SOALAN:
Doktor, saya berumur awal 20-an. Saya gemar bersukan dan melibatkan diri dalam sukan ragbi. Sebulan yang lalu, saya mengalami kecederaan semasa dalam permainan.
Kecederaan tersebut menyebabkan tulang bahu (klavikel) kiri saya patah. Alhamdulillah, selepas sebulan, bahu saya semakin pulih tetapi keadaan bahu saya kelihatan menjadi pendek sebelah.
Adakah keadaan seperti ini akan kekal sampai bila-bila? Berapa lamakah saya perlu berehat sebelum kembali aktif bersukan?
Untuk pengetahuan doktor, saya sekarang sudah mula berjoging dan tidak merasakan sebarang ketidakselesaan pada bahagian bahu yang patah. Sekian terima kasih.
Hamba Allah
JAWAPAN:
Kecederaan atau kepatahan tulang klavikel adalah satu perkara yang lazim dalam permainan ragbi kerana impak yang kuat dan terus ke atas tulang tersebut sewaktu permainan.
Kepatahan lazimnya berlaku di kawasan pertengahan tulang klavikel.
Terdapat banyak otot yang terikat terus kepada tulang klavikel ini dan dalam keadaan patah, bahagian tulang yang patah akan ditarik dalam arah berlawanan oleh otot-otot yang terikat padanya, menyebabkan kepatahan itu berselisih atau terjungkit dan sebagainya.
Tulang klavikel yang bercantum dalam kedudukan tersebut akan ‘dirasakan’ seperti pendek, tetapi sebenarnya keadaan ini dinamakan ‘mal-union’ atau tempoh penyembuhan ketika tulang dalam keadaan bengkok.
Keadaan ‘mal-union’ ini akan kekal dan anda akan lama-kelamaan menyesuaikan diri dengan keadaan berkenaan dan merasai seolah-olah tiada apa yang berlaku pada tulang klavikel.
Sekiranya pemeriksaan susulan sinar-X dijalankan menunjukkan tulang telah bercantum sepenuhnya, bolehlah bermain semula seperti sediakala. Ini selalunya memakan masa antara tiga hingga empat bulan.
Dalam keadaan ‘mal-union’, tulang klavikel yang berbentuk tulang meruncing atau terasa tajam dan mungkin boleh menembusi kulit.
Pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan untuk mengelakkan risiko kulit terkoyak oleh tulang klavikel meruncing itu.
Ini berlaku kerana tulang klavikel adalah tulang ‘subcutaneous’ atau di bawah kulit seperti mana tulang ‘kering’ atau shin bone (tibia).
Pembedahan untuk membetulkan keadaan itu adalah pembedahan menipiskan atau menumpulkan tulang ‘mal-union’ tanpa mengganggu kekuatan tulang tersebut.
Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment