Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 19, 2008

Bolehkah Kanser Prostat Dielakkan

Bercakap tentang kanser, wanita dikaitkan dengan kanser payudara atau pangkal rahim manakala lelaki pula dengan kanser prostat yang dikatakan pembunuh senyap kaum lelaki.

Ia merupakan penyakit yang boleh membunuh kedua tertinggi di kalangan lelaki di Amerika Syarikat. Di Malaysia, ia menduduki tangga keenam dalam carta kanser. Lelaki dikatakan kurang kesedaran dan pengetahuan dalam kesihatan berbanding wanita yang semakin mementingkan kesihatan.

Tahap kesedaran lelaki secara umumnya adalah rendah dan dianggarkan kurang satu peratus lelaki tempatan bersedia menjalani pemeriksaan kesihatan.

Berikut adalah faktor-faktor risiko di luar kawalan:

* Umur. Kanser prostat jarang berlaku kepada lelaki di bawah umur 50 tahun. Walau bagaimanapun, kanser tersebut meningkat secara dramatik selepas peringkat umur itu.

* Bangsa. Lelaki Afrika-Amerika lebih cenderung kepada risiko penyakit ini.

* Genetik. Risiko mendapat penyakit ini adalah tinggi jika salah seorang ahli keluarga lelaki anda pernah dan menghidap penyakit ini.

Jika anda memiliki ciri-ciri seperti di atas, risiko untuk menghidap penyakit ini adalah tinggi berbanding lelaki yang tidak memilikinya. Walaupun tidak mempunyai ketiga-tiga faktor risiko tersebut, langkah berjaga-jaga perlulah diambil.

Tabiat membuat saringan kanser prostat yang berterusan boleh membantu mengesan kanser prostat awal dan mencegahnya dari merebak ke organ- organ yang lain.

Diet Dan Kanser Prostat

Cara yang terbaik untuk mengelakkan faktor risiko lain yang boleh dikawal adalah seperti mengambil makanan berzat dan seimbang

* Lemak. Kurangkan pengambilan makanan dari sumber haiwan yang tinggi kandungan lemaknya. Gantikan daging merah dengan ayam dan bijirin.

* Sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini adalah gizi yang selalu disebutkan oleh mana-mana pakar kesihatan. Pengambilan gizi ini dapat membantu dari segi khasiat dan vitamin. Setengah kajian mengaitkan diet yang tinggi kandungan sayurannya dapat mengurangkan risiko kanser prostat.

* Ikan. Pemakanan ikan yang kaya dengan asid lemak dapat melindung daripada kanser prostat dan juga penyakit lain. Contoh ikan yang kaya dengan asid lemak adalah ikan salmon.

*Obesiti dan kanser prostat

Obesiti boleh dikaitkan dengan kenaikan hormon berhubung kanser prostat. Bersenam sekurangnya 30 minit sehari dapat mengurangkan risiko kanser.

*Suplemen dan kanser prostat

Selain itu, untuk mengurangkan risiko kanser prostat, pengambilan suplemen seperti berikut boleh dipertimbangkan:

* Saw Palmetto dan biji labu. Produk ini telah digunakan dan didapati sangat berkesan. Saw Palmetto diambil secara berasingan atau bersama-sama dengan biji labu, Nettle root atau Pygeum.

Saw Palmetto (Serenoa serrulata) adalah pokok sawit kecil yang tumbuh di pinggiran pantai Atlantik. Ia adalah herba yang paling popular dalam rawatan masalah prostat. Kajian klinikal mendapati herba ini sangat berkesan dalam mengawal pembesaran kelenjar prostat.

Saw Palmetto mengandungi sterol, terutamanya beta-sitosterol yang mampu menghalang enzim 5-alpha reductase. Oleh itu, dihidrotestosteron (DHT) tidak boleh melekat kepada kelenjar prostat. Sebaliknya ia akan dihancurkan dan kemudiannya dikumuhkan (dibuang) dari dalam badan.

DHT merupakan hormon yang bertanggungjawab menyebabkan berlakunya pembesaran kelenjar prostat (BPH).

* Ubat-ubat konvensional seperti Finasteride yang menahan enzim 5-alpha reductase. Oleh itu testosterone tidak boleh bertukar kepada DHT. Terazosin dan doxazosin merupakan produk yang dapat membantu merehatkan otot-otot prostat. Ini seterusnya akan mengurangkan tekanan yang dikenakan ke atas saluran kencing.

Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan bahawa pengambilan ubat tradisional dan suplemen lain tanpa arahan doktor boleh membawa risiko. Oleh sebab yang demikian, adalah perlu untuk mendapat pandangan doktor terlebih dahulu.

*Pengubahsuaian gaya hidup

Pengambilan alkohol akan menghilangkan kandungan zink dan vitamin B6 yang penting untuk prostat yang sihat. Oleh itu, berhentilah mengambilnya.

Zink sangat penting kepada fungsi kelenjar prostat. Prostat menggunakan zink 10 kali ganda berbanding organ yang lain. Zink membantu mengurangkan kandungan prolaktin di dalam darah. Prolaktin didapati meningkatkan penukaran hormon testosteron kepada DHT.

Kurang bersenam akan menyebabkan pengaliran darah menjadi kurang lancar. Ini memberikan kesan yang memudaratkan prostat. Anda digalakkan bersenam mengikut jadual yang ditetapkan – kata-kata kunci di sini adalah bersenam secara konsisten dan bersesuaian dengan tahap kesihatan dan umur anda.

Tekanan perasaan boleh menyebabkan perubahan pada hormon badan anda. Ia mungkin mengaktifkan 5-alpha reductase dan kandungan DHT akan meningkat.

Merokok akan menyebabkan pengumpulan toksin radikal bebas di dalam badan. Ia boleh memburukkan lagi keadaan pesakit BPH.


Ditulis oleh:
Dr Sulaiman Tamanan
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,
Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment