Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, July 05, 2008

Vaksin Luaran Demam Denggi

Saban hari kita mendengar pelbagai kempen dan operasi yang dijalankan oleh banyak pihak bagi memerangi nyamuk aedes yang membawa virus demam denggi.

Demam denggi ditakuti oleh sesiapa jua terutama kanak-kanak kerana serangan yang berpunca daripada binatang sekecil nyamuk aedes itu boleh menyebabkan kematian mengejut dalam jangka masa beberapa hari sahaja.

Kempen dan operasi itu kini menjadi lebih agresif setelah Kementerian Kesihatan mengumumkan Selangor mencatatkan peningkatan kes demam denggi paling tinggi daripada keseluruhan 1,045 kes yang dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh seminggu.

Sebanyak 515 kes dicatatkan di negeri itu bagi tempoh 25 hingga 31 Mei lalu manakala negeri kedua tertinggi iaitu Kuala Lumpur mencatatkan 150 kes.

Secara asasnya, terdapat empat bentuk demam denggi iaitu denggi dengan demam biasa, demam denggi klasik, demam denggi berdarah dan sindrom kerenjatan denggi dan sehingga kini tiada vaksin untuk mencegah penyakit itu daripada menyerang manusia.

Namun, di sebalik kegusaran itu, kini sebuah syarikat teknologi Jerman, LH Dienstbekleidungs (LHD) mahu memperkenalkan kain baju atau uniform sekolah yang memiliki daya ketahanan yang tinggi dan kebal dari segala serangga terutama nyamuk aedes dan makhluk perosak di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi LHD, Joachim Hasse memberitahu Mingguan Malaysia, pemakaian fabrik yang diperbuat oleh syarikat beliau terbukti boleh menghindari manusia yang memakainya daripada serangan serangga merbahaya termasuk nyamuk aedes.

“Fabrik yang direka dengan sentuhan 150 saintis dan pakar teknologi Jerman kini dipakai oleh tentera Jerman dan keputusan menunjukkan peratusan askar yang terkena gigitan dan serangan serangga makhluk perosak menurun secara mendadak,

“Askar-askar Jerman telah menggunakan uniform yang diperbuat daripada fabrik keluaran syarikat kami sejak empat tahun yang lalu dan keadaan semakin baik,” katanya.

Ia sekali gus membolehkan kanak-kanak sekolah terutama ketika menjalani aktiviti kokurikulum di luar kelas seperti padang sekolah mendapat jaminan tidak akan digigit oleh vektor seperti nyamuk, lipas, pacat atau lipan.

100 Basuhan

Dengan menggunakan fabrik itu untuk membuat uniform sekolah, ibu bapa dan kerajaan negara ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kecapaian ilmu di kalangan kanak-kanak yang bersekolah, malah juga mengurangkan kos rawatan dan pembelian semula uniform kerana ia tidak akan koyak walaupun selepas 100 basuhan.

Turut hadir pada sesi pertemuan itu ialah Pengarah Urusan Intelflex Sdn. Bhd., Amran Ariffin yang dilantik menjadi wakil pengedar eksklusif produk keluaran LHD di peringkat tempatan dan Presiden Sapina Holdings Corp. Limited, Peter Blaney Davidson yang menguruskan hal-ehwal pelantikan pengedar LHD di peringkat serantau.

Mengulas lanjut, Hasse berkata, justeru, LHD menerusi saintis-saintisnya mereka uniform daripada fabrik yang diletakkan dengan sejumlah 1,300 miligram (mg) permethrin aktif di atasnya, sejenis kimia melawan serangga dan makhluk perosak yang berdaftar.

Menurut beliau, permethrin yang selamat untuk digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa had umur termasuk kanak-kanak. Ia turut digunakan sebagai agen menghindari serangga dan makhluk perosak pada permaidani.

Selain Jerman sendiri, ujar beliau, banyak negara terutama dari benua Eropah antaranya Belanda, Austria, Norway dan Perancis telah menunjukkan minat yang tinggi untuk menggunakan fabrik yang sama dalam pembikinan uniform.

“Selain bebas daripada hinggapan serangga yang boleh memudaratkan tahap kesihatan dan mutu kerja, kajian saintifik turut mendapati uniform yang sedang digunakan tahan lama walaupun setelah beratus kali dibasuh,” kata beliau.

Tambah Hasse, fabrik itu telah melepasi semua ujian dan kawalan yang ketat oleh pihak berkuasa Jerman empat tahun yang lalu untuk memastikan ia selamat dan mesra alam.

Syarikatnya yakin dapat memasarkan produknya itu ke negara ini berdasarkan iklim negara yang sesuai untuk penggunaan secara meluas, bukan sahaja untuk kegunaan kanak-kanak yang bersekolah, malahan juga anggota keselamatan seperti tentera dan polis, jelas beliau.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment