Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label gastrik. Show all posts
Showing posts with label gastrik. Show all posts

Friday, September 12, 2008

Pesakit Gastrik Boleh Berpuasa


PENGAMBILAN roti berserat mungkin membantu proses penghadaman. - Gambar hiasan









Apabila tiba Ramadan, macam-macam pula penyakit yang muncul dan dijadikan alasan yang menghalang diri daripada berpuasa.

Ramai beranggapan tidak makan dalam tempoh yang lama akan menyebabkan asid di dalam perut bertindak balas sehingga menyebabkan sakit perut atau dalam perkataan mudah ‘gastrik’.

Sebenarnya sakit perut tidak hanya disebabkan gastrik, tetapi banyak penyebab lain seperti pedih ulu hati, batu dalam pundi hempedu, ulser dan radang pankreas di mana kebanyakannya menimbulkan simptom sama.

Ini diakui sendiri Perunding Pembedahan Am, Digestif dan Laparoskopik di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Lukman Mohd. Rashid.

Bagaimanapun katanya, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk sesetengah individu itu tidak berpuasa seperti orang lain.

Sebaliknya pesakit masih boleh berpuasa jika mereka benar-benar memahami apa itu gastrik dan di tahap kronik manakah gastrik yang dialami.

Beliau berkata, dengan pilihan makanan yang betul selain memahami kebaikan puasa itu sendiri, secara tidak langsung dapat mengurangkan rangsangan tindak balas kimia yang berlaku di dalam otak.

Ini kerana katanya, ia menjadi punca penghasilan asid selaku pendorong utama kepada gejala kurang selesa khususnya pada perut.

‘‘Sama seperti penghidap penyakit lain seperti kencing manis, mereka masih boleh menjalani ibadah puasa dengan syarat mendapatkan nasihat doktor dan mengambil makanan serta ubatan diperlukan mengikut jadual yang ditetapkan,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenai penyakit gastrik atau nama perubatannya, gastritis secara amnya merujuk kepada inflamasi (radang) pada bahagian lapisan perut (mukosa), tetapi ia juga lazim digunakan untuk menerangkan pelbagai gejala yang disebabkan inflamasi itu termasuk pedih ulu hati atau ketidakselesaan perut.

Katanya, antara punca gastritis ialah jangkitan sejenis bakteria, Helicobacter Pylori atau lebih dikenali sebagai H Pylori yang lazim ditemui pada pesakit gastritis kronik.

Ia juga disebabkan berlakunya lebihan rembesan asid hydroklorik di dalam perut atau hyperacidity yang seterusnya menyebabkan iritasi dan luka di dalam perut.

Bagaimanapun, tidak ada kajian yang menunjukkan ketika berpuasa rembesan asid hydroklorik ini bertambah malah didapati puasa boleh mengurangkan rembesan asid ini.

Antara gejala-gejala yang dikaitkan dengan gastrik termasuk sakit perut dan rasa tidak hadam yang selalunya dirasai di bahagian atas perut, pening kepala, loya atau muntah, badan rasa lemah dan berat badan menurun.

Menurut Dr. Lukman, sebaiknya, pesakit gastrik disarankan menjalani ujian seperti ujian Endoskopi dan doktor akan dapat menentukan keseriusan tahap gastrik mereka.

Mereka juga perlu memastikan dapat rawatan yang sempurna untuk penyakit gastrik itu.

‘‘Pada masa kini banyak ubat-ubatan yang boleh didapati seperti kumpulan ubat-ubatan H2 antagonist seperti Zantac, Tagamet serta ubat Proton Pump Inhibitors(PPI) seperti Nexium, Controloc, Pariet dan sebagainya yang boleh menyembuhkan pesakit ini. Pesakit perlu mengambil rawatan ini sepanjang mereka berpuasa,’’ ujarnya.

Begitupun, jika pesakit yang masih berasa sakit di bahagian ulu hati, muntah atau membuang air besar dengan najis berwarna hitam dan sangat busuk walaupun sudah mengambil ubat-ubatan, mereka perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, selain menjalani rawatan perubatan dan mematuhi nasihat doktor, pesakit itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga sejak awal. Ini termasuk mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat kerana punca gastrik juga turut dikaitkan dengan amalan pemakanan seseorang.


Ditulis oleh:
Roslah Othman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, June 08, 2008

Gastrik Tidak Halang Mengandung

SOALAN:
Doktor, jika seseorang itu mengalami gastrik yang kronik, apakah kesan buruk yang dialaminya? Jika yang mengalami penyakit ini adalah seorang wanita, adakah dia tidak boleh mengandung? Apakah rawatan yang paling sesuai untuk penyakit gastrik dan apakah risikonya jika melakukan pembedahan?

Zarry


JAWAPAN:
Gastrik yang kronik tidak akan memberi kesan kepada peluang untuk seorang wanita mengandung. Kaedah terbaik untuk merawat gastrik kronik adalah dengan menjalankan ujian endoskopi dan diikuti dengan mengambil ubat secara oral (makan).

Pembedahan pula bukanlah antara pilihan rawatan biasa untuk penyakit ini kecuali jika penyakit gastrik itu telah membawa kepada pembentukan ulser atau lubang pada dinding perut.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

MasalahGastrik, GERD atau Jantung?

SOALAN:
Doktor,Saya telah membaca ruangan kesihatan di utusan malaysia pada 18 Februari 2008 mengenai penyakit GERD. Saya ada soalan tentang masalah ini.

Suami saya telah dimasukkan ke dalam wad selama tiga hari pada bulan Januari (11 hingga 13 Januari 2008). Doktor mengatakan dia kena gastrik. Masalahnya dia selalu keluar angin dari badan, sendawa kuat, sakit dada dan panas dalam badan, kulit kering dan tidak berpeluh.

Bermacam-macam ubat telah dicuba selain ubat hospital tapi tiada kesan. Badannya lemah dan tiada semangat seperti sebelum ini kerana suami saya aktif, kuat berkebun sehingga basah bajunya dengan peluh.

Bila malam, suami juga tidak boleh tidur kerana dadanya sakit sehinggakan dia risau kerana takut sakit jantung pula. Kami telah pergi ke unit endoskopi pada 4 Februari 2008 tetapi keputusannya biasa sahaja. Bolehkah doktor beritahu apa lagi tindakan yang harus saya ambil untuk membantu suami? Terima kasih.

Norsiha


JAWAPAN:
Pertama sekali, suami puan perlu berjumpa doktor untuk memastikan penyakit berkenaan tidak berkaitan dengan sebarang masalah pada jantung. Jika sudah disahkan bukan berpunca dari jantung, ujian endoskopi mungkin perlu dijalankan untuk memastikan sebarang kaitan dengan salur penghadaman.

Ujian endoskopi yang tidak menunjukkan sebarang masalah membolehkan doktor menolak kemungkinan kaitan GERD dengan masalah suami puan. Namun, ini juga menunjukkan suami puan perlu menjalani ujian lanjutan yang lebih khusus sebelum simptom yang dihadapinya dapat dikaitkan dengan masalah fungsi badan atau psikologi.

Ujian lanjutan hanya perlu dijalankan jika semua ujian yang biasa dijalankan menunjukkan keputusan negatif (tiada masalah).


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Wednesday, March 05, 2008

Kekejangan Berpunca Daripada H. pylori?

SOALAN:
Doktor, saya berusia 24 tahun dan mengalami masalah gastrik. Gejala yang saya alami adalah seperti senak atas abdomen, pedih hulu hati dan tekanan perasaan. Untuk itu, saya mempunyai dua soalan:

a) Apabila senak atas abdomen, saya kerap sesak nafas malahan nafas akan terputus-putus ketika di dalam kereta sehingga menyebabkan kekejangan kaki dan tangan. Adakah ini tanda gastrik atau mungkin jangkitan bakteria perut seperti H. pylori?

b) Saya ke klinik kesihatan dan berjumpa doktor yang hanya memberikan ubat untuk angin dan menyuruh saya mengawal pernafasan. Adakah ujian pernafasan perlu dijalankan untuk pemeriksaan lanjut? jika perlu bagaimanakah ujian ini dijalankan?

Yang Risau,
Kuala Lumpur

JAWAPAN:
a) Masalah kesukaran bernafas yang membawa kepada kekejangan tangan dan kaki tidak berkaitan dengan jangkitan H. pylori tetapi mungkin berpunca daripada sindrom yang dikenali sebagai dispepsia bukan ulser.

Sindrom ini mungkin tidak melibatkan masalah penyakit di dalam perut tetapi pesakit tetap berasa sakit pada abdomen (epigastrik) dan rasa pedih hulu hati. Sindrom ini mungkin berkaitan dengan masalah perasaan bimbang dan cemas.

Bagaimanapun, anda dinasihatkan menjalankan ujian endoskopi (OGPS) untuk menolak kemungkinan penyakit di dalam perut sebelum boleh dianggap mengalami sindrom dispepsia bukan ulser.

b) Anda memerlukan sekurang-kurangnya imbasan sinar-X dan ujian fungsi paru-paru untuk menentukan punca masalah pernafasan. Ujian-ujian ini boleh dijalankan di kebanyakan klinik dan hospital dan jika tidak menunjukkan sebarang masalah, boleh diteruskan dengan ujian endoskopi (OGPS) seperti dinyatakan di atas.


Ditulis oleh:
Dr Abdul Malik Jamal Buhari
Pakar Runding Perubatan dan Gasteroenterologi,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Gastrik dan Tekanan Perasaan

SOALAN:
Doktor, saya berusia 19 tahun dan telah dimasukkan ke hospital September lalu akibat tekanan menghadapi peperiksaan percubaan STPM sehinggakan perlu dimasukkan dua botol air (IV drip). Ketika itu, saya sering menghadapi masalah mahu pitam, badan tidak bermaya, leher kebas, sesak nafas, hilang selera makan dan bermacam masalah lain lagi.

Tidak lama kemudian saya menghadapi masalah mahu pitam lagi dan doktor sebuah klinik berhampiran kediaman saya mengesahkan saya menghidap gastrik. Akibatnya, saya tidak boleh menyentuh nasi. Ada pula yang mencadangkan supaya saya minum susu.

Saya ingin bertanyakan pendapat doktor tentang diet yang seimbang untuk penyakit gastrik.

Mengikut pembacaan saya, makanan yang terlalu manis, masam dan pedas tidak sesuai untuk pesakit gastrik. Adakah ini benar?

CT Payung,
Perak

JAWAPAN:
Masalah utama yang saudari hadapi kini mungkin masalah rasa cemas akibat tekanan yang timbul dalam bentuk gejala melibatkan masalah gastrik.

Bagaimanapun, saudari tetap disarankan untuk menjalani ujian endoskopi (OGDS) untuk memastikan sakit gastrik berkenaan bukan berpunca daripada penyakit ulser peptik memandangkan saudari menyatakan tidak dapat makan dengan baik (nasi).

Susu pula mengandungi kandungan kalsium yang tinggi dan ini dikhuatiri akan menyebabkan keradangan kepada perut saudari.

Perlu difahami bahawa tiada diet khusus yang dapat dicadangkan untuk pesakit gastrik selain mengelakkan makanan yang pesakit sendiri tahu memburukkan lagi kesakitan akibat penyakit gastrik.

Saudari mungkin perlu menemui pakar psikologi atau psikiatri untuk mendapatkan kaunseling bagi mengatasi masalah tekanan perasaan yang dihadapi selain belajar menguruskan perasaan bimbang dan cemas.


Ditulis oleh:
Dr Abdul Malik Jamal Buhari
Pakar Runding Perubatan dan Gasteroenterologi,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/