Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, February 24, 2009

Kesihatan Mulut Menyeluruh

Selama ini ramai yang beranggapan bahawa keperluan menggosok gigi perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga kali sehari dalam memastikan keadaan gigi terjaga selain mengekalkan kesihatan oral.

Fakta itu sememangnya tepat tetapi sebenarnya kesihatan mulut perlu dilengkapkan dengan berkumur dengan bahan cecair yang dibenarkan.

Sejak kecil lagi, kita diajar tentang teknik menggosok gigi tetapi tidak pula mengetahui tentang kebaikan menggunakan bahan berkenaan.

Perkara itu turut ditekankan oleh Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr. S. Sivanesan yang mahu persepsi menggosok gigi sahaja tidak memadai dan perlu diperbetulkan di kalangan masyarakat.

"Kesedaran perlu ditekankan termasuk kaedah yang terbaik terhadap penjagaan oral dengan menggunakan mana-mana bahan cecair kumur mulut di pasaran.

"Ia juga bagi mengurangkan karies gigi dan penyakit periodontik atau dikenali sebagai gusi bengkak yang boleh menyebabkan kehilangan gigi,'' katanya.

Dr. Sivanesan turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengatakan penggunaan pencuci mulut antiseptik merupakan penyebab kanser mulut.

Katanya, dalam 30 kajian yang dilakukan berhubung penggunaan bahan itu menunjukkan ia masih selamat digunakan.

"Semua kajian menggunakan cecair kumur selepas menggosok gigi dapat membunuh 99 peratus kuman yang tidak boleh dicapai dengan berus gigi.

"Ia juga dapat mengelakkan nafas berbau dan kawalan plak yang terbaik sehingga 12 jam," katanya.

Menggosok gigi bermakna hanya satu perempat bahagian mulut sahaja yang dibersihkan tetapi penggunaan bahan itu pula bersifat menyeluruh. penjelasan mengenai kebaikan cecair kumur ini tidak perlu diragukan dalam kehidupan seharian melainkan berkumur dengan bahan itu sebanyak 100 kali sehari.

Menurut Dr. Sivanesan lagi, penjagaan gigi di negara ini juga berubah daripada merawat kesihatan kepada pencegahan.

"Dua punca kehilangan gigi iaitu disebabkan oleh kerosakan dan penyakit gusi yang selalunya bermula dengan pembentukan plak bakteria pada gigi.

"Walau bagaimanapun, kedua-dua masalah ini dapat dikurangkan melalui amalan kesihatan oral yang betul secara kerap," jelasnya.

Menyedari keperluan kesihatan oral di negara ini kempen 'Lengkapkan Penjagaan Oral Harian Anda dengan cecair kumur' dilancarkan oleh cecair kumur jenama Listerine baru-baru ini.

Kempen pendidikan secara proaktif menggunakan pendekatan kenderaan bergerak berbentuk mulut manusia ini akan menjelajah ke seluruh negara sepanjang bulan ini.

Kenderaan Listerine Mobile Mouth ini akan menjelajah ke pasar raya besar dan pasar raya dan kompleks membeli belah di Semenanjung Malaysia.


Ditulis oleh:
Amirah Amaly Syafaat

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment