Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label senaman. Show all posts
Showing posts with label senaman. Show all posts

Wednesday, June 27, 2012

Aktif Bersenam Pintar Matematik

Bijak dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.

Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.

Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).

Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.

Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.

Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.


MATEMATIK memerlukan tumpuan yang lebih untuk menguasainya.

Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.

Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.

Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.

Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.



Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Thursday, May 10, 2012

Senaman Untuk Perut

Wanita yang pentingkan penampilan akan memastikan mereka mempunyai bahagian abdomen atau perut yang kempis.
Bagi memastikan bahagian berkenaan sentiasa cantik, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah berkenaan.

Ada yang mengurangkan kuantiti makanan yang diambil, berpuasa mahupun bersenam.

Terdapat beberapa senaman yang boleh dilakukan bagi mendapatkan keadaan perut yang diidamkan oleh wanita.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, January 23, 2012

Mencantikkan bahagian paha

Sememangnya wanita amat mengambil berat mengenai bahagian tubuh mereka agar cantik dan meyakinkan.
Salah satu bahagian yang mendapat perhatian wanita adalah paha.

Semua wanita tentu saja mahukan paha yang cantik untuk menambah keyakinan semasa menggayakan pakaian.

Minggu ini ruangan senaman akan menunjukkan cara-cara untuk mendapatkan paha yang cantik, sihat dan menarik.

Gunakan bola

-Letakkan bola ke dinding dan sandar ke bola.

Secara perlahan-lahan turun ke bawah sehingga bahagian lutut berada pada sudut 90 darjah.
Pastikan tangan berada diangkat separas dengan bahu. Biarkan selama 40 saat.

Gunakan stepper

1. Berdiri tegak di atas stepper.
Langkah kaki kanan setapak ke belakang. Jengket kaki belakang.

2. Kemudian turunkan lutut hampir mencecah ke lantai.
-Biarkan selama 40 saat.
Ulangi dengan kaki sebelah kiri juga selama 40 saat.
Jika boleh buat dalam ulangan lima hingga lapan kali untuk mendapat keputusan yang baik.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, December 20, 2011

Aktif Bersenam Pintar Matematik

Bijak dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.

Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.

Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.

Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.

Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.

Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.

Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.

Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.

Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.

 Dipetik dari: http://www.kosmo.com.my/

Friday, October 21, 2011

Senaman Otot Ceriakan Ekspresi

Hanisah kurang senang dengan kehadiran kedut pada keningnya. Kedutan itu meskipun tampak kecil namun tetap mengganggu penampilan wajahnya.
Semasa hari raya yang lalu, Hanisah ditanya kakaknya di kampung mengapa dia tampak begitu tertekan. Kakaknya menyangka Hanisah dilanda stres. Ini kerana wajahnya yang bergaris di antara dua kening menunjukkan mimik wajah seorang yang dalam kebimbangan atau dilanda stres.

Apabila Hanisah memerhatikan wajahnya cermin barulah dia ternampak garis halus yang mengganggu penampilannya daripada ceria berubah menjadi duka pula.

Pada wajah kita terdapat beberapa otot yang dinamakan otot ekspresi wajah. Otot-otot ini memainkan peranan dalam memberi ekspresi wajah kita. Apabila kita gembira, otot-otot ini bergerak menzahirkan kegembiraan pada muka kita. Begitu juga apabila kita marah. Otot-otot ini bergerak dan memberikan ekspresi marah pula.

Otot-otot muka kita boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan kita memahami fungsinya. Otot di sekitar mata dan kening berfungsi bagi membuka mata, menggerakkan bebola mata dan mengerutkan dahi. Kerana itulah mata kita mampu memberikan ekspresi wajah yang pelbagai. Perbuatan menjeling, melirik dan mengenyit misalnya memberi pelbagai maksud bagi individu yang memandangnya. Oleh itu bahasa mata dikatakan suatu bahasa yang penuh bermakna meskipun tiada kata-kata yang kedengaran. Otot di dahi pula berfungsi bagi menarik kening ke atas. Mereka yang mempunyai otot dahi yang kuat mempunyai kening tinggi dan tampak menarik. Namun terdapat juga mereka yang mudah mengalami kedutan di dahi lantaran pengecutan otot ini. Ini membuatkan mereka tampak lebih tua daripada usia sebenar dan kurang menarik. Kumpulan otot di bawah mata pula berfungsi apabila kita mahu memejamkan mata. Otot ini sekiranya terlalu besar akan membuatkan mata kita tampak kecil. Otot di sekitar hidung berfungsi mengawal bukaan hidung. Jika ia terlalu aktif hidung akan tampak kembang. Jika hidung mahu tampak kecil otot ini harus dikurangkan keaktifannya.

Kumpulan otot pada pipi yang digelar meseter pula penting untuk mengunyah. Otot yang digunakan untuk meniup dan bersiul pula dinamakan buccinators. Tidak ramai yang tahu bahawa dagu juga mempunyai otot bernama mentalis. Dagu yang panjang tentunya mempunyai mentalis yang relaks dan tidak berkerut.

Bagi mereka yang kuat merokok biasanya otot sekeliling mulut akan membesar atau menjadi aktif. Apabila usia meningkat ia kelihatan seolah olah seperti gelang di sekitar mulut.

Ekspresi wajah dikawal sepenuhnya oleh otot-otot ini dan kehilangan kuasanya akan membuatkan ekspresinya hilang. Seseorang yang mengidap parkinson tidak mempunyai sebarang ekspresi wajah kerana kerana kegagalan ototnya bekerja.

Bagi membolehkan otot bekerja dengan baik beberapa perkara penting seperti kandungan kalsium yang cukup, kandungan transmitter seperti dopamine dan keadaan otot serta saraf yang utuh. Justeru gangguan saraf seperti yang berlaku kepada pesakit strok dan bells palsy membuatkan keadaan tidak simetri pada wajah. Keadaan ini adalah disebabkan lumpuhnya beberapa otot yang mengawal pergerakan muka.

Bagi mereka yang menggunakan tangan kanan mungkin mereka turut mengunyah makanan dan menggunakan lebih banyak otot pada sebelah kanan juga. Apabila usia meningkat melebihi 40 kita mula melihat perkembangan yang lebih pada otot-otot kanan membuatkan keadaan tidak simetri pada muka. Pada masa ini perubahan perlu dilakukan dengan menggunakan bahagian kiri lebih banyak agar perkembangan otot akan turut seimbang. Saya juga turut mencadangkan amalan mengurut otot wajah dan melakukan senaman wajah.

Senaman wajah

Otot yang kuat tidak mudah kendur dan rosak. Senaman yang sesuai adalah dengan melakukan fungsi-fungsi otot kita. Bagi otot mata lakukan kenyitan mata beberapa kali. Letakkan jari jemari di bahagian dahi berhampiran rambut dan lakukan urutan ke atas. Ini akan membantu mengelakkan kedutan.

Seterusnya lakukan perbuatan mengembungkan pipi seolah olah meniup selama beberapa kali. Setelah itu kembungkan pipi kiri dan kanan secara berasingan pula.

Llakukan pergerakan senyum yang lebar dan dan bulatkan mata semasa senyum. Oleh kerana pergerakan senaman ini mudah ia boleh diamalkan di mana sahaja. Bahkan ketika memandu ia juga boleh dilakukan.

Sebaik sahaja dilakukan sudah tentu wajah akan tampak kemas dan lebih bermaya. Ini kerana otot-otot yang bersenam akan lebih kuat dan tegap.

Bagi doktor pakar estetik,adakalanya perubahan pada saiz dan tindakan otot muka perlu dilakukan bagi mendapatkan penampilan yang lebih manis dan tampak lebih jelita.

Produk yang di tawarkan seperti radio frequency, suntikan BTA, suntikan filler dan implan turut mendapat tempat bagi meningkatkan lagi penampilan dan seri wajah seseorang.

INGIN tahu maklumat lanjut hubungi 03-89252334.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Tuesday, May 03, 2011

Kurus Dengan Senaman Otot

Terdapat dua jenis karbohidrat yang tidak menyihatkan di dalam hidangan kita seharian. Yang pertama adalah makanan manis dan bergula manakala kedua bijirin yang tidak bercambah seperti roti, nasi dan pasta.
Karbohidrat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan jauh lebih baik kerana ia semulajadi tanpa melalui proses pengubahan sebagaimana roti dan gula. Karbohidrat jenis roti dan gula meningkatkan paras gula dengan mendadak sehingga merosakkan kesihatan manakala jenis sayur-sayuran pula mengurai dengan perlahan memberikan tenaga tanpa merosakkan tubuh.

Gula merupakan keperluan sel dalam tubuh kita. Tanpa gula kita menjadi lemah tidak bermaya. Yang merosakkan tubuh adalah kenaikan paras gula melampau secara tiba- tiba. Apabila kita minum segelas minuman manis, paras gula meningkat dengan tiba-tiba menyebabkan paras hormon, enzim dan transmitter tubuh berada dalam keadaan yang tidak menentu. Lama kelamaan akibat aktiviti tidak menentu ia mudah rosak. Keadaan ini boleh disamakan dengan suis lampu atau peralatan elektrik yang dipetik beribu kali tanpa henti. Sudah tentu ia mudah rosak kerana penggunaannya yang tidak berkala.

Apabila mengambil minuman yang sangat manis atau makan makanan berkarbohidrat tinggi seperti roti atau pasta jumlah gula akan meningkat secara drastik di dalam darah. Kita akan berasa bertenaga selama 20 minit. Kelenjar insulin mengesan kehadiran gula dan mula bekerja keras menurunkan kadar gula. Insulin yang banyak akan berkitar di dalam tubuh kita melebih sejam. Pada masa ini paras gula sudah terlalu rendah manakala paras insulin pula sangat tinggi. Ketidakseimbangan membuatkan seseorang menjadi lemah dan lesu. Ini adalah faktor mengapa tubuh kita menjadi letih dan mengantuk setelah beberapa jam makanan makanan manis atau tinggi karbohidrat diproses.

Apabila proses ini berulang setiap hari tubuh kita bagaikan kehilangan signalnya yang semula jadi. Paras hormon metabolik turut terjejas dan akhirnya kita akan menjadi obes yang tidak mudah dipulihkan dengan diet biasa.

Seseorang yang mahu kurus harus mangambil berat fakta sebegini. Metabolik tubuh harus ditingkatkan. Pemilihan makanan yang tidak meningkatkan paras gula dalam darah adalah faktor terpenting bagi membantu meningkatkan hormon metabolik.

Indeks Glycemic merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan meningkatkan paras gula dalam darah. Ia sebenarnya merujuk kepada kebolehan sesuatu makanan dipecahkan menjadi gula dalam darah kita. Lebih tinggi indeks glycemic bermakna lebih cepat makanan ditukar menjadi gula dan memberi kesan buruk kepada tubuh kita.

Senaman adalah satu lagi faktor utama yang mampu meningkatkan kadar metabolisma. Kita perlu ingat bahawa senaman bertujuan meningkatkan kadar pemanasan tubuh dan bukannya membentuk otot semata mata. Oleh kerana lemak lebih cenderung terbentuk pada perut, paha dan belakang maka senaman yang baik adalah senaman yang menggunakan otot ini.

Saya mencadangkan senaman otot-otot utama atau Core Muscle Excersize yang mudah dan sangat berkesan. Otot utama kaya dengan bahan pembakar lemak. Pergerakan otot utama membuatkan seluruh tubuh kita berfungsi. Apabila kita melakukannya kita dapat rasai kesan yang pantas dan hebat.

Senaman jenis ini tidak memerlukan ruang yang luas. Memadai dilakukan di atas tilam atau lantai sahaja. Lagipun ia tidak mengambil masa yang panjang hanya sekitar 20 minit sahaja. Ia juga tidak menjemukan kerana tanpa disedari kita menggunakan tenaga seluruh tubuh bagi melakukannya. Pada waktu ini otot-otot akan distimulasi dan mengeluarkan hormon serta enzim yang baik bagi mengunakan lemak secara efektif.
Seorang sahabat saya yang juga doktor pakar memberitahu sejak berat badannya meningkat dia berasa sangat tertekan. Senaman dan pengurangan makanan sahaja tidak dapat membantu. Selepas meningkatkan paras hormon dan enzim kehidupannya kembali ceria. ''Dulu senaman pun tak berpeluh namun sekarang berpeluh-peluh,'' katanya.

Saya teringat seorang jiran berbangsa Tionghua yang memberitahu bahawa dalam masyarakatnya tubuh yang sihat adalah tubuh yang berpeluh dan panas. Teknik perubatan Cina mementingkan peningkatan metabolisma.
Kepada pembaca semua, saya akan menemui anda di Bengkel Personaliti Cantik Sihat siri ketiga bersama Dr. Shaharom Sulaiman di Kuantan, Pahang. Bengkel kali ini akan memperkatakan tajuk khusus iaitu Kecantikan dan Anti-Penuaan. Bengkel ketiga ini sememangnya amat bermanfaat kerana saya dan Dr. Shaharom dari Klinik Thalia akan memperkatakan topik-topik berkaitan hormon serta penjagaan kecantikan. Lebih menarik lagi kira-kira satu pameran teknologi kecantikan seperti laser untuk kulit cantik akan diadakan serta dibuka kepada orang ramai.

Tentu para pembaca berminat untuk bersama saya menyelongkar pelbagai ilmu dan tip untuk tampil sebagai individu yang mempunyai personaliti cantik dan sihat.

Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 11, 2009

Latihan Fungsi Yang Praktikal

Sebahagian besar daripada wanita berkerjaya mempunyai rutin hidup yang hampir sama. Setiap pagi bangun dari tidur, bergegas mengemas katil sebelum ke bilik air membersihkan diri dan terus bersiap untuk ke pejabat. Pada hujung minggu barulah berpeluang mengambil kesempatan mengemas rumah, mengalih perabot, mencuci pakaian dan sebagainya.

Justeru, apabila tiba-tiba melakukan pergerakan yang lebih daripada kebiasaan pada hujung minggu, pasti membuatkan seluruh anggota badan berasa lenguh dan amat penat.

Sebenarnya, keletihan itu dapat dihindari dan tubuh lebih bertenaga bagi melakukan aktiviti rutin sekiranya membiasakan tubuh dengan senaman terutamanya senaman latihan fungsi atau functional training.

Ia suatu program senaman terkini yang bermanfaat untuk fleksibiliti, keseimbangan dan kekuatan tenaga demi kesihatan tubuh badan.

Pakar senaman berpendapat, pergerakan aktiviti harian secara konsisten boleh membantu badan bersedia untuk prestasi yang lebih baik.

Malah, latihan fungsi juga dikatakan salah satu latihan yang efisien dan efektif untuk atlet dan bukan atlet kerana pergerakannya direka untuk menampakkan kesan bagi setiap sesi senaman.

Sehubungan itu, sebuah kelab kecergasan pengeluar barangan sukan Nike, Kelab Latihan Nike telah menggabungkan skil dan prinsip yang telah digunakan oleh atlet bertaraf dunia untuk membentuk keseimbangan serta kestabilan otot khas untuk para pelatih dan pelanggannya.

Lima komponen utama diberi tumpuan dalam senaman kecerdasan itu iaitu melibatkan jantung, impulur, kekuatan, keseimbangan dan fleksibiliti.

Pelatih persendirian Nike, Marie Purvis berkata, senaman ini tidak membosankan kerana rentak serta gerakannya membawa dimensi baru dalam dunia kecerdasan.

"Rutin senaman ini menyerupai pergerakan semula jadi dan sekali gus boleh mengurangkan kecederaan," jelasnya ketika memberikan tunjuk ajar senaman kepada sekumpulan wakil media tempatan di pusat kecergasan Fitness First, baru-baru ini.

Maksimumkan Senaman Anda


Kelebihan latihan fungsi ialah untuk membentuk keseimbangan otot yang lebih baik. Koordinasi yang dihasilkan daripada latihan juga mengikut pergerakan semula jadi badan yang bermula dari pergerakan tepi, depan ke belakang dan pusingan.

"Apabila kita bercakap tentang senaman, ramai yang mengadu bosan dengan rentak tarian yang sama setiap kali. Tetapi latihan fungsi pasti membuat anda seronok, " katanya.

Untuk lebih memudahkan, Kelab Latihan Nike telah menghasilkan set senaman lengkap yang memfokuskan kepada komponen penting dalam sukan dan kecerdasan umumnya.

Terdapat tujuh kategori pergerakan yang boleh diubahsuai bergantung kepada tahap kecerdasan, skil dan minat individu terbabit.

Kategori tersebut merangkumi aktiviti memanaskan badan, regangan, jantung, keseimbangan dan senaman penutup. Setiap kategori mengandungi 16 pergerakan berbeza yang menjadikan jumlah keseluruhan 112 kesemuanya.

"Ia satu senaman yang menyeronokkan, tidak membosankan, membuatkan anda berasa segar dan bertenaga. Tapi apa yang paling penting ialah senaman ini melatih seseorang untuk menjadi lebih kuat!" kata Purvis lagi.


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, September 12, 2008

Berpuasa Masih Boleh Bersenam


SENAMAN vertical traction iaitu menarik pemberat ke bawah merupakan senaman yang sesuai untuk jantung, kaki dan belakang badan.














Bersenam di bulan puasa? Oh, tidak! Mungkin itulah yang keluar daripada mulut sesetengah individu yang berpendapat mereka perlu mengurangkan atau menghentikan sebarang aktiviti fizikal termasuk bersenam buat seketika kerana bimbang kepenatan, lapar dan dahaga di bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, Pengurus Kecergasan Fitness First, Simran Latiff, menolak tanggapan tersebut sambil menegaskan senaman masih perlu diteruskan walaupun ketika berpuasa bagi meningkatkan kadar metabolisme, selain mengekalkan tahap kecergasan agar tidak menurun dan memudahkan seseorang itu menjalani latihan fizikal seterusnya.

Katanya, bulan puasa tidak harus dijadikan alasan untuk seseorang itu mengehadkan aktiviti mereka termasuk melakukan senaman.

“Jika tidak melakukan senaman, otot menjadi lemah dan badan mudah berasa letih. Ini kerana kalori masih perlu dibakar biarpun pada bulan puasa,’’ ujarnya ketika ditemui, baru-baru ini.

Simran berkata, sekiranya seseorang itu tahu kebaikan meneruskan senaman pada bulan puasa yang mampu memaksimumkan pembakaran kalori terutama yang sumbernya datang daripada lemak, pasti mereka mahu melakukannya apatah lagi jika telah terdapat keinginan untuk mendapatkan bentuk badan sempurna.

Menerangkan lebih lanjut mengenai bagaimana senaman di bulan puasa, katanya, secara umumnya pengambilan kalori pada bulan puasa akan berkurangan kerana pembakaran lemak berlaku secara maksimum.

“Pada hari biasa, ketika kita bersenam badan memerlukan kalori untuk dijadikan tenaga dan pada 20 minit pertama, tenaga itu datang daripada kalori karbohidrat terlebih dahulu. Selepas 20 minit pertama, barulah badan menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga.”

Disebabkan berpuasa, jelasnya, kalori karbohidrat dalam badan secara tidak langsung akan berkurangan dan secara semula jadi badan terus menggunakan kalori lemak untuk dijadikan tenaga tanpa memerlukan 20 minit pertama. Dari situ, ia dapat mengurangkan peratusan lemak dalam badan seseorang.

Menerangkan cara dan bagaimana aktiviti senaman boleh dilakukan, kata Simran, sepanjang bulan puasa senaman boleh dilakukan dua atau tiga kali seminggu dengan sekurang- kurangnya 30 minit sekali senaman.

Ia agak berbeza di bulan biasa iaitu perlu dilakukan lebih kerap dan memerlukan antara 30 minit hingga satu jam setiap senaman.

Lebih penting kata Simran, dalam tempoh 30 minit itu individu boleh melakukan tiga senaman berperingkat-peringkat seperti senaman memanaskan badan, senaman kardiovaskular seperti berbasikal dan berjalan kaki.

Bagi membentuk kardiovaskular (berjalan, joging atau berbasikal), penggunaan tenaga pada tahap maksimum perlu diselaraskan mengikut tahap latihan yang sesuai.

Bagi latihan pembentukan otot, seseorang itu dinasihatkan agar melakukan senaman pada otot besar sahaja. Antaranya, bahagian dada, belakang, bahagian depan paha dan belakang paha.

Bagi setiap otot, latihan boleh dilakukan sebanyak satu atau dua set dan setiap satu set sebanyak 15 hingga 20 pengulangan. Bilangan yang kerap membolehkan kita mengurangkan lemak dan pada masa sama, membentuk otot.

Senaman katanya, boleh dilakukan 30 minit atau satu jam sebelum waktu berbuka atau selepas berbuka sebaik proses penghadaman selesai.

Selain senaman memanaskan badan, individu juga boleh menggunakan threadmill atau kayuhan basikal yang boleh dilakukan selama kira-kira 10 hingga 15 minit.

Bagi mereka yang memilih melakukan senaman selepas berbuka, kata Simran pastikan makanan yang dimakan semasa berbuka telah benar-benar hadam. Ambil masa sekurang-kurang setengah hingga satu jam selepas makan.

“Cuba elakkan berbuka dengan mengambil makanan berat, sebagai contoh nasi. Sebaiknya, individu dinasihatkan agar hanya mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit seperti sebiji kurma dan segelas minuman,’’ ujarnya lagi,

Simran menambah, melakukan senaman kardio selama kira-kira 30 minit baik untuk jantung. Ini boleh diikuti dengan latihan mengangkat bebanan, latih tubi dan regangan.


Ditulis oleh:
Roslah Othman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, March 11, 2008

Alat Ukur Keperluan Senaman Melalui Telinga

Anda perlukan pelatih peribadi untuk bersenam? Mungkin tidak dengan adanya alat yang mengukur tekanan darah badan dan mengingatkan anda untuk bersenam.

Alat dikenali sebagai Karada Trainer atau ‘Pelatih Badan’ keluarga Syarikat Sega Toys merupakan alat mudah alih yang berfungsi sebagai pelatih peribadi senaman yang mengingatkan pengguna bersenam dengan lebih kuat atau memperlahankan senaman mengikut tahap tekanan darah.

Dibina seperti fon kepala, alat berkenaan mengukur tekanan darah di cuping telinga kiri pemakai sementara arahan untuk bersenam dikeluarkan pada bahagian di sebelah telinga kanan.

Pengguna akan diminta bersenam dengan berjalan, berjoging atau aerobik oleh suara wanita dari alat tersebut sambil diiringi irama muzik.

Alat ini turut mengambil kira usia pengguna dalam menentukan keperluan bersenam memandangkan senaman terlalu kuat mungkin mencederakan badan warga emas sementara senaman ringan mungkin tidak berkesan.

Dijual dengan harga AS$53 (RM168), alat ini membolehkan pengguna berinteraksi terus dengan badan bagi menentukan keberkesanan senaman yang dilakukan.