SOALAN:
Doktor, saya ada membaca berkenaan topik ACL dalam sisipan Kesihatan Mingguan Malaysia pada 18 Januari 2009. Sebelum ini juga saya pernah terbaca berkenaan topik ini dan tanda-tandanya.
Saya mengesyaki saya juga mungkin mempunyai penyakit ini berdasarkan tanda-tanda yang diterangkan. Sepupu saya mencadangkan agar pembedahan dibuat, tetapi saya tidak berapa yakin kerana terlalu banyak persoalan yang timbul. Walaubagaimanapun, sebahagian besar telah terjawab dalam keluaran sisipan Kesihatan Mingguan Malaysia tersebut. Namun, sebelum saya dapat memutuskan untuk membuat pembedahan, terdapat beberapa persoalan yang masih belum terjawab:
1. Berapa lama implan yang digunakan boleh bertahan?
2. Berapa kuat implan yang digunakan untuk menahan daripada tekanan jika bermain bola sepak semula?
3. Perlukah rawatan susulan dibuat selepas lima tahun atau 10 tahun dan apakah rawatan susulan tersebut (jika ada)? Dan apakah kosnya?
4. Adakah kesan jangka panjang terutama sekali pada hari tua?
Semoga jawapan yang doktor berikan dapat dijadikan panduan untuk saya.
Sekian, terima kasih.
Fendy,
Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Fendy, persoalan penggunaan implan jarang menjadi isu pada kebanyakan pesakit kerana harus diingat bahawa segala perubatan dan peralatan perubatan termasuk implan haruslah mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan yang memantau dengan amat rapi penggunaan ubatan atau implan kepada pesakit di negara ini.
Proses mendapatkan kelulusan haruslah dibuktikan dengan kajian-kajian antarabangsa yang selalunya memakan masa bertahun-tahun lamanya sebelum sampai ke tahap penggunaan tempatan.
Jawapan persoalan yang dinyatakan akan dijawab mengikut pecahan berikut:
1) Implan yang digunakan merupakan bahan yang sememangnya tahan lama dan telah menjalani proses ujian yang ketat dan rapi bagi menjamin ia selamat untuk kegunaan manusia.
Selain itu, ujian bio-mekanikal juga dijalankan untuk memastikan ketahanannya. Bergantung kepada jenis graf yang akan digunakan, pakar bedah ortopedik anda akan mengetahui jenis implan yang manakah yang sesuai bagi anda.
2) Seperti apa yang telah saya nyatakan di atas, ujian ketahanan dan bio-mekanikal telah dijalankan ke atas semua implan-implan supaya dapat menahan tekanan bermain bolasepak atau apa jua permainan lasak.
Sekali lagi diingatkan bahawa pembedahan ACL tidak menjadikan lutut anda lebih kuat daripada normal atau menjadi seperti ‘lutut bionik’, bahkan iamasih terdedah kepada kecederaan semula seperti kecederaan sama yang mengoyakkan ACL anda sebelum ini.
3) Rawatan susulan selepas pembedahan seperti yang saya cadangkan adalah sekali seminggu, untuk dua minggu pertama, kemudian sebulan sekali untuk dua bulan berikutnya. Seterusnya, dua bulan sekali hingga mencapai tahap ketahanan normal untuk bermain semula pada bulan keenam atau ketujuh selepas pembedahan. Rawatan jangka masa panjang dicadangkan setahun sekali, akan tetapi selalunya pesakit tidak datang semula untuk rawatan susulan setelah mereka kembali aktif bersukan.
4) Soalan keempat ini adakah berkenaan kesan jangka panjang sekiranya pembedahan dilakukan atau tidak dilakukan?
Saya merasakan soalan anda mengenai kesan jangka panjang tanpa pembedahan, di mana risiko terdekat adalah kecederaan sekunder pada lutut anda boleh berlaku pada bila-bila masa dan sekiranya tiada kecederaan yang akut pada lutut, kerosakan rawan akan dipercepatkan pada lutut yang tiada ACL berbanding dengan lutut yang masih mempunyai ACL yang normal. Dalam erti kata lain lutut yang tiada ACL akan menjadi ‘tua’ dengan lebih cepat dari usia anda berbanding dengan lutut yang normal.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment