Makanan, air, elektrik, ubat, pengangkutan dan pakaian merupakan antara keperluan asas zaman moden yang digunakan sepanjang masa. Oleh itu, semua keperluan asas berkenaan perlu dijamin cukup untuk kegunaan dan juga selamat untuk digunakan.
Ironinya, Malaysia sebagai satu 'syurga makanan' banyak bergantung kepada sumber bekalan makanan dari luar yang melibatkan susu, daging, sayur, ikan, makanan diproses (seperti biskut), beras dan bermacam lagi. Malang juga, pergantungan kepada sumber luar telah menyaksikan bekalan makanan negara terjejas akibat krisis makanan global.
Ditambah pula dengan peningkatan harga barang akibat kenaikan harga minyak sebelum ini, semakin banyak barang keperluan melangkaui kemampuan pembeli. Mungkin harga hanya akan jatuh selepas berlakunya bencana atau skandal yang menyebabkan pembeli menjauhi produk terbabit seperti selesema burung (ayam dan unggas lain), lembu gila (daging), pencemaran melamin (susu dan produk tenusu lain) dan pencemaran bakteria (produk makanan siap proses).
Pergantungan
Skandal pencemaran susu dengan melamin telah meninggalkan kesan mendalam penguna di seluruh dunia. Selain itu, persepsi terhadap produk keluaran China juga terjejas teruk. Ini jelas apabila seorang doktor pakar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur baru-baru ini menasihatkan penulis supaya mengelakkan sebarang produk dari negara tersebut.
Perkara yang berbangkit merupakan rasa was-was doktor berkenaan terhadap produk makanan, terutamanya untuk bayi dan kanak-kanak kerana dikhuatiri mengancam dan menjejas kesihatan. Bagaimanapun, saranan doktor itu sukar diikuti memandangkan banyak produk makanan, terutamanya makanan siap proses dan makanan bayi dibawa masuk dari luar atau mengandungi bahan keluaran negara terbabit, atas dasar kos pengeluaran lebih murah.
Berdepan dengan kekurangan pilihan tempatan, saranan itu hanya dapat dicapai jika negara mampu berdikari dan menghasilkan bekalan makanan secukupnya untuk memenuhi permintaan domestik. Ini secara tidak langsung akan memudahkan pemantauan dan menjamin kualiti dan keselamatan makanan yang dikeluarkan.
Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Aminah Abdullah memberi contoh negara kita hanya menghasilkan empat peratus keperluan susu tempatan.
"Sebanyak 96 peratus bekalan susu kita dibeli dari negara seperti Australia, New Zealand dan Belanda.
"Ini menunjukkan pergantungan besar terhadap sumber luar sedangkan susu merupakan sumber nutrien penting bagi semua peringkat usia, dari bayi hinggalah warga emas," tegasnya.
Tambahan pula katanya, susu penting untuk ibu dan perkembangan fetus serta bagi mengelakkan masalah osteoporosis, terutamanya di kalangan wanita selepas menopaus. Skandal susu di China jelas telah memberi kesan kepada pengambilan susu segar dan produk tenusu lain yang penting untuk mengumpul kalsium bagi mengelak kerapuhan tulang di usia emas.
Berdikari
Dr. Aminah menegaskan jika subsidi pertanian dapat ditingkatkan lagi, mungkin pertanian negara mampu menampung keperluan domestik.
"Macam mana pun, pertanian adalah punca yang memberi makanan kepada penduduk dunia. Dengan menyediakan bekalan dan stok simpanan, kerajaan dapat menjamin bekalan yang cukup dan selamat.
"Kerajaan telah mewujudkan 'meat valley' (lembah daging), jadi kenapa tidak dijadikan dua dalam satu dengan turut menjadikannya 'milk valley' (lembah susu)," katanya.
Namun, berdikari bukan hanya bermakna terhadap satu produk tetapi sebanyak mungkin produk lain memandangkan Malaysia mempunyai kemampuan menghasilkan kebanyakan sumber makanannya sendiri.
Dr. Aminah menyatakan apa yang perlu ditekankan kini adalah keperluan untuk menanam sebanyak mungkin untuk menampung keperluan negara terlebih dahulu.
"Dulu, orang kata lebih murah beli dari luar. Sekarang kita kena galakkan supaya ditanam sebanyak mungkin.
"Galakkan kembali penanaman kecil-kecilan. Tanah terbiar juga boleh diusahakan mengikut kesesuaian. Jika tidak sesuai untuk makanan manusia, tanam untuk makanan haiwan ternakan," ujarnya.
Dengan penanaman kecil-kecilan jelasnya, orang ramai juga dapat mengelakkan keperluan penggunaan racun serangga yang sering digunakan dalam penanaman besar-besaran. Penggunaan racun mudah dikesan bila melihatkan sayur bersih dan tiada lubang sedangkan sayur tanpa racun akan ada sedikit lubang memandangkan Malaysia kaya dengan hidupan serangga yang memakan dedaun.
Bagi negara Asia seperti Malaysia, nasi dan susu boleh dikatakan antara makanan ruji sehinggakan ada rakyat negara ini yang perlu makan nasi setiap hari.
"Bayangkan golongan yang mesti makan nasi ini, pasti menghadapi masalah jika tidak cukup bekalan atau harga beras meningkat.
"Dari segi ini, kerajaan sudah cuba sebaik mungkin untuk menambah keluaran padi dengan Sabah, Sarawak dan Kedah sebagai pengeluar utama," jelasnya.
Bagaimanapun katanya, penanaman padi terikat kepada faktor sumber air, kesesuaian tanah dan jenis baja untuk padi.
Beliau menegaskan kajian-kajian bagi meningkatkan pengeluaran padi dan tanaman lain dapat membantu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampu berdikari. Negara yang dapat menampung keperluan makanan rakyat tidak perlu risau akan pengaruh luar lagi.
Selain itu, kajian menyeluruh di semua peringkat bermula dari pengeluaran sehingga ke pemprosesan juga penting bagi menjamin kualiti dan keselamatan makanan yang sampai kepada orang ramai.
Pemantauan
Makanan diproses membawa risiko paling tinggi terutamanya jika ianya diimport dan hanya diubah label pembungkusan sedangkan produk tidak diuji rapi untuk bahan kimia yang toksik atau dicemari kuman. Malangnya, Malaysia banyak bergantung kepada pemeriksaan luar kerana tidak dapat dinafikan masih banyak kemudahan perlu ditingkatkan bagi membolehkan negara menjalankan pemeriksaan rapi sendiri.
Pemantauan lebih mudah jika dibuat di pusat pemprosesan (kilang), terutamanya jika pusat berkenaan berada dalam negara. Kebiasaannya, makanan siap proses telah melalui beberapa peringkat pemprosesan dan pembungkusan sehinggakan sukar ditentukan apa yang telah ditambah.
Dari segi penguatkuasaan pula, pemantauan menjadi lebih sukar jika sumber makanan datang dari luar kerana perlu menguji setiap produk yang dibawa masuk. Penguatkuasa juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap produk yang dibawa masuk supaya produk tercemar atau berbahaya tidak menjadi santapan pengguna.
Timbalan Dekan (Pembangunan dan Infrastruktur) dan Ketua Pusat untuk Penyelidikan Xenobiotik Shiamadzu-UMMC, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), Profesor Dr. Mustafa Ali Mohd. menyokong saranan peningkatan pemantauan terhadap penyebaran meluas bahan cemar dalam makanan, terutamanya selepas skandal melamin tahun lalu.
"Tidak dinafikan negara mengalami kekurangan pakar dan kelengkapan dalam memantau kualiti dan keselamatan makanan.
"Oleh itu, kita perlu menambah kelengkapan teknologi dan kepakaran tempatan bagi membolehkan pemantauan lebih berkesan dijalankan," katanya.
Beliau memaklumkan tempat terbaik untuk menjalankan pemantauan dan pengumpulan sampel ujian adalah di kilang yang mengeluarkan produk terbabit.
Jelasnya, kilang yang menjadi tempat bermulanya pencemaran dalam produk terbabit kadang kala tidak menyedari berlaku pencemaran dalam produk keluaran mereka. Bagaimanapun, jika kilang berada di luar negara akan menyukarkan tugas pemantauan pihak berwajib di Malaysia menjamin produk yang dibawa masuk bebas bahan cemar.
Teknologi
Dalam memastikan sesuatu produk bersih dan selamat, ataupun tercemar dengan bahan tertentu, amat penting ujian dijalankan oleh pakar dan menggunakan peralatan bersesuaian. Ini tegas Dr. Mustafa, bagi memastikan keputusan ujian adalah tepat kerana bukan sahaja melibatkan kemungkinan memusnahkan produk bernilai jutaan ringgit, malahan bagi mengelakkan produk tercemar sampai kepada pengguna.
Dalam meningkatkan kelengkapan teknologi negara, Dr. Mustafa memaklumkan Universiti Malaya kini memiliki mesin Liquid chromatography Tandem Massspectrometry (LC/MS/MS), sebuah mesin khusus yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA).
Tambahnya, melalui kaedah yang lebih mudah dan ringkas, mesin ini dapat menguji banyak sampel serentak dan telah diterima pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Kelengkapan serta kepakaran dalam dan luar negara juga kini membolehkan UMMC meluaskan kajian bagi mengesan lebih banyak bahan cemar yang mungkin hadir dalam produk-produk di pasaran.
Dr. Mustafa menyatakan pihak UMMC sedang cuba menghasilkan kaedah yang lebih baik dan berkesan dengan peralatan sedia ada supaya ujian dapat dijalankan dengan lebih pantas, lebih murah dan juga lebih tepat.
"Ujian juga sedang dijalankan terhadap dakwaan penggunaan plastik di dalam makanan goreng untuk menjadikannya lebih rangup, tetapi ini masih belum terbukti.
"Selain itu, kami juga sedang menguji pewarna dan pengawet makanan dalam usaha meluaskan pemantauan terhadap produk makanan di pasaran," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan kajian sedang dijalankan terhadap produk melamin seperti pinggan, cawan dan bahan kalis api.
Tambahnya, sebelum ini penyelidikan lebih bertumpu kepada bahan toksik atau logam berat di dalam cat yang digunakan pada produk terbabit.
"Kami dapati melamin boleh bocor dari produk tersebut pada suhu yang tinggi, dan meresap ke dalam makanan.
"Penyerapan juga berlaku lebih pantas dengan kehadiran minyak atau bahan berasid," dakwanya.
Isu melibatkan makanan pasti tidak akan lapuk ditelan zaman memandangkan ianya keperluan wajib harian dalam hidup manusia. Oleh itu, ambillah iktibar pelbagai kejadian yang telah berlaku sebelum ini dan berusahalah menjamin kualiti serta keselamatan sumber makanan anda.
Elakkan produk luar selagi boleh, utamakan sumber makanan yang segar serta kembalikan aktiviti penanaman kecil-kecilan di mana boleh. Pihak berwajib pula cubalah tingkatkan pemantauan dan kebarangkalian berdikari dalam pengeluaran produk makanan untuk kegunaan dalam negara. Bersama kita menjamin bekalan makanan yang berkualiti dan selamat untuk semua.
Ditulis oleh:
Nurul Anuar Kari
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment