Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, July 19, 2008

Kanser Bukan Penghujung Jalan

Pengalaman menjalani hidup sebagai seorang pesakit kanser bukan sahaja menjadi igauan ngeri bagi empunya diri malah kesedihan tersebut turut dialami oleh ahli keluarganya juga.

Hakikat ini pasti diakui benar oleh semua yang pernah berhadapan dengan salah seorang ahli keluarga penghidap kanser.

Walaupun Anne Bautista-Inlong, merupakan individu yang begitu prihatin dengan tahap kesihatan dirinya, beliau tidak terkecuali daripada menerima ketentuan takdir yang menjadikannya sebagai seorang yang pernah menghidap penyakit kanser serviks.

Bercerita mengenai peristiwa sedih yang pernah menyelubungi dirinya, Anne berkata, ia bermula selepas setahun berkahwin pada tahun 2002, ketika dia berusia 32 tahun.

“Atas kesedaran sebagai seorang wanita dan keinginan untuk menimang cahaya mata saya menjalani pemeriksaan rutin pap smear.

“Dalam tempoh enam bulan, saya menjalani ujian pap smear sebanyak tiga kali dan amat bersyukur kerana disahkan bebas daripada penyakit kanser serviks,” jelasnya membuka bicara.

Menurut Anne, dia tidak mengalami sebarang simptom kecuali sedikit pendarahan di antara waktu haid. Namun bagi pakar sakit puan, sebarang pengeluaran cecair atau pendarahan antara waktu haid dan selepas mengadakan hubungan seks bukanlah sesuatu yang normal.

Justeru, pakar melakukan pemeriksaan mendalam dan akhirnya mendapati satu ketumbuhan kecil di bahagian dinding rahimnya pada Oktober 2003.

Para doktor mencadangkan beliau melalui ujian biopsi dan keputusannya ketumbuhan itu didapati kanser malignan.

“Perasaan saya amat terkejut ketika itu, sedih, takut mati dan ditinggalkan suami bersilih ganti dalam kotak fikiran saya. Tambahan pula ketika itu saya baru mendirikan rumah tangga. Saya menjalani pemeriksaan dan pemantauan rutin oleh pakar ginekologi.

“Pada Disember 2003, saya memulakan kemoterapi sebanyak lapan sesi,” jelas Anne yang juga merupakan seorang guru tadika antarabangsa di Hong Kong.

Paling menyedihkan menurut Anne, penyakitnya bukan sahaja memberi kesan terhadap dirinya, malah turut mempengaruhi emosi seluruh ahli keluarganya.

“Justeru, pada hari ini saya ingin memberitahu semua bahawa penyakit kanser serviks ini boleh dirawat dan dicegah. Paling penting memberitahu kepada masyarakat bahawa saringan secara berkala dan suntikan vaksin adalah dua cara yang boleh menjauhkan diri daripada penyakit ini.

“Kita tidak mahu keluarga menderita kerana penyakit kanser, sedangkan sesuatu boleh dilakukan dengan kecanggihan dunia perubatan kini,” ujar Anne yang kini disahkan oleh doktor bebas daripada kanser.

Wanita kelahiran Filipina ini berkongsi pengalaman dengan para wartawan dari beberapa negara dari seluruh dunia yang menghadiri Bengkel Untuk Wartawan bertajuk ‘Pencegahan Kanser Serviks dan HPV; Cabaran Untuk Hari Ini dan Esok’ di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

Bengkel Untuk Wartawan anjuran Merck Sharp & Dohme (MSD) ini adalah salah satu program sempena Kongres Antarabangsa Terhadap Penyakit Berjangkit ke-13 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Tiga penasihat perubatan terdiri daripada Pengarah Ginekologi Onkologi Hospital Westmead, Australia, Dr. Gerry Wain; Pensyarah Kolej Perubatan Penang yang juga Penasihat Obstetrik, Ginekologi dan Onkologi Pusat Perubatan Gleneagles, Pulau Pinang, Dr. Suresh Kumarasamy dan Pengarah Kanan Hal Ehwal Polisi dan Perubatan Vaksin HPV untuk MSD, Dr. Randall N. Hyer, hadir pada bengkel tersebut.

Dr. Suresh mengakui ujian pap smear adalah satu ujian yang baik untuk mengelakkan kanser serviks, bagaimanapun ia bukanlah satu pengukur yang sempurna.

“Namun dengan menjalaninya sebagai rutin, ia mampu mencegah penyakit itu dari menular ke tahap yang lebih berbahaya,” jelas beliau.

Menangani kanser serviks bukan saja sulit untuk pesakit dan doktor, komplikasi selepas pembedahan pula akan timbul seperti masalah pundi kencing, cirit-birit, sakit di bahagian abdomen, malah pesakit yang baru di peringkat pra kanser pun turut menanggung bahaya yang sama juga.

“Kanser serviks diketahui sebagai kanser kedua yang paling banyak menyerang wanita dan penyebab kematian di seluruh dunia.

“Kajian pada tahun 2002 mendapati, sebanyak 1,492 kes wanita diserang kanser ini dengan 766 kematian,” jelas beliau.

Apa yang boleh dilakukan untuk mengelak penyakit kanser ini ialah dengan pemeriksaan dan juga pengambilan vaksin HPV.

Dr. Gerry pula memberitahu, kuman HPV bukan sahaja boleh menyerang wanita malah lelaki juga.

“Terdapat lebih daripada 100 jenis kuman HPV, daripada jumlah itu 30 boleh menjangkiti kawasan genital lelaki dan wanita yang sebahagiannya boleh mengakibatkan kanser serviks dan penyakit serius lain seperti ketuat genital dan kanser vulva,” ujar beliau.

Seperti yang kita semua sedia maklum, HPV berjangkit melalui perhubungan seks, ini boleh jadi melalui perhubungan kelamin atau sentuhan genital.

“Dianggarkan lebih 630 juta manusia dijangkiti virus ini di seluruh dunia, kira-kira separuh dari jumlah ini adalah orang dewasa yang aktif dalam aktiviti seks dan mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun,” tambah beliau.

Di Australia, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah bajet untuk memberikan suntikan vaksinasi Gardasil secara percuma kepada pelajar perempuan. Ia terbukti mengurangkan kes penyakit kanser serviks di kalangan wanita Australia.

Vaksinasi di Malaysia

Sementara itu, menurut Dr. Suresh, walaupun vaksin Gardasil telah dua tahun diperkenalkan di Malaysia, ia masih belum digunakan secara meluas.

“Kos vaksin tersebut ialah RM450 ke atas, namun bayangkan kos yang perlu ditanggung sekiranya anda telah disahkan menghidap penyakit tersebut,” ujarnya.

Dr. Randall turut mengingatkan wanita bahawa zaman kini mereka terdedah dengan kuman HPV kerana tidak tahu sejarah seks pasangan mereka.

“Walaupun seorang gadis itu baru pertama kali mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki tidak bermakna dia tidak boleh mendapat kanser serviks kerana faktor sejarah seks pasangannya yang tidak diketahui,” tambah beliau.

Justeru, Dr. Randall menyeru kepada orang ramai, pembuat polisi dan kerajaan agar mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan kes kematian akibat penyakit kanser serviks ini.


Ditulis oleh:
Noor Fazrina Kamal

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment