Peminat Setia Doktor Pakar

Wednesday, March 12, 2008

SLE : Tangguh Hamil

SOALAN:
Doktor, saya telah disahkan SLE sejak awal tahun 2004. Tanda-tanda awal saya menghidap penyakit itu termasuklah demam dan juga bengkak seluruh sendi.

Ketika itu saya seperti seorang yang telah lumpuh. Namun selepas diberikan rawatan prednisolone, sakit sendi saya beransur sembuh. Cuma kadang-kadang sahaja sakit sendi itu menyerang tetapi pulih selepas beberapa hari.

Pada Julai 2005, saya dikesan mengalami kencing kotor dan dalam masa yang sama saya disahkan mengandung. Ketika itu doktor telah menaikkan dos prednisolone saya kepada 16 biji sehari.

Ketika kandungan saya masuk tiga bulan, badan saya mula membengkak dan saya telah dimasukkan ke hospital untuk menghilangkan bengkak dengan memasukkan ubat kencing.

Saya hanya dibenarkan minum satu liter air sehari dan mengambil lebih kurang 25 biji ubat sehari. Setelah keluar dari hospital saya mengalami demam yang kuat setiap hari.

Sekali lagi saya dimasukkan ke hospital dan doktor masih mencari punca kenapa saya demam setiap hari. Akhirnya ketika usia kandungan saya 18 minggu, saya mengalami keguguran.

Soalan saya, adakah keguguran saya itu disebabkan dos ubat yang terlalu tinggi? Doktor, adakah saya masih mempunyai peluang untuk mengandung dan melahirkan anak?

Akhir sekali, adakah kehamilan yang tidak dirancang boleh menyebabkan keguguran bagi pesakit SLE seperti saya?

Salina

JAWAPAN:
Eritematosus lupus sistemik (SLE atau Lupus) merupakan sejenis penyakit tisu konektif sistemik yang dicirikan oleh tempoh penyakit aktif dan tempoh remisi.

Penyakit lupus kerap didiagnosis ketika berusia 30 tahun apabila pesakit menunjukkan gejala-gejala yang tertentu.

Punca SLE tidak diketahui, tetapi ia melibatkan genetik dan faktor alam sekitar seperti cahaya ultraviolet atau infeksi/jangkitan virus.

Terdapat autoantibodi bukan organ spesifik dan pembentukan kompleks imun yang menyebabkan vaskulitis dan glomerulo nefritis.

Sendi merupakan bahagian tubuh yang kerap menunjukkan gejala penyakit.

Bahagian tubuh yang juga boleh menunjukkan ciri-ciri penyakit lupus termasuklah kulit, buah pinggang, perikardium, otak dan darah.

Pesakit disahkan menghidap penyakit lupus apabila memenuhi kriteria klinikal dan makmal seperti yang dianjurkan oleh Persatuan Reumatik Amerika.

Kehamilan meningkatkan risiko penyakit menjadi aktif di antara 40 peratus hingga 60 peratus. Selalunya kulit dan sendi-sendi adalah bahagian tubuh yang kerap terlibat.

Ia boleh berlaku pada bila-bila peringkat usia kandungan dan juga ketika tempoh berpantang. Adalah sukar untuk menentukan bilakah seseorang pesakit lupus itu akan mendapat penyakit aktif.

Walaupun ada ubat steroid ditinggikan, ini tidak menjamin yang penyakit tidak akan menjadi aktif ketika hamil.

Jika seseorang wanita hamil itu penghidap lupus yang melibatkan buah pinggang (lupus nefritis), kehamilan tidak menjejaskan fungsi buah pinggangnya untuk jangka masa panjang.

Ini termasuklah juga wanita yang baru dikenal pasti menghidap lupus nefritis ketika hamil. Sebaik-baiknya kehamilan ditangguhkan sehingga enam bulan selepas penyakit aktif pulih.

Risiko yang meningkat bagi keguguran, kematian dalam kandungan, preeklamsia, kelahiran pramatang dan tumbesaran terganggu dalam kandungan adalah berkaitan dengan ibu-ibu yang menghidap lupus nefritis, darah tinggi atau penyakit aktif dari awal mengandung ataupun yang baru didiagnosis dengan lupus ketika sedang mengandung.

Sebaliknya, jika pesakit lupus yang tidak mengalami darah tinggi atau lupus nefritis berada dalam remisi, risiko keguguran dan kematian dalam kandungan serta preeklamsia sama seperti ibu yang normal.

Sebelum mengandung, pesakit lupus sebaik-baiknya berbincang dengan doktor bagi menentukan tahap kesihatan mereka.

Kehamilan yang tidak dirancang boleh menyebabkan keguguran jika penyakit lupus dalam peringkat aktif.

Peluang untuk kelahiran hidup adalah lebih tinggi jika persenyawaan janin berlaku semasa peringkat remisi.

Rawatan semasa mengandung akan ditangani bersama oleh pakar perubatan dan pakar perbidanan.

Jika penyakit lupus kembali aktif semasa mengandung, rawatan dengan steroid merupakan pilihan utama. Dos steroid yang tinggi bukan punca yang menyebabkan keguguran.

Puan masih mempunyai peluang untuk mengandung dan melahirkan anak jika mendapatkan nasihat kaunseling dan rawatan rapi daripada doktor pakar sebelum mengandung dan seterusnya sehingga selamat bersalin.

Panduan untuk pesakit SLE

Diet

* Kenali makanan yang sesuai dengan sistem pertahanan tubuh masing-masing

* Makan makanan seimbang dan berkhasiat

Senaman

* Senaman membantu memperbaiki pergerakan sendi

* Elakkan dari melakukan senaman lasak

Stres

* Elakkan stres kerana ia boleh menyebabkan penyakit ini menjadi aktif

* Sentiasa berfikiran positif

Perlindungan kulit

* Memakai pelindung matahari SPF 45

* Menggunakan payung, topi atau baju lengan panjang bagi mengelakkan terkena pancaran matahari

* Memakai kaca mata hitam

Ubat-ubatan

* Makan ubat mengikut arahan doktor

* Jangan sesekali berhenti makan ubat tanpa arahan doktor

* Jangan makan ubat hospital bersama ubat-ubat lain kerana dikhuatiri interaksi antara ubat boleh berlaku

Rawatan susulan

* Patuhi jadual susulan yang ditetapkan - (Sumber Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Persatuan SLE Malaysia)


Ditulis oleh:

Dr Kamsuraini Ibrahim
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. cuba ikhtiar dgn produk SNE, ada yg bebas dr penyakit ini selepas menggunakan produk ini
    www.produksne.com.my

    ReplyDelete