Peminat Setia Doktor Pakar

Monday, June 23, 2008

Asid Lemak Perlu Merangsang Minda

SOALAN:
"Saya mempunyai seorang anak lelaki yang sedang belajar dalam tahun dua. Saya dapati prestasi pelajarannya tidak memberangsangkan. Dia agak perlahan dalam memahami apa yang diajar dan sukar memberi tumpuan. Selain daripada galakkan dan sokongan emosi, adakah khasiat pemakanan boleh membantu?,".


JAWAPAN:
Pemakanan yang baik bukan sahaja penting untuk kesihatan dan tumbesaran secara fizikal, tetapi juga sangat penting untuk perkembangan otak seseorang. Perkembangan otak yang optima yang bermula di peringkat kehamilan boleh dirangsang dengan pemakanan seperti asid lemak perlu. Asid lemak ini tidak boleh dihasilkan oleh tubuh manusia dan dengan itu ia perlu diambil daripada makanan. Pengambilan asid lemak ini penting kerana otak manusia itu sendiri terdiri daripada 60 peratus lemak dan dengan itu adalah penting untuk memilih lemak yang betul untuk menyokong perkembangan dan fungsinya yang normal.

Kekurangan asid lemak dikaitkan dengan masalah tingkahlaku dan pembelajaran kanak-kanak, seperti ADHD (masalah kurang tumpuan dan hiperaktiviti), disleksia (disfingsi yang melibatkan bahasa seperti membaca dan pembelajaran bahasa) dan autisme serta mengganggu sistem penglihatan.

Asid lemak omega-3 dan 6 meningkatkan fleksibiliti dan kebendaliran membran (terutama dalam otak) yang penting untuk pengisyaratan sel yang optima. Penglihatan dan perkembangan kognitif kanak-kanak boleh dipertingkatkan dengan memberi makanan yang mengandungi asid lemak perlu, manakala pengambilan ikan semasa hamil boleh membantu kesihatan otak dan penglihatan bayi.

Bagi kanak-kanak formulasi gabungan yang seimbang dengan Asid Dokosaheksanoik (DHA), Asid Gama Linolenik dan Asid Arakidonik (AA) adalah penting dalam pembentukan dan perkembangan sel saraf otak dan mata. Asid-asid lemak perlu ini penting dalam merangsang kecerdasan minda, memandangkan ia memainkan peranan penting dalam transmisi isyarat antara saraf.

Selain itu, bagi ibu-ibu hamil, pengambilan asid-asid lemak perlu bukan sahaja untuk perkembangan janin yang normal tetapi juga untuk ibu itu sendiri. Ini berdasarkan kajian yang menunjukkan bahawa asid lemak omega-3 ini juga bermanfaat dalam membantu masalah kemurungan selepas bersalin.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment