Peminat Setia Doktor Pakar

Showing posts with label pendengaran dan telinga. Show all posts
Showing posts with label pendengaran dan telinga. Show all posts

Saturday, April 21, 2012

Uji Tahap Pendengaran Anda

Kajian menunjukkan 60 peratus orang yang berusia lebih 60 tahun mengalami masalah kehilangan pendengaran.

Menurut Pakar Pendengaran di Bay Audio Malaysia, Andrew Campbell, rakyat Malaysia dan penduduk di Asia kurang mengutarakan masalah pendengaran berbanding di Australia.

"Lebih kurang 20 peratus pesakit yang mengalami kehilangan pendengaran akan mencari penyelesaian untuk masalah mereka. Di Malaysia, dianggarkan hanya lebih kurang 0.5 peratus akan melakukan demikian, mungkin disebabkan kurang maklumat di mana untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di Bay Audio, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pendengaran sihatTambah Andrew, bunyi diukur dalam unit desibel. Bunyi dari peti sejuk ialah 45 desibel, perbualan biasa adalah kira-kira 60 desibel, dan bunyi bising dari lalu lintas bandar yang sibuk boleh mencapai 85 desibel.

"Sumber bunyi yang boleh menyebabkan hilang pendengaran akibat bunyi bising termasuklah daripada bunyi motosikal, mercun, dan senjata api, yang menghasilkan kekuatan bunyi daripada 120 hingga 150 desibel," ujarnya.

Sementara itu, pendedahan yang lama atau berulang-ulang terhadap bunyi pada atau melebihi 85 desibel boleh menyebabkan masalah hilang pendengaran.

Semakin kuat bunyi, semakin cepat masalah hilang pendengaran akibat bunyi bising berlaku.

"Bagaimanapun, bunyi yang kurang daripada 75 desibel, walaupun selepas pendedahan yang lama, tidak akan menyebabkan kehilangan pendengaran," katanya.

Ukuran bunyiAndrew menjelaskan, pendengaran diukur pada tahap kebolehan seseorang mendengar bunyi paling perlahan yang boleh didengar. Nada bunyi diukur dalam hertz dan kekuatan bunyi diukur dalam bentuk desibel iaitu daripada 0 ke 140 desibel.

"Kami telah mencipta alat pemeriksaan pendengaran berinovatif untuk membantu pelanggan menguji keadaan pendengaran mereka dalam masa lima minit sahaja melalui skrin sentuh yang mudah.

Ujian pendengaran dijalankan dengan peralatan skrin sentuh selama lima minit menggunakan iPad dan penutup telinga gred 5 (yang digunakan untuk paras kebisingan dalam persekitaran umum). Keputusan ujian ini membantu kami mengenal pasti jika seseorang itu mengalami masalah pendengaran yang ringan, sederhana atau teruk," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan keputusan, pelanggan diminta berjumpa pakar pendengaran sekiranya perlu untuk melakukan ujian pendengaran penuh dalam bilik kedap bunyi.

"Periksalah pendengaran anda. Mungkin anda mengalami masalah pendengaran tanpa anda sedari. Justeru, ujian seperti ini membantu memperbaiki kesihatan pendengaran," ujarnya.



Dipetik dari: http://www.utusan.com.my/

Wednesday, March 05, 2008

Punca Pendengaran Terjejas

SOALAN:
Doktor, saya menghadapi masalah pendengaran. Pada masa tertentu pendengaran kurang jelas dengan sendirinya dan kemudian normal semula dengan sendiri.

Saya telah berjumpa doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk mendapatkan rawatan. Buat sementara waktu selepas itu pendengaran saya kembali normal.

Beberapa hari kemudian, masalah berkenaan berulang lagi. Doktor menyatakan masalah disebabkan oleh pengumpulan tahi telinga.

Saya sentiasa membersihkan telinga tetapi perkara ini tetap terjadi berulang kali dalam masa-masa tertentu.

Bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah pendengaran kurang jelas berulang kali ini?

Yang kurang jelas

JAWAPAN:
Seseorang mendengar dengan menggunakan telinga. Gelombang bunyi sampai ke deria pendengaran (koklea) melalui cuping ke gegendang dan tiga tulang kecil di telinga tengah.

Di koklea, gelombang ini dikesan dan dihantarkan ke otak melalui saraf pendengaran sebelum gelombang ini diterjemahkan sebagai bunyi tertentu daripada pelbagai jenis bunyi yang pernah didengar.

Oleh kerana masalah anda berlaku berulang kali dan kemudian kembali normal, terdapat dua kemungkinan besar yang mungkin menjadi penyebab masalah ini.

Salah satu adalah tahi telinga yang keras telah menghindar gelombang bunyi daripada sampai ke gegendang dengan sepenuhnya.

Penggunaan putik kapas untuk mengorek telinga harus dielakkan kerana tahi telinga di bahagian luar saluran telinga boleh ditolak masuk ke bahagian dalam dan boleh mengurangkan tahap pendengaran.

Satu lagi sebab ialah jika seseorang kerap selesema, ia boleh membawa kepada pengumpulan bendalir di telinga tengah yang akan mengurangkan pergerakan gegendang dan seterusnya mengurangkan penerimaan gelombang bunyi.

Masalah kerosakan saraf pendengaran juga boleh menyebabkan masalah yang sama. Pemeriksaan klinikal dan ujian pendengaran harus dibuat pada masa anda mengalami masalah pendengaran berkenaan bagi membolehkan diagnosis dan rawatan yang tepat diberikan.


Ditulis oleh:
Dr Loganathan Athanari
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT),
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

Tuesday, March 04, 2008

Risau Keselamatan Pembedahan Telinga Anak

SOALAN:
Doktor, saya ibu kepada seorang anak lelaki yang berusia 5 tahun. Anak saya dilahirkan dengan masalah yang dinamakan “Conginetal Left Microtia dan External Audiotory Canal Atresia”.

Saya telah dinasihatkan oleh doktor supaya menjalani ujian imbasan bagi mengetahui keadaan organ dalaman telinga (inner ear) sebelum rawatan atau langkah susulan diambil.

Menurut doktor tersebut, sekiranya organ dalaman telinga lengkap, disarankan supaya pembedahan dilakukan bagi membentuk saluran telinga dan cuping telinga luar.

Masalahnya, saya amat risaukan kesan sampingan yang dihadapi anak saya akibat pembedahan tersebut kerana pembedahan ini melibatkan kepala.

Adakah pembedahan ini akan melibatkan otak? Saya juga ingin mengetahui apakah kaedah pembedahan yang akan dilakukan dan adakah ianya biasa dilakukan?

Ibu bimbang

JAWAPAN:
Masalah “Conginetal Microtia dan External Audiotory Canal Atresia” adalah apa yang dapat diperhatikan di luar, iaitu ketiadaan ataupun saiz cuping telinga yang kecil, dan juga tiada pembukaan lubang telinga.

Ujian imbasan patut dilakukan terlebih dahulu untuk menentukan keadaan saluran telinga luar dan organ pendengaran iaitu koklea.

Seperti yang telah dinasihati doktor anak puan, jika struktur dalaman telinga berada dalam keadaan yang sempurna, pembedahan patut dilakukan untuk membentuk cuping telinga dan saluran telinga supaya gelombang bunyi dapat disalurkan ke bahagian koklea, seterusnya membolehkan anak puan mendengar seperti biasa.

Pembedahan ini mungkin dilakukan melalui beberapa tahap pembedahan. Kaedah pembedahan juga mungkin berlainan bagi pakar bedah yang berlainan.

Setiap jenis pembedahan akan ada risiko-risiko yang tertentu. Walau bagaimanapun pembedahan untuk masalah ini ia tidak akan melibatkan otak

Jika organ pendengaran dalaman anak puan tidak lengkap, saluran telinga tidak perlu dibentuk tetapi cuping telinga boleh dibentuk untuk tujuan kosmetik dan alat “bone anchored hearing aid” boleh dipasang untuk menolong pendengaran bunyi dari sebelah yang bermasalah, iaitu sebelah kiri untuk anak puan.

Saya syorkan puan menunggu sehingga keputusan imbasan berkenaan diperoleh dan membincangkan keputusannya dengan doktor pakar anak puan untuk rawatan selanjutnya.

Puan juga boleh membincang tentang kelebihan pembedahan tersebut selain risiko yang dihadapi anak puan.


Ditulis oleh:
Dr Loganathan Athanari
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT),
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/