Peminat Setia Doktor Pakar

Saturday, March 15, 2008

Mamogram Pantas Kesan Barah Payu Dara


JURU x-ray akan membantu anda semasa melakukan pemeriksaan mamogram.Kelihatan seorang juru x-ray menunjukkan kedudukan mamogram secara tegak.
Masih adakah kehidupan selepas menghidap kanser payu dara? Apakah peluang saya untuk hidup? Persoalan inilah yang sering bermain-main di fikiran penghidap kanser, pembunuh nombor satu golongan wanita di negara ini.

Pengesanan awal sebenarnya boleh menyelamatkan nyawa dan kemungkinan sembuh adalah lebih baik. Oleh sebab itu, pemeriksaan sendiri payu dara setiap bulan, pemeriksaan klinikal dan mamogram sangat mustahak.

Pengarah Eksekutif, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Saunthari Somasundaram berkata, antara sebab utama masyarakat tidak berusaha mendapatkan rawatan kanser kerana tiada keyakinan bahawa mereka mempunyai peluang untuk hidup.

“Wanita yang telah disahkan menghidap penyakit ini tidak mempercayai bahawa penyakit ini tidak boleh dikawal dan mereka hanya fikirkan hal mati.

“Faktor kurangnya pengetahuan tentang rawatan penyakit ini, misalnya, wanita yang berada di luar bandar dan kampung menjadikan jumlah kes kematian akibat kanser ini meningkat.

“Yang jelas, pesakit kanser ini tidak dapat menerima hakikat dan mereka takut kehilangan payu dara.

“Apabila doktor menasihatkan mereka untuk membuang payu dara, mereka tak mahu kehilangan bahagian yang dikatakan `harta’ wanita ini,’’ jelasnya.

Saunthari memberitahu, wanita terutamanya golongan ibu perlu ingat sekiranya mereka tidak mengambil langkah kesihatan, bagaimana mereka hendak menjaga keluarga.

“Wanita mempunyai tanggungjawab yang banyak. Mungkin sokongan daripada keluarga terutamanya isteri memainkan peranan penting.

“Dalam hal ini, suami boleh menemankan isteri mereka untuk melakukan pemeriksaan awal dan apabila disahkan menghidap kanser ini, dorongan untuk melakukan rawatan adalah perlu,’’ ujarnya.

Selain pemeriksaan sendiri di rumah , wanita boleh melakukan mamografi.

“Mamogram ialah satu pemeriksaan payudara menggunakan sinar-X.

“Ia akan mempaparkan kelenjar susu, lemak dan saluran darah serta kelenjar di dalam ketiak. Pemeriksaan ini dilakukan oleh juru x-ray.

“Ia akan menghasilkan imej payu dara yang kemudian akan diproses secara digital dan dicetak pada filem,’’ jelasnya.

Tambah beliau, Doktor Pakar Radiologi akan meneliti filem-filem itu untuk mengesan penyakit payu dara, sama ada kanser atau sebaliknya. Saunthari berkata, adakalanya, kanser payu dara pada peringkat awal hanya dilihat sebagai sekumpulan kalsium halus (mikrokalsifikasi) dan ini hanya dapat dikesan dengan mamogram.

Ditanya kenapa seorang wanita itu memerlukan mamogram, beliau berkata, mamogram dapat mengesan kanser dan juga ketumbuhan yang bukan kanser, yang masih terlalu kecil untuk dirasa oleh anda atau pun doktor anda.

“Mamogram boleh mengesan ketumbuhan dua tahun lebih awal sebelum ia dapat dirasa semasa membuat pemeriksaan.

“Ia juga boleh mengesan perubahan pada tisu-tisu payu dara yang boleh menunjukkan tanda-tanda kanser pada peringkat awal.

“Hakikatnya, saringan mamogram di kalangan kaum wanita yang tidak mempunyai apa-apa gejala penyakit payu dara telah menurunkan kadar kematian disebabkan kanser payu dara,’’ ujarnya.

Menurut Saunthari , mamogram merupakan satu cara yang terbaik untuk mengesan kanser payu dara.

“Bagi kaum wanita yang berusia lebih dari 50 tahun, kelenjar-kelenjar susu biasanya digantikan dengan tisu-tisu lemak.

“Ini membolehkan mamogram mengesan ketumbuhan-ketumbuhan payu dara dengan mudah.

“Secara amnya, kaum wanita yang muda mempunyai lebih banyak kelenjar susu daripada lemak,’’ katanya.

Sementara itu, jelas beliau, pada usia ini mamogram tidak begitu berkesan, sebaliknya pemeriksaan ultrabunyi lebih sensitif untuk mengesan ketumbuhan payu dara.

“Mamogram juga tidak disarankan secara rutin untuk kaum wanita yang berusia 35 tahun ke bawah.

“Perlu diingat bahawa lebih kurang sepuluh peratus kanser payu dara tidak dapat dikesan melalui mamogram,’’ ujarnya.

Oleh yang demikian, semua wanita dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan payu dara sendiri setiap bulan.

“Dengan penggunaan peralatan mamografi yang terkini kesan sinaran radisi pada payu dara adalah sangat rendah.

“Risiko kesihatan menjalani pemeriksaan mamogram adalah lebih baik dan rendah daripada risiko menghisap sebatang rokok,’’ katanya.

Saunthari menjelaskan, di pusat Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, prosedur mamogram mengambil masa kurang dari 20 minit.

“Selepas anda membuka baju dari paras pinggang ke atas, (pakai pakaian seperti seluar dan kemeja) juru x-ray akan memposisi payu dara anda di atas permukaan meja mamografi.

“Kemudian perlahan-lahan payu dara anda akan ditekan menggunakan plat yang terdapat pada mesin.

“Selepas itu dedahan x-ray akan dibuat. Secara automatik tekanan pada payu dara akan dilepaskan setelah dedahan selesai.

“Dua keping filem x-ray akan diambil bagi setiap sebelah payu dara melalui sudut yang berlainan,’’ katanya.

Saunthari berkata, dengan kerjasama pesakit dan pengalaman yang ada pada juru x-ray, tekanan yang dibuat pada payu dara anda hanya menyebabkan sedikit rasa kurang selesa dan kebanyakan wanita menganggapnya tidak begitu sakit.

“Antara persediaan yang perlu dilakukan ialah merancang pemeriksaan anda selepas haid atau apabila payu dara anda berasa tidak sakit dan tegang.

“Sekiranya kafien boleh menyebabkan payu dara anda berasa sakit dan tegang, berhenti mengambil produk mengandungi kafein (kopi, teh, coklat dan air bergas) seminggu atau dua minggu sebelum temu janji,’’ jelasnya.

Selain itu, pada hari temu janji, pakailah kemeja dan seluar kerana anda perlu membuka baju dari paras pinggang ke atas.

Saunthari menasihatkan, jangan menggunakan deodorant, minyak wangi, bedak atau krim pada bahagian payu dara atau ketiak kerana bahan-bahan ini kadangkala akan menjejaskan keputusan mamogram anda.

INFO

Bilakah anda perlu menjalani pemeriksaan mamogram?

# Semua kaum wanita yang berusia 20 tahun ke atas perlu membuat pemeriksaan sendiri payu dara setiap bulan. Masa yang paling baik untuk membuat pemeriksaan ini ialah pada hari ketujuh hingga sepuluh selepas haid.

# Pemeriksaan asas mamogram perlu dijalankan sekurang-kurangnya sekali ketika anda berusia antara 35 hingga 40 tahun. Ini perlu untuk perbandingan pada masa-masa akan datang.

# Kaum wanita yang berusia antara 40 hingga 50 tahun perlu menjalani pemeriksaan mamogram setahun sekali. Sekiranya pemeriksaan sendiri payu dara setiap bulan normal.

# Selepas usia 50 tahun, mamogram perlu dijalankan dua tahun sekali, bagaimanapun ia boleh dilakukan setahun sekali atas nasihat doktor anda.

# Dinasihatkan supaya payu dara anda diperiksa oleh doktor anda setahun sekali.

# Sekiranya anda mempunyai simptom (gejala) seperti perubahan pada kontur payu dara, lekukan, ketulan atau lelehan yang bercampur darah dari puting, sila berjumpa dengan doktor anda. Sekiranya doktor anda menasihatkan anda supaya menjalankan pemeriksaan mamogram. buatlah dengan segera.

Ingat! Sembilan daripada ketumbuhan di payu dara bukan kanser.


Ditulis oleh:

Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. salam semua… sebenarnya punca utama semua jenis kanser adalah kekurangan Vitamin B17/Amygdalin… boleh buat search di google pasal ubat B17 nie adalah penawar/ubat kepada semua jenis kanser tak kira tahap brape pun.. B17 nie tggi dalam biji aprikot, biji buah2an berry mcm acai berry, burberry, anggur, epal, kacang hijau, ubi kayu, daun sireh, daun belalai gajah, keladi tikus… tu sbb org2 tua dulu kadar kanser sgt kurang sbb mereka mengamalkan makan ubi kayu, daun sireh, ulam2an, keladi.. kita skrg mmg xmakan atau kurang makan bnda2 mcm ni, tu yg kanser terlalu tggi dlm zaman kita… sesiapa yg ingin mendapatkan ubat kanser iaitu B17 + Bromilin + Graviola… boleh hubungi saya 019-9362993, atau emel di hubby_sr@yahoo.com atau join group facebook ‘PENAWAR/UBAT KANSER’.. sesuai utk merawat semua jenis kanser tak kira tahap brape… InsyaAllah boleh sembuh sepenuhnya dlm masa 2-3 bulan sekiranya mengikut tatacara yg betul.. atau boleh ke blog sya: ubatkanserb17.blogspot.com

    ReplyDelete