalangan masyarakat Korea, alat ini diberi jolokan 'Doktor Rumah'," ujar seorang pakar akupuntur yang berpengalaman lebih empat dekad dalam bidang ini, Dr. Muhammad Kim, 76.

Inovasi rawatan akupuntur laser ini dijangka dapat mengatasi masalah individu yang gerun pada jarum akupuntur.

Menurut Dr. Muhammad, penggunaan alat akupuntur laser ini mempunyai kesan yang lebih baik dan ia hanya melibatkan luaran kulit.

Rawatan laser akupuntur menggunakan alat berbentuk seperti pen. Bebola di hujungnya berfungsi menyalurkan tenaga laser pada poin yang tertentu untuk melancarkan peredaran darah.
Kelegaan

Dalam pada itu, penulis berpeluang mencuba rawatan itu pada bahagian pergelangan tangan yang kemudiannya dipindahkan ke poin kepala.

Seperti terkena aliran elektrik ringan, namun ia memberi sedikit kelegaan. Menurut Dr. Muhammad Kim, ia berfungsi untuk melancarkan aliran darah dengan cara merangsang poin-poin akupuntur.

"Poin-poin ini terletak berdekatan dengan sistem saraf. Apabila disalurkan laser , ia akan memberi rangsangan terus dan memindahkan impuls elektrik melalui spinal cord dan otak hingga ke bahagian badan yang bermasalah.

"Kajian perubatan moden juga menunjukkan stimulasi pada poin akupuntur tertentu merangsang penghasilan kimia dari saraf tunjang ke sistem endokrin. Mekanisme ini adalah semula jadi dalam tubuh kita sekali gus mengawal kesakitan," katanya.

Rawatan bekam dan jed

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Kim turut menunjukkan fungsi pen bekam yang lebih moden dan tidak sakit. Jika rawatan tradisional menggunakan satu pen bekam dan dicucuk pada kawasan bekam lebih daripada sembilan kali untuk mengeluarkan darah, pen bekam daripada Korea ini hanya berfungsi sebanyak tiga kali.
Pada asasnya, prosedur bekam yang dilakukan Dr. Muhammad Kim adalah untuk mengeluarkan darah kotor daripada badan.

Untuk memperlengkapkan proses rawatan akupuntur laser dan bekam , pesakit juga diberi menggunakan peralatan canggih dari Korea seperti katil urutan badan menggunakan batu jed serta katil elektrik kristal.
Kombinasi rawatan ini disarankan untuk mereka yang mengalami sakit pinggang dan melancarkan perjalanan darah untuk mengurangkan risiko strok.

Pusat rawatan yang terletak di Kelab Golf Titiwangsa PDRM, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dibuka antara hari Isnin hingga hari Ahad dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap minggu. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-26980595 atau 019-2652966.

Sementara itu, isteri Dr. Muhammad Kim, Rozita Mior Badri mengalu-alukan orang ramai yang ingin menjadi pengedar pen akupuntur laser yang diimport dari Korea.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah 
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, March 18, 2011

Laser Buang Tatu, Tanda Kelahiran

Minggu lepas saya dikunjungi seorang bapa yang membawa anak terunanya berusia 20-an untuk mendapat rawatan. Bapa itu berusia lingkungan 50-an. Mereka sangat ramah dan mesra. Remaja itu bakal menempuh ujian memasuki sebuah maktab tentera.

Pada mula nya saya agak keliru tentang kunjungan mereka ke klinik aesthetic saya. Jarang sekali saya dikunjungi lelaki anak beranak yang memerlukan rawatan.

Rupa-rupanya masalah remaja itu adalah kerana mempunyai tatu di lengan bahu kanan. Saya memerhatikan tatu tersebut yang bersaiz 6x3 sentimeter. Tatu bergambar tengkorak berwarna hijau gelap jelas kelihatan di lengan kanan teruna tersebut.

Saya difahamkan tatu dibuat oleh kawannya tiga tahun lalu semasa mereka berkunjung ke sebuah tempat membuat tatu di Singapura. Dia menyangka tatu itu akan tanggal sendiri namun tekaannya meleset. Selepas beberapa tahun tatu masih kekal.

Cita-citanya untuk memasuki maktab tentera akan terjejas lantaran keadaan fizikalnya yang bertatu. Dia juga telah dinasihatkan oleh beberapa pegawai yang ditemui supaya membuang tatu tersebut.

Tatu adalah tanda yang kelihatan akibat memasukkan dakwat khas di kawasan lapisan dermis kulit. Oleh kerana dakwat itu diletakkan di kawasan dermis, maka ia kelihatan kekal dan susah untuk dihilangkan. Terdapat teknik memasukkan dakwat menggunakan pen elektrik. Dakwat yang digunakan adalah jenis kekal dan tidak kalis air. Ia masuk sehingga 3mm ke dalam kulit.

Berbeza zaman dulu di mana tatu adalah bersifat adat, kini kegilaan tatu adalah untuk kecantikan. Ramai yang meletak tatu pada kening bagi menggantikan kening asal. Ada juga yang meletakkan tatu pada bibir bagi menampakkan bibir merah dan menarik sentiasa. Di bawah mata juga mereka menggunakan tatu bagi menampakkan mata seakan bercelak.

Kaedah membuang tatu sebelum ini adalah dengan menggunakan cara pembedahan. Ada juga menggunakan asid untuk menghilangkan tatu. Pisau digunakan bagi memotong selapis kulit bagi menghilangkan tatu tersebut. Apabila luka terjadi kulit dibalut dan dibubuh ubat.

Kaedah tersebut bukan sahaja sangat sakit tetapi meninggalkan parut yang hodoh. Penggunaan asid yang kuat menghakis kulit sehingga kulit yang bertatu itu terkupas. Ia juga turut meninggalkan kesan parut yang menggerutu.

Kini terdapat kaedah baru untuk menghilangkan tatu dengan lebih berkesan tanpa meninggalkan sebarang parut.

Kaedah tersebut adalah dengan menggunakan Q-Switched Nd:Yag laser (Medlite C6). Dakwat tatu dihilangkan menggunakan konsep "photo acoustic" yang dihasilkan oleh Medlite C6. Photo acustic bermaksud cahaya laser ini amat selektif kepada kehadiran pigmen.

Apabila laser dipancar di kawasan tatu, pancarannya akan memecahkan dakwat di lapisan dermis kepada partikel lebih halus tanpa merosakkan lapisan atas kulit. Partikel dakwat yang hancur di bawah kulit akan diserap ke dalam badan dan dibuang sebagai bahan perkumuhan atau najis.

Laser jenis ini mampu masuk ke dalam kulit sehingga mencapai ketebalan beberapa milimeter. Tenaga haba yang dihasilkan oleh laser agak perit namun teknik 'coolant' dan menyapu ubat kebas dikawasan yang mahu dirawat menjadikan prosedur ini agak selesa bagi.

Proses ini memerlukan beberapa sesi untuk menghilangkan semua kesan dakwat tatu, tetapi ia sangat berkesan, selamat dan tidak meninggal kan sebarang parut. Faktor tidak meninggalkan parut ini menjadikan Medlite C6 satu kaedah membuang tatu yang digemari ramai.

Cara laser dipancarkan juga adalah mudah. Oleh kerana laser yang digunakan agak terang cahayanya maka pelanggan dan doktor merawat akan memakai cermin mata gelap. Selain daripada itu tidak perlu langkah-langkah lain.

Laser ini juga diguna kan untuk membantu menghilangkan tanda lahir yang sebelum ini tidak boleh dihilangkan. Contoh tanda lahir yang biasa dirawat menggunakan Medlite C6 adalah Nevus of OTA dan Café aulait. Selain itu ia sangat berkesan bagi semua jenis masalah pigmentasi. Dewasa ini pigmentasi biasanya terjadi disebabkan penggunaan kosmetik yang merosakkan sel kulit. Apabila medlite dipancar ia akan memecahkan pigmen menjadikan kulit tampak bersih dan cerah. Kebaikan lain menggunakan medlite adalah kulit akan mengalami peningkatan kolagen membuatkan kulit akan tampak semakin muda.

Laser jenis ini juga mampu menghilangkan bulu roma halus dan mengecilkan pori-pori kulit secara semula jadi. Penggunaannya sebulan sekali membuat kulit tampak halus dan cantik. Oleh itu ia juga sesuai bagi meningkatkan kualiti kulit dan menghalang kedutan.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/