Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, March 30, 2008

Air Liur Berdarah, Busuk

SOALAN:
Doktor, saya ingin bertanya tentang masalah kesihatan yang sedang saya alami sekarang. Saya kini berusia 21 tahun. Mei lalu, saya mengalami batuk yang agak teruk di mana saya terbatuk sehingga tidak dapat dikawal lalu termuntah. Sekarang saya dah okey tetapi yang menjadi masalahnya, setiap hari apabila bangun dari tidur dan meludah, terdapat darah di dalam air liur saya.

Ia berlaku hampir setiap hari dan boleh dikatakan, setiap hari pasti ada keadaan di mana air liur saya berwarna coklat cair, sangat busuk dan meloyakan seperti najis. Apakah masalah yang sedang saya hadapi ini kerana kebanyakan doktor yang saya tanya rata-ratanya tidak dapat memberikan jawapan yang pasti.

Saya merokok, tidak minum arak dan pernah beberapa kali melakukan seks oral tetapi selepas masalah ini berlaku, saya tidak melakukan tabiat itu lagi kerana bimbang masalah boleh jadi bertambah buruk. Saya amat berharap pihak tuan dapat merungkaikan permasalahan yang cukup membelenggu ini.

Mike,


JAWAPAN:
Masalah batuk boleh disebabkan oleh beberapa perkara. Puncanya boleh bermula dari paru-paru ataupun tekak.

Seseorang yang kuat merokok boleh mengalami batuk setiap pagi yang dikenali sebagai ‘batuk perokok’. Ini berpunca daripada asap rokok yang terkumpul dari hari sebelumnya menyebabkan kerengsaan ke atas bahagian paru-paru ataupun tekak.

Batuk ini boleh mengeluarkan kahak yang putih dan jika ia mengalami jangkitan kuman yang kerap berlaku, menyebabkan pendarahan.

Pendarahan itu mungkin merah bila pendarahan berlaku semasa sedang batuk ataupun darah lama terkumpul yang berwarna coklat atau kehitaman. Ia mungkin mengeluarkan bau yang busuk.

Kanser tekak juga boleh memberikan simptom yang sama, selalunya diiringi oleh perubahan pada suara.

Saya nasihatkan agar saudara berhenti merokok supaya bahagian tekak dan paru-paru mendapat rehat dari asap rokok yang mungkin akan memulihkan keadaan.

Jika masalah ini berterusan, berjumpalah seorang doktor pakar supaya pemeriksaan lanjut dapat dilakukan dan masalah sebenar diketahui dan dirawat.


Ditulis oleh:
Dr Loganathan Athanari
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT),
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment: