Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, February 28, 2009

Telan 78 Biji Ubat Untuk Hidup

Nuralyaa memakan ubat sambil diperhatikan ibunya Rokiah Bakar di Padang Tembak Pengkalan Chepa, Kelantan.
Nuralyaa Liyana Ibrahim sudah mencecah usia 19 tahun, namun gadis itu yang dunianya berlegar di rumah masih berfikiran seperti kanak-kanak.

Anak ketiga daripada lima beradik itu sesekali bertanyakan ibunya, Rokiah Bakar, 54, kenapa dia tidak seperti adik beradik yang lain dengan sering sakit dan perlu menelan begitu banyak pil.

Makanan dan minuman yang dijamah juga tidak seperti orang lain dan Rokiah, ibu tunggal itu hanya menyatakan betapa Nuralyaa adalah anak istimewa di hatinya.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Kemumin, Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kelantan, Rokiah menceritakan dia reda menerima keadaan anak itu dan sebagai ibu, tentunya dia sedia berkorban apa sahaja.

Nuralyaa, disahkan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengidap penyakit saraf epilepsi dan pada masa yang sama, mengidap penyakit 'pseudohypoparathyroidism' yang mengakibatkan kandungan kalsium dalam tubuh amat rendah.

Akibat kekurangan bahan kalsium itu menjadikan epilepsinya semakin serius dan serangan kekejangan berterusan.

Bagi mengatasi masalah penyakit itu, dia perlu memakan ubat kalsium berjumlah 78 biji setiap hari.

Bagi mendapatkan ubat terlibat yang dianggarkan hampir RM2,000 setiap bulan tidak menjadi masalah kerana ditanggung sepenuhnya oleh HUSM.

"Sekurang-kurang penyakit yang dihidapi oleh Nuralyaa adalah di bawah pemerhatian HUSM. saya amat berterima kasih dan bersyukur," katanya.

Rokiah memberitahu, dia dimaklumkan oleh pakar perubatan bahawa tidak ramai yang dikesan mengidap penyakit itu di negara ini setakat ini dan bagi kes Nuralyaa, masa yang lama terpaksa diambil untuk pengesahan dan jenis perubatan yang diperlukan.

Tetapi akibat memakan ubat itu, dia mengalami kesan sampingan antara loya, mual yang teruk serta tekanan psikologi yang tidak baik.

Selain itu, Nuralyaa juga memerlukan bahan pemakanan yang mempunyai kalsium tinggi setiap hari, antaranya susu, buah plum, manakala dua buku roti pula adalah sumbangan Gardenia bermula tahun 2001.

Kata Rokiah, keperluan makanan itu sama penting dengan ubat yang diperlukan dalam menstabilkan keadaan penyakitnya itu.

"Saya bimbang jika dia tidak cukup makanan tersebut kerana kesannya cepat dialami iaitu letih, tidak bermaya serta diserang sawan, pada ketikanya turut tidak boleh tidur," katanya.

Sedangkan katanya, bagi melengkapkan makanan itu, ia memerlukan perbelanjaan kira-kira RM800 setiap bulan ,melebihi wang persaraan suaminya, Ibrahim Ya, anggota polis berpangkat Lans Koperal yang meninggal dunia pada tahun 2006.

Bagi menampung keperluan keluarga, katanya, dia juga terpaksa membuat kerja lain kerana masih terdapat tiga orang anak yang masih bersekolah dengan mengambil upah memasak untuk untuk jamuan.

"Saya tidak boleh berkerja jauh dari rumah kerana Nuralyaa memerlukan perhatian pada sepanjang masa," ujarnya.

Menurutnya, jadual pemakanan ubat dan makanan perlu dipantau bagi mengelakkan mengalami kesan negatif.

Pernah satu masa katanya, dia mencuba makan nasi tetapi selepas itu mengalami muntah yang teruk.

Kata Rokiah, keadaan kekurangan kalsium itu menyebabkan pertumbuhan fizikal Nuralyaa terbantut dan dia dikategorikan sebagai golongan orang kurang upaya (OKU).


Ditulis oleh:
Hapizah Aziz

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment