Senarai Doktor Pakar Yang Terdapat di Malaysia dan Bidang Kepakaran Mereka dan Soal Jawab Permasalahan Yang Dihadapi Oleh Pesakit. Pakar Bedah, Pakar Bius, Pakar Oftalmologi, Pakar Ortopedik, Pakar Otorinolaringologi, Pakar Sakit Puan, Pakar Sakit Tuan,Pakar Traumatologi, Pakar Kanak-Kanak, Pakar Sakit Hidung, Telinga & Mulut (List of Specialist Doctor in Malaysia and Daily Health Information for Malaysian)
Peminat Setia Doktor Pakar
Saturday, October 01, 2011
Pengawalan Kolesterol
Saya membuat pemeriksaan kolesterol lebih kurang dua bulan yang lalu dan bacaan kolesterol total saya adalah 6.35 mmol/L dan dikatakan berada pada tahap tinggi.
Sebolehnya, saya ingin mencuba vitamin atau suplemen terlebih dahulu sebelum memulakan pengambilan ubat. Apakah yang sesuai untuk memandangkan saya juga sedang mengambil glukosamin untuk osteoartritis pada lutut?
JAWAPAN:
Makanan seimbang yang disertai dengan aktiviti fizikal merupakan aspek yang harus diutamakan dalam usaha menangani kebanyakan penyakit masyarakat masa kini. Mungkin sesetengah dari kita sudah jemu mendengar cadangan ini, namun percayalah ia masih relevan dan terbukti berkesan hingga kini.
Kebanyakan daripada kita boleh melihat perubahan yang positif selepas sebulan berpuasa, terutamanya penurunan berat badan atau perut yang lebih kempis. Namun, ramai juga yang akan mengeluh apabila keadaan akan kembali kepada asal selepas sebulan hari raya. Begitu juga dengan masalah kesihatan lain seperti diabetes dan kolesterol.
Makan secara berlebihan dan tidak terkawal terutamanya dalam sebulan selepas hari raya dengan undangan rumah terbuka yang kebanyakannya menyajikan hidangan lazat yang sukar untuk ditolak. Makanan seperti kek, pelbagai biskut, kuih-muih yang seringkali menjadi hidangan wajib banyak mengandungi lemak trans akan meningkatkan pengambilan lemak yang tidak sihat. Tidak terkecuali hidangan lain seperti rendang ayam, daging, sate yang rata-ratanya mengandungi kolesterol dan lemak tepu yang sukar ditentukan kandungannya. Oleh yang demikian, hadkan pengambilannya dan makanlah secara sederhana.
Sementara mengawal pengambilan makanan adalah penting, mengambil suplemen untuk mengawal kolesterol mungkin berbaloi untuk dipertimbangkan. Red Yeast Rice yang mengandungi sejenis statin semula jadi hasil dari penapaian beras dan yis merah merupakan antara hasil penyelidikan yang bermanfaat dan seringkali disyorkan untuk pengawalan kolesterol.
Red yeast rice yang mengandungi monacolins merencatkan penghasilan kolesterol yang menyamai ubat statin dan dengan itu membantu mengurangkan paras kolesterol tubuh. Ia merupakan cara alternatif untuk menangani peningkatan paras kolesterol bagi mereka yang tidak mengambil ubat anti kolesterol.
Kita dinasihatkan agar menjauhi pengambilan lemak berbahaya, sebaliknya pengambilan lemak baik seperti asid lemak omega-3 akan memberi manfaat kesihatan. Asid lemak omega-3 tergolong dalam kumpulan asid lemak perlu yang tidak boleh dihasilkan tubuh, maka memperolehinya daripada makanan adalah perlu. Bagi masalah kolesterol, pengambilan asid lemak omega-3 seharusnya diambil sebagai suplemen harian kerana ia didapati memberi kesan tambahan dalam usaha mengawal peningkatan kolesterol. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengambilan kombinasi Red yeast rice dan asid lemak omega-3 dengan dos yang sesuai boleh bantu mengawal peningkatan kolesterol setara dengan pengambilan ubat anti kolesterol.
Asid lemak omega-3 daripada ikan atau suplemen minyak ikan boleh membantu mencegah masalah jantung di kalangan individu yang sihat dan juga bermanfaat kepada mereka yang sudah ada penyakit jantung. Asid Eikosapentaenoik (EPA) dan Asid Dokosaheksaenoik (DHA) yang terkandung dalam minyak ikan dari kumpulan omega-3 dibuktikan bermanfaat kepada jantung dengan menstabilkan plak pada arteri dan tekanan darah.
Amalan pengambilan minyak ikan juga diketahui mengurangkan risiko aterosklerosis; iaitu pembekuan arteri akibat pemendapan lemak, serangan jantung dan kegagalan jantung. Sumber omega-3 yang baik termasuklah salmon, sardin, trout, herring dan beberapa lagi. Bagaimanapun, ramai yang mempertimbangkan pengambilan suplemen minyak ikan untuk memperolehi jumlah yang mencukupi untuk perlindungan jantung yang optimum.
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Friday, June 10, 2011
Kawal Kolestrol Tinggi
Lipoprotein Densiti Tinggi (HDL) adalah kolestrol baik yang mampu mengelakkan endapan kolestrol. Selain itu, Lipoprotein Densiti Rendah (LDL) merupakan kolestrol tidak baik yang boleh berkumpul pada dinding arteri dan membentuk plak yang menyumbat arteri.
Ini akan menyempitkan aliran darah dan oksigen yang membuatkan seseorang diserang sakit jantung atau strok. Justeru itu, amat penting bagi anda mengawas tahap kolestrol dan mengawalnya demi kesihatan jantung.
Semua orang tahu bahawa kolestrol mempunyai kaitan dengan penyakit kronik seperti kardiovaskular atau strok. Kita selalu dinasihatkan agar tidak mengambil telur, santan, daging atau makanan berlemak lain apabila kita mempunyai tahap kolestrol yang tinggi.
Namun, apabila semua langkah itu tidak berjaya merendahkan paras kolestrol , tidak ramai yang mengetahui tindakan seterusnya.
Salah satu caranya mengawal kolestrol dengan mengambil makanan serta minuman sihat yang mengandungi sterol tumbuhan.
Apa itu sterol? Sterol tumbuhan ialah molekul organik yang terdapat dalam tumbuhan yang telah terbukti secara klinikal boleh menghalang kolestrol dari diserap ke dalam darah.
Selain daripada makanan, sterol tumbuhan boleh diperoleh daripada suplemen.
Antaranya, Blackmores Plant Sterols Plus memberi anda pilihan untuk menyeimbangkan LDL:HDL (kolestrol 'jahat': kolestrol 'baik') dalam tubuh menerusi sterol tumbuhan.
Suplemen ini memberikan sterol tumbuhan yang relevan. Kandungan sterol membantu mengurangi penyerapan kolestrol. Selain itu,
Ketika proses pencernaan, sterol bersaing dengan kolestrol dalam proses penyerapan. Dengan itu, kolestrol lebih sedikit diserap dan lebih banyak dikeluarkan.
Diet sihat
Diet yang sihat serta seimbang akan membekalkan nutrien harian dan komponen makanan lain yang membolehkan anda memiliki minda serta tubuh yang sihat dan juga bertenaga untuk menjalani aktiviti-aktiviti harian anda. Sebaiknya, makanlah pelbagai jenis makanan kerana tiada makanan khusus yang dapat membekalkan semua nutrien yang diperlukan. Makanan yang berbeza dalam kumpulan yang sama (seperti beras, roti dan bijirin sarapan) membekalkan nutrien yang berbeza dalam jumlah yang berbeza.
Makanlah diet yang seimbang berasaskan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah lemak serta kurangkan pengambilan lemak, gula dan garam.
Untuk mendapatkan keseimbangan kolestrol sihat, kurangkan kuantiti kolestrol dan makanan berlemak daripada daging.
Selain itu, tingkatkan pengambilan ikan (bukan ikan goreng) dan makan lebih buah-buahan, sayur-sayuran dan biji-bijian.
Gaya hidup sihat
Menjadi aktif secara fizikal adalah sama pentingnya dengan makan secara sihat . Aktiviti fizikal akan memperbaiki kesihatan kardiovaskular, kekuatan dan kefleksibilan membakar kalori untuk menjadikan anda sentiasa sihat dan langsing serta membuatkan anda kelihatan, rasa dan berfikir dengan lebih baik.
Senaman yang tidak mencukupi boleh menyebabkan berlebihan berat badan atau obes di mana akhirnya boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius. Sekurang-kurangnya bersenam selama 30 minit setiap hari dengan berjalan kaki. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan atau obes, maka anda perlu bersenam dengan lebih kerap (dan untuk jangka masa yang lebih lama) untuk mengurangkan berat badan yang berlebihan.
Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/
Tuesday, September 29, 2009
Alternatif Merawat Masalah Kolesterol
Berdasarkan pengalaman lalu, tahap kolesterol darah saya boleh meningkat dengan ketara selepas sebulan perayaan. Bagaimanakah saya boleh mengawal peningkatan ini?
JAWAPAN:
Peningkatan paras kolesterol akan berlaku apabila kita mengambil makanan berkolesterol tinggi.
Pengambilan lemak trans akan meningkatkan kolesterol berbahaya (LDL) dan merendahkan kolesterol baik (HDL), seterusnya meningkatkan risiko penyakit jantung.
Lemak tepu banyak dijumpai dalam makanan berasaskan haiwan seperti lembu, kambing, lemak ayam, mentega, susu, keju dan produk tenusu yang lain. Oleh yang demikian, hadkan pengambilan makanan tersebut.
Bagi mereka yang mempunyai masalah kolesterol tinggi, pengambilan red yeast rice (beras yis merah) dan minyak ikan boleh membantu.
Red yeast rice diperolehi daripada penapaian beras dengan yis merah (Monascus purpures).
Red yeast rice mengandungi statin semula jadi yang menghalang penghasilan kolesterol dalam hati (sekitar 80 peratus kolesterol dihasilkan oleh hati) dengan merencatkan aktiviti enzim hydroxymethylglutaryl coenzyme A (HMG-CoA) reductase.
Minyak ikan laut pula kaya dengan asid lemak omega-3 dan bermanfaat untuk merendahkan paras trigliserida.
Selain itu, minyak ikan juga bermanfaat untuk:
1. Mengurangkan risiko aritmia yang boleh membawa kepada kematian mengejut
2. Mengurangkan risiko trombosis yang membawa kepada serangan jantung dan strok
3. Mengurangkan trigliserida dan paras kolesterol
4. Mengurangkan kadar pertumbuhan plak aterosklerotik
5. Merendahkan tekanan darah
6. Mengurangkan tindak balas keradangan
Hasil penyelidikan juga mendapati gabungan minyak ikan dan Red Yeast Rice ini berkesan untuk menangani peningkatan kolesterol dan kesannya menyamai ubat rawatan kolesterol.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Sunday, February 01, 2009
Kesan Antioksidan Badam
| |
| Badam antara buat yang turut mendapat perhatian saintis untuk mengkaji khasiatnya. |
Memakan badam dapat menurunkan paras dua bio penanda bagi kesan tekanan oksidatif dalam sekumpulan sukarelawan 27 lelaki dan wanita yang mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.
Kajian yang dijalankan oleh saintis yang dibiayai oleh Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS), Amerika Syarikat (AS), Lembaga Badam California dan Badan Pembiayaan Penyelidikan Kanada.
Pengarah Makmal Penyelidikan Anti Oksidan, Jeffrey Blumberg di Pusat Penyelidikan Nutrisi Manusia bagi Penuaan Jean Mayer Jabatan Pertanjan Amerika Syarikat (USDA) di Universiti Tufts, Boston, Mass melaporkan penemuan kajiannya dalam Journal Of Nutrition.
Saintis telah menganalisis sampel darah dan air kencing daripada subjek yang mengambil rawatan diet berlainan yang mempunyai kandungan kalori yang sama selama sebulan.
Rawatan berkenaan terdiri daripada dos penuh badam sebanyak 73 gram sehari, separuh dos badam bersama separuh dos mufin dan dos mufin penuh sebagai kawalan.
Subjek berkenaan mengambil diet lain yang rendah lemak bagi menurunkan berat badan dan mengikuti rutin senaman biasa semasa kajian.
Kajian berkenaan bagi membantu penyelidik mengkaji kesan antioksidan apabila memakan badam.
Penyelidik mendapati sukarelawan yang memakan dos penuh badam, kepekatan dua bio penanda tekanan oksidatif - plasma malondialdehyde (MDA) dan urin isoprostanes adalah rendah.
MDA menurun sehingga 19 peratus dalam kumpulan yang mengambil dos penuh badam berbanding pada mula kajian.
Isoprostane menurun sehingga 27 peratus dalam kedua-dua kumpulan badam dibandingkan dengan kumpulan kawalan.
Kajian berkenaan dilihat dapat membantu kesan antioksidan apabila memakan badam dan kajian seterusnya menunjukkan kesan Vitamin E dan terbitan polipenolik seperti flavonoid yang ditemui dalam badam dan pokok kekacang lain.
Kajian berkenaan tidak menunjukkan kandungan minimum diet badam yang membantu memberikan kesan secara biologi.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Kawalan Kolesterol Tinggi
Saya telah mengamalkan pengambilan minyak ikan apabila saya mengetahui ia bermanfaat untuk kesihatan jantung.
Untuk pengetahuan tuan, saya mempunyai masalah kolesterol darah yang tinggi. Adakah memadai sekiranya saya hanya mengamalkan pengambilan minyak ikan untuk merendahkan paras kolesterol saya?
JAWAPAN:
Amalan pengambilan minyak ikan yang kaya dengan omega-3 sememangnya baik untuk kesihatan.
Minyak ikan sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah yang berkaitan dengan keradangan seperti artritis dan mengurangkan risiko trombosis yang menjurus kepada serangan jantung dan strok.
Dengan itu, ia membantu merangsang aliran yang lebih baik, seterusnya membantu mengurangkan tekanan darah.
Sekiranya anda mengalami peningkatan kolesterol, rawatan asas adalah mengawal pengambilan pemakanan berlemak, bergoreng dan berminyak.
Senaman berkala adalah sangat digalakkan, memandangkan ia bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan jantung, tetapi juga kesihatan umum lain.
Selain itu, ubat untuk merawat peningkatan kolesterol, statin, sememangnya perlu agar peningkatannya boleh dikawal, terutamanya jika pengawalan makanan dan senaman tidak memadai.
Bagi yang ingin mencari pendekatan alternatif untuk merendahkan paras kolesterol, mereka mungkin boleh menarik nafas lega apabila kajian menunjukkan pengambilan suplemen juga boleh membantu.
Berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan dalam Mayo Clinic Proceeding pada Julai 2008, sekumpulan penyelidik dari Pennsylvania mengkaji sama ada pendekatan alternatif untuk merawat kolesterol tinggi boleh dijadikan pilihan yang berkesan kepada pesakit yang tidak boleh atau tidak mahu mengambil statin.
Kajian mendapati kumpulan rawatan alternatif mengalami penurunan kolesterol sebanyak 42.4 peratus, manakala penurunan sebanyak 39.6 di kalangan kumpulan statin.
Mereka dari kumpulan terapi alternatif juga mengalami penurunan trigliserida dan berat badan yang lebih baik berbanding kumpulan simvastatin.
Monday, September 15, 2008
Menangani Masalah Peningkatan Kolesterol
Hidangan seperti ini bukanlah sesuatu yang jarang, malah menjadi pilihan bagi kebanyakan daripada kita semasa berbuka.
Ini kerana masakan seperti inilah yang menyelerakan dan mendorong kita makan secara berlebihan semasa berbuka.
Pengambilan makanan sebegini yang tinggi dengan kalori dan lemak tepu dan tidak terkawal akan menyebabkan peningkatan berat badan, kolesterol dan gula dalam darah serta gangguan penghadaman seperti kembung perut dan juga sembelit.
Bagi mengatasi masalah kolesterol tinggi, biasanya kita akan mengambil ubat untuk merendahkan paras kolesterol.
Memang tidak dapat dinafikan statin memberi kesan dengan cepat, namun pengambilannya dalam jangka masa panjang sebaiknya dielakkan demi mengelakkan kesan sampingan.
Pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan untuk menangani masalah peningkatan kolesterol dengan berkesan dan selamat. Antaranya termasuklah perubahan gaya hidup dan cara pemakanan yang lebih sihat.
Guggulipid merupakan antara alternatif yang sesuai memandangkan kajian menunjukkan sifat antioksida dan struktur kimia guggulipid berupaya mengurangkan paras kolesterol.
Bahan aktifnya, guggulsteron merangsang penyingkiran kolesterol dalam hati dan mengurangkan pelekitan darah.
Ekstrak daripada herba Commiphoral mukul (guggul) ini banyak digunakan di Asia sebagai agen untuk merendahkan paras kolesterol.
Guggulsterone merupakan kompaun aktifnya yang didapati bertanggungjawab yang memberi kesan positif terhadap paras kolesterol.
Ia didapati bertindak sebagai antagonis poten kepada sel reseptor hati yang dipanggil Farnesoid X Receptor.
Guggulsterone dapat merendahkan kolesterol dengan meningkatkan penyingkiran kolesterol dan juga mengurangkan pelekitan darah dan dengan itu, merendahkan risiko penyakit jantung koronari.
Guggulsterone juga boleh bertindak sebagai antioksida untuk mengekalkan kolesterol berbahaya daripada pengoksidaan dan dengan itu membantu merendahkan risiko aterosklerosis (pengerasan dinding arteri).
Malah, secara tradisionalnya ia digunakan untuk meningkatkan kadar metabolisme, terutamanya untuk membakar lemak di kalangan mereka yang mempunyai masalah berat badan. Ini kerana guggulsterone membantu merangsang kelenjar tiroid.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
Saturday, July 26, 2008
Kawal Peningkatan Kolesterol Dengan Herba
Saya mempunyai badan yang berisi. Dua minggu yang lalu saya membuat pemeriksaan kolesterol dan mendapati terdapatnya peningkatan kolesterol dalam darah.
Mengikut doktor, ia masih boleh dikawal dengan perubahan diet dan membuat senaman. Ahli farmasi turut mencadangkan saya menambahkan suplemen herba agar pengawalan lebih baik sebelum ia dikategorikan berkolesterol tinggi memandangkan saya mempunyai sejarah keluarga dengan kolesterol tinggi dan berisiko tinggi menghidap masalah serupa.
JAWAPAN:
Pokok guggulu (Commiphora mukul) iaitu tumbuhan asal dari India, menghasilkan guggul yang juga dikenali sebagai guggulu atau guggulipid.
Guggul telah digunakan dalam perubatan Ayurveda selama beribu-ribu tahun untuk merawat artritis dan obesiti, selain mengawal peningkatan kolesterol.
Kesan penurunan kolesterol dipercayai disebabkan oleh keupayaannya menghalang sintesis (penghasilan) kolesterol dalam hati dan juga meningkatkan pemecahan serta penyingkiran kolesterol.
Penggunaan dalam jangka panjang membantu merendahkan kolesterol secara keseluruhan, kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol berketumpatan tinggi (HDL).
Guggulipid juga mempunyai bahan mencairkan darah yang bermanfaat untuk merendahkan tekanan darah.
Suplemen guggulipid yang mengandungi 2.5 peratus guggulsterone (bahan aktif) adalah bermanfaat dan selamat digunakan.
Diet Dan Gaya Hidup
Antara tip untuk mengekalkan paras kolesterol yang sihat:
1. Buangkan semua lemak dan kulit daripada daging, ayam dan itik sebelum makan. Tukar cara masakan dari menggoreng kepada membakar atau memanggang.
2. Elakkan kuah dan sos yang berlemak. Gantikan krim dengan yogurt sebagai sos dan hiasan. Pilihlah buah-buahan segar sebagai pencuci mulut dan bukannya kek atau biskut.
3. Guna minyak sayuran seperti kanola, kesumbar dan zaitun dalam kuantiti yang kecil untuk menggoreng. Kurangkan penggunaan marjerin kerana ia mengandungi minyak separa ter-hidrogen (asid lemak trans).
4. Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi minyak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak khinzir, mentega, telur kuning dan lemak susu.
5. Udang dan kerang-kerangan boleh diambil sekali-sekala kerana kandungan kolesterolnya lebih rendah daripada yang disangkakan dan ia mengandungi lemak tepu yang rendah.
6. Tambahkan serat ke dalam diet anda terutamanya serat oat. Pilih bijirin penuh apabila membeli roti atau bijirin.
7. Hadkan pengambilan organ dalaman haiwan seperti hati, ginjal, otak dan limpa yang tinggi dengan kolesterol.
8. Senaman adalah senjata penting untuk menentang kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Kajian menunjukkan senaman yang kerap (kira-kira 30 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu) dapat meningkatkan paras HDL serta menyingkirkan kolesterol LDL berlebihan daripada darah. Anda boleh melakukan senaman aerobik, berenang, angkat berat, berjalan kaki dan menari.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
Tuesday, June 10, 2008
Milk Thistle Dan Dandelion Untuk Masalah Kolesterol
Saya kini berusia 40 tahun dan mempunyai masalah berat badan berlebihan dan kolesterol tinggi. Doktor menasihati saya agar mengurangkan berat badan dan mengubah diet dan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, seperti lebih aktif secara fizikal kerana saya juga berisiko untuk mengalami masalah kesihatan lain. Apakah yang boleh dicadangkan untuk diambil untuk membantu masalah saya ini?
JAWAPAN:
Untuk mengurangkan berat badan, salah satu aspek penting adalah dengan meningkatkan aktiviti fizikal iaitu senaman. Jadikan senaman sebagai rutin harian atau setidak- tidaknya tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 45 minit setiap sesi.
Sebenarnya senaman bukan sahaja akan membakar 100 lebih kalori untuk setiap batu kita berjalan, tetapi juga meningkatkan kadar metabolik dan dengan itu tubuh akan membakar kalori dengan lebih cepat.
Kajian juga menunjukkan ia masih mampu membantu membakar lemak dengan kadar yang lebih cepat selepas beberapa jam bersenam.
Senaman aerobik pula bermanfaat dalam meningkatkan kadar pernafasan dan membuka saluran darah, manakala gabungan dengan amalan diet yang sihat tentunya memberi kesan yang lebih baik dalam mengimbangkan kolesterol HDL (kolesterol bermanfaat) dan LDL (kolesterol berbahaya).
Pengumpulan toksin dalam badan juga memberi sumbangan kepada kesukaran menurunkan berat badan. Ini diburukkan dengan masalah pembuangan air besar yang tidak lancar.
Dalam masalah ini, kesihatan hati juga memainkan peranan besar. Kemerosotan fungsi hati akan menjejaskan keupayaan hati menyingkirkan toksin dan juga mengganggu metabolisme kolesterol.
Secara tradisional, Milk Thistle digunakan untuk membantu merangsang kesihatan hati. Manakala herba Dandelion membantu penghadaman dengan merangsang penghasilan hempedu oleh hati.
Kombinasi Milk thistle dan Dandelion bermanfaat untuk merangsang detoksifikasi, iaitu penyingkiran toksin daripada badan dan juga merangsang sistem penghadaman yang lebih baik. Melalui detoksifikasi ini ia memberi manfaat kepada masalah kelesuan, sembelit dan juga kesihatan kulit.
Pengambilan suplemen lain seperti lesitin yang kaya dengan fosfatidil kolina juga memberi manfaat. Ini kerana lesitin juga berkeupayaan untuk meningkatkan kelarutan kolesterol dan pemecahan lemak yang terkumpul dalam saluran darah.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my