Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, June 01, 2008

Merawat Dystonia, Parkinson

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini muncul sebagai institusi perubatan ketiga di negara ini yang menggunakan kaedah rawatan Stimulasi Dalaman Otak (DBS) bagi merawat penyakit masalah gangguan pergerakan (movement disorder).

Penguasaan kepakaran oleh HUSM itu memberi harapan baru kepada penghidap penyakit seperti Dystonia dan Parkinson untuk melalui semula kehidupan normal yang diragut oleh penyakit yang selalunya dikatakan mustahil dapat dipulihkan.

Penyakit gangguan pergerakan berpunca daripada komplikasi otak yang menyebabkan pesakitnya terketar-ketar dan sering kekejangan otot hingga membataskan pergerakan.

Malah dalam sesetengah kes, mereka tidak dapat lagi menguruskan diri tanpa bantuan orang lain dan ini memberi impak yang serius kepada tahap keadaan kestabilan psikologi penghidap dan kehidupan keluarga.

Kaedah pembedahan DBS yang menempuh pelbagai peringkat pembaharuan terkini, diperkenalkan di Eropah pada tahun 1960-an dan mula dipraktikkan di negara ini kira-kira lima tahun lalu oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya dan pusat perubatan swasta, Sunway Medical Centre.

Berdasarkan pada rekod perubatan, penggunaan kaedah DBS merupakan teknologi terkini pada masa ini yang dapat mengawal masalah penyakit berkenaan daripada menjadi semakin serius.

Walaupun ia tidak dapat memulihkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya ia membantu memberikan kualiti hidup yang lebih baik kepada pesakitnya.

Namun kaedah DBS memerlukan kos antara RM80,000 dan RM140,000 bagi setiap pembedahan tidak termasuk kos rawatan susulan bagi menukar bateri khas yang dipasang di bawah kulit dada pesakit iaitu sebanyak RM20,000 bagi setiap lima tahun sekali.

Kekangan kewangan ekoran kos rawatan yang tinggi menjadi beban utama pesakitnya untuk mendapat rawatan seumpama itu di samping kebimbangan mereka terhadap pemasangan alat sokongan mekanikal perubatan tersebut ke dalam otak.

Kini pesakit berpendapatan rendah yang memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan mampu menarik nafas lega apabila HUSM sedia merawat penyakit itu dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh hospital.

Ketua Jabatan Neurosains HUSM, Profesor Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, HUSM adalah hospital untuk semua tanpa mengira perbezaan latar belakang pesakitnya dengan memberikan keutamaan kepada golongan susah yang berpendapatan rendah.

Menurut beliau, setiap pesakit yang dikesan menghidap penyakit berkenaan terlebih dahulu didiagnos oleh pakar perubatan dengan membekalkan pelbagai jenis ubatan bersesuaian dengan tahap dan keseriusan penyakit yang dideritai mereka.

"Setelah melalui pelbagai diagnosis dan kaedah rawatan yang diperlukan, barulah pesakit yang layak akan dinasihatkan untuk menjalani pembedahan menggunakan kaedah rawatan DBS ini," katanya.

Jafri berkata, melalui kaedah DBS, dua alat stimulasi mekanikal akan diimplan di kedua-dua bahagian otak pesakit yang akan disambungkan pula dengan wayar elektrikal pada bateri khas yang dipasang di bawah kulit dada pesakit.

Katanya, bateri itu yang perlu ditukar setiap lima tahun sekali akan bertindak sebagai pengawal kepada otak pesakit yang kemudiannya akan memberi isyarat secara terus kepada setiap pergerakan otot-otot anggota badan pesakit yang mampu mengurangkan masalah kekejangan dan terketar-ketar.

"Kaedah DBS ini mula diperkenalkan di HUSM pada bulan Mac tahun lalu dan kini seramai tiga pesakit telah menjalani pembedahan dan dijangka pada bulan Jun ini seramai tiga lagi pesakit akan memasuki bilik bedah bagi melalui kaedah rawatan sama," katanya.

Tambah beliau, kaedah DBS di HUSM lebih kepada rawatan perubatan sosial dengan memberikan rawatan percuma kepada pesakit miskin dan bayaran berpatutan yang lebih murah berbanding hospital lain bagi pesakit yang agak berada.

Jefri mengetuai sekumpulan 12 pakar bagi melakukan pembedahan itu yang terus membantu mengukuhkan HUSM setanding dengan pusat-pusat perubatan ternama di peringkat antarabangsa daripada segi pencapaian

HUSM terutama melalui Jabatan Neurosains pada tahun 2005 telah diiktiraf antara 24 buah pusat penyelidikan dan rawatan terbaik dalam bidang pembedahan neuro di peringkat antarabangsa.

Pengiktirafan itu dibuat oleh London School of Hygiene and Tropical Medicine, United Kingdom berasaskan pada kejayaan HUSM menjalankan purata 900 pembedahan setahun dalam pelbagai jenis penyakit melibatkan otak.

Malah melalui pembedahan yang dijalankan itu, ia turut mencatatkan kadar kematian yang menurun daripada 30 peratus kepada empat peratus dalam tempoh lima tahun pembedahan tersebut dilaksanakan.


Ditulis oleh:
Tarmizi Abdul Rahim

Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment