Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label badan langsing. Show all posts
Showing posts with label badan langsing. Show all posts

Friday, March 16, 2012

Kristal Bantu Pecah Lemak

Sejak beribu tahun dulu bentuk badan ideal digambarkan sebagai memiliki potongan yang sempurna dan tidak gemuk.

Namun dengan gaya hidup dan pemakanan yang sukar dikawal ramai wanita kini berhadapan dengan kegemukan.

Paling menyedihkan walau pelbagai usaha telah dilakukan seperti bersenam dan mengawal makan, berat badan masih tidak berubah.

Ini kerana ada lelemak degil yang bukan senang untuk dihapuskan hanya dengan melakukan senaman. Pembedahan plastik atau sedut lemak memang menawarkan keputusan serta-merta, namun ia berisiko tinggi.

Dengan kecanggihan teknologi dan kajian yang terbukti berkesan, MCU Beautitudes memperkenalkan Coolsclupting by Zeltiq sebagai satu penyelesaian yang berkesan untuk masalah kegemukan.

Bagi memperkenalkan teknik terbaru yang selamat dan berkesan ini, Mary Chia, pakar kecantikan yang juga pengasas Mary Chia Holdings Limited mempertaruhkan pengalamannya serta ilmu terkini dalam bidang pengurusan berat badan.

Mary Chia memahami apa yang menjadi keutamaan wanita hari ini dan kemahuan mereka terhadap prosedur tidak invasif.

"Sepanjang saya terlibat dalam bidang kecantikan ini saya sudah melihat pelbagai tanggapan tentang bagaimana bentuk badan ideal dan pilihan bagi tiap wanita. Pada tahun 70-an hingga 80-an wanita mahukan bentuk badan seperti atlet dan menjelang 90-an pula mereka mahu lebih langsing seperti peragawati, tapi kini wanita mahukan bentuk tubuh yang 'berbentuk'," kongsi Mary Chia.

Tambah Chia lagi, wanita kini lebih realistik dan pendapat mereka tentang cantik mempunyai keseimbangan.

"Wanita hari ini meletakkan kesihatan dan bentuk tubuh sebagai keutamaan. Mereka bukan saja mahukan kulit yang licin sempurna dan kelihatan muda, malah mereka mahukan tubuh badan yang sihat, bentuk tubuh seperti jam pasir namun yang menjadi masalah ialah lemak degil yang ada pada bahagian tertentu yang sukar dihapuskan," katanya merujuk kepada lemak yang terdapat di bahagian perut, menggeleber dan penuh selulit.

Memang ramai yang mahu mengubah cara hidup mereka ke arah yang lebih baik dengan bersenam dan jaga pemakanan namun usaha tersebut dilihat sebagai satu usaha jangka panjang dan memerlukan komitmen yang tinggi.

"Sebab itu ramai yang memilih untuk menjalani prosedur sedut lemak dan ada juga yang sanggup membeli ubatan herba serta ubatan yang didakwa boleh mengurangkan berat badan.

"Inovasi yang dibawakan oleh MCU Beautitudes ini adalah satu prosedur tanpa invasif yang memberikan kesan pengurangan lemak secara kekal. I

"novasi ini dihasilkan di Amerika Syarikat (AS) dan juga mendapat kelulusan dari FDA, teknologi ini telah dibangunkan oleh Dr. Dieter Manstein dan Dr. R. Rox Anderson yang keduanya merupakan saintis di University Harvard," katanya.

Untuk menambahkan lagi keyakinan pelanggan, Mary Chia mendapatkan perkhidmatan pakar estetik, Dr. Nicholas Lim yang akan memberikan nasihat dan perkhidmatan kepada pelanggan MCU Beautitudes.

"Saya tahu bahawa bentuk badan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan setiap wanita, Coolsculpting by Zeltiq adalah pilihan terbaik yang kami tawarkan", kata Dr. Nicholas.

Kaedah tersebut menggunakan Cryolipolysis satu prosedur perubatan yang mematikan sel kegemukan secara kekal.

Ia memang ringkas, dan prosedur ini hanya membabitkan bahagian yang bermasalah sahaja.

Dr. Nicholas berkata, sel kristal yang digunakan dalam teknik ini akan secara perlahan-lahan memecahkan sel lemak tersebut dan mengeluarkannya dari tubuh.

Dalam masa yang singkat, sel lemak itu akan dipindahkan dan pelanggan pasti akan menyedari keadaan tersebut.

Dengan menggunakan teknik kawalan dan sasaran bentuk tubuh anda akan menjadi seperti diidamkan.

"Pelanggan tidak perlu takut akan pisau pembedahan, menerusi prosedur ini tiada ada istilah seperti masa pemulihan malah pelanggan boleh terus memulakan aktiviti harian mereka sebaik sahaja selesai rawatan," ujar Dr. Nicholas.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Monday, December 12, 2011

Pil Kurus Bukan Penyelesaian

SOALAN:
Saya mempunyai masalah berat badan. Seorang rakan menyarankan saya mengambil pil kurus. Apakah kesannya kepada kesihatan saya? Bagaimana saya mahu menguruskan badan tanpa kesan sampingan?

Suzi, 
Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Masalah berat badan merupakan isu utama di kalangan wanita tak kira peringkat usia, bangsa dan adat budaya. Ia sentiasa menghantui pemikiran. Kadang-kadang wanita kita yang mempunyai masalah ini digelar '3G' - gebu, gempal dan gemuk. Ada yang bimbang suami memandang wanita lain yang lebih cantik jelita. Para isteri sanggup berbuat apa saja untuk menarik perhatian suami kepada diri mereka. Ada yang menghabiskan beribu ringgit untuk rawatan kecantikan dan juga pelangsing badan. Kegemukan atau obesiti juga boleh mengakibatkan masalah kesihatan lain seperti meningkatnya risiko kanser payu dara, kanser usus (kolorektal), kanser rahim (uterus/ peranakan), penyakit buah pinggang, ketidakseimbangan hormon dalam badan, penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan juga strok (angin ahmar).

Mesti ramai di antara anda yang berazam nak kuruskan badan. Tapi untuk menguruskan badan anda ke tahap ideal ia bukanlah semudah yang disangka. Anda perlukan komitmen yang amat tinggi untuk merealisasikannya. Berikan diri anda ruang, masa dan usah cepat berputus asa. Anda pasti boleh.

Bersungguh-sungguh

Kalau anda bersungguh-sungguh mahu kuruskan badan, sebaik-baiknya usahakannya secara semulajadi dengan menggabungkan dua aspek iaitu pemakanan seimbang dan senaman yang konsisten. Biarpun hasilnya lambat sedikit, ia pasti berbaloi. Terdapat beberapa panduan ringkas yang boleh anda amalkan demi mencapai impian tersebut iaitu dengan menetapkan matlamat anda untuk mengurangkan berat badan secara perlahan-lahan. Iaitu penurunan dalam lingkungan 0.5 kilogram hingga satu kilogram dalam seminggu.
Biasanya 0.5 kilogram adalah angka yang biasa yang mampu dicapai oleh kebanyakan anda. Jangan terlalu memaksa jika anda tak mencapai sasaran awal. Jika anda dapat kurangkan 0.1 kilogram pun dah bagus untuk peringkat permulaan.

Sebaiknya, lupakan niat anda untuk mengambil sebarang ubat-ubatan dengan tujuan menurunkan berat badan. Lebih-lebih lagi tanpa mendapat nasihat atau kebenaran doktor.

Rendah kalori

Anda juga disaran mengambil makanan dan minuman yang rendah kalori dan mempunyai kandungan nutrien yang tinggi. Kurangkanlah sebanyak 500 kalori sehari untuk mengurangkan berat badan. Kurangkan juga pengambilan makanan ataupun minuman yang manis (kandungan gula yang tinggi). Lebihkanlah memakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Anda juga hendaklah mengelak dari memakan makanan ringan di antara waktu makan dan memperbanyakkan meminum air mineral atau air kosong sahaja.

Anda juga hendaklah menetapkan waktu makan anda setiap hari. Sebagai contoh mengambil sarapan di antara jam 7.00 ke 7.30 pagi, makan di antara waktu pagi dan tengahari (10.00 - 11.00 pagi), makan tengahari (12.30 tengahari - 1.30 petang), minum petang (3.30 - 4.00 petang) dan makan malam (6.30 petang - 7.30 malam). Kemudian, disiplinkan diri anda agar makan pada waktu yang ditetapkan. Jika dicepatkan atau dilambatkan sedikit pun tak mengapa. Ikut keadaan dan kesesuaian anda. Cuba amalkan untuk menjamah makanan di ruang makan dan bukanlah di depan televisyen. Biasakan diri untuk menggunakan pinggan yang lebih kecil semasa makan. Tujuannya supaya anda tidak mengambil terlalu banyak atau menambah lauk-pauk yang berlemak atau berkalori tinggi.

Penuhkan hari anda dengan melakukan aktiviti tertentu bagi mengelakkan daripada asyik teringatkan makanan.

Sebagai contoh, lakukan aktiviti senaman atau aerobik tiga hingga lima kali seminggu. Lakukan selama 30 minit setiap hari. Akhir sekali, pastikan anda mendapatkan rehat secukupnya. Contohnya waktu tidur, tidurlah dalam enam hingga lapan jam sehari. Saya mengharap agar Suzi dapat mencuba panduan kuruskan badan yang telah diberikan. Insya-Allah, anda akan kelihatan lebih langsing ataupun mendapatkan berat badan yang ideal. Selamat mencuba.


Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, December 08, 2011

Terapi Sinar Inframerah Jauh

Dulu badannya cepat letih dan sering mengantuk. Lebih memburukkan keadaan apabila berat badannya tidak menentu. Sebagai seorang kakitangan kerajaan, Yatie Nordin berasa risau. Lebih-lebih lagi, pada usia mencecah 50-an, dia perlukan banyak tenaga.

Justeru itu, dia amat serius perihal penjagaan kesihatan ini. Mungkin bagi rakan-rakannya, dia seorang wanita yang sihat tubuh badan. Namun, Yatie beranggapan masalah berat badan dan toksin sama penting seperti dia melakukan rawatan wajah.

Dalam kesibukan mengejar tugas harian, Yatie diperkenalkan Terapi Sinar Inframerah Jauh (FIR) Zazen .
"Sebagai seorang wanita bekerja, saya jarang mempunyai masa bersenam. Pengetahuan tentang terapi ini membuatkan saya ingin memiliki sauna Zazen. Selepas memiliki sendiri sauna ini, saya kemudiannya bercadang untuk membuka pusat terapi sauna FIR," ujarnya yang kini mengusahakan Zazen Health Solutions Sdn. Bhd terletak di No. 1-41, Jalan Pandan Prima 2, Dataran Pandan Prima, Kuala Lumpur (berhampiran TESCO Ampang).

Toksik

Sebagai rawatan alternatif, terapi FIR Zazen membakar 600 sehingga 900 kalori setiap 30 minit sesi.
Bahkan terapi ini membantu mengekalkan berat badan ideal.

Menurut Yatie, rawatan terapi pemanasan inframerah jauh merupakan penyelesaian sains untuk pelbagai masalah kesihatan.

"Berbanding dengan sauna konvensional, alat sauna FIR membolehkan pesakit yang menghidap masalah jantung dan lelah mencubanya tanpa memberi kesan terhadap penyakit yang mereka hadapi. Rawatan terapi mudah ini juga tidak memenatkan ini hanya memerlukan pesakit duduk di dalam alat sauna selama 30 minit pada setiap kali rawatan. Berbeza dengan sauna biasa yang hanya merangsang permukaan kulit untuk mengeluarkan peluh, sauna FIR ini bertindak daripada dalam," ujarnya.

Sistem pemanasan FIR jauh mampu mengeluarkan toksik yang terkandung dalam lapisan ketiga kulit manusia.
Selepas menjalani terapi ini, 70 peratus air berbentuk peluh akan keluar dan selebihnya ialah toksik yang terkumpul dalam badan kita.

Kebiasaannya pesakit yang telah menerima rawatan terapi akan berasa lebih ringan, dapat tidur malam dengan lebih lena dan akan ke tandas pada keesokan paginya.

Oksigen

Selepas menerima rawatan terapi ini pesakit akan dapat meningkatkan peredaran darah dan oksigen dalam tubuh.

Disebabkan pelancaran darah baik, ia memberi kecantikan pada kulit di samping menggalakkan pertumbuhan sel kulit baru dan membakar lemak.

Ia juga sesuai digunakan oleh semua orang daripada bayi hingga kepada warga emas. Hanya wanita mengandung dan dalam haid tidak digalakkan mencuba kerana dikhuatiri memudaratkan kandungan dan menambah kelesuan badan akibat pengeluaran darah haid.

"Pada tahun 1998, FDA meluluskan penggunaan terapi sinar inframerah sebagai alat untuk meredakan kesakitan otot dan tisu. Terapi alternatif ini dapat membantu dalam prestasi atlet tempatan. Ia juga digunakan oleh individu yang prihatin terhadap kesihatan. Secara umumnya, kabin Zazen FIR sesuai untuk kegunaan seharian setiap ahli keluarga di kediaman masing-masing. Kami juga menyediakan rawatan percuma kepada warga emas," ujarnya.

Ditulis oleh: Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah   
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, September 07, 2011

Kekal Langsing Selepas Raya

Tanpa kita sedari, hanya tinggal dua hari sahaja kita berpuasa. Di bulan Ramadan yang mulia, umat Islam berpuasa selama sebulan menahan lapar dan dahaga menunaikan tuntutan agama.


Di bulan Ramadan jugalah ramai di antara kita mengambil kesempatan berhenti merokok dan menurunkan berat badan. Tetapi menjelang hari raya ramai pula yang menambah semula berat badan yang 'disusutkan' semasa berpuasa. Kenapa ini boleh berlaku kepada badan kita? Kenapa segala usaha dan pengorbanan kita di bulan Ramadan menjadi sia sia . Malah ada juga di antara kita yang menambah kembali berat badan lebih daripada yang kita hilang semasa berpuasa. Paling mengecewakan adalah, berat badan yang kita hilangkan semasa 30 hari berpuasa, datang kembali dengan tiba-tiba hanya selepas hari raya ketiga.

Semasa berpuasa terdapat perubahan di dalam badan yang membolehkan kita menahan lapar dan dahaga. Selepas hari ketiga berpuasa, badan mula memecahkan lemak untuk mendapatkan tenaga. Pemecahan lemak ini menghasilkan " 'ketone' yang akan digunakan oleh badan untuk mendapatkan tenaga. Ketone juga bertindak di otak untuk membuatkan kita berasa kenyang. Badan kini menyediakan diri untuk bertahan semasa kekurangan makanan dan minuman. Metabolisme menjadi perlahan, proses pemecahan lemak juga begitu kerana badan cuba "berjimat" agar boleh bertahan selama mungkin menghadapi kekurangan makanan dan minuman. Ini adalah respons semula jadi badan manusia.

Apabila menjelang hari raya, kita berhenti berpuasa. Badan akan mula berfungsi semula seperti sebelum berpuasa. Metabolisme meningkat semula, lemak disimpan kembali sebagai tenaga simpanan. Aktiviti di dalam badan menjadi normal semula. Tetapi sebahagian daripada kita ia tidak menjadi normal. Kita menambah berat badan terlalu cepat malah lebih daripada sebelumnya. Kenapa ini berlaku?
karbohidrat

Semasa hari raya, kita makan terlalu banyak karbohidrat. Di antara makanan yang terdiri daripada karbohidrat adalah seperti ketupat, lontong, lemang, nasi, kuih muih dan kek. Karbohidrat akan ditukarkan kepada gula di dalam badan. Paras gula akan naik di dalam darah dan merangsang badan untuk menghasilkan hormon insulin yang akan menukarkan gula kepada lemak dan disimpan di dalam badan. Disebabkan metabolisme badan rendah akibat berpuasa , penggunaan dan penghasilan lemak tidak seimbang. Pemecahan lemak lambat tetapi pembentukan lemak terlalu pantas dan banyak. Jika ada hormon penyimpan lemak, mesti ada hormon pemecah lemak. Bagi mereka yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah seperti hormon tiroid, hormon tumbesaran dan glucagon, proses pemecahan lemak dalam badan akan menjadi lebih perlahan.

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan penambahan berat badan yang tiba tiba? Berpuasa sebulan menyebabkan peningkatan nafsu makan yang mendadak semasa hari raya.

Langkah pertama adalah mengelakkan peningkatan paras hormon insulin secara mendadak. Untuk mengisi keperluan nafsu makan di hari raya, mungkin anda boleh meningkat kan pengambilan protein seperti daging, ayam dan ikan. Makan makanan yang mempunyai karbohidrat sihat seperti sayur sayuran. Pengambilan lebih protein boleh meningkatkan metabolisme badan kerana badan memerlukan lebih tenaga untuk mencernakan makanan protein berbanding karbohidrat. Elakkan memakan makanan yang tinggi karbohidrat. Peningkatan pengambilan protein juga membuatkan kita cepat kenyang dan boleh melawan nafsu untuk makan banyak. Cuba elak minum minuman manis. Di antara tanda-tanda peningkatan paras hormone insulin terlalu tinggi adalah rasa mengantuk selepas makan. Kita juga boleh mengambil makanan tambahan untuk mengawal paras gula agar tidak terlalu tinggi dan stabil. Di antara makanan tambahan yang boleh kita ambil adalah L Carnitine, Co Enzyme Q10 dan Kromium.

Untuk membantu badan meningkatkan paras hormon pemecah lemak kita perlu melakukan senaman. Melakukan senaman juga meningkatkan penggunaan tenaga, metabolisme badan dan pemecahan lemak.
Mungkin tip-tip yang saya berikan boleh diambil pakai dalam suasana sambutan hari raya ini. Jalan lain yang lebih mudah adalah melangsingkan badan dengan rawatan bioidentical hormone. Kebanyakan orang yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah akan mempunyai masalah untuk menguruskan badan. Mereka juga mudah menyimpan lemak dan dalam jangka masa yang panjang akan lebih terdedah untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi dan jantung. Rawatan menggunakan bioidentical hormone bukan sahaja boleh membantu badan mengurangkan lemak malah ia juga boleh memudakan kita. Ia juga boleh mengelakkan penyakit seperti masalah kencing manis, darah tinggi dan tinggi kolesterol. Hormon badan berada di dalam paras optimum semasa kita muda. Sebab itulah semasa muda kita tidak berpenyakit, badan sentiasa kurus dan cergas. Peningkatan usia selari dengan penurunan paras hormon dalam badan. Lagi cepat kehilangan hormon dalam badan lagi cepat mereka kelihatan tua dan mendapat penyakit "tua". Oleh itu rawatan bioidentical hormone adalah cara terbaik untuk menghilangkan berat badan, menjadi lebih muda dan lebih sihat.

Lemak

Namun begitu ada juga di antara kita yang mempunyai masalah lebihan lemak di bahagian tertentu. Kawasan lemak berlebihan selalunya tertumpu di bahagian dagu (double chin), perut, lengan atau paha. Rawatan yang terbaik adalah menggunakan laser lipolysis. Teknik ini adalah doktor menggunakan laser Nd:Yag untuk mencairkan lemak di kawasan tertentu. Laser ini bukan sahaja boleh mencairkan lemak, ia juga akan menegangkan kulit agar tidak menggeleber selepas prosedur. Prosedur ini lebih kepada pembentukan badan. Kelebihan prosedur ini adalah hasilnya cepat, terjamin, selamat dan kekal. Doktor yang berpengalaman pasti akan memberikan hasil yang memuaskan serta bernilai dengan wang yang dikeluarkan hanya dengan satu rawatan. Dengan teknologi moden juga membolehkan anda terus pergi kerja keesokan hari tanpa perlu mengambil cuti.

Di kesempatan ini saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya dan memohon ampun dan maaf jika ada tersilap kata dan mengguris hati perasaan pembaca.

PENULIS boleh dihubungi di 0195902511.
  
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Thursday, May 19, 2011

Belon Untuk Kuruskan Badan?

Hampir lima tahun, Azhar Jamal, 35, telah mencuba pelbagai kaedah untuk menurunkan berat badan, namun usahanya masih menemui jalan buntu.

Beliau berdiet dan mengambil pil untuk mengurangkan berat badannya yang mencecah 135 kigogram(kg), tetapi masih tidak berubah sehingga menyebabkan beliau sering rasa letih dan tidak bermaya ketika melakukan kerja harian.

Azhar mula mengalami masalah berat badan selepas tidak lagi aktif bersukan kira-kira lima tahun lepas dan ditambah pula dengan amalan pemakanan yang tidak sihat sepanjang tempoh berkenaan.

"Ketika saya melakukan pemeriksaan kesihatan, kolestrol dan tekanan darah saya tinggi. Doktor nasihatkan saya supaya turunkan berat badan bagi mengelak menghidapi penyakit lain yang lebih teruk.

"Sejak itu macam-macam cara saya cuba untuk kuruskan badan seperti diet, minum jus, makan pil namun berat badan saya tetap sama," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Sehinggalah pada awal tahun lepas dia mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pakar diet di Pusat Perubatan Prince Court yang mengesyorkan jadual pemakanan dan diet seimbang dalam usaha untuk menguruskan berat badannya.

Pakar berkenaan juga telah mengesyorkan prosedur yang dinamai endoscopic placement of gastric balloon dan akhirnya kini beliau berjaya memperoleh berat badan yang ideal iaitu 93 kg hanya dalam masa enam bulan.

"Melalui prosedur ini saya tidak perlu 'mengorbankan' makanan kegemaran saya iaitu nasi kandar dan tetap makan lima kali sehari, saya hanya perlu kurangkan saiz makanan itu dan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

"Belon yang diletakkan sementara dalam perut itu membuatkan kita cepat kenyang bila makan dan selepas enam bulan belon itu akan dikeluarkan, namun kita perlu meneruskan amalan pemakanan yang baik serta bersenam bagi mengekalkan berat badan ideal.

"Kawan-kawan juga terkejut dengan perubahan berat badan saya sehingga ada yang tak kenal saya lagi, masalah selalu penat dan tak bertenaga juga sudah hilang. Saiz baju yang saya pakai dulu XXXL juga dah bertukar jadi XL," katanya.

Prosedur sementara 

Sementara itu Perunding Pakar Gastroenterologi Prince Court Medical Centre, Datuk Dr. Ryan Ponnudurai berkata, belon gastrik yang diletak menggunakan endoskop adalah direka bagi membantu mengurangkan berat badan seseorang secara ideal iaitu purata 20 kg atau lebih.

Untuk layak menjalani prosedur berkenaan yang tidak memerlukan pembedahan itu katanya, seseorang itu perlu mendapat motivasi dan bersedia untuk menjalani secara serius program yang diselia secara perubatan untuk diet dan senaman.

"Prosedur itu hanya dilakukan ke atas pesakit yang memenuhi beberapa kriteria. Pertama, pesakit hendaklah tidak begitu obes, tetapi hanya mempunyai berat badan yang lebih. Mereka mungkin baru sahaja naik berat badan atas beberapa sebab dan mahu kembali ke berat badan asal masing-masing," katanya.

Dr. Ponnudurai berkata, belon itu akan dimasukkan ke dalam perut untuk tempoh sementara selama enam bulan bagi menimbulkan rasa cepat kenyang dan sentiasa kenyang selepas makan.

"Mereka yang (pesakit) datang, perlu berpuasa semalaman sebelum kami memasukkan alat skop, letakkan belon di kedudukannya dan ia selesai. Dalam belon yang kecil itu, kami masukkan 500 cc air garam dan biarkannya dalam perut.

"Kami letakkan pesakit di pusat itu untuk satu malam. Sebenarnya mereka sudah boleh balik pada hari yang sama tetapi kami mencadangkan agar mereka bermalam sahaja di pusat itu.

"Kami masukkan belon itu dalam perut agar anda tidak boleh makan dengan banyak. Itulah tujuannya. Anda akan sentiasa kenyang dan tiada rasa nak makan," katanya.

Dr. Ponnudurai berkata, jumlah berat yang patut dikurangkan dan dikekalkan oleh pesakit adalah bergantung kepada bagaimana mereka mengikut arahan diet, senaman dan perubahan cara hidup dalam jangka panjang.
"Sebelum prosedur itu bermula, pesakit akan dinilai sepenuhnya oleh pakar psikologi dan diet untuk menentukan prosedur yang sesuai dijalankan ke atas pesakit dan faedah yang akan diperoleh oleh pesakit", katanya.

Dr. Ponnudurai berkata, pesakit akan mengalami ketidak selesaan untuk beberapa hari sementara perut dapat menyesuaikan diri dengan belon. Kemungkinan mereka akan mengalami rasa pening dan muntah selepas prosedur itu.

"Namun ia akan hilang mengikut masa. Mereka perlu mengambil makanan berbentuk cecair untuk dua hari. Setelah mereka dapat menyesuaikan diri dengan belon itu, mereka boleh meningkatkan diet," katanya.
Dr Ponnudurai berkata, kos untuk keseluruhan prosedur itu tidak lebih RM15,000.

"Seramai 15 pesakit telah menjalani prosedur itu sejak kami memulakannya kira-kira dua tahun lepas. Hasilnya memuaskan setakat ini: kesemua pesakit dapat mengurangkan purata 20 kg," katanya
Ditulis oleh: Nurulhuda Che Das
Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/