Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label sel stem. Show all posts
Showing posts with label sel stem. Show all posts

Thursday, February 24, 2011

Pembiakan Sel Stem di Makmal

Sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan kita, sel stem diperolehi daripada tubuh badan manusia dan ia berguna menggantikan sel yang hilang atau rosak.

Sememangnya, kini semakin ramai mula sedar mengenai kebaikan sel stem kerana terbukti mampu menyembuhkan banyak jenis penyakit terutama berkaitan darah.

Namun, ia bukan semudah yang disangka. Selain tidak ramai mampu menanggung kos pengambilan dan penyimpanan sel jenis itu, terutama yang diambil daripada tali pusat, ada pula yang masih was-was dengan statusnya dan menganggap bertentangan dengan agama kerana ia diambil daripada bayi baru lahir.
Hakikatnya, masyarakat masih lagi belum jelas dengan perkara tersebut.

Menyedari kebaikan sel stem dalam usaha penyembuhan penyakit, seorang penyelidik dari Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Chong Pan Pan menjalankan kajian pembiakan sel stem di makmal bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

Kesungguhannya mendapat pengiktirafan Loreal Malaysia di mana dia menerima Anugerah ‘For Women in Science’ tahun lalu.

Pelajar peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Kejuruteraan Tisu itu menjalankan projek “Generation of Induces Pluripotent Stem Cells from Human Mesenchymal-Like Stem cells of Peripheral Blood Origin for Chondrogenic Differentiation.”

“Mungkin tajuknya kedengaran agak mengelirukan. Tapi hakikatnya ia tidak sukar untuk difahami. Apa yang sedang saya lakukan adalah menghasilkan sel stem mesenchymal (MSC) daripada darah orang dewasa. Sel ini datang daripada tubuh badan kita sendiri, iaitu orang dewasa. Itu bezanya daripada sel stem tali pusat bayi,” katanya.

MSC adalah sel berasaskan multipoten (bermakna ia boleh membentuk banyak jenis tisu daripada satu sel semula jadi), yang mempunyai potensi untuk menghasilkan variasi tisu seperti tulang, rawan, tendon, ligamen, otot, sumsum, lemak dan dermis (kulit).

Menurutnya, sel jenis itu boleh ditukar kepada apa saja jenis yang kita mahu dan ditempatkan pada tempat yang ingin diubati.

MSC katanya, boleh ditemui dengan banyak pada bahagian badan terutama sekali di bahagian sumsum tulang. Namun, ia ditemui dalam jumlah yang kecil pada darah.

“Kerana itu saya cuba membangunkan kaedah baru dengan mengambilnya daripada darah menggunakan jarum khas dan cuba membiakkannya menjadi jumlah yang banyak di makmal,” katanya.

Kepentingan kaedah itu kata Pan Pan, ia mengurangkan kesakitan pesakit melalui proses pembedahan yang rumit ketika pengambilan MSC dari tubuh badan di samping mempercepatkan proses penyembuhan.

“Cuba bayangkan setiap kali ingin menjalani rawatan kita terpaksa melalui prosidur yang rumit untuk mendapatkan MSC. Namun dengan kaedah yang saya bangunkan ini, ia boleh diperolehi dengan hanya sebatang jarum yang kecil. Pasti kesannya sangat berbeza,” katanya.

Memperbaiki

Menurut Pan Pan, penyelidikan beliau lebih kepada memperbaiki sakit sendi seperti lutut dan pinggul. Terdapat lapisan pada sendi yang membantu melancarkan pergerakan dan mengurangkan kesakitan disebut artikular atau rawan. Bila berlaku kerosakan, rawan mempunyai sedikit kapasiti untuk memperbaiki kerosakan sendiri. Jika tidak diperbaiki ia akan rosak dan tiada lagi rawan yang tinggal.

Keadaan ini boleh dikaitkan dengan osteoartritis yang berlaku di kalangan orang tua. Perkara ini menurut beliau juga boleh berlaku di kalangan orang muda.

“Impian saya adalah ingin memperbaiki masalah ini dan membolehkan semua orang pulih dengan mudah tanpa melalui pelbagai proses yang rumit,” katanya.

Walaubagaimanapun, wanita yang gemar mengembara itu tetap mengalami masalah di mana sel yang diperolehinya lambat berkembang di makmal dan mempunyai hayat yang terhad. “Saya berharap dengan pengenalan teknik terbaru dengan menyuntik sedikit gen pada sel, ia mampu diperbaiki,” katanya mengakhiri perbualan.

Ditulis oleh: Bintu Rasyada A. Rahman
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Friday, July 16, 2010

Simpan Sel Stem Untuk Masa Depan

Teknologi dalam bidang perubatan sentiasa berkembang. Para saintis dan doktor terus memikirkan cara yang terbaik dan selamat untuk membantu pesakit.

Menerusi mekanisme perubatan dan teknologi terkini, dibantu pula penggunaan peralatan dan mesin ia membolehkan pelbagai kaedah baru ditemui untuk rawatan pelbagai penyakit.

Kaedah penyimpanan stem sel misalnya banyak membantu pesakit. Kini individu boleh menyimpan 'darah' yang mengandungi sel-sel mereka sendiri untuk kegunaan pada masa depan menerusi sistem 'perbankan' yang ditawarkan.

Pastinya ramai di kalangan kita pernah mendengar mengenai kejayaan perubatan dan faedah yang didapati menerusi penyimpanan sel stem menerusi bank darah tali pusat yang diambil ketika bayi dilahirkan.

Darah daripada tali pusat itu akan disimpan untuk jangka masa panjang bagi kegunaan bayi tersebut pada masa depan sekiranya diperlukan.

Sekarang, bagi mereka yang telah terlepas peluang untuk menyimpan sel stem sendiri (yang hanya boleh dilakukan ketika proses kelahiran dahulu) kini boleh melakukannya menerusi proses yang serupa.

Ketua Pegawai Perubatan StemLife Berhad, Profesor Aw Tar Choon berkata, StemLife kini menawarkan bank untuk simpanan sel stem bagi mereka yang dewasa.

Sel stem itu boleh digunakan semula sekiranya keadaan memerlukan pada masa depan.

Peripheral Blood Stem Cells (PBSC) atau sel stem darah periferal yang diambil merupakan darah sel stem dewasa.

''PBSC diperoleh daripada periferal darah anda dan telah menunjukkan potensi berkesan membantu keadaan darah anda yang rosak, kecederaan akibat bersukan, kecederaan trauma dan luka kronik.

''Proses pengumpulan sel stem dilakukan ke atas pesakit dengan memastikan tiada sebarang kerosakan sel berlaku ketika proses simpanan darah itu dilakukan bagi kegunaan jangka panjang,'' katanya.

Prosedur itu juga tambahnya, akan memastikan pengumpulan sel stem dalam jumlah yang banyak sekali proses itu dilakukan.

Suntikan G-CSF (faktor untuk merangsang sel stem) akan dilakukan untuk merangsang sel dalam tulang sum-sum anda bagi mereplikakan dan menambahkan jumlah sel.

Sel stem itu akan memasuki pembuluh darah anda di mana ia akan mudah dikumpulkan.

''Ketika prosedur pengambilan darah sel stem dilakukan, anda akan diminta duduk dengan selesa dan sel stem anda akan dikumpulkan dalam tempoh empat hingga lima jam.

''Darah ini akan dikeluarkan dari lengan anda, berputar dalam mesin apheresis (untuk sel stem diekstrakkan). Darah yang tinggal akan dikembalikan semula ke dalam tubuh pesakit di bahagian lengan yang sebelah lagi.

''Ia merupakan satu proses yang mudah dan tidak menyakitkan,'' jelasnya.

Sel stem itu kemudiannya akan dipindahkan ke makmal untuk proses selanjutnya termasuk pengiraan jumlah sel.

Ia kemudiannya akan disediakan sama ada untuk kegunaan individu itu secara serta-merta atau disimpan untuk kegunaan bagi tempoh yang telah ditetapkan.

''Sel stem anda akan disimpan dalam tangki simpanan cryogenic dengan suhu di paras negatif 196 darjah celcius,'' katanya.

Tambahnya, StemLife Berhad sendiri telah mempunyai peralatan terkini dalam penyimpanan sel stem anda.

Jelasnya, ia juga merupakan yang pertama menawarkan bank simpanan untuk sel stem bagi mereka yang dewasa dan perkhidmatan rawatan terapeutik di seluruh Asia Tenggara.

''Kaedah penyejukbekuan ini memastikan sel stem anda kekal dengan kualiti dan kuantiti yang sama ketika ia diekstrakkan. Jika ia diperlukan, sel ini akan dikeluarkan untuk kegunaan anda pada saat ia diperlukan,'' katanya.


Ditulis oleh:Rosmah Dain
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 26, 2008

Sel Stem : Terapi Terkini Kecederaan Lutut

Mungkin anda pernah atau sedang mengalami sakit lutut tetapi tidak begitu mengambil berat tentang kesakitan tersebut kerana berfikir ia tidaklah begitu serius.

Namun, jika rasa sakit pada lutut berterusan, ia boleh mendatangkan kesan serius kepada kualiti hidup dengan mengehadkan pergerakan kerana khuatir rasa sakit bertambah.

Terdapat banyak kaedah rawatan sedia ada untuk merawat kecederaan pada lutut dan mengurangkan kesakitan, mengikut bentuk kecederaan yang dialami pesakit.

Bagaimanapun, tidak banyak yang dapat dilakukan jika masalah yang dihadapi melibatkan kemerosotan fungsi dan struktur pada tulang, otot dan sendi lutut.

Tidak kurang juga pesakit yang terpaksa hidup dengan rasa sakit akibat menerima rawatan yang kurang atau tidak berkesan.

Namun, mungkin perkembangan teknologi terkini telah membuka lembaran baru dalam satu kaedah rawatan yang telah sekian lama digunakan untuk merawat penyakit lain.

Kaedah ini mungkin dapat membantu pesakit dengan masalah lutut mempunyai hidup yang lebih berkualiti.

Sel Stem

Sebelum ini anda mungkin pernah mendengar atau terbaca tentang penyakit-penyakit seperti barah darah (leukemia), talasemia, jantung, diabetes dan penyakit Parkinson yang boleh dirawat dengan menggunakan sel stem.

Kini, dengan adanya teknologi terapi sel stem, mereka yang mengalami kecederaan lutut yang teruk atau mengalami osteoartritis tidak perlu hidup dalam kesakitan.

Sel stem merupakan sel induk atau sel tunjang yang boleh membentuk pelbagai jenis sel dalam tubuh manusia seperti sel saraf, sel kulit, sel darah dan pelbagai jenis sel lain.

Melalui penggunaan sel stem, satu kaedah baru telah ditemui untuk mengubati beberapa penyakit termasuklah kecederaan lutut.

Antara punca utama sakit lutut adalah osteoartiristis iaitu penyakit degeneratif (kemerosotan) sendi dan ia bukan sahaja dialami oleh golongan warga emas tetapi juga golongan muda.

Faktor risiko untuk osteoartiristis termasuklah obesiti, penggunaan sendi yang berlebihan, kecederaan akibat daripada cara kerja atau bersukan, pembedahan, usia dan sejarah keluarga (genetik).

Penemuan terbaru terapi kecederaan lutut dengan menggunakan sel stem oleh Pakar Runding Ortopedik Pusat Perubatan Kesukanan Kuala Lumpur (KLSMC), Dr. Saw Khay Yong, dipercayai bakal mencipta nama negara dalam bidang perubatan kerana ia merupakan yang pertama seumpamanya di rantau Asia.

“Kita biasanya mendengar banyak rungutan orang ramai mengenai sakit sendi lutut semasa mereka berjalan, naik atau turun tangga dan kadangkala terdapat bunyi bergesel (meretih) atau berasa tidak selesa menggerakkan sendi.

“Saya menasihati agar mereka yang mengalami situasi sebegini berjumpa dengan pakar runding ortopedik sebelum keadaan menjadi lebih serius,” kata Dr. Khay Yong.

Bermula daripada penyelidikan haiwan dua tahun lalu yang diketuai oleh Dr. Khay Yong dan rakan-rakan sekerja di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), mereka menemui satu prosedur amat mudah di mana kawasan kecacatan pada rawan lutut digerudi bagi menggalakkan pendarahan di bawah sumsum tulang.

Penyelidikan tersebut juga dijalankan dengan bantuan StemLife Therapeutics.

“Seminggu selepas itu, suntikan berterusan yang mengandungi sel stem bersama asid hyalgen atau asid hyaluronik dilakukan ke dalam sendi lutut.

“Dari model haiwan, kami berjaya menunjukkan bukti pembaharuan rawan di permukaan sendi yang serupa dengan rawan yang normal,” kata Dr. Khay Yong.

Beliau menjelaskan, penemuan kaedah terapi terbaru ini dilakukan dengan menggunakan sel stem matang (adult stem cells) yang diambil daripada pesakit itu sendiri.

“Selepas pembedahan atroskopi, sel stem tersebut akan disemat ke kawasan kecederaan dengan campuran asid hyalgen melalui suntikan selama beberapa minggu,” katanya.

Menurut beliau, prosedur mudah ini juga boleh dilakukan di mana-mana klinik luar.

Dalam pembedahan atroskopi, beberapa tebukan di atas permukaan sendi tulang akan dilakukan.

Pembedahan tersebut akan membentuk darah beku di permukaan tulang yang kemudiannya membentuk perancah bagi penumbuhan dan pembentukan semula rawan.

Seminggu selepas proses tebukan tersebut, sebanyak 12.5 milimeter sel stem akan diambil daripada sumsum tulang pesakit.

Proses pemindahan sel stem seterusnya dilakukan dengan memasukkan semula sel stem ke dalam saluran darah dan proses ini hanya mengambil masa satu hingga dua jam serta tidak menyakitkan.

Seminggu selepas itu, sel stem dengan asid yang dikenali sebagai asid haylgen akan disuntik ke lutut seminggu sekali untuk tempoh lima minggu.

Lima lagi suntikan akan diberikan setiap hari kepada pesakit selepas tempoh lima minggu itu untuk menggalakkan sel stem keluar daripada sumsum tulang.

Kelebihan

Terapi sel stem menggunakan kemampuan dan keunikan sel stem untuk membentuk mana-mana jenis sel dan tisu dalam badan dan membolehkan rawan di permukaan sendi lutut membentuk semula kawasan sendi yang rosak.

Dr. Khay Yong juga berkata, kebaikan prosedur ini adalah ia hanya membabitkan satu pembedahan sahaja, mudah dijalankan dan hanya memerlukan kos yang rendah.

Menurut Pengarah Urusan Stemlife Sdn Bhd, Sharon Low, sel stem penting dalam membantu menyelamatkan nyawa manusia kerana ia merupakan sel induk yang boleh membentuk pelbagai jenis sel dalam badan manusia.

“Saya yakin penemuan terbaru ini mempunyai impak yang besar ke atas rawatan kecederaan lutut kerana kecederaan rawan merupakan perkara yang biasa berlaku ke atas lutut seseorang,” katanya.

Rawan merupakan tisu putih yang nipis dan lembut bagi membalut hujung tulang keras pada sendi lutut di samping bertindak sebagai mekanisma pelincir dan membantu kelancaran pergerakan sendi kerana sifatnya sebagai cecair pekat yang kenyal.

Selain untuk penumbuhan rawan, sel stem juga berpotensi untuk memperbaiki kecederaan ortopedik lain seperti kecederaan tendon dan ligamen, kecederaan saraf, koyakan pada otot dan ulser pada kaki pesakit diabetes.

“Belum ada negara yang menggunakan teknik ini dan Malaysia adalah negara pertama yang membangunkan dan menggunakan prosedur ini,” kata Sharon.

Kata esakit

Penemuan ini terbukti berkesan apabila seorang pesakit Lee Lay Kheng, 45, mengakui keadaan lututnya bertambah baik selepas menjalani terapi tersebut di KLSMC.

“Dua tahun yang lalu, saya mengalami sakit lutut yang teruk di kaki sebelah kiri dan setahun kemudian ia mula merebak ke lutut kanan.

“Saya memilih untuk menggunakan prosedur menumbuhkan semula rawan dan selepas menjalani pembedahan 3 minggu lalu, keadaan saya bertambah baik dan semakin pulih,” katanya ketika ditemui sedang menjalani fisioterapi di KLSMC.

Seorang lagi pesakit, Fauziah Fadzil, 44, yang berkerja sebagai Pengurus Tadika berkata, dia dan pesakit lain yang menerima rawatan sel stem ini akan menjalani fisioterapi selepas pembedahan.

“Sebelum terapi, saya mengalami sakit lutut yang amat teruk sehingga saya terpaksa menggunakan dua tongkat.

“Tetapi selepas menjalani terapi ini, saya hanya memakai satu tongkat sahaja dan sakit pun tidak dirasai semasa melakukan fisioterapi,” katanya.

Dengan kos rendah dan keputusan yang bagus, terapi lutut dengan menggunakan sel stem dijangka akan mendapat perhatian dan sambutan hebat di kalangan pesakit dan pakar bedah ortopedik di Malaysia dan seluruh dunia.


Ditulis oleh:
Avila Geraldine

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/