Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label masalah berat badan. Show all posts
Showing posts with label masalah berat badan. Show all posts

Sunday, November 02, 2008

Membantu Mengurangkan Ukur Lilit Pinggang

Minggu depan merupakan minggu terakhir bulan Syawal, juga untuk musim perayaan dan rumah terbuka. Pasti ramai yang mendapati seluar dan baju mereka semakin ketat, dan mungkin juga ada yang semakin sukar melihat kaki sendiri di sebalik perut yang menyerupai orang mengandung.

Ini menjadi kebiasaan pada musim `membalas dendam’ selepas berpuasa sepanjang bulan Ramadan, ditambah pula tarikan makanan percuma acara rumah terbuka sepanjang Syawal ini. Pasti sukar bagi ramai di antara kita untuk mengawal diet pemakanan di hadapan puluhan hidangan lazat walaupun dipenuhi gula, garam dan lemak.

Jadi, kini tiba masanya untuk kembali mengawal kembali amalan pemakanan harian dan memperbanyakkan aktiviti fizikal harian, sekurang-kurangnya berjalan selama 10 minit (walaupun hanya keliling bangunan), beberapa kali setiap hari.

Namun, jika ini sesuatu yang terlalu sukar, anda pasti tidak dapat menghilangkan `kontena’ tambahan yang dikumpulkan itu dan akan kekal gemuk, gempal atau gebu (3G). Jika bernasib baik, anda dapat melakukan aktiviti mengumpul lemak sekali lagi sepanjang Syawal tahun hadapan. Jika tidak, mungkin diabetes, tekanan darah tinggi, sakit jantung mahupun strok yang datang dahulu.

Untuk Ibu dan 3G

Artikel ini sebenarnya ditujukan untuk ibu-ibu yang baru melahirkan anak bagi membantu mereka menguruskan kembali perut selepas sembilan bulan mengandung. Namun, ia juga diharap dapat membantu golongan 3G yang semakin ramai kebelakangan ini.

Fabrik yang dikenali sebagai Texenergy berfungsi seperti amalan orang Melayu berbarut ketika berpantang selepas melahirkan anak. Bagaimanapun, ia bukan menggunakan tekanan fizikal yang mencerut dan mencengkam perut bagi mengurangkan saiznya tetapi dengan menggalakkan pengaliran darah mikro ke kawasan terbabit bagi membolehkan lemak dan cecair berlebihan dibawa keluar.

Menggunakan konsep terapi logam, fabrik ini menggabungkan fiber kuprum, zink dan silikon dalam pintalan mikrofiber yang elastik. Dengan itu, fabrik ini boleh dijadikan sebagai sut badan, baju, stokin, sarung tangan, sarung kaki, pita elastik dan pelindung sendi (lutut, siku, pergelangan kaki) mengikut saiz pemakai bagi mengelakkan kesukaran pergerakan dan rasa tidak selesa.

Sememangnya banyak produk sut badan di pasaran yang mendakwa dapat menguruskan badan dan dijual dengan harga amat murah. Tetapi, banyak di antaranya menggunakan tekanan fizikal bagi mencerut dan mencengkam bagi menguruskan badan, serta tidak tahan lama. Fabrik Texenergy yang dihasilkan di Itali ini pula dibina untuk tahan lama, mengikut saiz badan pemakai dan selesa dipakai. Kesannya dalam menguruskan badan pula dapat dilihat seawal empat minggu selepas digunakan.

Fabrik ini juga bukan hanya dikeluarkan untuk wanita, malahan sebagai sut badan untuk lelaki yang ingin menguruskan badan. Paling berkesan jika digunakan selama lapan jam sehari, sut badan Texenergy juga cukup nipis dan selesa untuk dipakai di bawah baju kerja ataupun boleh dipakai ketika tidur.

Fabrik ini juga mampu mengurangkan selulit (hasil aliran darah mikro) dan dapat mengurangkan rasa sakit. Ini amat bersesuaian untuk ibu-ibu yang baru melahirkan anak, bukan sahaja untuk ukur lilit perut dan selulit, malahan mengurangkan kesakitan.

Sukar Diet dan Bersenam

Pakar urologi di sebuah hospital di Reading, UK, Dr. Debbie Yap yang baru melahirkan anaknya, Nicole Tang, beberapa bulan lalu telah mencuba sendiri sut badan Texenergy sejak minggu kedua selepas bersalin.

“Saya melahirkan anak secara normal tetapi mengalami peningkatan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg) selepas bersalin.

“Tambahan pula saya mengikut suami yang bekerja di sini (UK) dan tiada saudara-mara untuk membantu menyebabkan sukar bagi saya bersenam mahupun mengawal diet pemakanan harian,” katanya.

Menurut beliau, bapanya mencadangkan sut badan tersebut bagi membantu mengurangkan berat badan dan ukur lilit pinggang.

Sebelum mengandung, Dr. Yap kerap bersenam dan mengikuti aktiviti memanjat (wall climbing). Kemudian beliau meneruskan dengan senaman ringan, berjalan dan pergi ke gim tiga kali seminggu ketika sedang mengandung bagi memudahkan proses kelahiran dan mempercepatkan pemulihan badan.

Dr. Yap juga mengakui tidak banyak berpantang tetapi cuba mengelak makanan berlemak. Beliau mengambil sekurang-kurangnya tiga hidangan setiap hari di samping snek kecil terutamanya selepas menyusukan anak.

“Saya tidak mempunyai banyak masa lapang kerana perlu menjaga sendiri anak. Namun, saya berjaya mengurangkan kesemua 10 kg. dalam tempoh tiga bulan dan dapat memakai kembali seluar jeans bersaiz 28 inci.

“Oleh itu, saya merasakan sut badan tersebut berkesan dalam membantu saya mengurangkan berat badan tanpa perlu mengikuti diet pemakanan yang ketat,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun memperakui terdapat juga faktor lain seperti amalan pemakanan dan pergerakan fizikal yang menentukan tahap keberkesanan sut badan Texenergy.

Tambahnya, walaupun sut badan itu membantunya mengurangkan lebih 10 kg. berat badan, hasilnya mungkin berlainan sedikit bagi individu lain.

Dr. Yap turut menceritakan bagaimana pertemuan dengan ahli kelas antenatalnya di UK memperlihatkan ramai yang masih memakai baju mengandung selepas beberapa bulan bersalin.

“Mereka hairan bagaimana saya dapat menguruskan badan dengan begitu pantas dan sudah boleh memakai kembali pakaian lama.

“Perbezaan ini mungkin kerana proses penurunan berat badan mereka lebih perlahan, mungkin juga disumbang faktor pemakanan (berapa banyak mereka makan),” katanya.

Menurutnya, seorang daripadanya turut kelihatan seperti masih mengandung ketika mereka bertemu semasa menimbang berat badan anak masing-masing.

Beliau juga beranggapan penyusuan badan memainkan peranan penting dalam menguruskan badan dengan lebih pantas kerana lebih banyak kalori yang dibakar.

Dr. Yap menyatakan akan terus menggunakan sut badan Texenergy selagi beliau perlu menumpukan perhatian pada anak dan tidak dapat kembali ke gim.

“Mengapa berhenti menggunakan sesuatu yang bagus dan berkesan. Tambahan pula, suami saya juga gembira saya dapat mengurangkan berat badan dengan begitu pantas.

“Kini saya hanya perlu menumpukan perhatian kepada anak dan menggunakan sut badan tersebut pada waktu malam bagi membantu mengekalkan saiz, bentuk dan berat badan,” ujarnya.

Penggunaan fabrik Texenergy bagaimanapun bukannya sebagai pengganti pemakanan sihat mahupun aktiviti fizikal harian. Namun, fabrik ini dapat membantu dalam penyingkiran lemak berlebihan dengan lebih pantas di samping mengurangkan keperluan diet dan senaman terlalu ketat. Bagi ibu yang mengalami masalah tertentu (atau pembedahan) ketika bersalin, anda dinasihatkan bertanya kepada doktor terlebih dahulu sebelum menggunakan fabrik ini. Fabrik ini juga tidak sesuai digunakan ketika sedang mengandung.

Aplikasi fabrik ini juga bukan hanya terhad untuk mengurangkan berat badan dan selulit, kelebihannya dalam mengurangkan kesakitan amat berguna bagi mereka yang sering sakit sendi. Di samping meningkatkan aliran darah mikro, fabrik ini juga dapat menstabilkan suhu (bahagian yang dilitupi) dan menghasil aliran elektrik halus.

Ini merupakan antara kelebihannya yang menyokong fungsi semula jadi badan untuk mengembalikan keseimbangan kandungan kimia badan, pertahanan dan pemulihan kecederaan (selulit, sendi). Pengurangan berat badan pula akan berlaku secara semula jadi tanpa memberi tekanan fizikal bagi memaksa badan membuang lemak dan air berlebihan.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Sunday, June 15, 2008

Perut Buncit Berisiko Mati Awal?


PERUT buncit antara masalah yang kerap dihadapi lelaki mahupun wanita. -











Kegemukan merupakan antara masalah lazim yang dialami oleh ramai wanita di negara ini dan di seluruh dunia.
Masalah tersebut bukan saja menggambarkan amalan pemakanan seseorang yang tidak betul, bahkan lebih buruk ia kerap diiringi dengan pelbagai penyakit termasuk jantung dan darah tinggi.

Dalam pada itu, kajian terbaru mendapati bahawa wanita mempunyai ukur lilit pinggang yang besar mempunyai risiko meninggal dunia lebih awal berbanding dengan mereka yang mempunyai ukur lilit pinggang yang lebih kecil.

Kajian yang dibuat oleh Universiti Harvard dan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat, menunjukkan wanita yang berpinggang besar lebih cenderung untuk menghidap penyakit yang berkaitan jantung ataupun kanser, walaupun hakikatnya mereka mempunyai berat badan yang ideal dengan ketinggian mereka.

Terdapat kajian sebelum ini yang menunjukkan pengumpulan lemak di bahagian pinggang sebenarnya meningkatkan risiko penyakit.

Untuk menjalankan kajian ini, para penyelidik telah membuat analisis data daripada lebih 44,000 orang wanita diikuti dengan sejarah kesihatan lebih 1,000 jururawat berdaftar di 11 negeri.

"Seperti apa yang dapat diperoleh daripada kajian NIH Obesity Research Task Force, kesan cabaran akibat obesiti, penemuan terbaru menunjukkan bahawa penyelidikan dapat memainkan peranan dalam pemahaman tentang risiko obesiti," jelas Pengarah NIH, Elias A. Zerhouni.

Kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian tersebut diketuai oleh Cuilin Zhang dari NIH, Eunice Kennedy Shriver dari Institut Kesihatan Kebangsaan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia (NICHD).

Dana untuk menjalankan kajian ini pula diperoleh daripada NIH, Institut Kanser Kebangsaan dan Institut Diabetis, Pencernaan dan Buah Pinggang Kebangsaan. Kajian ini disokong oleh Institut Darah, Paru-paru dan Jantung Kebangsaan. Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam Internet menerusi laman web Circulation.

Semakin hari semakin banyak bukti yang mengaitkan lemak berlebihan di abdomen dengan risiko penyakit diabetes dan jantung. Bagaimanapun perkaitan antara obesiti di bahagian abdomen dengan risiko kematian masih belum dikaji secara meluas.

Kajian terkini menunjukkan bahawa kegemukan di abdomen ada kaitan dengan kematian awal.

Para penyelidik yang menjalankan kajian terhadap 44,000 wanita telah mengikuti rekod sejarah kesihatan dan gaya hidup mereka.

Disebabkan majoriti daripada wanita yang mengambil bahagian dalam kajian itu ialah wanita kulit putih, para penyelidik tidak begitu pasti sama ada hasil kajian mereka boleh digunapakai untuk wanita mahupun lelaki daripada bangsa lain.

Semua wanita yang terlibat dalam kajian pula terdiri daripada jururawat berdaftar. Pada awal kajian dibuat, mereka diminta untuk mengukur ukur lilit pinggang dan paha mereka.

Setiap dua tahun, kumpulan wanita ini diminta untuk mengisi borang kaji selidik tentang kesihatan mereka, memberikan maklumat tentang umur, tahap aktiviti luar, status merokok, diet, tekanan darah dan paras kolesterol.

Para penyelidik ini turut mengkaji punca kematian bagi wanita yang didapati meninggal dunia ketika tempoh kajian ini berlangsung iaitu sebanyak 3,507 kematian dan daripada jumlah itu 1,748 diakibatkan oleh kanser, manakala 751 kerana penyakit berkaitan jantung.

Para penyelidik turut mendapati bahawa wanita yang mempunyai lemak berlebihan di pinggang lebih berisiko untuk mati lebih awal kerana komplikasi jantung berbanding dengan mereka yang berpinggang kecil.

Sebagai contoh, wanita yang bersaiz pinggang sama atau lebih daripada 35 inci dianggarkan untuk meninggal lebih dua kali lebih awal kerana penyakit jantung berbanding dengan wanita yang bersaiz pinggang 28 inci sahaja (mengenepikan indeks berat badan). Sama juga risiko bagi mereka ini untuk meninggal akibat kanser.

Pada masa yang sama, wanita yang mengalami obesiti turut berisiko untuk berhadapan maut lebih awal daripada usia yang sepatutnya.

Menurut para penyelidik, obesiti ditentukan menerusi indeks berat badan (BMI) yang mengukur kesesuaian antara ketinggian seseorang dengan berat badan mereka.

BMI antara 18.5 dikategorikan berat badan yang ideal dan sihat, manakala BMI 30 hingga 39.9 adalah obes.

Saiz ukur lilit pinggang wanita yang lebar adalah tanda pengumpulan lemak berlebihan pada bahagian depan perut, istilah ini dipanggil abdominal obesity.

Menurut kajian Panduan Klinikal Untuk Mengenalpasti, Memerhati dan Rawatan Berat Badan Berlebihan dan Obesiti di Kalangan Orang Dewasa, saiz had pinggang yang sihat ialah 35 inci bagi wanita dan lelaki 40 inci. Saiz ukur lilit pinggang ini boleh diukur keliling pinggang dari paras pusat.

Menurut Dr. Zhang, dalam tahun 2004 lebih daripada satu setengah orang dewasa Amerika mengalami abdominal obesity.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

Artikel dari laman web www.nih.gov

Tuesday, June 10, 2008

Milk Thistle Dan Dandelion Untuk Masalah Kolesterol

SOALAN:
Saya kini berusia 40 tahun dan mempunyai masalah berat badan berlebihan dan kolesterol tinggi. Doktor menasihati saya agar mengurangkan berat badan dan mengubah diet dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, seperti lebih aktif secara fizikal kerana saya juga berisiko untuk mengalami masalah kesihatan lain. Apakah yang boleh dicadangkan untuk diambil untuk membantu masalah saya ini?


JAWAPAN:
Untuk mengurangkan berat badan, salah satu aspek penting adalah dengan meningkatkan aktiviti fizikal iaitu senaman. Jadikan senaman sebagai rutin harian atau setidak- tidaknya tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 45 minit setiap sesi.

Sebenarnya senaman bukan sahaja akan membakar 100 lebih kalori untuk setiap batu kita berjalan, tetapi juga meningkatkan kadar metabolik dan dengan itu tubuh akan membakar kalori dengan lebih cepat.

Kajian juga menunjukkan ia masih mampu membantu membakar lemak dengan kadar yang lebih cepat selepas beberapa jam bersenam.

Senaman aerobik pula bermanfaat dalam meningkatkan kadar pernafasan dan membuka saluran darah, manakala gabungan dengan amalan diet yang sihat tentunya memberi kesan yang lebih baik dalam mengimbangkan kolesterol HDL (kolesterol bermanfaat) dan LDL (kolesterol berbahaya).

Pengumpulan toksin dalam badan juga memberi sumbangan kepada kesukaran menurunkan berat badan. Ini diburukkan dengan masalah pembuangan air besar yang tidak lancar.

Dalam masalah ini, kesihatan hati juga memainkan peranan besar. Kemerosotan fungsi hati akan menjejaskan keupayaan hati menyingkirkan toksin dan juga mengganggu metabolisme kolesterol.

Secara tradisional, Milk Thistle digunakan untuk membantu merangsang kesihatan hati. Manakala herba Dandelion membantu penghadaman dengan merangsang penghasilan hempedu oleh hati.

Kombinasi Milk thistle dan Dandelion bermanfaat untuk merangsang detoksifikasi, iaitu penyingkiran toksin daripada badan dan juga merangsang sistem penghadaman yang lebih baik. Melalui detoksifikasi ini ia memberi manfaat kepada masalah kelesuan, sembelit dan juga kesihatan kulit.

Pengambilan suplemen lain seperti lesitin yang kaya dengan fosfatidil kolina juga memberi manfaat. Ini kerana lesitin juga berkeupayaan untuk meningkatkan kelarutan kolesterol dan pemecahan lemak yang terkumpul dalam saluran darah.


Dipetik dari:

http://www.utusan.com.my

Thursday, May 29, 2008

Selulit Cacatkan Penampilan

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa selulit merupakan musuh utama bagi sebahagian wanita yang mementingkan penampilan diri. Kehadirannya menjadikan kulit di bahagian paha, pinggul serta perut merekah dan menggeleber.

Masalah tersebut kerap dikaitkan dengan keturunan kerana jika ibu mempunyai selulit, kemungkinan besar anaknya akan juga mengalami perkara sama. Begitupun, umur yang meningkat dan tidak menjaga tubuh turut mengundang selulit. Semakin usia bertambah, lemak dan selulit akan berkumpul sehingga mencacatkan penampilan.

Eksekutif Produk L’Oreal Paris, Irene Ng Ze Ann berkata, diet yang tidak dijaga seperti gemar mengambil alkohol, makanan berminyak dan berlemak, kafein dan gula, adalah antara penyebab timbulnya selulit.

Ini diburukkan lagi jika seseorang itu kurang menjalani aktiviti mengeluarkan peluh seperti berjoging dan bersenam, serta kerap menghadapi tekanan.

“Ketidakseimbangan antara penyimpanan lemak dengan penggunaan semula bukan sahaja menambah selulit, tetapi menjadikan ia degil dan sukar dihilangkan.

“Malah, seseorang yang berjaya mengurangkan lemak serta menguruskan badan belum tentu dapat menghapuskan selulit. Ini kerana tubuh yang langsing bukan jaminan tiada lemak dan selulit,’’ katanya pada pelancaran Perfect Slim Pro, produk baru oleh L’Oreal bagi membantu mengekang masalah selulit.

Menurut Irene, memang tiada jalan pintas bagi menghilangkan selulit, namun ada pelbagai produk rawatan secara dalaman dan luaran yang ada di pasaran.

Katanya, Perfect Slim Pro menawarkan rawatan berbeza dengan produk bagi menghilangkan selulit yang lain, di mana ia menggunakan alat urutan bagi memecahkan bahagian yang mempunyai selulit seperti paha, pinggul dan perut.

Penggunaan secara konsisten dapat membantu menghapuskan lemak-lemak yang terdapat di bawah kulit.

“Pegang alat urutan pada sudut 45 darjah dan urut ke arah kulit. Urut ke arah atas iaitu mengikut aliran darah (ke jantung) dan jangan sesekali ke arah belakang. Kemudian sapukan dengan body-contouring draining concentrate yang mengandungi Co-Caffeine Cx bagi menyingkirkan selulit yang degil. Hanya memerlukan lima minit setiap sesi dalam sehari, selulit akan lenyap dari diri anda,’’ jelasnya.

Tip Menghilangkan Selulit:

* Garam

Kurangkan pengambilan garam. Gantikan dengan buah dan sayuran segar, kacang buncis, tempe, daging tidak berlemak dan ikan.

* Kafein

Usahakan untuk minum maksimum hanya satu cawan kopi atau teh setiap hari. Kombinasi kafein yang banyak dan duduk lama di kerusi menyebabkan aliran darah tidak lancar.

* Gula

Gula yang berlebihan akan disimpan sebagai lemak. Kurangkan pengambilan makanan seperti biskut, coklat dan aiskrim.


Ditulis oleh:
Sadatul Mahiran Rosli

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, May 27, 2008

Spirulina Dan Kawalan Berat Badan

SOALAN:
Saya kini sedang berusaha untuk mengurangkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan makanan dan cuba untuk bersenam setiap hari. Masalahnya, saya tidak dapat membuat senaman seperti yang disarankan kerana cepat letih. Adakalanya, saya juga tidak bermaya untuk menyelesaikan tugas harian di pejabat. Adakah suplemen yang sesuai untuk masalah saya dan untuk pengetahuan tuan, saya kini berusia 36 tahun.


JAWAPAN:
Dalam keadaan ini, anda perlu memilih makanan yang berprotein, rendah lemak serta kaya dengan nutrien untuk kesihatan tubuh. Antara suplemen yang didapati sesuai untuk masalah anda adalah Spirulina organik. Ini kerana Spirulina kaya dengan protein, iaitu melebihi enam puluh peratus berbanding sekitar 34 peratus dalam kacang soya dan 12 peratus telur. Protein ini penting untuk bekalan tenaga dan meringankan keletihan. Sekiranya dibandingkan dengan protein haiwan, Spirulina lebih rendah lemak dan kalori, serta tanpa kolesterol.

Spirulina juga mengandungi mineral dalam bentuk organik yang senang untuk dihadam dan diserap oleh tubuh. Ini menjadikan Spirulina sebagai suplemen zat besi dalam bentuk semula jadi yang sangat sesuai untuk wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Beta karotena yang juga dikenali sebagai pro vitamin A merupakan nutrien yang mempunyai aktiviti anti radikal bebas. Kandungan beta karotena dalam Spirulina juga didapati jauh lebih tinggi berbanding lobak merah. Selain itu, Spirulina juga kaya dengan vitamin B kompleks yang penting dalam proses penghasilan tenaga dan fungsi saraf.

Spirulina kaya dengan klorofil yang terkenal kerana fungsinya sebagai agen pembersih dan turut membantu proses detoksifikasi yang juga ideal untuk mereka yang ingin mengawal berat badan. Begitu juga dengan pigmen tumbuhan lain seperti fikosianin dan karotenoid yang membantu dalam menguatkan fungsi imun. Anda juga boleh mengambil lesitin sebagai suplemen tambahan harian kerana ia boleh membantu pemecahan lemak.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my