Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, July 05, 2008

Diserang Angin Ahmar Bagai Mati Hidup Semula


STROK merupakan penyakit berbahaya yang boleh dielak jika kita mengetahui tanda-tandanya.- Gambar hiasan





















KES SATU : ALBERT ANTHONY, 63

Bagaikan mati hidup semula!. Begitulah luahan Albert Anthony ketika ditanya apa perasaannya hari ini berbanding dua tahun lalu selepas diserang strok sehingga menyebabkan beliau mengalami koma selama satu bulan.

Katanya, apa yang berlaku tidak pernah disangka sama sekali, namun beliau menerimanya sebagai cabaran untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tabah.

Menceritakan pengalaman, kata individu yang berkecimpung dalam dunia pengurusan acara dan cukup dikenali di kalangan kelompok media dan sukan lasak, mengakui gaya hidup yang menjadi amalannya antara faktor yang mempengaruhi serangan penyakit tersebut.

Beliau tidak menafikan kurang rehat, sering berada dalam tekanan selain mengambil minum minuman keras mendorong kepada serangan tersebut.

Anthony cukup bertuah kerana sokongan keluarga dan rakan-rakan memberinya kekuatan termasuk memperkenalkan Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Nasam) kepadanya.

‘‘Jika kira-kira dua tahun dahulu saya dihantar dan diambil rakan-rakan untuk ke Nasam, kini saya sudah berkemampuan untuk memandu sendirian ke pusat ini,” ujarnya sambil menaruh harapan untuk melakukan penerbangan yang merupakan salah satu hobi pada masa sihatnya.


KES DUA : YAP KON KOOI, 67

Penyakit tekanan darah tinggi yang dihidapi selama empat tahun antara punca utama Yap diserang strok apabila berlakunya sekatan saluran darah ke otak.

Ini ditambah pula gaya hidup Yap sendiri. Selain kurang tidur, tekanan kerja serta kurang bersenam diakui turut mendorong kejadian tersebut.

Bagi Yap apa yang berlaku dianggap sesuatu yang di luar dugaan, namun dia tetap menerimanya dengan hati terbuka.

Beliau yang sudah hampir dua tahun menjalani latihan di Nasam mengakui keadaannya sudah jauh berbeza berbanding pada peringkat awal .

‘‘Saya kini sudah boleh melakukan rutin harian seperti dahulu. Walaupun tidak lagi segagah dahulu, tetapi saya gembira kerana sekurang-kurangnya saya masih mampu bernafas hingga ke hari ini,” ujarnya.

Nasihat Yap, setiap individu perlu sentiasa menjaga kesihatan kerana baginya mencegah adalah lebih baik daripada merawat.


KES KETIGA : NATERAH TAMBY CHIK, 56,

Wanita kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini, sama sekali tidak pernah menyangka demam-demam serta rasa kebas yang dialami sebelum ini merupakan petanda awal beliau diserang strok.

Naterah yang pernah berkhidmat di salah sebuah syarikat perbankan itu selain mengamalkan gaya hidup sihat, beliau juga tidak mempunyai keturunan yang pernah mengalami penyakit seumpamanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan besar penyakit tekanan darah tinggi yang dihidapi selama empat tahun lalu antara kemungkinan membawa kepada serangan strok.

Mengakui pada peringkat awal mengalami sedikit gangguan, terutama rasa sedih dan rendah diri, namun berkat sokongan keluarga terutama suami dan anak-anak beliau bangkit untuk sembuh daripada penyakit tersebut.

‘‘Saya bersyukur kerana mempunyai ahli keluarga serta rakan-rakan yang yang banyak memberi dorongan,” ujarnya yang dimaklumkan tentang Nasam oleh rakan anaknya.

Mengakui sejak menjalani latihan terutama fisioterapi di Nasam, kira-kira dua bulan lalu, ia banyak memberi perubahan kepadanya untuk kembali kepada kehidupan normal.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment