SOALAN:
Doktor, saya berumur 18 tahun. Saya menanggung sakit payudara setiap kali selama seminggu atau dua minggu sebelum kedatangan haid.
Hampir setahun saya menghadapi masalah ini. Kesakitan pada payudara saya sering kali mengganggu rutin harian saya sebagai seorang pelajar.
Saya telah membuat pemeriksaan payudara sendiri dan mendapati tiada sebarang kesan benjolan pada payudara saya.
Masalah ini menjadi semakin rumit apabila setiap kali saya mandi kerana saya pasti merasa perit pada bahagian puting.
Apakah masalah sebenar saya? Adakah saya menghadapi risiko terkena kanser?
Gadis Derita,
Pahang
JAWAPAN:
Sakit payudara ini adalah satu keadaan yang dialami oleh ramai wanita iaitu hampir 70 peratus wanita akan mengalami sakit payudara pada sesuatu masa.
Anda risau mengenai barah payudara apabila mengalami sakit ini.
Adalah didapati kurang daripada 3 peratus wanita yang mengalami sakit ini menghidapi barah payudara dan golongan wanita seperti ini biasanya ada tanda-tanda lain.
Ramai wanita yang mengalami sakit payudara sebelum kedatangan haid. Biasanya kedua-dua payudara terasa sakit pada masa yang sama dan sakit ini terasa sehingga ke ketiak.
Tiada ketulan atau benjolan yang didapati pada payudara dalam keadaan ini.
Masalah ini biasanya mula terjadi pada umur 20-an atau 30-an dan berakhir apabila menopaus dicapai.
Keadaan ini terjadi sebab payudara sesetengah wanita lebih sensitif kepada perubahan hormon.
Langkah-langkah yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan sakit ini adalah seperti berikut:
1) Memakai pakaian yang tidak terlalu ketat.
2) Pengambilan diet makanan yang kurang lemak
3) Cuba elakkan minuman seperti kopi dan minuman ringan bergas
4) Mengambil EPO (evening primrose oil) atau suplemen vitamin E.
Kebanyakan cara untuk mengubati keadaan ini akan mengambil masa beberapa bulan untuk menunjukkan hasil.
Maka anda perlulah bersabar dan jangan putus asa. Jika cara dan ubat ini mengurangkan sakit maka sebaiknya diambil berterusan untuk sekurang-kurangnya enam bulan.
Jika berterusan, cuba berjumpa doktor pakar untuk nasihat dan ujian lanjut.
Ditulis oleh:
Dr Fatima Najla KM Muhd Jaafar
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan,
Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC)
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/
assalamualaikum.saya pelajar berusia 15 tahun . sy menanggung sakit payudara selama 1 minggu. walhal , haid sy sudah lepas . di sebelah kanan payudara mempunyai kesan merah . kadang2 , ia terasa sakit di bawah ketiak . apa masalah saya yg sebenar ?
ReplyDelete