Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label angin ahmar. Show all posts
Showing posts with label angin ahmar. Show all posts

Saturday, May 30, 2009

Tindakan Segera Rawat Strok

Serangan strok boleh mengubah hidup anda selama-lamanya. Sudahkah anda mendapatkan maklumat yang secukupnya untuk menyelamatkan diri dan orang tersayang sekiranya diserang angin ahmar atau strok?

Kira-kira 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko strok. Malah hanya segelintir sahaja yang mengetahui tanda amaran atau maklum tentang apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.

Pakar Runding Neurologi, Dr Wong Yee Choon menjelaskan strok juga dikenali sebagai ‘serangan otak’ kerana strok berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu.

“Kejadian ini boleh berlaku dalam dua cara yang berbeza, apabila salur darah di dalam otak pecah (dikenali sebagai strok berdarah) atau apabila terdapat salur darah tersekat (yang dikenali sebagai strok iskemia).

“Ramai orang tidak sedar bahawa strok menyerang otak kita,” kata Dr Wong.

Menurut beliau orang ramai juga perlu memahami bahawa strok, khususnya strok iskemia, boleh dirawat secara berkesan untuk mengurangkan kerosakan kepada otak. Sebahagian besar orang ramai juga tidak merawat kes yang disyaki strok dengan tahap kepantasan dan kecemasan yang sama seperti mereka disyaki diserang sakit jantung.

Sebagai contoh, orang yang merasa sakit dada akan segera mendapatkan rawatan perubatan kerana mereka bimbang mereka mungkin mengalami serangan jantung. Namun, ramai yang menghidap gejala strok, seperti kelemahan di sebelah bahagian badan atau pertuturan yang kurang jelas, cuma mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dan tidak mendapatkan rawatan perubatan dengan serta-merta.

Seorang pesakit yang menjadi bukti betapa pentingnya tindakan segera diambil ialah Khoo Key Jin, yang tangan kirinya tiba-tiba tidak bermaya semasa dia berjoging.

“Saya rasa lengan saya tiba-tiba terjatuh dan saya tidak dapat mengawalnya. Kemudian mulut saya mula mengendur dan saya tidak dapat bercakap dengan lancar,” jelas Key Jin.

Mujurlah dia pernah membaca rencana tentang strok dan mengetahui gejalanya. Ini membolehkan dia bertindak dengan serta-merta. Dia menghubungi keluarganya dan meminta mereka menghantarnya ke hospital. Mereka tiba di Bahagian Kemalangan dan Kecemasan hospital dan dia menerima rawatan dalam masa sejam.

“Saya bernasib baik kerana dirawat oleh seorang doktor yang berwibawa, dia memberi saya pilihan rawatan yang berkesan. Selepas diberi suntikan, saya boleh menggerakkan tangan dalam masa beberapa minit!

“Doktor kata biasanya pemulihan penuh mengambil masa tiga hingga enam bulan, tetapi mereka hanya meletakkan saya di bawah pemerhatian selama beberapa hari, dan apabila saya keluar dari hospital, segalanya sudah pulih seperti biasa,” katanya..

Tanda Strok

Menurut Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (NASAM), tanda amaran penting yang perlu diawasi ialah:

*Kelemahan atau kebas secara tiba-tiba pada sebelah bahagian badan. Tandanya termasuk muka kuyu dan kelemahan pada tangan dan/atau kaki.

*Pemandangan kabur secara tiba-tiba pada sebelah mata atau kedua-dua belah mata.

*Kesukaran bercakap atau memahami pertuturan, atau pertuturan tidak jelas.

*Pening, hilang keseimbangan, kekeliruan

*Sakit kepala serius secara tiba-tiba

Sekiranya anda memerhatikan atau mengalami mana-mana satu daripada masalah tersebut, langkah seterusnya yang perlu diambil ialah mendapatkan perhatian perubatan serta-merta di hospital. Walaupun gejalanya singkat sahaja, anda atau orang tersayang anda masih dalam bahaya. Jangan tunggu lebih banyak gejala dialami, atau menunggu dan melihat jika gejala bertambah buruk. Tindakan awal mungkin boleh menyelamatkan nyawa.

“Ramai orang kehilangan banyak masa mendapatkan rawatan kecemasan yang boleh membawa perbezaan ketara dari segi pemulihan strok. Tindakan segera amat penting dalam rawatan strok kerana matlamat utama ialah memulihkan aliran darah ke dalam otak, lantas mengurangkan risiko kerosakan kepada sel otak.

“Perkara paling penting untuk diingat sekiranya diserang strok, dapatkan rawatan perubatan serta-merta,” ujar Dr Wong.

Persediaan untuk bertindak dengan segera juga boleh menjimatkan masa yang berharga, seperti menyediakan senarai nombor kecemasan dan mengetahui hospital atau kemudahan perubatan mana berhampiran rumah anda yang mempunyai pusat dan unit strok.

Terkini

Walaupun rawatan pencegahan bagi strok adalah pelbagai, daripada terapi antiplatelet kepada rawatan penyakit kronik lain seperti diabetes dan hipertensi, satu terapi yang semakin mendapat perhatian dan lebih dikenali di kalangan pesakit dan doktor ialah agen trombolitik seperti alteplase, yang membantu membuka salur darah (arteri) sekiranya berlaku sekatan (strok iskemia).

Alteplase (juga dikenali sebagai pemecah bekuan) wujud secara semula jadi dalam badan, tetapi pada kadar yang sangat rendah. Maka jika berlaku strok, alteplase disuntik ke dalam badan untuk membantu mencairkan pembekuan darah.

Walaupun kebanyakan orang sudah biasa dengan langkah pencegahan menerusi aspirin, yang mencegah pembekuan daripada berlaku, terapi khusus seperti alteplase semakin diakui kerana mampu memperbaiki tahap pemulihan pesakit apabila diberikan dalam tempoh tiga jam daripada bermulanya gejala.

Pendek kata, alteplase membantu mencairkan bekuan dan memulihkan aliran darah ke dalam otak, lantas mengurangkan kerosakan kepada sel otak.

Dalam satu kajian klinikal yang diterbitkan di dalam New England Medical Journal (keluaran 25 September) membabitkan 800 pesakit, alteplase didapati meningkatkan kemungkinan mencapai kehilangan upaya minimum atau tiada langsung kehilangan upaya selepas strok sebanyak 34 peratus bagi pesakit yang diberikan rawatan dalam tempoh antara tiga hingga 4.5 jam selepas bermulanya gejala.

Sebelum ini, alteplase hanya disyorkan penggunaannya sehingga tiga jam dari bermula gejala strok, kajian terbaru ini menunjukkan bahawa penghidap strok iskemia boleh mendapat manfaat daripada rawatan dengan alteplase sehingga 4.5 jam selepas diserang strok. Lebih penting lagi, profil keselamatan alteplase apabila digunakan dalam tempoh tiga hingga 4.5 jam adalah konsisten dengan penggunaan dalam jangka waktu diluluskan antara 0 hingga tiga jam.

“Pada asasnya, pesakit mempunyai masa tambahan 1.5 jam untuk mendapatkan rawatan. Doktor kini diberi peluang lebih tinggi untuk membantu pesakit mengurangkan kesan strok. Bagaimanapun, adanya lebih masa tidak bermakna kita harus berlengah. Pergi ke hospital yang mempunyai unit (pusat) strok dengan serta-merta,” tegas Dr. Wong.

Risiko Strok

NASAM menyenaraikan faktor risiko strok boleh diubah sebagai :

*Tekanan darah tidak dirawat (hipertensi). Masalah ini boleh merosakkan dinding salur darah (arteri).

*Diet tidak sihat. Diet yang tinggi kandungan garam dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, manakala diet tinggi kandungan lemak dan gula dikaitkan dengan penyempitan arteri (aterosklerosis).

*Diabetes Melitus. Orang yang menghidap kencing manis berkemungkinan lebih tinggi menghidap aterosklerosis, justeru mereka menghadapi risiko strok yang lebih tinggi.

*Pernah mengalami ‘strok iskemia sementara’ (TIA) – strok mini yang menyebabkan gejala strok sementara. Kira-kira seorang daripada lima orang yang mengalami strok penuh pertama kali pernah mengalami satu atau lebih TIA sebelum ini.

*Pemfibrilan atrium. Denyutan jantung tidak tetap ini meningkatkan risiko pembentukan darah beku di jantung, yang kemudian beralih dan bergerak ke otak.

*Merokok. Tabiat ini mewujudkan beberapa kesan buruk terhadap arteri, menyebabkan aterosklerosis.

*Kerap minum alkohol dalam jumlah yang banyak. Secara beransur-ansur tabiat ini meningkatkan tekanan darah, manakala terlalu banyak minum boleh meningkatkan tekanan darah ke paras yang sangat tinggi dan mungkin mencetus strok.

*Jenis pil kontraseptif oral tertentu. Ini boleh menjadikan darah lebih likat dan berkemungkinan lebih tinggi untuk membentuk darah beku.

Faktor risiko tidak boleh diubah termasuk:

*Usia. Strok lebih umum dialami di kalangan orang yang berusia lebih 55 tahun, dan kadar kejadian terus meningkat seiring dengan peningkatan usia.

*Jantina. Lelaki menghadapi risiko strok lebih tinggi berbanding wanita, terutamanya lelaki di bawah usia 65 tahun.

*Sejarah keluarga. Mempunyai saudara terdekat yang mengalami strok meningkatkan risiko.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, July 05, 2008

Diserang Angin Ahmar Bagai Mati Hidup Semula


STROK merupakan penyakit berbahaya yang boleh dielak jika kita mengetahui tanda-tandanya.- Gambar hiasan





















KES SATU : ALBERT ANTHONY, 63

Bagaikan mati hidup semula!. Begitulah luahan Albert Anthony ketika ditanya apa perasaannya hari ini berbanding dua tahun lalu selepas diserang strok sehingga menyebabkan beliau mengalami koma selama satu bulan.

Katanya, apa yang berlaku tidak pernah disangka sama sekali, namun beliau menerimanya sebagai cabaran untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tabah.

Menceritakan pengalaman, kata individu yang berkecimpung dalam dunia pengurusan acara dan cukup dikenali di kalangan kelompok media dan sukan lasak, mengakui gaya hidup yang menjadi amalannya antara faktor yang mempengaruhi serangan penyakit tersebut.

Beliau tidak menafikan kurang rehat, sering berada dalam tekanan selain mengambil minum minuman keras mendorong kepada serangan tersebut.

Anthony cukup bertuah kerana sokongan keluarga dan rakan-rakan memberinya kekuatan termasuk memperkenalkan Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Nasam) kepadanya.

‘‘Jika kira-kira dua tahun dahulu saya dihantar dan diambil rakan-rakan untuk ke Nasam, kini saya sudah berkemampuan untuk memandu sendirian ke pusat ini,” ujarnya sambil menaruh harapan untuk melakukan penerbangan yang merupakan salah satu hobi pada masa sihatnya.


KES DUA : YAP KON KOOI, 67

Penyakit tekanan darah tinggi yang dihidapi selama empat tahun antara punca utama Yap diserang strok apabila berlakunya sekatan saluran darah ke otak.

Ini ditambah pula gaya hidup Yap sendiri. Selain kurang tidur, tekanan kerja serta kurang bersenam diakui turut mendorong kejadian tersebut.

Bagi Yap apa yang berlaku dianggap sesuatu yang di luar dugaan, namun dia tetap menerimanya dengan hati terbuka.

Beliau yang sudah hampir dua tahun menjalani latihan di Nasam mengakui keadaannya sudah jauh berbeza berbanding pada peringkat awal .

‘‘Saya kini sudah boleh melakukan rutin harian seperti dahulu. Walaupun tidak lagi segagah dahulu, tetapi saya gembira kerana sekurang-kurangnya saya masih mampu bernafas hingga ke hari ini,” ujarnya.

Nasihat Yap, setiap individu perlu sentiasa menjaga kesihatan kerana baginya mencegah adalah lebih baik daripada merawat.


KES KETIGA : NATERAH TAMBY CHIK, 56,

Wanita kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini, sama sekali tidak pernah menyangka demam-demam serta rasa kebas yang dialami sebelum ini merupakan petanda awal beliau diserang strok.

Naterah yang pernah berkhidmat di salah sebuah syarikat perbankan itu selain mengamalkan gaya hidup sihat, beliau juga tidak mempunyai keturunan yang pernah mengalami penyakit seumpamanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan besar penyakit tekanan darah tinggi yang dihidapi selama empat tahun lalu antara kemungkinan membawa kepada serangan strok.

Mengakui pada peringkat awal mengalami sedikit gangguan, terutama rasa sedih dan rendah diri, namun berkat sokongan keluarga terutama suami dan anak-anak beliau bangkit untuk sembuh daripada penyakit tersebut.

‘‘Saya bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga serta rakan-rakan yang yang banyak memberi dorongan,” ujarnya yang dimaklumkan tentang Nasam oleh rakan anaknya.

Mengakui sejak menjalani latihan terutama fisioterapi di Nasam, kira-kira dua bulan lalu, ia banyak memberi perubahan kepadanya untuk kembali kepada kehidupan normal.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Awasi Tanda-Tanda Strok


STROK iskemia berlaku apabila darah beku menyekat arteri membekal darah ke otak.















Rasa lemah atau kebas secara tiba-tiba pada muka, lengan serta di sebelah bahagian badan adalah antara gejala seseorang itu berkemungkinan diserang strok atau angin ahmar.

Selain itu, penglihatan juga menjadi kabur secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua -dua mata.

Tanda-Tanda Amaran Strok

Menurut Perunding Neurologi di salah sebuah hospital di ibu negara, Dr. Lee Moon Keen, strok tidak terjadi begitu sahaja kerana lazimnya terdapat tanda-tanda amaran seperti yang dijelaskan.

Dengan mengenalpasti tanda-tanda ini dan bertindak segera daripada segi perubatan, seseorang individu dapat mengelakkan strok yang akan berlaku ataupun mengurangkan tahap keseriusannya.

Di negara ini katanya, strok adalah pembunuh yang keempat terbesar selepas kanser dan penyakit jantung.

Strok juga penyebab utama ketidakupayaan yang teruk, di mana kos merawat pesakit juga adalah tinggi dan rawatan pemulihan bagi pesakit yang terselamat daripada maut mengambil masa yang panjang serta mahal.

Menerangkan lebih lanjut mengenainya, terdapat dua jenis serangan strok iaitu, strok iskemia dan strok berdarah.

Strok iskemia berlaku apabila darah beku menyekat arteri daripada membekalkan darah ke otak.

Biasanya strok iskemia adalah akibat daripada pengumpulan kolestrol dan puing lain di dalam arteri semenjak bertahuntahun lamanya.

Strok jenis tersebut mungkin disebabkan oleh trombosis serebrum, iaitu apabila darah beku (tombus) terbentuk di dalam arteri utama yang menuju ke otak, menghalang bekalan darah.

Manakala embolisme serebrum berlaku apabila darah beku terbentuk di dalam salur darah di tempat lain dalam badan, contohnya di leher atau di jantung dan bergerak dalam aliran darah ke otak.

Menerangkan mengenai strok berdarah katanya, ia terjadi apabila salur darah di dalam otak atau di sekelilingnya pecah dan menyebabkan pendarahan.

Penyakit tekanan darah tinggi yang lama dan tidak dirawat memberi memberikan tekanan pada dinding arteri, menyebabkan meningkatnya risiko arteri itu pecah dan seterusnya berdarah.

Strok berdarah kemungkinan disebabkan oleh pendarahan intraserebrum, iaitu apabila salur darah pecah di dalam otak.

Manakala pendarahan subraknoid, iaitu apabila salur darah di permukaan otak berdarah dan darah tersebut meresap ke dalam kawasan di antara otak dan tengkorak yang dikenali sebagai ruang subarakanoid.

Menurut Dr. Lee, strok merupakan masalah kesihatan mengancam nyawa yang paling mudah dicegah.

Oleh itu, amat penting bagi seseorang mengetahui dan memahami faktor risiko yang boleh menyebabkan strok.

Sesetengah faktor risiko boleh diubah dan sesetengahnya tidak.

Amat penting katanya, mengingati bahawa mempunyai satu atau lebih faktor risiko yang boleh diubah meningkatkan risiko serangan strok.

Kawalan yang lebih baik terhadap faktor risiko yang boleh diubah dapat mengurangkan risiko strok dengan ketara. Antara faktor yang dikaitkan dengan strok termasuk tekanan darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi, perokok, diet tidak seimbang dan stres.

Bagaimana Strok Didianogsis?

Kata Dr. Lee, doktor akan melakukan dianogsis klinikal dengan cara mendapatkan sejarah perubatan pesakit diikuti dengan pemeriksaan fizikal.

Selepas itu doktor akan melakukan ujian bersesuaian yang diperlukan untuk merawat pesakit dengan berkesan. Pengimejan menggunakan imbasan tomogafi berkomputer (CT) dan imbasan gema bermagnet (MRI) membantu doktor merawat pesakit.

Menjelaskan mengenai kesan strok kepada pesakit kata beliau, ia adalah pelbagai. Keupayaan khusus yang akan hilang atau terjejas akibat strok bergantung pada berapa teruknya otak rosak dan di bahagian mana di otak strok berlaku.

Katanya, otak adalah organ yang kompleks yang sangat hebat dan setiap kawasan di dalam otak bertanggungjawab terhadap fungsi atau keupayaan tertentu.

‘‘Oleh sebab otak mengawal kesemua fungsi badan, maka strok mempunyai potensi menjejaskan semua aktiviti seseorang,” ujarnya.

Ditanya pula tentang sejauh mana kepentingan melakukan pemulihan segera terhadap mangsa strok, beliau menegaskan pemulihan segera adalah amat penting dimana setiap mangsa mesti mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin.

Katanya, semakin cepat terapi pemulihan dimulakan, semakin cepat otak mempelajari semula pergerakan yang normal dan kelewatan akan menyukarkan proses pemulihan.

Terapi pemulihan meliputi fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan kaunseling.

Dr. Lee juga menegaskan risiko strok boleh dicegah sekiranya seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat. Antaranya melakukan aktiviti fizikal, pengambilan makanan yang sihat, tidak merokok dan sentiasa melakukan pemeriksaan tekanan darah, selain dapatkan khidmat doktor sebelum mengambil pil kontraseptif.

Beliau turut memberi nasihat jika seseorang itu pernah diserang strok, amat penting membuat pemeriksaan perubatan secara tetap supaya tekanan darah, paras kolestrol dan berat badan dapat diawasi.


Ditulis oleh:
Roslah Othman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 19, 2008

Pesakit Strok Ngilu Di Punggung

SOALAN:
Doktor, saya berumur 51 tahun, warganegara Indonesia. Kira-kira empat tahun lalu, saya telah disahkan oleh doktor menghidap strok atau angin ahmar.

Sejak akhir-akhir ini, kurang lebih satu tahun, saya sering berasa sakit atau ngilu sekali pada tulang punggung terutama tulang belikat setelah saya melakukan aktiviti olahraga seperti berjalan atau bersenam dan apabila saya mengalami perubahan emosi seperti marah.

Ia hanya akan hilang setelah diurut oleh perawat saya kira-kira setengah jam. Saya kini mengambil ubat minum Agrenox (pengencer darah), Angioten (darah tinggi), Niaspan (kolesterol) dan kalau sakit di punggung atau belikat saya minum Somadril (relaksasi/merehatkan otot).

Strok yang saya deritai juga bersifat spastik. Setiap hari saya melakukan latihan jalan dan senam sendiri selama dua jam di samping fisioterapi di rumah sakit. Terima kasih atas saranan doktor.

Budiyanto


JAWAPAN:
Pesakit strok selalunya mengalami kekejangan otot pada separuh badan kiri atau kanan bergantung kepada lokasi strok tersebut.

Strok atau angin ahmar yang berlaku di otak sedikit sebanyak boleh mengganggu bahagian otak yang mengawal emosi/kemarahan.

Selain itu kekejangan otot itu juga lama-kelamaan akan menyebabkan sendi-sendi menjadi kaku atau keras sekiranya tidak digerakkan dalam satu jangka masa tertentu.

Oleh itu, rehabilitasi/pemulihan semula untuk pesakit strok adalah sangat penting selain daripada ubat-ubatan yang dibekalkan.

Untuk mengawal emosi, kemungkinan saudara boleh berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiatrik untuk mendapatkan bantuan.

Bagi masalah otot pula, aktiviti meregangkan kembali otot-otot melalui fisioterapi hendaklah dilakukan secara berterusan, pada setiap hari dengan bantuan ahli keluarga yang lain untuk mengurangkan ketegangan otot.

Sekiranya masalah kesakitan ini berterusan, hendaklah berjumpa dengan doktor pakar yang mana sekiranya pembedahan perlu dilakukan, ini dapat mengurangkan ketegangan otot-otot tertentu melalui kaedah melegakan tisu lembut.

Saudara juga disarankan berjumpa dengan pakar perubatan dan berbincang dengan beliau kaedah-kaedah terbaru perubatan yang boleh mengurangkan ketegangan otot.


Ditulis oleh:
Dr Khaizatul Ezam Abu Bakar
Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma,
Pakar Artroskopi dan Kecederaan Sukan,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/