Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, June 02, 2008

Berhenti Merokok Beri Manfaat

Orang yang sudah lama merokok sentiasa menghadapi risiko diserang penyakit berbahaya, dan keadaan kesihatan mereka boleh bertambah buruk pada bila-bila masa. Mereka amat terdedah kepada penyakit kronik seperti emfisema dan sakit jantung.

Oleh itu, bukankah sudah tiba masanya untuk berubah demi kesihatan diri? Memang sukar dibayangkan, tetapi perubahan fisiologi jangka panjang yang berlaku dalam badan anda apabila tidak lagi dibelenggu nikotin begitu menakjubkan.

Banyak kempen antimerokok memberi tumpuan kepada kesan buruk yang dialami, tetapi perlu difahami terdapat juga perubahan positif yang berlaku kepada badan apabila anda berhenti merokok.

Dalam tempoh 12 jam selepas anda menghisap rokok terakhir, badan anda mula memulihkan diri. Tahap karbon monoksida dan nikotin dalam sistem akan merosot dengan ketara, dan jantung dan paru-paru akan mula membaiki kerosakan yang disebabkan oleh asap rokok.

Tidak kira kaedah apa yang anda pilih, sama ada berhenti serta-merta, Terapi Penggantian Nikotin (NRT), ubat preskripsi, anda mungkin mengalami gejala tarikan, yang merupakan tindak balas semula jadi badan kepada kekurangan nikotin yang sudah biasa diambil.

Namun, penggunaan salah satu terapi berhenti merokok akan membantu mengurangkan gejala dan memudahkan usaha anda.

Perjalanan Berliku Untuk Berhenti Merokok

Dalam dunia hari ini, di mana komunikasi serta-merta dan keupayaan melakukan berbilang tugasan menjadi lumrah kehidupan, mungkin sukar bagi kita menerima hakikat bahawa usaha berhenti merokok memerlukan masa.

Walaupun terapi hipnosis, akupunktur dan penawar alternatif lain menjanjikan keputusan segera yang kita harapkan, pilihan ini mungkin belum boleh dipercayai dan dianggap tidak terbukti oleh masyarakat perubatan. Malah, dalam percubaan untuk 'berhenti serta-merta' sekalipun, prosesnya mengambil masa, kerana badan perlu menyesuaikan diri kepada kekurangan nikotin yang dialami secara tiba-tiba.

Setakat ini, ada dua kategori terapi utama untuk membantu perokok mengatasi ketagihan dan penggantungan mereka terhadap nikotin.

Ubat preskripsi boleh membantu mengekang atau mengurangkan kesan nikotin dalam badan, lantas mengurangkan ketagihan yang berlaku akibat ketiadaan nikotin. Terapi penggantian nikotin (NRT) pula ialah satu lagi bentuk rawatan yang sudah terbukti dan mudah didapati daripada ahli farmasi. Terapi penggantian nikotin membekalkan jumlah nikotin secukupnya kepada badan anda untuk mengurangkan ketagihan anda, tetapi tanpa kesan membinasa yang dibawa tar dan karbon monoksida daripada asap rokok, yang merupakan punca utama kanser dan penyakit kardiovaskular.

Fleksibiliti NRT juga merupakan satu kelebihan (bergantung kepada tabiat merokok anda) NRT boleh diberikan dalam bentuk tampalan, gula-gula getah atau alat sedut. Tampalan NRT ialah kaedah paling tidak menonjol kerana boleh dipakai seperti plaster manakala gula-gula getah lebih sesuai bagi mereka yang memerlukan pendekatan lebih aktif.

Akhir sekali, alat sedut boleh digunakan oleh mereka yang mahu memegang sesuatu seperti rokok. Walau apa pun bentuk NRT yang anda pilih, anda perlu beransur-ansur mengurangkan jumlah tampalan, gula-gula getah atau kartrij sehingga anda rasa anda tidak memerlukannya lagi.

Namun begitu, harus diingat bahawa anda masih dalam 'keadaan terdedah' sepanjang rawatan. Cuba elakkan tempat, orang atau situasi di mana anda terdorong untuk merokok.

Dapatkan Bantuan Untuk Berhenti Merokok!

Membuat keputusan untuk berhenti merokok boleh menjadi proses yang panjang, sukar dan menguji daya ketahanan. Tetapi sebaik sahaja anda sudah membuat keputusan dan membulatkan tekad, anda perlu memikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk menambah peluang anda berjaya menghentikan tabiat yang membawa banyak mudarat ini.

Selain daripada sokongan daripada kawan-kawan, anggota keluarga dan saudara mara yang sedikit sebanyak dapat membantu anda menghentikan tabiat merokok, terdapat beberapa cara yang boleh membantu anda menguatkan tekad:

>> Siapkan diri - ingatkan diri anda sendiri tentang motivasi dan sebab anda perlu berhenti merokok. Malah, anda boleh membuat senarai dan menampalnya di tempat yang anda sering lihat. Rancangkan sesuatu yang boleh mengalihkan tumpuan, seperti merancangkan tempat untuk pergi atau memikirkan sesiapa yang perlu dihubungi agar fikiran anda tidak kosong.

>> Dapatkan sokongan - kawan-kawan dan keluarga pasti sudah sekian lama menyuruh anda berhenti merokok, jadi dapatkan bantuan dan sokongan mereka untuk menguatkan semangat anda, mengisi masa anda dan bersiap sedia untuk menghidupkan harapan pada saat anda merasa begitu terdesak untuk "menghisap walaupun sebatang". Anda juga boleh mendapatkan sokongan daripada forum dalam talian yang turut disertai oleh orang lain yang cuba berhenti merokok, berkongsi pengalaman dan petua dengan mereka, atau menyertai rakan setugas di pejabat atau kawan yang turut berusaha untuk berhenti merokok.

>> Beri ganjaran kepada diri anda sendiri - semua orang berhak mendapat pujian kerana kejayaan mereka, begitu juga dengan diri anda, yang sanggup menyahut cabaran untuk berhenti merokok sedangkan ramai orang memberi bermacam-macam alasan atau tidak berdaya melakukannya. Jadi, anda perlu mendapat ganjaran kerana melakukan apa yang orang lain tidak boleh lakukan. Rancangkan keraian kecil setiap minggu, seperti membeli hadiah kecil untuk diri anda sendiri, yang nilainya sama dengan jumlah wang yang anda belanjakan untuk rokok.

Kaunseling

Kaunseling profesional adalah satu lagi bentuk sokongan yang boleh menambah peluang untuk anda berjaya menghentikan tabiat merokok. Namun, ia bukanlah satu pilihan yang mudah dilakukan bagi kebanyakan orang. Cabaran inilah yang mengilhamkan program Pembekal Perkhidmatan Berhenti Merokok Bertauliah (CSCSP), yang membantu melatih ahli farmasi masyarakat untuk memberi nasihat dan sokongan kepada perokok yang cuba berhenti merokok.

Selain itu, Kementerian Kesihatan mengendalikan lebih 100 Klinik Berhenti Merokok yang terletak di seluruh negara. Klinik ini mempunyai pakar penjagaan kesihatan profesional terlatih yang memberi nasihat (kaunseling) dan ubat (Terapi Penggantian Nikotin atau NRT) untuk membantu perokok berhenti merokok, kerana kajian menunjukkan bahawa NRT semata-mata menggandakan kadar kejayaan berhenti merokok selama satu tahun. Kadar kejayaan ini lebih tinggi bila terapi disertakan dengan kaunseling.

Sekiranya anda tidak dapat mengunjungi salah satu daripada klinik ini, anda boleh menghubungi Quitline, satu berpangkalan di Sabah dan satu lagi di Pulau Pinang, untuk bercakap dengan seseorang yang boleh membantu anda memulakan perjalanan untuk berhenti merokok.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment