Era teknologi maklumat telah memberikan satu dimensi baru dalam urusan hidup manusia terutamanya di bandar-bandar. Ia merangkumi kesemua aspek kehidupan manusia dari bidang perindustrian, ekonomi dan sosial masyarakat.
Teknologi maklumat menjadi bidang industri yang menguntungkan sesebuah negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dunia juga ada hubungkaitnya dengan teknologi maklumat (IT).
Sesuatu yang biasa dalam perkembangan dunia IT adalah penggunaan komputer sebagai media utama untuk mendapat dan menyimpan maklumat. Namun, orang ramai perlu tahu kesan penggunaan komputer ke atas kesihatan mata.
Komputer sebagai satu alat Unit Paparan Visual atau Visual Display Unit (VDU) mempunyai beberapa kesan terhadap kesihatan manusia terutamanya kepada mata.
Terdapat garis panduan yang jelas dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan di bawah Kementerian Sumber Manusia tentang cara penggunaan peralatan VDU yang selamat bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pekerja.
Masalah utama yang diakibatkan dengan penggunaan komputer (VDU) adalah masalah visual dan sistem musculoskeletal (pergerakan menggunakan otot dan tulang).
Antara sebab simptom tersebut adalah:
1. Duduk pada kedudukan yang sama, terlalu lama dan penumpuan pada skrin komputer secara berpanjangan.
2. Kedudukan komputer yang tidak betul.
3. Pencahayaan yang tidak betul termasuk silau dan pembalikan cahaya.
4. Kontras yang kurang baik pada skrin komputer.
* Kesan terhadap kesihatan secara umum
Kesan terhadap kesihatan umum adalah seperti lenguh pada bahagian bahu, lengan, leher dan belakang. Simptom ini biasanya akan hilang selepas berehat atau tidur.
* Kesan penggunaan komputer terhadap mata
Ibu bapa selalu bertanya tentang kesan penggunaan komputer terhadap kesihatan mata anak. Para pekerja pejabat mungkin juga tertanya-tanya apakah kesan jangka panjang penggunaan VDU terhadap mata.
Dalam jangka pendek, kesannya adalah seperti:
1. Pedih mata
* Antara sebab mata terasa begitu adalah kerana mata menjadi kering semasa menggunakan komputer. Ini berlaku kerana pengurangan kadar kelipan mata dengan kadar kelipan normal mata adalah 10 hingga 13 kali seminit sementara kelipan mata semasa membuat kerja menggunakan VDU akan menurun antara lima hingga sembilan kali seminit. Tahap kelembapan persekitaran juga boleh mempengaruhi kadar penyejatan air mata. Kadar penyejatan yang tinggi akan menyebabkan mata terasa kering dan pedih.
2. Mata merah
* Mata juga menjadi merah apabila berlaku kekurangan air mata akibat proses penyejatan dan penurunan kadar kelipan mata. Kekurangan air mata akan menyebabkan bekalan oksigen pada kornea menurun. Ini akan menyebabkan tindak balas pembesaran salur darah pada bahagian sklera bagi membekalkan oksigen pada bahagian periferi (tepi) kornea. Pembesaran salur darah ini menjadi punca mata kelihatan merah.
3. Pening
* Pening semasa menggunakan komputer terjadi kerana berlaku gangguan terhadap hubungan akomodasi (kebolehan mata memfokus objek dekat) dan konvergen (penumpuan kedua-dua mata pada satu titik).
Ini biasanya berlaku terhadap kes kerabunan tahap rendah (± 0.50), dengan kadar kerabunan mata kiri dan kanan yang berbeza. Apabila kuasa kedua-dua mata tidak sama, kadar akomodasi semasa bekerja antara mata kiri dan kanan turut berbeza, menyebabkan pening. Akomodasi juga selalunya akan mempengaruhi konvergen. Ini akan mengakibatkan kesejajaran otot ekstrinsik mata tidak normal dan tidak seimbang antara kedua-dua mata dan akan mencetuskan rasa pening. Keadaan ini lebih teruk sekiranya seseorang itu mengalami masalah juling pendam (latern squint).
4. Kelesuan penglihatan (Visual Fatique)
* Kelesuan penglihatan terjadi disebabkan oleh kesan silau dan pembalikan cahaya pada skrin komputer akibat kesan kontras yang tidak baik pada skrin komputer, kedudukan komputer serta sudut skrin yang tidak betul. Selain itu, sistem pencahayaan bilik yang kurang baik juga boleh menyebabkan masalah ini. kelesuan penglihatan juga terjadi kerana keadaan huruf ‘Matrix Dot’ pada sistem komputer memerlukan konsentrasi yang tinggi berbanding ‘Hard copy’ pada buku. Kebolehan mata melihat objek kecil dan menyeluruh (fine and detail) seperti tulisan pada skrin menjadi faktor penting semasa kita membaca. Semakin kecil saiz tulisan semakin dekat ia perlu dilihat. Jelas sekali keadaan ini tidak dapat bertahan lama tanpa meninggalkan kesan kepada mata.
Dalam jangka panjang pula, timbul persoalan sama ada kesan penggunaan komputer akan menyebabkan kerabunan atau menyebabkan kadar kenaikan kuasa refraktif mata, terutamanya rabun jauh. Harus difahami bahawa kerabunan terutama rabun jauh adalah kecacatan refraktif yang antara punca utamanya adalah kerja jarak dekat yang berpanjangan. Kadar perubahan kuasa refraktif rabun jauh adalah ± 0.25 hingga ± 0.50 setahun. Pertambahan kuasa refraktif pada pesakit rabun jauh yang menggunakan komputer tidak boleh dielakkan. Tapi harus difahami bahawa puncanya bukan komputer, tetapi akibat penggunaan komputer dalam jarak dekat yang berpanjangan. Harus diingat bahawa seseorang boleh menggunakan komputer berjam-jam lamanya dan penggunaan seperti ini yang menyebabkan kenaikan kuasa refraktif. Penggunaan komputer sekadar satu atau dua jam tidak begitu mempengaruhi kenaikan kuasa refraktif.
Untuk mengelakkan masalah yang disebutkan di atas terjadi, anda dinasihatkan mengamalkan beberapa tip di bawah:
1. Sesuaikan kerusi dan komputer anda dan bekerja pada jarak paling selesa semasa menggunakan komputer.
2. Ruang kerja yang cukup luas dan mudah mencapai semua dokumen yang diperlukan.
3. Selaraskan papan kekunci komputer pada jarak yang paling selesa dengan kedudukan tangan anda.
4. Letakkan tetikus (mouse) pada ruang yang mudah dicapai.
5. Selaraskan kecerahan dan kontras pada skrin, berpadanan dengan keadaan pencahayaan dalam bilik dan pastikan skrin komputer bersih.
6. Semasa bekerja, amalkan rehat seketika antara lima hingga 10 minit untuk setiap satu jam bekerja.
Sekiranya setelah anda mengamalkan tip di atas tetapi masalah mata anda masih berlarutan, dapatkan nasihat lanjut dan rawatan dari pakar mata anda.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment