Saya telah mengamalkan pengambilan minyak ikan apabila saya mengetahui ia bermanfaat untuk kesihatan jantung.
Untuk pengetahuan tuan, saya mempunyai masalah kolesterol darah yang tinggi. Adakah memadai sekiranya saya hanya mengamalkan pengambilan minyak ikan untuk merendahkan paras kolesterol saya?
JAWAPAN:
Amalan pengambilan minyak ikan yang kaya dengan omega-3 sememangnya baik untuk kesihatan.
Minyak ikan sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah yang berkaitan dengan keradangan seperti artritis dan mengurangkan risiko trombosis yang menjurus kepada serangan jantung dan strok.
Dengan itu, ia membantu merangsang aliran yang lebih baik, seterusnya membantu mengurangkan tekanan darah.
Sekiranya anda mengalami peningkatan kolesterol, rawatan asas adalah mengawal pengambilan pemakanan berlemak, bergoreng dan berminyak.
Senaman berkala adalah sangat digalakkan, memandangkan ia bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan jantung, tetapi juga kesihatan umum lain.
Selain itu, ubat untuk merawat peningkatan kolesterol, statin, sememangnya perlu agar peningkatannya boleh dikawal, terutamanya jika pengawalan makanan dan senaman tidak memadai.
Bagi yang ingin mencari pendekatan alternatif untuk merendahkan paras kolesterol, mereka mungkin boleh menarik nafas lega apabila kajian menunjukkan pengambilan suplemen juga boleh membantu.
Berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan dalam Mayo Clinic Proceeding pada Julai 2008, sekumpulan penyelidik dari Pennsylvania mengkaji sama ada pendekatan alternatif untuk merawat kolesterol tinggi boleh dijadikan pilihan yang berkesan kepada pesakit yang tidak boleh atau tidak mahu mengambil statin.
Kajian mendapati kumpulan rawatan alternatif mengalami penurunan kolesterol sebanyak 42.4 peratus, manakala penurunan sebanyak 39.6 di kalangan kumpulan statin.
Mereka dari kumpulan terapi alternatif juga mengalami penurunan trigliserida dan berat badan yang lebih baik berbanding kumpulan simvastatin.
No comments:
Post a Comment