Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, July 26, 2008

Kawal Peningkatan Kolesterol Dengan Herba

SOALAN:
Saya mempunyai badan yang berisi. Dua minggu yang lalu saya membuat pemeriksaan kolesterol dan mendapati terdapatnya peningkatan kolesterol dalam darah.

Mengikut doktor, ia masih boleh dikawal dengan perubahan diet dan membuat senaman. Ahli farmasi turut mencadangkan saya menambahkan suplemen herba agar pengawalan lebih baik sebelum ia dikategorikan berkolesterol tinggi memandangkan saya mempunyai sejarah keluarga dengan kolesterol tinggi dan berisiko tinggi menghidap masalah serupa.


JAWAPAN:
Pokok guggulu (Commiphora mukul) iaitu tumbuhan asal dari India, menghasilkan guggul yang juga dikenali sebagai guggulu atau guggulipid.

Guggul telah digunakan dalam perubatan Ayurveda selama beribu-ribu tahun untuk merawat artritis dan obesiti, selain mengawal peningkatan kolesterol.

Kesan penurunan kolesterol dipercayai disebabkan oleh keupayaannya menghalang sintesis (penghasilan) kolesterol dalam hati dan juga meningkatkan pemecahan serta penyingkiran kolesterol.

Penggunaan dalam jangka panjang membantu merendahkan kolesterol secara keseluruhan, kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol berketumpatan tinggi (HDL).

Guggulipid juga mempunyai bahan mencairkan darah yang bermanfaat untuk merendahkan tekanan darah.

Suplemen guggulipid yang mengandungi 2.5 peratus guggulsterone (bahan aktif) adalah bermanfaat dan selamat digunakan.

Diet Dan Gaya Hidup

Antara tip untuk mengekalkan paras kolesterol yang sihat:

1. Buangkan semua lemak dan kulit daripada daging, ayam dan itik sebelum makan. Tukar cara masakan dari menggoreng kepada membakar atau memanggang.

2. Elakkan kuah dan sos yang berlemak. Gantikan krim dengan yogurt sebagai sos dan hiasan. Pilihlah buah-buahan segar sebagai pencuci mulut dan bukannya kek atau biskut.

3. Guna minyak sayuran seperti kanola, kesumbar dan zaitun dalam kuantiti yang kecil untuk menggoreng. Kurangkan penggunaan marjerin kerana ia mengandungi minyak separa ter-hidrogen (asid lemak trans).

4. Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi minyak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak khinzir, mentega, telur kuning dan lemak susu.

5. Udang dan kerang-kerangan boleh diambil sekali-sekala kerana kandungan kolesterolnya lebih rendah daripada yang disangkakan dan ia mengandungi lemak tepu yang rendah.

6. Tambahkan serat ke dalam diet anda terutamanya serat oat. Pilih bijirin penuh apabila membeli roti atau bijirin.

7. Hadkan pengambilan organ dalaman haiwan seperti hati, ginjal, otak dan limpa yang tinggi dengan kolesterol.

8. Senaman adalah senjata penting untuk menentang kolesterol tinggi dan penyakit jantung. Kajian menunjukkan senaman yang kerap (kira-kira 30 minit sebanyak tiga hingga lima kali seminggu) dapat meningkatkan paras HDL serta menyingkirkan kolesterol LDL berlebihan daripada darah. Anda boleh melakukan senaman aerobik, berenang, angkat berat, berjalan kaki dan menari.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment