Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, July 26, 2008

Minyak Ikan Bantu Masalah Keradangan

SOALAN:
Saya seorang suri rumah yang berusia 52 tahun dan mempunyai masalah osteoartritis. Buat masa sekarang saya sedang mengambil glukosamin.

Selain itu, saya juga mempunyai kolesterol darah yang tinggi. Ahli farmasi mencadangkan saya menambah pengambilan minyak ikan selain ubat antikolesterol. Apakah manfaat minyak ikan kepada masalah kesihatan saya?


JAWAPAN:
Minyak ikan memberi manfaat yang besar kepada kesihatan terutamanya bagi penghidap artritis yang biasanya turut mengalami keradangan.

Suplemen minyak ikan merupakan kaedah yang lebih menyenangkan untuk mendapat jumlah asid lemak poli-taktepu omega-3 iaitu asid eikosapentanoik (EPA) dan asid dokosaheksanoik (DHA) yang memainkan peranan penting dalam pengawalan masalah berkaitan keradangan seperti osteoartritis.

Pengambilan minyak ikan sebagai suplemen harian membantu merendahkan kolesterol berbahaya (kolesterol LDL) serta meningkatkan kolesterol baik (kolesterol HDL). Selain itu ia turut membantu memperbaiki aliran darah.

Kajian terbaru ke atas sekumpulan subjek yang mempunyai kolesterol yang tinggi atau hiperkolesterolemia mendapati pengambilan gabungan minyak ikan dan red yeast rice dapat mengurangkan paras kolesterol dengan signifikan, iaitu sehingga 42.4 peratus yang menyamai pengambilan statin (ubat untuk merawat kolesterol).

Red yeast rice mengandungi statin semula jadi yang dikenali sebagai monacolin, hasil daripada proses penapaian beras dan yis.

Minyak ikan yang berkualiti tinggi dan mengandungi asid eikosapentanoik (EPA) dan asid dokosaheksanoik (DHA) yang diperoleh daripada daging ikan-ikan kecil boleh dijadikan pilihan.

Minyak ikan juga melalui proses penyulingan untuk menyingkirkan benda asing dan mengurangkan pencemaran.

Aspek lain yang perlu dipertimbangkan adalah bentuk tertentu trigliserida omega -3 yang dipercayai oleh ramai saintis kerana lebih mudah diserap dan digunakan oleh tubuh.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

1 comment: