Peminat Setia Doktor Pakar

Sunday, June 01, 2008

Penawar Kencing Manis Pada Alam Semulajadi

Dianggarkan antara 10 hingga 15 peratus orang Malaysia menghidapi penyakit kencing manis jenis II dan hampir 20 peratus lagi mempunyai pra kencing manis. Malangnya, lebih 50 peratus daripada mereka tidak menyedari menghidapinya. Yang menakutkan ialah bukannya penyakit itu sendiri. Namun jika seseorang itu menghidapi penyakit kencing manis, dia menghadapi risiko lebih tinggi untuk menderita tekanan darah tinggi, aterosklerosis, kegagalan jantung kongestif, neuropati, masalah seksual, osteoporosis, kanser, katarak, kegagalan buah pinggang dan penuaan pramasa.

Memahami Dua Jenis Penyakit Kencing Manis (Jenis I dan II)

Mereka yang menghidapi kencing manis jenis I (kencing manis bergantung insulin) akan mengeluarkan hanya sedikit sahaja ataupun tiada langsung insulin, manakala dalam penyakit kencing manis jenis II (kencing manis tidak bergantung insulin) pankreas terus membuat insulin tetapi badan kita mewujudkan penentangan terhadap kesan insulin itu, maka gula darah tidak dapat memasuki sel-sel dengan cekap sehingga ia menghasilkan paras gula darah yang lebih tinggi.

Apa Sebenarnya Kencing Manis?

Apa yang kita ketahui tentang kencing manis jenis II hanyalah penghuraian tentang gejala dan akibatnya. Apa yang kita selalu lakukan ialah merawati gejala sahaja iaitu kandungan gula dalam darah yang tinggi dan bukan merawat penyakit sebenar secara dasarnya.

Rawatan yang hanya menumpukan usaha untuk merendahkan gula darah dalam kencing manis pada masa yang sama akan meningkatkan paras insulin; ini akan memburukkan lagi keadaan bukan mengubati masalah kepincangan komunikasi metabolik.

Apakah Faktor Yang Menyebabkan Kencing Manis Jenis II?

Disglisemia - Penentangan insulin dan kecacatan pengisyaratan leptin

Pesakit kencing manis jenis II dan pra kencing manis akan mengalami disglisemia. Ia keadaan yang melibatkan pelepasan lebih banyak insulin daripada yang boleh ditangani oleh reseptor sel. Penentangan insulin pada umumnya berlaku sebagai tindakbalas terhadap obesiti (kegemukan) dan/atau kurang senaman. Faktor lain termasuklah pengambilan karbohidrat berlebihan terutama gula dan kanji (nasi, roti, pasta, keropok, kuih- muih, bijirin sarapan pagi, dll). Bahan dalam makanan ini akan menaikkan paras glukosa darah secara berlebihan dan sebagai tindakbalas, pankreas akan melepaskan lebih banyak insulin. Tidak lama kemudian, reseptor sel itu akan menjadi tepu, malahan mungkin tertutup sama sekali dan tidak berfungsi lagi. Oleh itu glukosa dan insulin mula terkumpul dalam aliran darah.

Mengapakah Keadaan Ini Berlaku?

Satu sebabnya ialah kekurangan faktor toleransi glukosa (GTF). Ia wujud secara semulajadi dalam struktur badan terutama dalam hepar. Ia membantu mengaktifkan kegiatan insulin dan mengekalkan metabolisme glukosa yang sihat. Adalah dinyatakan bahawa apabila badan kita kekurangan GTF, insulin akan mengalami keaktifan yang rendah. Glukosa yang memasuki aliran darah tidak dapat diangkut dengan cekap ke sel kita dengan itu mengakibatkan kenaikan paras glukosa darah yang tinggi.

Satu sebab lain ialah kecacatan dalam pengisyaratan leptin. Hormon leptin sebahagian besarnya bertanggungjawab terhadap ketepatan pengisyaratan insulin dan menentukan sama ada seseorang itu akan menjadi penentang insulin atau tidak. Leptin, sejenis hormon yang dikeluarkan oleh lemak memaklumkan kepada badan dan otak berapa banyak tenaga dipunyai, sama ada memerlukan lebih banyak tenaga (memberi isyarat kelaparan), atau sama ada ia patut membuang sedikit tenaga (tidak kelaparan) dan apa yang harus lakukan terhadap tenaga yang dipunyainya itu (mengeluarkan semula, meningkatkan kawalan pembaikan selular, atau tidak).

Perubahan Gaya Hidup

Perubahan terhadap gaya hidup perlu dilakukan untuk mencegah dan mengawal penyakit kencing manis. Di sini disyorkan beberapa langkah yang praktik:

1) Rancang pemakanan - apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak. Oleh itu:

i) Hapuskan atau kurangkan pengambilan gula - fruktosa, glukosa, sirap jagung, madu, gula sirap, sirap mapel dan jus buah-buahan.

ii) Kurangkan pengambilan karbohidrat tidak berserat: karbohidrat kompleks seperti ubi kentang, nasi, bijirin, pasta, roti, kuih- muih, kek dan pastri.

iii) Makan lebih banyak makanan berserat tinggi, gantikan dengan karbohidrat mudah.

iv) Makan makanan yang mengandungi protein tinggi sihat seperti ikan, telur, daging ayam dan daging putih yang lain dan lemak yang baik seperti minyak zaitun.

2) Senaman

Senaman akan mengurangkan penentangan insulin. Bersenam setiap hari membantu mengekalkan paras gula darah pada tahap rendah. Latihan angkat berat intensiti tinggi dilakukan bersama dengan program pengurangan berat badan yang sederhana, boleh membantu para pesakit kencing manis jenis II memperbaiki pengawalan gula darah.

3) Suplemen semulajadi untuk pesakit kencing manis

Herba-Herba Penting

Herba-herba tertentu seperti kayu manis, banaba dan kunyit adalah diketahui sebagai dapat membantu memperbaiki toleransi glukosa dan menurunkan paras gula darah. Satu rumusan seperti itu yang saya gunakan mengandungi pati larut air yang dipiawaiankan daripada kayu manis dan dicampur dengan banaba. Kajian-kajian menunjukkan pati kayu manis yang larut air boleh meningkatkan kegiatan insulin sehingga beberapa kali ganda. Banaba, sejenis herba yang berasal dari Filipina mengandungi sejenis jisim yang dikenali sebagai asid corosolic dan ia mempunyai ciri-ciri yang dapat menurunkan glukosa darah.

4) Suplemen nutrisi lain

i) Asid alfa lipoik: Dianggap sebagai nutrien penting bagi para penghidap kencing manis.

Dos pengambilannya berjulat antara 50mg hingga 600mg bergantung kepada keparahan masalah itu.

ii) Vanadium: Ia telah terbukti dapat memperbaiki pengawalan glukosa bagi mereka yang menghidapi kencing manis jenis II dengan meningkatkan sensitif insulin. Kerana kemungkinan kesan-kesan seperti insulin yang diperolehi daripada vanadium maka kekurangan mineral surih ini hendaklah sentiasa dijaga bagi mereka yang mengalami ketidaknormalan gula darah.

iii) Kromium: Meningkatkan bilangan reseptor insulin pada sel-sel dan juga kegiatan reseptor tersebut.

iv) Vitamin B1, B2, B3, B5, B6, B12 dan Biotin merupakan pembawa tenaga bio dalam metabolisme selular; meningkatkan keberkesanan metabolik, terutama sekali pada sel-sel hepar, unit pusat bagi metabolisme badan.

v) Vitamin E: Bertindak sebagai pelindung antioksidan bagi membran-membran sel.

vi) Vitamin C: Membetulkan ketidakseimbangan selular yang disebabkan oleh paras gula darah yang tinggi, menyumbangkan terhadap keperluan insulin yang lebih rendah, mengurangkan penyingkiran glukosa dalam air kencing dan melindungi dinding- dinding arteri.

vii) Minyak Ikan: Minyak ikan atau Omega 3 telah pun terbukti sebagai dapat membantu menurunkan gula darah. Ia juga mengekalkan aliran darah yang sihat, terutama sekali dari segi peredaran mikro dan juga ia mempunyai sifat anti inflamasi yang mujarab.

Jika anda seorang penghidap kencing manis atau pra kencing manis, maka keperluan nutrisi anda adalah berbeza. Oleh yang demikian, pilihlah multivitamin dan suplemen mineral yang telah diperkuatkan dengan asid alfa lipoik, vanadium, kromium dan biotin yang berpotensi lebih tinggi serta ditambahi dengan ramuan yang tersebut di atas demi untuk mengoptimumkan kesihatan dan mencegah penyakit.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my/

1 comment:

  1. Disamping ubat hospital spt metformin, suntikan insulin, rawatan alternatif jg berkesan merawat diabetes type 2. Kaedah terapi makanan, herba, dan perubahan gaya hidup. Diabetes type 2 boleh dirawat menggunakan kaedah pemakanan asli dan herba. Ia sangat berkesan dan selamat jika kita tahu punca tepat maslah insulin resistant yakni punca diabetes type 2. Insulin resistant ada kaitan yg kuat dgn darah pekat, kotor, berasid serta membran sel yg terubahsuai atau rosak. Ia disebabkan oleh makanan yg diproses sehingga mengubah sifat asal makanan tersebut spt hydrogenated vegetable oil, white sugar, white rice, white wheat flour iaitu makanan utama kita. Bagaimana hendak mengembalikan insulin resistant kpd insulin sensitive yg normal dgn cepat dan berkesan tanpa kesan sampingan mudarat??? Hanya 1 atau 2 langkah sahaja, tak perlu diet yg ketat atau senaman berat. Dapat meminimumkan dos ubat preskripsi, suntikan insulin, malah dpt berhenti terus mengambil ubat preskripsi jika ikuti langkah tersebut dgn baik.. Sila e-mel nizambidara@gmail.com atau hubungi 016-4369630 (Nizam )..

    ReplyDelete