Peminat Setia Doktor Pakar

Thursday, March 27, 2008

Pemanjangan Tulang Anggota


SELAIN kaki, anggota lain seperti tangan yang mengalami kecederaan traumatik boleh dipulihkan dengan kaedah ini.
Mangsa kemalangan jalan raya yang dahsyat mungkin terpaksa kehilangan anggota badannya kerana diamputasi (dipotong melalui pembedahan) lantaran ada sebahagian tulangnya yang telah hancur – mengakibatkan pemendekan dan perubahan bentuk lengan mahupun kaki.

Keadaan yang serupa juga banyak dialami oleh anak-anak yang baru dilahirkan dan menderita penyakit polio, kerdil ataupun tampak pendek semasa berdiri, patologi pinggul, lutut dan kaki yang bengkok keluar disebabkan oleh penyakit riket, di mana tulang tidak menjadi keras serta cacat akibat kekurangan vitamin D.

Senarionya sedikit berbeza di China. Anda mungkin terpaksa menambah beberapa inci ketinggian untuk mendaki tangga kerjaya di tanah besar itu. Ini kerana ketinggian sering tersenarai dalam syarat keperluan bekerja iaitu lebih 1.65 meter (5 kaki 5 inci) bagi wanita dan lelaki, lebih 1.70 meter.

Malah, wujud trend wanita di China yang dikatakan mencari calon suami yang lebih tinggi, begitu juga dengan lelaki yang mengambil berat tentang meter bakal isteri bagi mengelakkan zuriat yang ketot.

Kerana itulah, ramai juga daripada rakyatnya yang semacam terdesak hingga tidak lokek berbelanja besar khususnya di kalangan mereka yang agak berduit untuk melakukan pembedahan bagi memanjangkan kaki.

Wang Junhong adalah salah seorang daripada mereka yang sanggup memperuntukkan 80,000 yuan (AS$9,700) untuk mendapatkan kira-kira 5 sentimeter (dua inci) lebih ketinggian.

Bagaimanapun, keghairahan itu telah disalah guna oleh klinik-klinik kecil yang mahu mengaut keuntungan lebih apabila menawarkan pembedahan itu di bawah label kosmetik terutamanya kepada warga kota yang pernah melakukan prosedur pembesaran buah dada.

Akibatnya, kerajaan negara itu telah mengharamkan surgeri peregangan kaki seumpama itu kecuali atas alasan rawatan kerosakan tulang atau kaki tangan yang tidak rata disebabkan oleh kecederaan, tumor/ketumbuhan dan lain-lain kecacatan.

Wang antara yang terakhir menjalaninya dan dia juga bertuah kerana tidak menghadapi apa-apa komplikasi seperti kecacatan tulang, anggota yang tidak selari dan jangkitan teruk, seperti yang sering dilaporkan oleh media.

‘‘Berkenaan dengan persoalan ketinggian seseorang individu, memang benar faktor genetik memainkan peranan penting. Pada ketika ini teknologi perubatan yang ada memang boleh menambah ketinggian.

‘‘Walau bagaimanapun, kaedah pembedahan lebih digunakan untuk tujuan rekonstruktif anggota tubuh badan terutamanya selepas kecederaan patah tulang,’’ kata Pakar Ortopedik dan Trauma, Hospital Pakar Putri, Johor Bahru, Johor, Dr. Marvin Joseph Nair.

Pemanjangan tulang untuk tujuan menambahkan ketinggian (bersifat kosmetik) masih merupakan suatu indikasi yang baru dan menjadi topik perbincangan di kalangan doktor pakar ortopedik.

Kaedah pembedahan sedia ada termasuklah teknik Ilizarov, penetap luaran monoplanar, perenggang kinetik rangka intramedula (di dalam sumsum tulang) atau ringkasnya ISKD dan, pembedahan Fitbone.

Menurutnya, teknik Ilizarov mula diperkenalkan dan diterajui di Wilayah Kurgan, Siberia di Rusia pada tahun 1951 oleh Dr. Gavril Abramovich Ilizarov yang hanya dikembang luas ke negara-negara barat pada tahun 1981.

‘‘Teknik Ilizarov ataupun dikenali juga dengan nama teknik penetap cecincin menggunakan sistem cecincin dan wayar yang dipasangkan pada tulang yang menjalani proses pemanjangan secara beransur-ansur iaitu dikenali juga sebagai proses peregangan osteogenesis.’’

Apa Itu Peregangan Osteogenesis

Peregangan osteogenesis merupakan proses pembedahan untuk membina semula kecacatan rangka dan memanjangkan tulang.

Dalam proses ini, tulang akan diceraikan melalui pembedahan dan kedua-dua hujung tulang dipisah dengan cukup perlahan untuk membolehkan tulang baru tumbuh pada ruang yang wujud.

Keunikan dan nilai osteogenesis peregangan terletak pada keupayaannya untuk mengembangkan isi padu tulang dan tisu lembut di sekitarnya.

Pemanjangan sehingga tujuh sm disarankan bagi setiap tulang. Oleh sebab itu, seorang pesakit boleh mencapai pemanjangan tangan ataupun kaki total mencecah 14sm.

Walaupun 12sm untuk setiap tulang pernah dicapai, biasanya ini tidak disarankan kerana ia mengakibatkan tekanan yang kuat kepada badan.

Kadar pertumbuhan tulang bergantung kepada faktor-faktor seperti umur, disiplin dan gaya hidup umpamanya, tulang perokok tumbuh lebih perlahan berbanding bukan perokok.

Walaupun teknologi peregangan telah banyak diguna pakai dalam bidang ortopedik, terdapat bukti yang menunjukkan bahawa proses ini juga boleh digunakan untuk membina semula rangka muka.

Langkah-Langkah Teknik Ilizarov

Tulang-tulang dan saluran-saluran yang hancur dibuang dan meninggalkan ruang. Bahagian tulang atas dipisahkan dengan gergaji luar menjadi dua bahagian. Kaki kemudian dipasang dengan rangka Ilizarov yang menembusi kulit, otot-otot, dan tulang.

Skru yang dipasangkan pada tulang tengah diputar satu milimeter setiap hari agar tisu tulang yang baru tumbuh dapat diregangkan sehingga secara beransur-ansur mengurangi ruang. Pemanjangan satu milimeter sehari paling optimum.

Jika terlalu lambat, tisu tulang akan mengeras sebelum selesai proses pemanjangan manakala pemanjangan yang terlalu cepat akan menyebabkan tisu lembut terbatas dan mengakibatkan bukan sahaja sakit tetapi juga ketidakupayaan mengisi ruang.

Setelah lubang ditutup, pesakit akan meneruskan pemakaian rangka sehingga tulang baru menjadi keras. Biasanya pesakit perlu dirawat hingga 120 hari sebelum kaki boleh digunakan semula.

Teknik Ilizarov ini rentan terhadap jangkitan. Prosedurnya juga cukup menyakitkan, pesakit akan berasa tidak selesa dan menimbulkan parut bedah yang hodoh.

‘‘Bergantung kepada jarak tulang yang perlu digerakkan ataupun dipanjangkan, maka proses ini boleh memakan masa lebih setahun dan pesakit harus menjalani rawatan susulan untuk mengesan masalah yang mungkin timbul seperti kelonggaran pin, jangkitan kuman dan sebagainya.

‘‘Teknik Ilizarov boleh digunakan untuk calon-calon yang sesuai sahaja kerana ia memerlukan rawatan susulan yang agak lama dan tidak ada kepastian yang komplikasi tidak akan timbul sepanjang jangka masa rawatan,’’ kata Dr. Marvin.

Penetap Luaran Monoplanar

Selain sistem Ilizarov, pakar bedah ortopedik juga kerap menggunakan alat penetap luaran monoplanar dari Orthofix untuk tujuan yang sama. Sistem ini menggunakan rel dan pin yang lebih mudah dipasang oleh doktor bedah dan dijaga oleh pesakit.

‘‘Konsep asas osteogenesis peregangan juga digunakan di mana tulang yang telah dipotong (kortikotomi) direnggangkan pada kadar 1mm sehari (0.25mm setiap enam jam).

‘‘Kadar pemanjangan yang perlahan ini memberi kesempatan untuk tulang baru tumbuh di ruang kortikotomi,’’ tambah beliau.

Peregang Kinetik Rangka Intramedula/ISKD

Kemudian, muncul teknologi ISKD yang memungkinkan pemanjangan secara dalaman dan berupaya mengurangkan risiko infeksi dan parut bedah.

‘‘Dengan teknik ini, implan besi/pin yang boleh dipanjang sedikit demi sedikit dipasang terus ke rongga tulang (melalui pusingan lutut atau buku lali). Kulit, otot-otot dan tisu-tisu lain akan menjalani proses adaptasi/penyesuaian selaras dengan proses pemanjangan tulang.’’

ISKD memerlukan pergerakan kaki untuk mengaktifkan peralatan yang membuatnya cukup menyakitkan, terutamanya selepas baru sahaja dibedah.

Risikonya, pesakit kemungkinan terlalu memanjangkan tulang tanpa sengaja, akibatnya, tulang terbentuk dengan cara yang salah.

Pembedahan Fitbone

Metod pemanjangan anggota badan dalaman ini telah menyempurnakan beberapa kelemahan ISKD di mana anggota badan yang hancur mampu diperbaiki dan dipanjangkan tanpa ada parutan dan tidak melalui proses sangat menyakitkan.

Ia dikembangkan di Jerman oleh Augustin Betz dan Rainer Baumgart dengan pembedahan kali pertama dilakukan pada tahun 1996 sebelum dipatenkan setahun kemudian.

Fitbone merupakan peralatan pemanjangan anggota badan yang dapat dipasang di dalam tubuh dan digerakkan secara elektronik. Metod ini memungkinkan tulang-tulang yang hancur disatukan dan dipanjangkan manakala tulang-tulang yang melengkung, diluruskan.

Peralatannya terdiri dari antena yang ditanamkan di bawah kulit, alat penerima dikawal oleh pemancar frekuensi radio genggam.

Namun, rawatan yang dibincangkan di atas tidak dianjurkan bagi orang yang ingin memanjangkan tulangnya beberapa sentimeter demi memperindah penampilan (pembedahan kosmetik).

‘‘Ia memang dapat mengatasi masalah kependekan tulang, walau bagaimanapun proses rawatan memakan masa dan perlu dijalankan dengan rapi untuk mengesan atau mengelakkan komplikasi yang mungkin timbul.

‘‘Lagipun, pembedahan dilakukan dengan mematahkan tulang, pesakit harus menggunakan kerusi roda selama lebih kurang setahun, mengalami rasa sakit dan pertimbangan kosnya,’’ jelas Dr. Marvin.

Bagi mana-mana individu yang mendesak untuk melakukan pemanjangan kosmetik kaki dan tangan ini perlu menjalani penilaian imej tubuh badan bersama-sama dengan pakar psikologi bagi membantu menentukan sejauh mana kualiti hidupnya telah terjejas oleh persepsi kekurangan tinggi, di samping menentukan sama ada pelaksanaan pembedahan akan menyebabkan perbezaan yang besar atau tidak.

Taksiran menyeluruh melibatkan perbincangan-perbincangan terperinci di antara doktor dengan pesakit dan ia menelan masa beberapa bulan. Dalam tempoh ini, doktor-doktor mengharapkan pesakit akan menukar fikiran.


Ditulis oleh:
Shafinaz Sheikh Maznan

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment