Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, March 18, 2008

Memilih Rawatan Kanser Prostat

Kanser prostat merupakan kanser yang memiliki pelbagai pendekatan dan komplikasi yang berbeza dalam kaedah pengubatannya. Pendekatan yang berbeza juga mempunyai kadar kejayaan yang berbeza.

Pemilihan kaedah rawatan yang paling sesuai bergantung kepada pesakit, doktor dan keluarga pesakit. Memilih rawatan yang sesuai bukanlah perkara yang mudah.

Rawatan-rawatan yang boleh diperoleh termasuklah surgeri, rawatan terapi hormon, kemoterapi dan radioterapi. Namun begitu, setiap rawatan mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri dan berbeza dari rawatan ke rawatan.

Sebelum membuat keputusan, pesakit dinasihati menimbangkan perkara-perkara berikut:

# Memahami secara mendalam tentang jenis-jenis rawatan dan bertanya kepada doktor pakar urologi atau pakar kanser mengenainya

# Membaca dan menyelidik penyakit tersebut sebanyak dan sedalam yang mungkin

# Berbicara dengan mereka yang pernah menghidap kanser prostat serta bertanyakan pengalaman mereka khususnya tentang rawatan.

Terdapat beberapa soalan yang pesakit perlu bertanya kepada doktor dan diri sendiri sebelum membuat keputusan. Antaranya:

# Bolehkah kanser tersebut merebak ke bahagian badan saya yang lain?

# Apakah pilihan rawatan yang ada?

# Apakah tahap kejayaan sekiranya saya memilih salah satu kaedah rawatan itu?

# Adakah bahaya sekiranya penyakit itu berulang?

# Bagaimanakah faktor umur dan gaya hidup mempengaruhi pemilihan rawatan?

Pesakit perlulah realistik dan tidak membuat sebarang keputusan sebelum benar-benar memahami kaedah rawatan, implikasi dan akibat yang mungkin berlaku.

Oleh sebab kelenjar prostat dikelilingi oleh urat dan saraf yang mengawal fungsi zakar dan pundi kencing, kemungkinannya fungsi-fungsi normal ini akan terjejas.

Rawatan bagi kanser prostat bergantung kepada pelbagai faktor termasuklah:

* Umur, tahap kesihatan dan jangka hayat pesakit

* Kadar PSA

* Jenis sel kanser (merebak dengan cepat atau perlahan)

* Tahap kanser

* Kesan sampingan rawatan yang ingin dipilih.

Kanser prostat boleh dirawat sepenuhnya jika berjaya dikesan dan dirawati pada tahap awalnya. Berlainan dengan kanser yang lain, kanser prostat merebak dengan kadar yang perlahan.

Doktor anda mempunyai sebab-sebab tertentu apabila mencadangkan sesuatu cadangan pilihan rawatan bagi anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, usah teragak-agak untuk bertanya kepada doktor yang merawat anda.

Berikut adalah jenis-jenis rawatan yang selalunya dicadangkan kepada pesakit, secara individu atau gabungan:

* Tunggu dan pengawasan yang aktif

* Surgeri/pembedahan

* Kemoterapi

* Radioterapi dan

* Terapi hormon.

Rawatan atau gabungan rawatan yang mana baik untuk anda bergantung kepada perbincangan anda dengan doktor pakar urologi, pakar onkologi dan pakar radioterapi. Dengarlah nasihat mereka. Kalau ada perkara yang tidak jelas, bertanyalah kepada mereka sampai puas hati.


Ditulis oleh:

Dr Sulaiman Tamanang
Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear,

Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment