|
|
Berat badan berlebihan dan obesiti! Mungkin subjek ini membosankan bagi sesetengah pihak kerana sering diutarakan melalui media cetak dan elektronik. Namun, isu berat badan bukan hanya melibatkan kesihatan fizikal badan, malahan turut memberi kesan kepada psikologi dan kesihatan mental.
Kesihatan mental yang disebutkan bukanlah mengaitkan obesiti dengan penyakit ‘gila’ atau masalah otak tetapi lebih kepada kesan kepada emosi individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes hasil interaksi sosial.
Mengimbas zaman sekolah, boleh dikatakan hampir semua daripada kita mempunyai interaksi dengan individu dengan berat badan berlebihan. Boleh dikatakan di mana sahaja seseorang yang ‘besar’ badannya bersekolah, pasti ada yang mendiskriminasi atau mengejek. Ini mungkin akan meninggalkan kesan psikologi kepada kanak-kanak tersebut, menyebabkan tahap keyakinan dirinya semakin rendah.
Kesan diskriminasi pada usia muda ini akan dibawa sehingga mereka dewasa dan mungkin membawa kepada masalah hidup yang menjejaskan tahap kepuasan hidup individu yang berbadan besar. Pelbagai kajian untuk mengukur kesan saiz badan terhadap psikologi seseorang telah dijalankan di luar negara. Sebagai kesinambungan terhadap kajian di Barat, satu kajian hampir serupa telah dimulakan di Malaysia.
Kajian Awal, Kajian Tempatan
Pesyarah Kanan Psikologi, Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersepadu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Alvin Ng menjelaskan selalunya wujud diskriminasi dan prasangka orang yang gemuk atau berat badan berlebihan pemalas, kurang kawalan diri atau kurang personaliti.
“Diskriminasi juga bermula dari usia muda. Pandangan negatif ini boleh menyebabkan individu dengan berat badan berlebihan atau obes berisiko mempunyai masalah keyakinan diri yang rendah.
“Beberapa kajian sebelum ini menunjukkan peningkatan masalah psikologi (seperti keyakinan diri) dengan Indeks Jisim Badan (BMI),” katanya.
Untuk melihat jika berat badan, BMI dan saiz pinggang seseorang memberi kesan psikologi, Dr. Ng menyusun satu kajian awal untuk melihat kaitannya dengan tahap keyakinan diri dan juga kepuasan hidup.
Kajian sebegini dikatakan belum pernah dijalankan di Malaysia. Kajian serupa di negara-negara lain pula mendapati peningkatan BMI bukan sahaja meningkatkan risiko penyakit seperti kanser, diabetes dan tekanan darah tinggi malahan menyebabkan penurunan tahap keyakinan diri dan juga kepuasan hidup.
Menurut Dr. Ng, kajian ini dapat melihat kualiti hidup secara umum di mana secara psikologi, adakah seseorang itu bahagia dengan hidupnya atau tidak.
“Kajian luar sebelum ini menunjukkan kaitan BMI yang tinggi dengan masalah psikologi. Ini dapat difahami melalui kemungkinan seseorang individu itu lebih mudah menghadapi kemurungan jika mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah.
“Jika menunjukkan hasil serupa dengan kajian lain, implikasi kajian ini dapat menekankan pentingnya pengawalan berat badan yang sihat untuk menjalani hidup lebih bahagia,” ujarnya.
Kajian tersebut dimulakan pada awal 2008 selama dua minggu di kawasan bandar. Sebanyak 322 peserta dipilih secara rawak di pusat membeli belah sekitar kawasan Lembah Klang untuk sesi temuramah dan soal jawab. Peserta yang dipilih juga terdiri daripada mereka yang mempunyai berat badan normal atau lebih sahaja, tanpa mengira saiz atau bentuk badan dan antara umur 25 hingga 40 tahun.
Pecahan etnik peserta juga sekata antara Melayu, Cina dan India tetapi sebahagian besarnya merangkumi golongan wanita (65 peratus).
Kesan Saiz Pinggang
Hasil kajian berkenaan menunjukkan purata berat badan 67.8 kilogram, purata ukur lilit pinggang 31.1 inci dan purata BMI 25.08.
Bagaimanapun, Dr. Ng menegaskan penemuan utama kajian ini adalah kaitan antara saiz ukur lilit pinggang dengan tahap kepuasan hidup.
“Tahap kepuasan hidup boleh diterjemahkan sebagai tahap kegembiraan atau kebahagiaan hidup. Kajian ini menunjukkan individu yang mempunyai pinggang yang lebih ramping mempunyai kepuasan hidup lebih tinggi atau lebih gembira dengan hidup mereka,” jelasnya.
Namun, beliau menekankan pinggang yang ramping bukan bererti kurus tetapi lebih kepada saiz pinggang yang normal dan sihat.
Tambahnya, kaitan kurus sebagai sihat juga kurang tepat kerana individu dengan berat badan terlalu rendah juga menghadapi pelbagai risiko penyakit.
Dr. Ng menyatakan hasil kajian ini juga jelas menunjukkan individu dengan berat badan berlebihan atau obes boleh meningkatkan tahap kesihatan badan dari segi fizikal, mental (psikologi) dan perspektif sosial dengan mengikuti program menurunkan berat badan.
Peningkatan di dalam kepuasan hidup dan keyakinan diri akan membawa kepada tahap perhubungan yang lebih baik, kepuasan dalam perhubungan sedia ada dan menghargai diri sendiri.
“Purata BMI peserta berada dalam kategori berat badan berlebihan (25.08). Ini mengunjurkan berat badan masyarakat bandar (lelaki dan wanita) semakin meningkat, mungkin disebabkan kurang pergerakan (berjalan) dan lebih banyak pilihan makanan.
“Memandangkan kepuasan hidup meningkat selari dengan penurunan saiz pinggang, mungkin sudah sampai masanya kita mengawal berat badan ukur lilit pinggang,” katanya.
Luar Jangkaan
Walaupun kaitan rapat ukur lilit pinggang dan tahap kepuasan hidup sama seperti yang dijangkakan, seperti kajian-kajian serupa di luar negara, hubungkait melibatkan ukur lilit pinggang, BMI dan keyakinan diri didapati berbeza dengan kajian lain.
Dr. Ng memaklumkan ukur lilit pinggang tidak mempunyai kaitan rapat dengan tahap keyakinan diri penduduk negara ini, berbanding tahap kepuasan hidup.
“Kebiasaannya, keyakinan diri yang tinggi seiring dengan tahap kepuasan hidup yang tinggi, tetapi ini tidak ditonjolkan maklumat dari kajian tempatan itu.
“Mengapa saiz pinggang kurang kesannya terhadap keyakinan diri? Mungkin rakyat Malaysia sudah menerima ukur lilit pinggang yang besar sebagai sesuatu perkara yang biasa dan tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian,” ujarnya.
Dr. Ng mempersoalkan jika benar saiz pinggang yang besar sudah diterima sebagai perkara biasa, mungkin semakin ramai yang tidak serius dalam menjaga berat badan dan saiz pinggang yang sihat.
Penerimaan saiz pinggang besar sebagai sesuatu yang biasa bukanlah sesuatu yang bagus. Jika diambil mudah, individu dengan berat badan berlebihan akan hilang tumpuan pada kepentingan berat badan dan saiz pinggang yang sihat. Ini boleh membawa kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang obes dan menghidapi penyakit berkaitan obesiti seperti diabetes, masalah jantung, darah tinggi dan masalah sendi.
Mengikut Dr. Ng, perkara ini juga tidak boleh lagi dianggap sebagai ‘hal aku, orang lain jangan peduli’.
“Kesan obesiti lebih mendalam termasuk kepada ekonomi dan negara. Kerajaan mungkin terpaksa menanggung subsidi perubatan yang lebih tinggi jika kes penyakit berkaitan obesiti meningkat dengan mendadak.
“Jika kita lebih sihat, semakin kuranglah cuti sakit dari kerja dan dapat meningkatkan produktiviti negara,” katanya.
Di samping itu, kajian tersebut menunjukkan BMI juga tidak menunjukkan kaitan rapat dengan kedua-dua tahap keyakinan diri dan kepuasan hidup di kalangan rakyat Malaysia, berbeza dengan apa yang dijangkakan sebelum ini.
Persepsi penduduk negara ini menghabiskan masa dengan makan juga mungkin boleh disangkal hasil peratusan tinggi peserta yang sedar ertinya makan untuk hidup. Namun, hampir satu pertiga (29.5 peratus) peserta mengakui mereka hidup untuk makan.
Menurut Dr. Ng, dari segi peningkatan saiz pinggang pula, golongan lelaki didapati mempunyai saiz pinggang lebih besar berbanding wanita tetapi saiz ini tidak banyak bertambah dengan peningkatan usia. Lelaki juga secara umumnya lebih berat dan tinggi berbanding wanita.
“Bagi golongan wanita, berat badan mereka dilihat semakin meningkat dengan usia. Ini mungkin kerana wanita bermula dengan saiz badan lebih kecil sekitar usia 21 hingga 30 tahun.
“Saiz badan wanita yang kecil akan semakin meningkat terutamanya sekitar umur 36 hingga 40 tahun. Lelaki yang bermula dengan saiz badan yang besar mungkin dapat mengekalkan saiz hampir sama dan tidak menunjukkan banyak perbezaan dengan usia,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun meminta orang ramai kurang menumpukan kepada rupa fizikal luaran sahaja dan lebih menumpukan kepada mengekalkan tahap kesihatan badan dengan menjaga berat badan dan ukur lilit pinggang.
“Perkara utama yang perlu ditekankan adalah saiz pinggang lebih kecil akan memberikan kepuasan hidup yang lebih tinggi, iaitu lebih banyak kegembiraan dalam hidup. Pinggang lebih kecil juga memudahkan pergerakan badan.
“Jadi, amalkan gaya hidup sihat dan cergas, dapatkan badan sihat dan jangan lupa untuk makan sayur,” tegas Dr. Ng.
Jika anda sihat, pasti anda akan kelihatan lebih menawan, ceria dan berseri setiap hari.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment