Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label remaja. Show all posts
Showing posts with label remaja. Show all posts

Sunday, February 01, 2009

Kemurungan Beri Kesan Kehidupan Remaja

Kemurungan adalah penyakit yang cukup berbahaya. Ia mampu menyongsangkan perspektif normal seseorang sehingga mengakibatkan perubahan tingkah laku dan akhirnya mencederakan diri sendiri atau lebih teruk lagi - bunuh diri.

Kini penyakit tersebut bukan sahaja merangkumi golongan dewasa malah turut melanda remaja atas pelbagai sebab antaranya, tekanan persekitaran, peperiksaan, masalah keluarga atau dengan rakan-rakan di sekolah.

Sesetengah orang berpendapat bahawa kemurungan remaja hanyalah sekadar perubahan angin dan sikap melankolik yang sesekali melanda golongan ini.

Sebaliknya, kemurungan atau depresi merupakan masalah serius yang memberi impak kepada setiap aspek kehidupan remaja berkenaan.

Jika dibiarkan tanpa rawatan ia mampu menimbulkan masalah lebih besar di rumah dan sekolah. Lebih tragik lagi jika remaja itu terlibat dengan dadah, membenci diri sendiri, bertindak ganas dan akhirnya membunuh diri.

Walaubagaimanapun, penyakit tersebut boleh dirawat dengan bantuan ibu bapa, guru atau rakan yang paling rapat dengan mereka.

Dekan Jabatan Psikiatri dan Psikoterapi Fakulti Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Azhar Md. Zain berkata, meskipun agar sukar dikesan, namun ibu bapa sebagai orang paling hampir dengan pesakit harus mengenal pasti simptom kemurungan pada anak mereka.

''Antara perubahan ketara yang mungkin boleh dikenal pasti adalah perbezaan sikapnya yang menjadi ganas, mengambil dadah, mengunjungi kelab atau perkara yang membahayakan diri mereka.

''Sebaliknya simptom juga boleh datang tanpa disedari iaitu apabila pesakit menyembunyikan perasaan sebenar, menyendiri, hilang minat bersosial dan sebagainya,'' jelas beliau.

Ramai terlupa betapa sukarnya zaman remaja apabila terpaksa mengimbangkan antara keprihatinan dan keakraban hubungan sesama rakan, kejayaan akademik, kurikulum dan pembangunan jati diri yang kukuh serta bermoral.

Oleh itu, sesekali menunjukkan muka masam atau perangai adalah normal tetapi kemurungan mampu merosakkan personaliti remaja dan menimbulkan perasaan sedih, kecewa atau marah yang amat sangat.

Tidak seperti golongan dewasa yang mampu mendapatkan bantuan dengan sendiri, remaja biasanya terpaksa bergantung kepada ibu bapa, guru atau penjaga mereka untuk mengenal pasti penyakit yang dihadapi serta mendapatkan rawatan diperlukan.

Justeru, jika anda mempunyai remaja dalam hidup anda adalah penting untuk mengenal pasti tanda-tanda kemurungan ini dan apa yang perlu dilakukan sekiranya menemui simptom tersebut.

Simptom Kemurungan Remaja

Golongan remaja mengalami pelbagai jenis tekanan termasuk perubahan fizikal akibat akil baligh, mengenal pasti identiti diri sendiri dan kelompok sosial mana paling sesuai dengan mereka.

Transisi semula jadi ini bagaimanapun mampu menimbulkan konflik keibubapaan apabila remaja mula menyedari dan menuntut hak untuk bebas.

Disebabkan 'drama' ini juga adalah sukar untuk membezakan antara kemurungan dan perubahan angin remaja yang normal. Lebih menyukarkan keadaan, remaja yang murung tidak selalunya kelihatan sedih atau sentiasa menyendiri.

Bagi sesetengah remaja murung lain pula, mereka bertindak agresif, cepat marah, panas baran dan sering terbabit dalam pergaduhan.

Tanda-Tanda Amaran

Sejak kebelakangan ini berlaku peningkatan terhadap kes membunuh diri atau cubaan membunuh diri di kalangan remaja yang mengalami kemurungan kronik.

Namun mereka yang terbabit dalam salah guna alkohol atau dadah lebih berisiko membunuh diri berbanding pesakit yang tidak bergantung kepada bahan tersebut.

Disebabkan timbul kemungkinan pesakit akan membunuh diri, remaja murung perlu sentiasa dipantau untuk sebarang tanda-tanda berikut seperti;

+ Bercakap atau bergurau mengenai hendak membunuh diri seperti ''Lebih baik aku mati", Alangkah bagusnya jika aku hilang selama-lamanya", atau "Sudah tiada jalan keluar lagi.''

+ Bercakap secara positif mengenai kematian atau berangan-angan mengenai mati. Contoh: ''Jika aku mati, orang akan lebih sayang padaku.''

+ Menulis cerita atau puisi mengenai kematian atau membunuh diri.

+ Terbabit dalam tingkah laku semberono atau sering cedera kemalangan.

+ Memberi barangan peribadi paling berharga kepada orang lain.

+ Mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan atau keluarga seolah-olah akan berpisah selamanya.

+ Mencari senjata, pil atau sebarang cara untuk membunuh diri.


Ditulis oleh:
Diyana Rose Kamalludden

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, March 11, 2008

Tumbesaran Gadis: Mencapai Akil Baligh

Apabila seorang ibu memerhatikan bagaimana anak perempuannya membesar setiap hari, seolah-olah memerhatikan pembesaran dirinya sendiri.

Ibu-ibu harus sedar yang anak perempuan mereka sedang berubah dari dalam dan juga di luar bila tiba masanya.

Perubahan seksual sekunder (akil baligh) mungkin tidak berlaku secara serentak untuk semua gadis.

Adalah normal sekiranya perubahan ini berlaku pada umur seawal lapan tahun ataupun mungkin lewat sekitar umur 14 tahun.

Walaupun tidak nampak perubahan luaran yang ketara, sebenarnya anak perempuan anda sedang menjalani perubahan fisiologi, endokrin serta anatomi dalaman lain.

Untuk itu, para ibu diharapkan dapat mengetahui dan memahami;

1. Bagaimana perubahan ini berlaku

2. Mengapa berlakunya perubahan ini

3. Bila kedatangan haid dijangka tiba

Dalam perubahan pada anak gadis semasa akil baligh, satu bahagian pada otaknya akan menghantar isyarat pada kelenjar seks iaitu ovari supaya mula berfungsi.

Kelenjar seks ini pula akan menghantar isyarat pada organ-organ lain supaya mula berubah mengikut keperluan perkembangan seksual sekunder.

Isyarat-isyarat ini dihantar melalui hormon-hormon yang dijanakan oleh badan anak gadis berkenaan untuk mengawal tumbesaran badan sebagai seorang gadis yang bertambah dewasa serta kematangan sistem seksual.

Pada tahap permulaan ini, seorang ibu dapat melihat perubahan pada anak gadis seperti;

* Payudara makin membesar

* Penambahan berat badan dan juga penambahan ketinggian

* Ukuran di bahagian punggung semakin lebar

* Tumbuhnya bulu ketiak dan juga di kawasan genitalia (kemaluan)

* Perubahan bau badan

* Kehadiran jerawat di muka.

Mungkin perubahan pertama yang dilihat bermula pada kawasan payudara yang semakin membesar.

Kawasan yang gelap di sekeliling puting akan membengkak, jisim payudara akan lebih membulat serta menjadi padat dan berat.

Terdapat juga kemungkinan tumbesaran payudara di kedua-dua belah dada tidak seiras dan serupa.

Mungkin juga anak anda merasai tidak selesa pada kedua-dua ataupun sebelah payudara.

Namun tidak perlu runsing kerana ini mungkin normal untuk peringkat awal perkembangan.

Jika waswas, bawa anak perempuan anda berjumpa dengan doktor untuk kepastian.

Kematangan hormon juga menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis dengan ovari kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan.

Dengan kata lain, ovulasi sudah berlaku dan sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim iaitu endometrium yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid.

Darah Haid

Sukar untuk mengetahui dengan tepat bila seorang anak gadis akan mengalami haid pertamanya.

Kebanyakan anak gadis akan mendapat haid pertama sekitar umur 12 tahun. Haid pertama biasanya sedikit sahaja dan berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali setiap bulan.

Berkemungkinan juga darah haid anak gadis tidak teratur dan datang sekali setiap dua bulan atau mungkin dalam jumlah darah lebih sedikit.

Bagaimanapun, anak gadis ini mungkin perlu mendapatkan rujukan doktor jika kedatangan haid masih tidak teratur, tidak tenteram dan juga selalu menyakitkan selepas 2 tahun.

Buat Perancangan Nota Kehadiran Haid

Seorang ibu perlu memberi tunjuk ajar kepada anak gadisnya supaya menanda kehadiran haid di dalam diari ataupun kalendar dan catatkan sebarang masalah ataupun kesakitan semasa datangnya haid.

Dengan cara sebegini, anak gadis dapat meramalkan bila haid berikutnya akan datang dan juga julat di antara dua peristiwa haid berdekatan.

Lazimnya julat darah haid adalah di antara 21 hari hingga 45 hari. Adalah biasa bagi julat haid berbeza-beza dan hari pertama haid pun mungkin pada hari awal dan juga mungkin lewat berbanding dengan bulan lampau.

Untuk mereka yang sudah berkahwin pula, biasanya kelewatan haid dikaitkan dengan kemungkinan mengandung, bergantung kepada tempoh lewat datang haid.

Persediaan

Adalah lebih baik sekiranya perancangan awal disediakan sebelum datangnya haid seperti menyimpan tuala wanita di dalam beg dan dibawa ke sekolah.

Tuala ini dipakai di bahagian dalam seluar dalam dan bertujuan menyerap darah yang keluar. Perlu diingat bahawa tuala wanita ini perlu ditukar setiap empat jam kerana darah haid yang terkumpul mungkin menjadi tempat pembesaran yang baik untuk bakteria.

Biasanya untuk beberapa hari pertama, tuala wanita perlu ditukar dengan lebih kerap disebabkan jumlah darah yang keluar terlalu banyak.

Penggunaan tuala wanita yang diletakkan bau haruman juga tidak digalakkan kerana mungkin menyebabkan berlakunya keradangan pada kulit sekitar kemaluan.

Tidak Selesa Dan Sakit

Ramai gadis mengalami kekejangan di bahagian bawah abdomen semasa kehadiran haid.

Mungkin juga kesakitan tersebut merebak ke bahagian belakang (seperti mereka yang sakit bersalin).

Ada juga keluhan seperti sakit kepala, pening-pening, kekerapan buang air besar dan juga loya-loya muntah.

Jangan runsing kerana ini adalah normal untuk pengalaman awal kehadiran haid.

Untuk menghilang masalah serta rungutan ini, anak gadis ini boleh mengambil;

* Pil penahan sakit seperti NSAIDs, contohnya ibubrofen ataupun naproxen sodium.

* Bersenam

* Meletakkan pemanas seperti bertungku di bahagian bawah abdomen.

Rujuk kepada doktor sekiranya:

1. Anak anda sudah pun berusia 15 tahun tetapi masih belum datang haid.

2. Kehadiran haid yang sebelum ini teratur, tetapi sekarang tidak lagi teratur.

3. Julat di antara sebelum dan selepas haid kurang dari 21 hari ataupun melebihi 45 hari.

4. Julat haid berlaku selama 90 hari (3 bulan) walaupun hanya untuk baru satu kitaran (bukan mengandung).

5. Kehadiran darah haid melebihi tujuh hari.

6. Sekiranya jumlah pendarahan terlampau sehinggakan tuala-tuala wanita perlu ditukar setiap satu hingga dua jam.

Banyak perubahan dari segi emosi dan juga fizikal akan berlaku pada anak gadis anda. Nasihatkan mereka supaya menjaga pemakanan supaya berat badan ideal dapat dikekalkan.

Bersenam serta beriadah mungkin dapat mengurangkan ketidakselesaan serta kesakitan ketika datang haid.

Amalkan senaman untuk mengukuhkan tulang-tulang, menguatkan otot-otot dan juga mengurangkan kekejangan semasa datang haid.

Akil baligh juga menyebabkan kelenjar di bawah kulit mengeluarkan sebum dan dengan kehadiran sebum yang banyak boleh menyekat lubang-lubang halus, menyebabkan berlakunya jerawat.

Membasuh muka dengan air ataupun bahan pencuci muka dengan kerap dapat mengurangkan kehadiran sebum di muka dan seterusnya dapat mengurangkan kehadiran jerawat di muka.

Jangan biarkan jerawat berlarutan di muka kerana penyembuhan jerawat mungkin meninggalkan parut yang berkekalan.


Ditulis oleh:
Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Friday, March 07, 2008

Masalah Awal Sakit Puan Di Kalangan Remaja

Dengan kemajuan teknologi dan komunikasi, remaja sekarang terdedah kepada lebih banyak perkara, melebihi apa-apa yang didedahkan secara formal.

Kematangan pemikiran mereka juga lebih cepat dan akan memerlukan ibu bapa serta guru-guru memahami dan menguruskan mereka sebaik mungkin dengan menerangkan perkara berkaitan perkembangan tubuh badan mereka dan bukan melalui cara menakut-nakutkan.

Kemunculan masalah sakit puan seperti sakit semasa kedatangan haid boleh membebankan pelajar, terutamanya jika mereka takut untuk berkongsi masalah dengan rakan atau guru.

Remaja juga mempunyai organ reproduksi yang sama seperti wanita dewasa sementara tumbesaran dan kemajuan sistem endokrin mereka sahaja yang masih belum matang.

Walaupun masalah sakit puan di kalangan remaja bukan sesuatu yang luar biasa, ibu bapa sewajarnya memerhatikan perkembangan tumbesaran mereka.

Remaja di dalam konteks ini didefinisikan sebagai mereka berumur antara tujuh hingga 19 tahun.

Masalah Dengan Akil Baligh

Pada peringkat sekolah rendah fasa 1 (darjah 1 hingga 3), rupa bentuk budak lelaki dan perempuan seakan sama sahaja.

Bagaimanapun, selepas akil baligh berlaku di antara usia lapan hingga 14 tahun, bentuk badan mereka akan mula berubah mengikut perkembangan seksual masing-masing.

Pada peringkat ini berlakunya pengeluaran hormon yang menyebabkan remaja lelaki mengalami perubahan suara dan pertambahan kepadatan otot badan.

Sementara itu, remaja perempuan akan melalui pembentukan payudara dan permulaan kitaran haid sementara bulu akan mula tumbuh di beberapa bahagian badan.

Bagi remaja perempuan, hormon khusus akan dikeluarkan hipotalamus, pituitari dan seterusnya ovari.

Masa untuk seorang remaja mencapai akil baligh pula bergantung kepada beberapa faktor seperti kesihatan umum, genetik, pemakanan dan juga aktiviti fizikal.

Akil baligh yang awal bermula sebelum seorang remaja perempuan mencapai umur lapan tahun sementara remaja yang lambat baligh pula selalunya tidak datang haid dan tiada perkembangan seksual sebelum usianya mencapai 14 tahun.

Lambat baligh pula mungkin sesuatu yang normal bergantung kepada sejarah keluarga remaja tersebut sekiranya ujian menunjukkan tiada masalah kesihatan dengan semua kadar hormon normal.

Status pemakanan, paras lemak badan, ketegangan emosi dan fizikal juga boleh mempengaruhi masa remaja tersebut baligh.

Banyak penyebab yang perlu disiasat bagi kedua-dua keadaan termasuk kadar pengeluaran hormon estrogen.

Permasalahan Dengan Haid

Sistem endokrin (hipotalamus, pituitari dan ovari), yang terlibat dalam perkembangan seksual remaja pada mulanya tidak peka dengan tugas masing-masing dan membawa kepada masalah kitaran haid.

* Menoragia adalah masalah haid tidak teratur, yang kerap berlaku, lazimnya akibat kitaran remaja berkenaan tidak berovulasi (telur tidak dikeluarkan).

Lazimnya kitaran tidak teratur dan turun darah mungkin berpanjangan berikutan fungsi hipotalamus dan kelenjar pituitari akan mengambil masa dua tahun untuk diseimbangkan badan.

Paras hemoglobin pesakit menoragia juga perlu dipantau bagi mengelakkan masalah anemia (tidak cukup darah) yang akan menyebabkan badan berasa letih dan lesu.

Selain itu, remaja perempuan mungkin mengalami penyakit Von Willebrand ataupun immune thrombocytopenic purpura yang kedua-duanya memerlukan ujian darah dilakukan.

Doktor akan memeriksa anatomi pelvis (sistem reproduksi) dengan melakukan ujian ultrasound dan akan memberi rawatan serupa seperti kepada wanita dewasa.

Ubat antifibrinolitik seperti asid traxenamic berupaya mengurangkan pengaliran darah tetapi tidak dapat menetapkan kitaran haid.

Ubat lain seperti NSAID (Ibubrufen dan Asid Mefenemik) pula dapat mengurangkan kesakitan semasa haid, termasuk sakit kepala dan juga cirit-birit.

Bagaimanapun, asid traxenamik lebih berkesan dari segi pengurangan jumlah darah sementara pil perancang keluarga pula paling sesuai untuk rawatan menoragia bagi menghalang pengaliran darah yang terlalu banyak.

* Dismenorea pula menyebabkan sakit semasa haid sehingga boleh mengganggu persekolahan dan hidup seharian remaja.

Pil penahan sakit mungkin perlu diambil sementara pil perancang keluarga boleh mengurangkan jumlah pendarahan.

* Masalah tidak datangnya haid (amenorea) pula dibahagikan kepada dua iaitu primer dan sekunder, bergantung pada ciri-ciri fizikal wanita yang telah terbentuk pada remaja berkenaan.

Bagi remaja tidak mempunyai ciri-ciri kewanitaan dan tidak datang haid, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan sebelum mereka memasuki sekolah menengah.

Masalah perkembangan ciri fizikal mungkin berlaku akibat tumbesaran rahim yang tidak lengkap atau bahagian atas faraj yang hilang akibat masalah tumbesaran ketika masih dalam kandungan.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan selaput dara terlalu tebal dan tidak mempunyai bukaan untuk darah haid keluar.

Mereka yang mempunyai sifat fizikal wanita pula mungkin melibatkan kelainan genetik yang akan memerlukan penyiasatan lanjut di hospital yang berupaya melakukan ujian genetik.

Ibu bapa serta guru-guru memainkan peranan penting dalam mengenal pasti remaja dengan masalah perkembangan seksual dan merujuk kepada doktor pakar untuk ujian lanjutan.

Masalah Ovari

* Sindrom Ovari Polisistik

Sindrom ini menyebabkan pendarahan haid yang tidak teratur atau tidak datang haid langsung.

Remaja dengan masalah ini juga akan mempunyai berat badan yang berlebihan, bulu tumbuh di tempat yang lazimnya hanya pada remaja lelaki, dan mempunyai masalah jerawat.

Remaja sedemikian dinasihatkan supaya melakukan senaman untuk mengurangkan berat badan serta menjaga jumlah dan jenis makanan yang diambil.

Selain itu, kulit di bahagian lipatan remaja yang mempunyai masalah ini akan menjadi bertambah gelap yang dikaitkan dengan permulaan penyakit kencing manis.

* Sindrom kegagalan Ovari

Sindrom ini mungkin berpunca daripada kelainan kromosom seperti pada pesakit sindrom Turner, kelainan mozek pada kromosom atau masalah sistem imun badan.

Remaja perempuan yang mempunyai masalah ini perlu menjalani ujian lanjut untuk memastikan punca dan cara rawatan yang sesuai untuk pesakit.

Ditulis oleh:
Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/