Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label tuberculosis. Show all posts
Showing posts with label tuberculosis. Show all posts

Tuesday, February 24, 2009

Perit Leher Kahak Putih

SOALAN:
Doktor, sepuluh tahun lepas saya terasa ada sesuatu di leher kiri dan setiap kali ia menyerang saya tidak dapat bercakap, mata dan hidung sebelah kiri berair serta muka merah sebelah kerana keperitan.

Saya cuba batuk keluar sesuatu yang saya rasa di leher kiri yang akhirnya mengeluarkan lendir putih. Dengan cara itu baru saya merasa lega. Dalam sehari beberapa kali ia menyerang.

Di bahagian tengah leher pula apabila saya sujud sambil menelan air liur terasa seperti benda keras di situ dan selepas penat bekerja saya batuk keluar kahak pekat berwarna putih.

Saya telah berjumpa doktor yang memegang kawasan leher dan mengatakan tiada apa-apa masalah lalu memberi ubat mencairkan kahak.

Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini rasa perit itu kembali dan setiap kali saya menekan kawasan terbabit, terasa ada seperti jarum di dalamnya dan lendir yang sama keluar.

Ahli keluarga yang berkongsi minuman saya juga mengalami simptom yang sama. Adakah ini trakea tuberkulosis? Jika benar apakah tanda-tandanya? Doktor pakar mana yang harus saya jumpa?

Yang Risau,
Melaka



JAWAPAN:
Simptom anda melibatkan hidung, mata dan leher kiri. Ada banyak jenis penyakit yang melibatkan simptom yang sedemikian.

Kebanyakan penyakit tersebut tidak datang dan pergi tetapi akan berterusan termasuk penyakit tuberkulosis.

Tuberkulosis selalunya akan disertai dengan demam di waktu senja dan hilang berat badan yang selalunya agak ketara. Ada banyak lagi penyakit berjangkit yang patut diperiksa untuk masalah yang anda hadapi ini.

Sebelum apa jua ujian dilakukan, anda sepatutnya berjumpa seorang pakar ENT ataupun Perubatan untuk pemeriksaan klinikal yang lebih rapi.

Ini mungkin dapat memberi petunjuk dana maklumat lanjut untuk membuat diagnosis yang tepat tentang masalah yang telah lama anda alami ini.


Ditulis oleh:
Dr Loganathan Athanari
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT),
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 26, 2008

Bersama Hentikan Wabak Tibi


JANGKITAN tibi yang belum menunjukkan gejala tertentu boleh dikesan melalui ujian Mantoux yang dapat memberikan keputusan selepas tiga hari. – Gambar Hiasan.

Penyakit tuberkulosis (tibi) telah menyerang manusia sejak zaman Firaun dan dipercayai merupakan punca utama kematian di Eropah pada kurun ke-16 dan 17.

Bagaimanapun, kuman tibi hanya berjaya dikesan oleh Dr. Robert Koch di Berlin, Jerman pada 24 Mac 1882.

Sempena dengan penemuan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan tarikh tersebut sebagai Hari Tibi Sedunia dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran tentang gejala, diagnosis dan rawatan serta kepentingan kawalan tibi yang berkesan.

Tahun ini tema “Saya mahu menghentikan tibi” dipilih sebagai usaha semua pihak untuk menyekat wabak purba ini daripada terus tersebar.

Dalam erti kata lain, setiap orang tidak kira pesakit, keluarga, rakan-rakan dan juga masyarakat harus bersama-sama dalam mengekang wabak ini daripada terus menular.

Tibi sebenarnya adalah sejenis penyakit sebaran udara yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis berbentuk rod panjang. Penyakit ini bagaimanapun boleh dicegah dan diubati.

Kuman tibi disebarkan melalui titisan udara setiap kali seseorang pesakit yang telah dijangkiti kuman ini bersin, batuk, bercakap dan sebagainya.

Pada dasarnya, penyebaran kuman ini berlaku melalui sebarang cara di mana lembapan dilepaskan daripada seseorang, ke udara dan kemudiannya dihirup masuk orang lain.

Menurut Pakar Perubatan dari Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, kebiasaannya tibi menyerang penduduk di negara dunia ketiga dan berpendapatan rendah berdasarkan beberapa faktor.

Antaranya disebabkan kekurangan nutrisi yang menyumbang kepada lemahnya sistem imunisasi badan sesetengah individu dalam menentang penyakit.

“Boleh dikatakan kebanyakan daripada kita mempunyai kuman tibi di dalam paru-paru. Namun, kuman ini tidak bertindak disebabkan sistem imunisasi yang kuat,” katanya.

Selain itu faktor kepadatan sesuatu kawasan penempatan juga menyumbang kepada penyebaran kuman tibi dengan mudah.

Menurut beliau, simptom mereka yang dijangkiti tibi termasuk batuk yang berlanjutan lebih dua hingga tiga minggu, menghasilkan kahak apabila batuk dan mengalami penurunan berat badan akibat hilang selera makan.

Lain-lain gejala adalah sakit dada, kahak berdarah, demam dan berpeluh pada waktu malam.

Kata Dr. Abdul Malik, secara lazimnya kuman tibi menjangkiti paru-paru (tibi pulmonari) tetapi ia juga boleh menjangkiti bahagian-bahagian badan yang lain misalnya nodus limfa, tulang belakang, serviks, malahan di mana-mana sahaja bahagian dalam tubuh badan.

“Pernah berlaku satu kes di mana pesakit mengalami jangkitan tibi pada serviks yang menyebabkan ia terpaksa dibuang,” jelasnya.

Walau bagaimanapun beliau positif dengan proses penyembuhan tibi seandainya pesakit mengikut rejim rawatan yang sepatutnya, mengikut arahan doktor.

Bergantung kepada di bahagian mana yang dijangkiti, simptomnya juga mungkin berbeza.

Bagi pesakit tibi serviks, simptom yang biasa berlaku adalah pendarahan dan sakit ketika melakukan hubungan seks. Bagi pesakit tibi usus pula, mungkin berlaku masalah kembung perut dan cirit-birit.

Beliau turut mengaitkan pesakit tibi di kalangan mereka yang dijangkiti virus HIV.

“Pesakit yang HIV positif lebih mudah dijangkiti tibi disebabkan kurangnya daya tahan badan melawan penyakit. Namun keadaan ini jarang berlaku di Malaysia,” katanya.

Biasanya pesakit tibi pulmonari memerlukan masa antara enam hingga sembilan bulan untuk sembuh.

Manakala pesakit tibi bahagian lain mengambil masa yang lebih lama sehingga dua tahun untuk proses rawatan selesai.

Ketahanan Tibi

Kata Dr. Abdul Malik, terdapat juga keadaan di mana pesakit mengalami tibi tahan ubat yang dikelaskan sebagai MDR-tibi (Multi Drug Resistant) dan XDR-tibi yang lebih teruk.

Perkara ini menurutnya berlaku apabila pesakit yang dirawat dengan ubat tibi biasa gagal sembuh disebabkan pesakit tidak mematuhi peraturan atau badan pesakit itu sendiri menentang ubat yang diberi.

“MDR-tibi berlaku disebabkan kuman tibi kebal kepada satu jenis ubat daripada beberapa jenis yang diberi manakala XDR-tibi pula adalah kekebalan kuman tersebut sebelum dirawat lagi iaitu ketahanan terhadap semua jenis ubat yang digunakan,” jelasnya.

Namun katanya lagi, di Malaysia keadaan MDR-tibi dan XDR-tibi amat jarang berlaku dan penularan wabak ini masih terkawal.

Terkawal

“Di Malaysia wabak tibi masih terkawal. Masalah tibi tahan ubat biasanya hanya berlaku di kalangan pendatang asing seperti yang datang dari India, Indo-China dan Afrika disebabkan taraf hidup dan juga persekitaran kediaman mereka yang sesak,” ujarnya.

Fakta ini turut disokong laporan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan 60 peratus kes tibi di AS berlaku di kalangan warga asing yang dilahirkan di Mexico, Filipina, India dan Vietnam.

Kadar kejadian tibi di kalangan warga asing ini juga dikatakan 9.7 kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang lahir di AS.

Dr. Abdul Malik menasihatkan semua pihak agar mengambil langkah untuk mengelak penyakit ini dengan melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap.

“Jika kita sihat, peluang untuk dijangkiti tibi amat rendah,” katanya.

Selain itu, pengudaraan yang baik di rumah dan pejabat juga amat penting bagi mengelakkan jangkitan tibi.

Bagi mereka yang menziarahi pesakit tibi pula, perlulah memakai topeng bagi mengelak menghirup udara yang tercemar dengan kuman tibi.

Ini katanya berikutan ketahanan kuman tibi membolehkannya terampai di udara selama enam jam.

Bagi pesakit tibi, mereka perlu mematuhi peraturan dan arahan yang diberikan doktor.

Pengambilan ubat amatlah penting sehinggalah doktor mengesahkan pesakit telah betul-betul sembuh.

Walaupun ada kalanya berlaku kesan sampingan terhadap pengambilan ubat seperti loya, muntah, jaundis dan sebagainya, pesakit perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan melaporkan tindak balas ubat berkenaan.

“Jangan berhenti mengambil ubat, pesakit perlu berjumpa semula dengan doktor untuk mendapatkan pandangan.

“Perlu diingat, ubat-ubatan bagi merawat MDR-tibi dan XDR-tibi jauh lebih mahal berbanding tibi biasa. Jika pesakit mengikut peraturan yang sewajarnya, insya-Allah tibi boleh dirawat 100 peratus,” katanya.

Antarabangsa

Menurut kenyataan WHO yang dikeluarkan melalui ibu pejabat rantau pasifik Barat di Manila, Filipina baru-baru ini, kemudahan makmal yang tidak mencukupi di negara-negara Asia dan rantau Pasifik yang miskin menyumbang kepada penyebaran wabak MDR-tibi dan XDR-tibi.

Kebanyakan negara tersebut kekurangan keperluan asas makmal untuk memantau dan menguruskan kedua-dua bentuk penyakit tibi ini.

Kurang dari satu peratus penyakit MDR-tibi dan XDR-tibi disahkan oleh makmal dan dilaporkan secara rasmi di rantau ini.

Sepanjang 2006, hanya 600 daripada kira-kira 150,000 kes MDR-tibi di Asia Timur dan Asia Pasifik dikenal pasti secara rasmi oleh makmal.

Tanpa pengesanan dan rawatan, pesakit tibi boleh menjangkiti 10 hingga 15 orang setiap tahun hanya dengan batuk atau bersin dan penyakit ini boleh disebarkan oleh penumpang di dalam kapal terbang.

Penyebaran tibi tahan ubat adalah sangat berbahaya. Satu kes boleh mengambil masa hingga dua tahun untuk dirawat dengan ubat bersesuaian tetapi ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan serius dan melibatkan kos 100 kali lebih tinggi berbanding rejimen ubat biasa.

Kata Pengarah WHO rantau ini, Shigeru Omi, wabak tibi tahan ubat sebenarnya sedang merebak tanpa disedari.

“Kami risau wabak senyap ini boleh kembali menjadi seperti beberapa tahun terdahulu. Ia boleh menggagalkan usaha yang kami jalankan akhir- akhir ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan terbaru WHO berdasarkan kajian daripada 81 buah negara mendapati tibi tahan ubat merebak dengan pantas dan lebih meluas berbanding apa yang dipercayai sebelum ini.

Di Kemboja dan Filipina contohnya, setiap negara ini hanya mempunyai tiga makmal yang mampu mendiagnosis tibi tahan ubat.

Apa yang diperlukan adalah meningkatkan kemampuan setiap makmal untuk mengesan penyakit ini dan ini memerlukan dana yang tinggi.

Hampir setengah juta kes baru tibi tahan ubat berlaku setiap tahun di seluruh dunia atau sekitar lima peratus daripada sembilan juta kes baru secara keseluruhan.

WHO juga baru-baru ini mengeluarkan amaran bahawa lebih banyak kes baru tibi gagal dikesan oleh pihak bertanggungjawab kerana kegagalan negara itu sendiri mengenal pasti peningkatan bilangan kes tibi yang berlaku.

Dianggarkan hanya 61 peratus kes tibi seluruh dunia yang didaftarkan. Tahun lalu, sebanyak 6.2 juta kes tibi dikesan berbanding 9.1 juta pada 2005.

Antara 2001 hingga 2005, kadar pengesanan meningkat sebanyak enam peratus setiap tahun, namun pada 2006, jumlah ini menurun sebanyak tiga peratus.

Pertubuhan itu juga memberi penekanan terhadap angka pesakit HIV yang dijangkiti. Pada 2006. sebanyak 700,000 kes pesakit baru HIV yang dijangkiti tibi dikesan.

Tahun 2006 juga menyaksikan 200,000 kematian pesakit tibi di kalangan mereka yang dijangkiti virus HIV. Laporan WHO itu menunjukkan hubungan rapat antara HIV dan tibi.

Kadar paling tinggi MDR- tibi yang direkodkan adalah di Baku, ibu negara Azerbaijan, di mana 22 peratus daripada semua kes baru tibi yang dilaporkan merupakan jenis tibi tahan ubat.

WHO menganggarkan AS$4.8 bilion (RM15.24 bilion) diperlukan untuk usaha mengawal tibi di negara-negara seluruh dunia sepanjang 2008.

Walaupun jarang kelihatan pesakit tibi yang menunjukkan gejala-gejala penyakit itu, dianggarkan satu pertiga penduduk dunia telah dijangkiti kuman berkenaan yang mungkin hanya menunggu masa untuk menyebabkan masalah kesihatan serius kepada pesakit.

Oleh itu, jangan diambil mudah sesuatu keadaan kesihatan yang telah lama berpanjangan memandangkan batuk berpanjangan juga boleh menjadi petanda kepada penyakit serius seperti tibi.

Perhatikan juga orang di sekitar anda yang mungkin mempunyai gejala tibi dan nasihatkan mereka untuk menjalani ujian lanjut dan mendapatkan nasihat doktor.

Bagi pihak berkuasa pula, tidak kira yang bertanggungjawab ke atas kesihatan umum ataupun imigresen, pastikan penyakit seperti tibi, hepatitis dan HIV/AIDS tidak dibawa masuk pendatang asing, dan lebih penting lagi tidak disebarkan kepada rakyat negara ini.

Mainkan peranan anda, bantulah negara menghapuskan tibi dan apa jua penyakit yang boleh dicegah dengan mudah melalui diagnosis dan rawatan awal.

Maklumat lanjut dan terkini mengenai tibi boleh diperoleh dengan melayari laman web CDC www.cdc.gov/tb/ atau menghubungi mana-mana hospital utama di seluruh Malaysia.


Ditulis oleh:
Bintu Rasyada A. Rahman

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuberkulosis Tegar Dan Masih Bertahan


IMBASAN sinar-X dada pesakit merupakan antara kaedah yang boleh menunjukkan tahap kerosakan paru-paru akibat jangkitan tibi.

Azmi mengalami batuk berpanjangan sejak dua minggu lalu dan hilang selera makan. Doktor yang ditemuinya pula hanya memeriksa menggunakan stetoskop dan kemudian memberikan ubat batuk, ubat demam dan antibiotik.

Azmi bagaimanapun masih batuk selepas seminggu mengambil ubat dan berat badannya turun sebanyak tiga kilogram. Secara tiba-tiba Azmi mula batuk berdarah menyebabkan isteri dan bapa mentuanya bertambah risau melihatkan keadaan Azmi yang semakin teruk.

Bapa mentua Azmi menyatakan kemungkinan dia telah disantau orang dengki terhadapnya dan mengajak Azmi berjumpa bomoh. Bomoh yang ditemui itu pula menyokong kemungkinan Azmi disantau dan melakukan upacara untuk mengeluarkan santau di samping memberi air jampi dan herba akar untuk rawatan.

Namun, keadaan Azmi semakin teruk selepas sebulan sementara rawatan dari doktor dan bomoh berkenaan tidak menampakkan sebarang kesan kepada Azmi. Akhirnya, Azmi dibawa ke hospital untuk rawatan. Selepas pemeriksaan sinar-X dan kahak, dia didapati telah dijangkiti kuman tuberculosis (tibi).

Imej imbasan sinar-X Azmi menunjukkan keadaannya sangat teruk sementara kahaknya pula didapati mempunyai kuman tibi yang banyak di samping mudah menjangkiti orang terdekat. Imbasan sinar-X ke atas keluarga Azmi mengesahkan isterinya turut dijangkiti tibi tetapi pada peringkat awal.

Azmi dimasukkan ke wad dan diberi ubat untuk membunuh bakteria tibi. Selepas dua minggu, keadaannya semakin pulih dan cukup kuat untuk berjalan sebelum dibenarkan keluar dari hospital. Doktor menasihatkan Azmi supaya menyambung rawatan berkenaan selama enam bulan.

Isteri Azmi pula hanya menerima rawatan pesakit luar memandangkan jangkitan padanya lebih mudah dirawat. Selain isterinya, terdapat kemungkinan besar anak Azmi juga dijangkiti kuman tetapi belum menunjukkan sebarang gejala.

Ini adalah satu senario di mana pesakit tibi lewat mendapatkan rawatan sewajarnya sehingga menyebabkan ahli keluarga dijangkiti.

Pengalaman semasa bertugas di Kuala Terengganu dan lawatan ke hospital-hospital di Kelantan telah mengenalkan saya kepada begitu banyak senario seperti Azmi yang menyedihkan kerana penyakit tibi adalah penyakit yang boleh dirawat. Rawatan awal boleh mengelakkan kerosakan teruk kepada paru-paru dan mengelakkan orang-orang terdekat daripada dijangkiti.

Seperti Azmi, ramai di kalangan masyarakat kita yang masih percaya pada perbuatan santau dan akibatnya banyak penyakit yang boleh dirawat pada peringkat awal tidak dapat dikesan atau gagal dirawat dengan efektif. Pada zaman moden ini, penyakit tibi boleh dikesan pada peringkat awal dengan adanya alatan yang serba canggih sementara rawatan pula dapat diberikan dengan lebih cepat.

Namun, ada juga pesakit yang telah terbukti dijangkiti tibi melalui imbasan sinar-X dan ujian ke atas kahak tetapi masih enggan menerima rawatan kerana kepercayaan kuat terhadap santau dan ‘buatan orang’.

Sejarah Tibi

Penyakit tibi telah dikesan pada tulang mumia dari zaman Firaun merupakan antara punca kematian utama di Eropah pada kurun ke-16 dan ke-17. Pada zaman itu, masyarakat Eropah juga berpendapat penyakit ini berpunca daripada perbuatan syaitan.

Hanya pada 1882, seorang saintis, Dr. Robert Koch dari Jerman telah menemui kuman tibi, Mycobacterium tuberculosis. Walaupun bakteria ini telah dikenal pasti, rawatan tibi tidak ditemui sehingga ubat suntikan Streptomycin diperkenalkan Salman Walksman pada 1943.

Ini diikuti suntikan BCG yang dimulakan oleh Calmette dan Geurin. Dengan adanya ubat-ubat baru, rawatan tibi sekarang hanya mengambil masa selama enam bulan. Ubat yang sama telah digunakan untuk rawatan tibi sejak 60 tahun lalu di seluruh dunia sementara ubat-ubat baru masih dalam peringkat kajian yang mungkin membolehkan rawatan tibi dikurangkan kepada empat atau dua bulan sahaja.

Kuman tibi, selalunya masuk ke badan pesakit melalui udara dan seterusnya ke dalam paru-paru. Dari sini, kuman tibi boleh merebak ke seluruh badan melalui saluran darah atau saluran limfatik dan boleh mengakibatkan tibi di seluruh badan.

Akibat penyebaran kuman tibi, terdapat tibi kelenjar, tibi selaput otak, tibi tulang, tibi jantung dan tibi organ-organ lain. Untuk mengesan kuman tibi di anggota-anggota berkenaan, doktor perlu mengambil sampel biopsi organ tersebut.

Di Malaysia, 85 peratus kes tibi melibatkan paru-paru sementara 15 peratus lagi melibatkan tibi pada anggota badan lain.

Tanda-Tanda Tibi

Antara tanda tibi adalah batuk berlarutan (lebih dua minggu), demam berpanjangan, badan berpeluh pada waktu malam, susut berat badan, selera berkurangan dan batuk berdarah.

Dalam satu kajian yang saya jalankan di Hospital Pulau Pinang, hanya 20 peratus pesakit yang mengalami gejala-gejala tersebut dalam tempoh kurang dua minggu menerima rawatan awal menyebabkan ada pesakit yang hanya dikesan selepas batuk selama lebih satu tahun.

Lebih lambat penyakit tibi pesakit dikesan, lebih ramai yang akan dijangkiti kuman tibi.

Seorang pesakit tibi yang gagal dikesan boleh menjangkiti 20 individu lain setiap tahun.

Sesiapa yang mempunyai tanda-tanda yang dinyatakan perlu menjalani ujian kahak dan imbasan sinar-X dengan segera.

Pemeriksaan dada biasa mungkin tidak menunjukkan sesuatu yang luar biasa kerana penyakit tibi di peringkat awal agak sukar dikesan melalui pemeriksaan fizikal sahaja.

Kebanyakan doktor gagal mengesan tibi kerana tidak mempunyai kemudahan mesin imbasan sinar-X dan juga makmal untuk pemeriksaan kahak.

Diagnosis Tibi

Pada 1882, Dr. Robert Koch mengesan kuman tibi dengan menggunakan mikroskop dan kaedah ini masih digunakan dalam pemeriksaan kahak kerana ia sangat berkesan dan murah. Dengan mikroskop yang semakin canggih, kuman tibi juga boleh dikesan dengan lebih pantas, sekitar 30 minit sahaja.

Ujian Mantoux adalah satu lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk mengesan jangkitan kuman tibi dengan memberikan suntikan cecair Mantoux pada lengan kiri pesakit. Reaksi suntikan ini boleh dibaca selepas tiga hari dengan melihat kepada kehadiran pembengkakan pada tempat suntikan sebesar 10 milimeter.

Jika ujian Mantoux ini positif, doktor akan melakukan imbasan sinar-X pada dada pesakit dan juga pemeriksaan kahak (jika batuk berkahak). Ujian positif Mantoux menunjukkan kuman tibi telah memasuki badan pesakit tetapi belum aktif.

Kuman tibi akan menunggu masa untuk menjadi aktif dan ini boleh memakan masa antara satu bulan hinggalah berpuluh tahun lamanya, bergantung kepada jumlah bakteria tibi dan daya tahan (imuniti) badan pesakit.

Di dalam senario Azmi, anak-anak Azmi berkemungkinan besar mempunyai ujian Mantoux positif memandangkan keadaan penyakit Azmi yang teruk ketika didiagnosis.

Imbasan sinar-X pula merupakan cara yang mudah dan cepat untuk mengesan jangkitan kuman terhadap paru-paru. Jika imej yang diperoleh didapati tidak normal, kahak perlu diperiksa selama tiga hari berturut-turut untuk mengesan kuman tibi.

Ujian darah untuk mengesan kuman tibi adalah sangat mahal dan hanya dilakukan untuk kes-kes tertentu sahaja.

DOT Dan Rawatan Tibi

Bakteria tibi mempunyai dinding sel yang tebal dan amat sukar untuk dibunuh menggunakan antibiotik. Kuman ini juga boleh hidup di dalam sel-sel darah dan di dalam tisu anggota badan lain.

Oleh itu, rawatan tibi perlu terus diberikan selama enam bulan supaya semua kuman di dalam dan di luar sel dapat dibunuh sepenuhnya.

Cara rawatan adalah dengan memberikan empat jenis antibiotik sekaligus kepada pesakit. Ini adalah untuk mengelakkan kuman tibi menjadi kebal kepada ubat (multidrug resistance TB). Pesakit perlu mengambil ubat-ubat ini setiap hari bagi dua bulan pertama, sehinggalah pemeriksaan doktor dijalankan.

Sekiranya pemeriksaan doktor menunjukkan kemajuan dari segi simptom, imej imbasan sinar-X dan pemeriksaan kahak, cara pengambilan ubat akan diubah kepada dua kali seminggu untuk empat bulan seterusnya. Imbasan sinar-X dan ujian kahak perlulah dijalankan setiap dua bulan sepanjang tempoh rawatan, sehinggalah pesakit didapati sembuh sepenuhnya (selalunya hanya dalam tempoh enam bulan).

Seperti antibiotik lain, ubat-ubat untuk tibi juga mempunyai kesan sampingan seperti loya, muntah, rasa gatal badan dan letih. Adalah sangat penting pesakit memaklumkan doktor atau jururawat jika terjadi sebarang kesan sampingan yang teruk.

Bagi memastikan pesakit mengambil ubat seperti yang diarahkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memperkenalkan kaedah rawatan ‘Directly Observed Treatment’ (DOT) pada awal tahun 1990-an. Kaedah DOT memerlukan semua pesakit mengambil ubat di hadapan kakitangan kesihatan (doktor, jururawat atau penolong pegawai perubatan) bagi memastikan ubat dimakan setiap hari seperti yang ditentukan.

Ini juga akan memudahkan pesakit memaklumkan sebarang kesan sampingan yang dialami ketika permulaan rawatan. Kaedah ini telah dibuktikan berkesan di banyak negara, di mana peratusan kes sembuh tibi meningkat sementara kadar kematian semakin berkurangan dan turut mengurangkan kejadian kuman tibi menjadi kebal kepada ubat.

Kejadian kuman tibi yang kebal kini didapati meningkat di beberapa negara di rantau Asia. Kuman jenis ini amat sukar dihapuskan dan kadar kematian pesakit akibat jangkitan kuman tibi kebal adalah setinggi 80 peratus.

Bagi mengelakkan keadaan ini, adalah amat penting bagi semua pesakit untuk mengambil ubat sambil diawasi oleh kakitangan kesihatan.

Kaitan Tibi, HIV Dan Diabetes

Dalam kajian saya di Hospital Kuala Terengganu dan Hospital Pulau Pinang, sebanyak 20 peratus (satu daripada lima) pesakit tibi yang dikesan turut menghidap penyakit diabetes mellitus (kencing manis).

Ini bermakna, semua pesakit diabetes yang diserang batuk berpanjangan atau simptom lain yang telah dinyatakan perlu menjalani pemeriksaan kahak.

Kajian saya juga menunjukkan kuman tibi lebih senang menyerang paru-paru pesakit yang gagal mengawal diabetes.

HIV dan tibi pula adalah dua penyakit yang sukar dipisahkan. Kebanyakan kematian di kalangan pesakit HIV adalah disebabkan oleh jangkitan kuman tibi.

Memandangkan HIV menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah, kuman tibi amat mudah menjangkiti setiap anggota badan pesakit HIV, selain dari paru-paru.

Sejak 20 tahun kebelakangan ini, bilangan penyakit tibi juga didapati meningkat sejajar dengan peningkatan jangkitan HIV.

Ini membawa kepada satu polisi baru dalam sistem kesihatan kita di mana semua pesakit HIV perlu diperiksa untuk tibi dan semua pesakit tibi perlu menjalani pemeriksaan HIV.

Hari Tibi Sedunia 2008

Tarikh 24 Mac diumumkan sebagai Hari Tibi Sedunia bersempena tarikh Dr. Robert Koch menemui kuman tibi pada 1882. Tema Hari Tibi Sedunia 2008 adalah ‘I am stopping TB’ sesuai dengan usaha semua orang untuk menghentikan penyakit zaman purba ini dari terus merebak.

Bagi pesakit tibi, tema ini bermakna mereka perlu mengambil ubat seperti diarahkan doktor supaya penyakit ini dapat disembuhkan di samping mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Setiap anggota kesihatan pula perlu memastikan pengesanan penyakit ini dapat dibuat pada peringkat awal dan secara tidak langsung dapat mengelakkan jangkitan kepada orang lain.

Bagi pihak kerajaan, tema ini bermakna setiap ahli politik dan kementerian yang terlibat perlu memberi sokongan kewangan dan pendedahan sewajarnya supaya usaha menghentikan tibi dapat dijalankan dengan berkesan.

Orang awam juga boleh memainkan peranan dengan menolong pesakit tibi mendapatkan dan meneruskan rawatan mereka dan mengambil inisiatif membawa pesakit yang disyaki mempunyai tanda-tanda tibi ke hospital terdekat untuk ujian lanjut.

“I am stopping TB” adalah satu mesej yang cuba ditampilkan supaya setiap individu pelbagai peringkat memainkan peranan masing-masing dalam menghentikan penularan penyakit tibi.

Perlu diingat, seorang pesakit mati akibat tibi setiap saat di seluruh dunia sementara satu pertiga penduduk dunia kini dijangkiti kuman tibi. Dengan wujudnya penyakit HIV dan kuman tibi kebal, penyakit ini berkemungkinan menjadi pembunuh utama kelak. Oleh itu, doktor di sektor swasta atau kerajaan, ahli politik, pengamal perubatan tradisional dan masyarakat perlu bekerjasama menentang ancaman kesihatan ini. Sama-samalah kita hentikan TB.


Ditulis oleh:
Datuk Dr Abdul Razak Muttalif
Pakar Perunding Perubatan Respiratori,
Hospital Pulau Pinang

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/