Peminat Setia Doktor Pakar

Tuesday, May 13, 2008

Rawatan Percuma Semua Peringkat

Tanggal 6 Mei lalu merupakan sambutan Hari Asma Sedunia 2008 yang disambut pada hari Isnin pertama bulan Mei setiap tahun. Bagaimanapun, sambutan Hari Asma Sedunia peringkat kebangsaan di negara ini berlangsung hari ini bagi membolehkan lebih ramai penyertaan umum.

Asma atau lelah merupakan sejenis penyakit kronik melibatkan masalah salur udara yang menyerang kanak-kanak mahupun golongan dewasa.

Mengikut perkiraan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kini terdapat kira-kira 300 juta penghidap asma di seluruh dunia dengan 255,000 pesakit direkodkan meninggal dunia akibatnya pada 2005, di mana 80 peratus daripadanya di negara berpendapatan rendah atau sederhana.

Penyakit ini juga berkait rapat dengan alahan (alergi) tetapi bukan semua pesakit asma mengalami alahan. Kanak-kanak dengan sejarah keluarga menghidap asma atau alahan juga merupakan paling berisiko menghidap asma. Punca sebenar penyakit ini masih samar tetapi kajian ke atas pasangan kembar menunjukkan faktor genetik menyumbang sebanyak 75 peratus perkembangan asma peringkat kanak-kanak.

Penyelidikan perubatan juga menunjukkan lebih banyak budak lelaki menghidap asma berbanding budak perempuan. Namun, sebaliknya yang berlaku selepas dewasa dengan wanita lebih banyak menghidap asma.

Pesakit

Anggaran peratusan pesakit asma di Malaysia berbeza mengikut umur, dengan lapan peratus di kalangan kanak-kanak antara umur enam hingga tujuh tahun, 10 peratus yang berumur 13 hingga 14 tahun dan empat peratus di kalangan orang dewasa.

Pakar Runding Pediatrik dan Pakar Perubatan Sakit Dada Hospital Kuala Lumpur, Dr. Asiah Kassim menjelaskan, selain perbezaan mengikut usia, terdapat juga perbezaan dalam bilangan pesakit mengikut tempat tinggal.

"Bilangan pesakit dari kalangan penduduk luar bandar didapati kurang sedikit berbanding dari bandar.

"Faktor yang menyebabkan perbezaan bilangan pesakit ini bagaimanapun masih belum dapat dipastikan buat masa ini," katanya.

Pesakit dan keluarga pesakit disarankan memahami penyakit tersebut dan mendapatkan rawatan berterusan yang bersesuaian dengan tahap kawalan asma mereka.

Dr. Asiah menyatakan pesakit asma yang turut menghidap resdung sinus (allergic rhinitis) juga perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan asma mereka menjadi tidak terkawal.

"Gabungan dua penyakit tersebut memerlukan rawatan berbeza bagi mengelakkan asma pesakit menjadi lebih teruk.

"Serangan asma teruk berulang kali boleh menyebabkan kesan berangkai, terutamanya kepada murid yang tidak dapat hadir ke sekolah," ujar beliau.

Dr. Asiah menjelaskan kesan berangkai ini akan membawa masalah dalam keputusan peperiksaan, peluang kemasukan ke universiti dan akhirnya menyukarkan pesakit mendapatkan kerja yang baik kelak.

Namun, ini dapat dielakkan jika pesakit dapat mengawal asma mereka dengan baik sehingga membolehkan mereka menjalani hidup normal seperti orang lain. Tidak menghairankan juga ramai ahli sukan dan atlet pemenang pingat Olimpik yang menghidap asma kerana mereka berjaya mengawal simptom asma yang dihadapi dengan baik.

Dr. Asiah turut menegaskan pematuhan arahan mengambil ubat merupakan masalah utama dalam mengawal simptom asma.

"Ramai pesakit yang tidak menggunakan ubat yang diberikan doktor atau tidak mengikut jadual secara konsisten. Ini akhirnya menyebabkan usaha pengawalan asma mereka gagal dicapai," tegasnya.

Kata beliau, pesakit yang dapat mengawal asma mereka jarang mendapat serangan asma yang teruk, kurang memerlukan rawatan tambahan dan tidak perlu ditahan di dalam wad.

Dr. Asiah menjelaskan pesakit yang mengalami serangan asma yang teruk mungkin memerlukan bantuan pernafasan (oksigen) dan perlu ditahan untuk pemantauan.

"Perlu diingatkan bahawa asma yang tidak terkawal boleh membawa maut akibat daripada kesesakan nafas. Oleh itu, jangan dibiarkan penyakit tersebut tanpa kawalan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Asiah memaklumkan bahawa pesakit asma merupakan antara yang paling banyak hadir ke unit kecemasan.

Kawalan

Seperti kebanyakan penyakit kronik lain, kajian terkini menunjukkan ramai pesakit asma yang tidak mengambil ubat yang diberikan. Dr. Asiah menyatakan banyak kes di mana pesakit hanya datang mendapatkan rawatan apabila sudah tidak boleh bernafas.

"Rawatan sepatutnya berjalan secara berterusan dan dikekalkan melalui pengambilan ubat pencegah.

"Ramai pesakit yang menolak rawatan kerana khuatir akan ketagih kepada ubat yang diberikan atau tidak menyukai jenis ubat (pam sedutan)," ujarnya.

Menurut beliau, petanda asma mungkin muncul sejak kecil dan ini membolehkan rawatan dimulakan pada peringkat awal.

"Rawatan peringkat awal boleh mengelakkan gejalanya berterusan sehingga dewasa dan juga mengelakkan serangan asma yang teruk.

"Adalah penting memulakan rawatan sebelum asma pesakit menjadi teruk kerana kawalan peringkat awal yang bagus juga membolehkan asma pesakit dikawal dengan baik apabila dewasa kelak," jelasnya.

Dr. Asiah turut membangkitkan tindakan sesetengah ibu bapa yang lebih suka mendapatkan surat pengecualian untuk anak mereka yang menghidap asma berbanding datang mendapatkan rawatan.

"Dengan surat tersebut, anak yang menghidap asma dapat mengelakkan daripada aktiviti fizikal atau aktiviti luar.

"Namun, tujuan utama rawatan dan kawalan asma adalah supaya pesakit boleh hidup normal dan melakukan semua aktiviti seperti orang lain," katanya.

Beliau turut menyatakan terdapat ibu bapa yang menunggu nafas berbunyi (weezing) sebelum mengakui anak menghidap asma.

"Terdapat juga asma yang tidak kedengaran bunyi nafasnya dan memerlukan stetoskop untuk mendengar nafas di dalam paru-paru.

"Selain itu, batuk berpanjangan juga merupakan tanda yang kerap ditemui di kalangan pesakit asma," jelasnya.

Menurut beliau, simptom batuk ini juga berterusan walaupun selepas menggunakan berbagai-bagai jenis ubat. Dr. Asiah bagaimanapun menegaskan batuk berpanjangan juga mungkin menjadi petanda penyakit lain seperti tuberkulosis (tibi).

Ubat

Kajian Asthma Insights and Reality in Asia Pacific (AIRAP) melaporkan hanya 13.6 peratus pesakit asma negara ini yang mengamalkan rawatan pencegahan sementara 56.3 peratus lagi memilih ubat pelega untuk kelegaan segera ketika serangan asma akut.

Dr. Asiah memaklumkan bahawa kedua-dua ubat pencegah dan pelega diperlukan untuk kawalan asma pesakit.

"Pencegah digunakan secara berterusan untuk mengawal asma sementara pelega pula hanya bila diperlukan, seperti ketika serangan asma akut.

"Namun, menjadi sifat semulajadi manusia yang berhenti mengambil ubat bila kesihatan mereka nampak baik sedangkan ubat asma perlu diambil walaupun pesakit nampak sihat," katanya.

Menurut Dr. Asiah, kebanyakan ubat lama untuk asma terdiri daripada bentuk pil untuk dimakan sementara ubat terbaru banyak terdiri daripada ubat pam sedutan.

"Apa yang ditakutkan di sini adalah umum menganggap ubat jenis pam sedutan sama seperti 'menghisap' dadah. Namun, ubat jenis ini dianggap yang paling berkesan untuk rawatan asma," ujarnya.

Ubat yang disampaikan melalui pam sedutan juga terdapat dalam bentuk aerosol, yang lebih baik untuk kanak-kanak, dan juga dalam bentuk serbuk.

Dalam pada itu, Dr. Asiah tidak menyokong pengambilan ubat herba untuk rawatan asma kerana dikhuatiri kesannya (baik atau buruk) sukar dikawal.

"Kebanyakan herba mengandungi steroid dan dalam jumlah yang sukar ditetapkan. Pengambilan herba tertentu juga mungkin hanya memberikan kesan sementara tetapi tidak dapat dipastikan keberkesanannya," katanya.

Percuma

Menurut Dr. Asiah, kos bukan faktor utama dalam mengawal simptom asma dan mengelakkan serangan asma akut.

"Mereka yang tidak datang mendapatkan rawatan (pencegahan) selalunya menunggu penyakit asma menjadi teruk sebelum menemui doktor.

"Bagi yang mengalami gejala seperti batuk berterusan dan rasa penat pula, masalah itu dianggap tidak berkaitan dengan asma dan hanya dibiarkan berlanjutan," katanya.

Beliau menegaskan masih ramai juga yang tidak tahu rawatan untuk asma diberikan secara percuma oleh kerajaan dan boleh diperoleh di mana-mana klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

Dr. Asiah mahu orang ramai bukan hanya mengenalpasti jika diri atau ahli keluarga menghidap asma, malahan perlu datang mendapatkan rawatan.

"Bukan sahaja kanak-kanak, golongan dewasa juga dijanjikan rawatan asma percuma, tidak kira untuk ubat jenis lama mahupun untuk ubat baru dan terkini.

"Kualiti rawatan di negara ini sama tarafnya dengan kepakaran di negara maju lain. Oleh itu, orang ramai perlu menggunakan kemudahan yang diberikan ini sedangkan terdapat negara lain yang tidak membiayai rawatan asma rakyat mereka," ujarnya.

Menurut Dr. Asiah, kebanyakan ubat baru kini dikeluarkan dalam bentuk pam sedutan tetapi terdapat juga dalam bentuk ubat makan.

Katanya lagi, penggunaan ubat bergantung kepada keperluan individu pesakit, mengikut tahap asma dan kes tertentu melibatkan masalah lain dalam sistem pernafasan.

Selain itu, mereka yang mempunyai warisan genetik asma juga tidak semestinya memerlukan rawatan. Golongan ini cuma menghadapi risiko lebih tinggi menghidap asma tetapi tidak memerlukan sebarang rawatan jika tidak menunjukkan sebarang simptom asma.

Tujuan utama kawalan asma adalah bagi membolehkan pesakit menjalani hidup normal tanpa gangguan simptom penyakit tersebut. Dengan adanya khidmat rawatan percuma untuk rakyat Malaysia, apa salahnya jika pesakit asma mengambil kesempatan mengawal dan mencegah serangan asma dalam jangka panjang.

Pesakit asma kanak-kanak mungkin mendapat paling banyak faedah rawatan awal supaya mereka boleh menempuh usia dewasa dengan 'nafas yang penuh'.


Dipetik dari:
http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment